Terima kasih buat pembaca yang terus menghabiskan kisah kembara Thailand-Laos kami yang lama dulu. Walaupun tak banyak negara yang kami lawati, namun setiap perkongsian dalam blog entri sangat terperinci dari segi itinerary, kos, mapping dan jalan cerita.
Lanjutan dari kembara yang lepas, kami sajikan panduan terkini bagi membeli tiket keretapi Thailand tanpa perlu menggunakan khidmat third party seperti 12Go atau beratur di kaunter di mana-mana stesen keretapi Thailand. Panduan ini juga diguna oleh kami bagi kembara terkini semasa di Thailand.
PENGUMUMAN: Tak lama nanti kami mungkin akan melalui sekali lagi kawasan Thailand bermula dari stesen paling selatan bagi menuju ke destinasi yang lebih jauh lagi.
Namun perlu diingat, tempahan tiket hanya untuk keretapi jarak jauh. Mereka TIDAK MENJUAL tiket keretapi online jenis ORDINARY dengan harga yang paling murah untuk jarak pendek (jenis kerusi duduk PVC). Tiket begitu harus dibeli di kaunter stesen keretapi pada hari yang sama korang ingin bertolak ke destinasi berkenaan (TIDAK BOLEH BELI LEBIH AWAL (ADVANCE TICKET PURCHASE)). Kaunter dibuka satu jam sebelum waktu bertolak. Oleh itu, sentiasa memeriksa jadual terkini bagi keretapi jenis ORDINARY.
Bagaimana Keadaan Apabila Mengembara di Thailand Menaiki Keretapi?
Khusus bagi mereka yang kaki kembara yang mana masa bukan satu isu, sejenis yang suka tenang dan santai serta tak tergesa-gesa, keretapi Thailand sangatlah terbaik. Merangkumi jarak sejauh lebih dari 1800km dari stesen paling selatan di Sungai Kolok dan paling utara di Chiangmai.
Dengan ASMR bunyi goyangan gerabak dan tindihan roda besi keretapi dengan landasan, amat disukai oleh pengembara yang ingin merasai pengalaman sebenarnya di atas keretapi. Juga dapat merasai “hotel bergerak” jika memilih jenis berkatil.
Korang boleh pilih keadaan keretapi yang macam mana yang diingini. Dari third class yang menggunakan kerusi kayu atau PVC dengan harga begitu murah contohnya THB258 (RM32) dari Hat Yai ke Bangkok sejauh 900km. Sleeper berth juga ada yang kerusinya boleh ditukar menjadi katil dan mempunyai langsir. Selain itu, juga terdapat jenis bilik bagi yang mementingkan privasi.
Tandas juga bersih. Kecuali bagi third class yang dilihat seperti tandas usang, namun masih bersih dan boleh digunapakai. Nak mandi pun boleh seperti yang kami buat dulu. Kafe juga ada bagi ingin santai-santai dengan memesan makanan (halal juga ada terutama Southern Line) atau menikmati kopi sambil melihat keindahan alam yang melalui bukit-bukau dan gunung-ganang.
Bagi yang nak privasi, boleh saja masak meggi kerana ada disediakan pantri dengan pili air panas. Tiba-tiba rasa bosan kerana perjalanan begitu lama? Boleh saja berjalan dari gerabak ke gerabak melihat-lihat ragam penumpang. Boleh juga duduk di ruang di hujung gerabak yang adakalanya pintu terbuka (diharap jaga keselamatan sendiri). Ruang ini juga amat disukai oleh perokok.
Berapakah Harga Tiket Keretapi?
Harga bergantung pada jarak yang ditempuh, kelas gerabak (1st, 2nd, 3rd atau room) dan jenis keretapi. Dengan mengambil contoh jarak dari Hat Yai ke Bangkok sejauh lebih dari 900km:
- Ordinary (3rd class): THB258 atau RM33 (kerusi PVC, bukan kusyen)
- 2nd Class Sleeper (kipas): THB603 atau RM 77 (katil bawah)
- 2nd Class Sleeper (aircond): THB823 atau RM105 (katil bawah)
- 1st Class Room: THB1790 atau RM227.00 (katil bawah)
Kaedah Tempahan Tiket Keretapi
Kaedah 1: Dengan cara walk-in ke kaunter tiket di stesen keretapi. Kaedah ini tidak dijamin bagi tempahan jarak jauh, kecuali bagi jarak dekat yang perlu dibeli pada hari yang sama korang bertolak. JANGAN LUPA MEMBAWA PASSPORT SEMASA DI KAUNTER.
Kaedah 2: Melalui phone. Anda boleh hubungi nombor di talian 1690 iaitu nombor rasmi bagi syarikat keretapi Thailand. Jangan risau mereka boleh berbahasa Inggeris. Pastikan tempahan dibuat 5 hari sebelum tarikh bertolak dan pembayaran pula harus dibuat 24 jam sebelum tarikh bertolak.
Kaedah 3: Iaitu melalui app atau laman web rasmi keretapi Thailand. INI PILIHAN SAYA dan akan diterangkan di bawah.
Adakah Selamat Mengembara Dengan Keretapi Thailand?
Alhamdulillah, sepanjang kami menempuh dari Hat Yai ke Bangkok, Bangkok ke Lopburi dan Ayutthaya, Kanchanaburi ke Bangkok dan Ayutthaya ke Nong Khai (return), keadaan semuanya selamat dan tidak kelihatan sebarang kes yang tidak diingini contohnya kecurian, kecederaan, rompakan, harassment (terutama wanita) atau diskriminasi bangsa/negara.
Namun perlu diingatkan, sentiasa membaca doa sebagai pengembara, sentiasa memantau barangan sendiri, jangan terlalu menonjol (pakaian dan barang berharga) dan jaga keselamatan diri sendiri. Jika tiba sebelum subuh di mana-mana destinasi, lepak dulu di stesen sampai terbit matahari (jika keseorangan) atau tempah Grab car. Jangan sesekali menerima tawaran oleh sesiapa yang ingin hantarkan baik secara percuma atau berbayar (khusus bagi pengembara solo wanita). Bawa mini pepper spray atau trekking pole (acah-acah pergi hiking padahal nak guna pole tu untuk libas manusia jahat).
Ke Mana Destinasi Terbaik Jika Mengembara Dengan Keretapi Di Thailand?
Di bawah ialah senarai bandar yang terbaik untuk dilawati sepanjang jalur keretapi Thailand. Atau boleh rujuk entri ini bagi ringkasan setiap bandar.
Dari Selatan Ke Tengah:
1. Hat Yai ke Surat Thani (untuk ke Koh Samui)
2. Hat Yai ke Prachuap Khiri.
3. Hat Yai ke Hua Hin
4. Hat Yai ke Pak Tho (untuk ke Maeklong Railway Market)
5. Hat Yai ke Bangkok
Dari Tengah ke Utara (jalur Northern)
1. Bangkok ke Chiang Mai
Dari Tengah ke Utara (jalur Northeast):
1. Bangkok ke Lopburi
2. Bangkok ke Ayutthaya
3. Bangkok ke Nong Khai (menuju ke sempadan Laos)
Dari Tengah ke Barat:
1. Bangkok ke Maeklong Railway Market
2. Bangkok ke Kanchanaburi
Dari Tengah ke Timur:
1. Bangkok ke Aranyaprathet atau Ban Klong Luk (menuju ke sempadan Cambodia)
2. Bangkok ke Ubon Ratchathani (menuju ke sempadan Laos bahagian selatan)
Laluan Yang Tidak Dilalui Keretapi
Walaupun jalur keretapi Thailand teramat luas, namun satu yang mengecewakan ialah ia tidak melalui beberapa bandar di selatan Thailand yang sangat terkenal seperti Phuket dan Krabi. Jika ingin ke dua bandar tersebut, berhenti di stesen Surat Thani dan transit pula dengan menaiki minibus untuk ke sana.
Peta Keretapi Thailand
Klik gambar di bawah untuk besarkan. Sumber gambar dari laman web www.thaitrainguide.com.
Panduan Membeli Tiket Keretapi – Jenis Sleeper Berth
Langkah 1: Pembelian tiket menggunakan laptop lebih mudah berbanding app. Perlu dimaklumkan yang jika menggunakan laptop dan selepas membeli, tiket juga akan dilampirkan dalam app jika login menggunakan email yang sama. Layari ke https://www.dticket.railway.co.th/DTicketPublicWeb/home/Home dan pilih English. Kemudian klik Register.
Pilih jantina (ini bagi memudahkan mereka melabelkan M atau F pada kerusi masing-masing buat rujukan pembeli tiket online yang lain termasuk korang.
Pastikan enable “Foreigner“.
Nama Ahmad Daniel tapi klik butang Spacebar tak boleh? Jangan risau, taip sahaja AhmadDaniel seperti paparan di bawah ini.
Di bawah ruangan nama, masukkan nombor passport korang.
Masukkan email dan password pilihan.
Selesai bab pendaftaran.
Langkah 2: Katakan korang dari Hat Yai dan ingin ke Bangkok. Jadi:
Origin: Hat Yai Junction
Destination: Krung Thep Aphiwat (nama terminal terbesar di Bangkok)
Travel Date: Pilih tarikh berlepas.
Jika tempahan pergi dan balik (return), enable “Round-trip” dan masukkan “Return Date”.
Pilih berapa jumlah penumpang. Maksima hanya 4 orang sahaja bagi satu-satu tempahan.
Kemudian klik butang Search…
Langkah 3: Katakan korang ingin membeli tiket bagi kerusi yang boleh diubah menjadi katil atau dikenali sebagai Sleeper Berth.
Paparan di bawah ini terdapat banyak jenis keretapi seperti Rapid, Special Express dan Special Express CNR. Apa bezanya?
- Rapid hanya berhenti di beberapa stesen sahaja dan ini menjimatkan sedikit masa. Kebiasaannya mempunyai kelas ke-2 dan ke-3. Mempunyai gerabak ber-aircond atau hanya kipas.
- Special Express dan Special Express CNR adalah keretapi baru tapi versi CNR lebih baru dan terkini. Kedua-duanya mempunyai kelas ke-1 dan ke-2, juga mempunyai kafe yang lebih menarik dari Rapid serta kemudahan yang lain.
CNR akan menjadi pilihan aku kerana lebih selesa biarkan berbeza 30 minit hingga 1.5 jam tempoh masa perjalanan berbanding Rapid (jika menaiki jarak jauh ke arah Bangkok).
Ok, bagi paparan di bawah, pilih RAPID.
Langkah 4: Bagi langkah ini, terpulang bajet korang samada memilih:
a. Kerusi biasa (jenis PVC dan paling murah THB258) atau
b. Kerusi 2nd class dengan menggunakan kipas angin.
c. Sleeper berth dengan kipas: Katil bawah (Lower) dan atas (Upper).
d. Sleeper berth dengan aircond: Katil bawah (Lower) dan atas (Upper).
Untuk contoh panduan ini, kita pilih “d” dan Lower Berth dengan harga THB823.
Nota: Kerusi tidak digalakkan bagi perjalanan yang terlalu jauh dari Hat Yai ke Bangkok selama 16 ke 19 jam sejauh 900+ km. Risau sakit belakang nanti. Melainkan orang muda yang boleh bertahan dengan cara duduk atau bagi yang terpaksa berjimat.
Tips bagi backpacker kental: Jangan naik direct ke Bangkok dengan harga murah. Cuba berhenti di mana-mana bandar contohnya Nakhon Si Thammarat, Surat Thani atau Chumpon (bandar yang terletak di pertengahan antara Hat Yai dan Bangkok) bagi mengurangkan kebosanan dan keletihan kerana kerusi jenis duduk. Kemudian merayaplah di bandar tu dan pandai-pandailah cari tempat menginap yang murah atau percuma. Hehe. Esoknya baru sambung semula ke Bangkok.
Nota berkenaan katil atas dan bagi yang membawa anak: Katil atas akan sedikit bergoyang. Bagi yang tak tahan digalakkan ambil katil bawah. Katil atas juga tidak selamat bagi anak kecil kerana risau anak tergolek ke bawah. Railing tepinya tak cukup luas untuk halang dari tergolek.
Langkah 5: Disebabkan korang dah pun Register di Langkah 1 di atas, korang dah pun jadi “Member”. Semak semula butiran peribadi dan kemudian klik butang “Choose Seat Number“. Pastikan “Foreigner” kekal enable. Nanti dia minta IC Thailand susah pula korang tak ada, hehe.
Nota: Tempah lebih dari seorang? Anda sebagai Passenger 1 dikira Member. Tapi Passenger 2, Passenger 3 dan Passenger 4 dikira bukan member. Jadi akan terpapar “No” pada Passenger 2 hingga 4.
Langkah 6: Ok langkah ni agak tricky sedikit. Tak mengapa aku akan bimbing. Inilah sebabnya kenapa aku suka guna laptop untuk beli tiket sebab boleh terjemah bahasa Thailand melalui Google Translate.
Jadi aku dah terjemah siap-siap. Ada dua arah iaitu ke arah Hat Yai Juntion dan ke arah Krung Thep Aphiwat (Bangkok). Penting ke arah ni? Penting bagi yang ingin tahu arah pergerakan keretapi berdasarkan sleeper berth yang dipilih.
Contohnya, ada yang suka menikmati pemandangan sebelah kanan, jadi akan pilih row:
11, 12, 15, 16, 19, 20, 23, 24, 27, 28, 31, 32, 35, 36
Untuk yang suka pemandangan sebelah kiri, akan pilih row:
9, 10, 13, 14, 17, 8, 21, 22, 25, 26, 29, 30, 33, 34
Nota: Jangan lupa periksa jumlah gerabak yang disediakan bagi jenis sleeper berth. Contoh dalam paparan di bawah ini menunjukkan ada dua gerabak [1] dan [2]. Kalau tak puas hati dengan gerabak [1], jadi klik pula gerabak [2].
Nota 2: Secara default, sistem akan auto pilih sleeper berth untuk korang. Jangan risau, skrol ke bawah dan klik je “x” (Delete) dan pilih semula berth yang korang inginkan.
Nota 3: Kotak warna hijau bermaksud Available. Kotak biru lelaki, pink bagi wanita. Kuning pula untuk Monk (Tok Sami). Buat para wanita yang ingin booking dan segan jika katil atas atau bawah atau katil bertentangan dihuni penumpang lelaki, jadi bolehlah pilih katil yang di keliling wanita sahaja.
Selesai pilih berth? Klik butang Next.
Langkah 7: Ini pula langkah akhir untuk membocorkan wallet korang. Apa lagi, sila bayar menggunakan kad Debit/Kredit. Boleh juga menggunakan PromptPay (ewallet dan QR code versi Thailand) menggunakan app Touch N Go atau mana-mana app perbankan yang boleh membayar guna kod QR DuitNow. Ini adalah inisiatif kerajaan dua buah negara bagi memudahkan pembayaran tanpa tunai. Juga boleh dipraktikkan untuk membeli barangan di kedai-kedai Thailand.
Akhir sekali, download app SRT D-Ticket. Login guna email yang sama dan tempahan korang akan tertera di dalamnya. Gunakan app ini sewaktu check-in atau jika tak yakin, pergi ke kaunter tiket dan minta bantuan. Manalah tahu kalau ada stesen lama yang perlu print kan tiket di kaunter sebagai SOP mereka.
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.dticket
iOS: https://apps.apple.com/my/app/srt-d-ticket/id1560080111
Panduan Membeli Tiket Keretapi – Jenis Room
Langkah 8: Ikuti dahulu langkah 1 dan 2 di atas. Selesai, ikuti langkah di bawah. Dimulakan dengan memilih Charter Room.
Langkah 9: Sama seperti langkah 5 di atas.
Langkah 10: Situasi seperti paparan di bawah ini biasanya berlaku jika tarikh departure korang rapat, contohnya seminggu sebelum berlepas dan mungkin tiket telah kehabisan. Namun, pihak keretapi masih boleh masukkan korang di bawah Waiting List andai kata ada penumpang yang membatalkan tempahan di saat-saat akhir.
Aku tak galakkan, tapi kalau nak, boleh je teruskan dengan klik butang “Add to waiting list“. Lepas tu apa jadi aku tak pasti sebab tak pernah cuba.
Tak minat Waiting List dan cuba tarikh lain? Kembali ke Langkah 4 di atas dan klik butang “Search change”. Ubah ke tarikh baru. Cadangan aku, 2 minggu dari hari yang korang sedang booking. Sambung ke Langkah 11 di bawah.
Langkah 11: Amati penulisan merah dalam paparan di bawah agar penerangan aku jelas.
Ke arah Hat Yai Junction – bermaksud bahagian belakang keretapi (jika korang bertolak dari Hat Yai)
Ke arah Krung Thep Aphiwat – bermaksud bahagian hadapan keretapi.
Kedudukan ini penting bagi yang ingin nikmati pemandangan ikut pilihan masing-masing contohnya di sebelah kanan kerana mungkin ada banyak bukit dan gunung untuk dinikmati.
[1] = bermaksud hanya ada satu gerabak yang disediakan bagi jenis Room.Bagi contoh ini, kita pilih Room 12 dengan katil bawah (lower sleeper berth).
Nota 1: Secara default, sistem akan auto pilih room dan sleeper berth untuk korang. Jangan risau, skrol ke bawah dan klik je “x” (Delete) dan pilih semula room dan berth yang korang inginkan.
Nota 2: Kotak warna hijau bermaksud Available. Kotak biru lelaki, pink bagi wanita. Kuning pula untuk Monk (Tok Sami). Buat para wanita yang ingin booking dan segan jika room dihuni penumpang lelaki, jadi bolehlah pilih room yang ada wanita sahaja. Jika ada penumpang tu menipu, laporkan saja pada pegawai keretapi yang sentiasa lalu lalang.
Nota 3: Nampak tak kotak atau checkbox yang berlabel “Room”? Sekiranya korang bersendirian tapi tamak nak booking seketul room, hehe, tick je checkbox tu. Bayaran akan dikenakan bagi tempahan seketul room dan sedikit murah jika membayar bagi dua buah katil per room.
Selesai pilih room? Klik butang Next dan korang akan diminta membuat pembayaran.
(Optional) Langkah 12: Katakanlah korang berkeluarga seramai 4 orang (seperti kami) dan ingin menempah Room jenis connecting (ada pintu tengah antara dua room). Mudah saja, sila rujuk paparan di bawah. Nampak tak line merah yang aku dah tandakan? Itulah pintu tengahnya. Susah ke nak tahu? Tak susah. Mula dari mana-mana hujung gerabak samada dari kiri atau kanan, dua room mesti berpasangan. Setiap pasang tu pasti ada pintu tengahnya.
Belum jelas? Contoh Berth 1 dan 2 ada pintu yang hubungkan dengan Berth 3 dan 4. Begitu juga Berth 5 dan 6 dengan sambungan Berth 7 dan 8.
Selesai bab booking keretapi Thailand. Ayuh teruskan booking daripada bersidai di rumah, hehe. Bila lagi nak mengembara?
Left Luggage Office
Setiap stesen keretapi besar di Thailand mempunyai tempat penyimpanan bagasi yang disebut Left Luggage Office. Apa tujuan menyimpan di sini? Bagi korang pengembara yang bertenaga dan nak pusing bandar tu hanya dalam setengah atau satu hari, bolehlah menyimpan bag di situ tanpa perlu menyewa hotel untuk meletakkan bag atau mengusungnya ke hulu ke hilir.
Berikut adalah pemerhatian kami semasa menggunakan khidmat Left Luggage Office di Lopburi (ini berdasarkan tahun 2017, sekarang mungkin ada sedikit perubahan):
- Boleh didapati di mana-mana stesen keretapi di seluruh Thailand dengan signboard tertera “Left Luggage Office”.
- Kos penyimpanan untuk sehari adalah THB10 (RM1.50) bagi setiap bag.
- Selepas membayar, akan diberikan sebuah kad nombor. JANGAN HILANGKAN.
- Pengawal bilik penyimpanan ini ada di mejanya setiap masa.
- CCTV juga terdapat di sini.
- Sangat selamat tapi sebaiknya menggunakan lock basikal (seperti dalam gambar di bawah yang kami bawa ke Thailand dan seberat kurang dari 100gm sahaja). Tambatkan backpack ke batang besi almari tingkat di tepi menggunakan lock basikal. Walaupun pencuri boleh memotong tali galas beg, tapi dengan adanya lock ini akan memberinya lebih masa sehingga pengawal di situ tersedar perbuatannya. Beli di Mr DIY dengan harga kurang dari RM10.
- Sebaiknya ikat luggage tag di bahagian luar backpack serta diselitkan business card di bahagian paling dalam beg. Ini bertujuan sebagai pengenalan diri andai kata kad nombor tercicir. Luggage tag akan tertera nama sendiri sebagai bukti empunya beg manakala business card sebagai bukti kedua jika luggage tag pula direntap dan dihilangkan oleh sesiapa.
- Selepas mengambil backpack, periksa dahulu kandungan didalamnya. Risau tak pasal-pasal menjadi ‘instant kaldai dadah’ apabila dadah diselitkan dicelah-celah backpack. Beg jenis tarik juga tak terkecuali kerana mereka ada kepandaian membuka mangga kecil.
- Secara keseluruhan, USAH RISAU ADIK-ADIK SEKALIAN, SIMPAN BEG DI SINI SANGAT SELAMAT. Berdoa dan terapkan law of attraction dengan membayangkan beg selamat sebelum melangkah keluar meninggalkan beg.
Keadaan Dalam Keretapi Thailand (Versi Lama)
Keadaan Dalam Keretapi Thailand (Versi Baru)
Selamat berkelana !!
Dila
Saya nak ke bangkok 4 dewasa 1 kanak (2thn 8bln) perlu beli tiket tak untuk anak?
admin
Terima kasih krn berkunjung di sini. Jawapan saya ni berdasarkan trip lama dulu. Harap masih boleh digunapakai. Kalau ada kesilapan maklumat, atas sendiri ya puan.
Utk kanak2 usia 3 tahun dan ke bawah atau mempunyai ketinggian kurang dari 100cm, keretapi adalah percuma. Seat perlu dikongsi bersama org dewasa, tak boleh seat yg berasingan. Untuk katil juga sama, perlu kongsi dgn org dewasa.
Utk yg ketinggian 100cm hingga 150cm dan berusia 3 tahun ke atas, tiket perlu dibayar tapi ada sedikit diskaun diberikan (tak pasti brp % diskaun). Seat dan katil boleh book dan dpt berasingan sama mcm org dewasa.
Kalau dari selatan ke Bangkok selama berbelas jam, saya tak syorkan berkongsi seat dgn dewasa. Kalau katil je takpe sbb kami sekeluarga dah pernah buat tapi lama dah dulu. Rasanya masih praktikal sbb lebar katil sama je mcm dulu.
Perenggan terakhir dlm blog di bwh ni ada gambar anak kami usia 3 tahun 10 bulan tidur sekali sekatil. Bayaran waktu tu percuma utk kanak2 walaupun lebih dari 3 tahun. Mgkn sbb ketinggian tak lebih dari 100cm. Harap membantu:
https://www.zatiewanderer.com/kembara-thailand-laos-restoran-salma-di-hat-yai-dan-perjalanan-ke-prachuap-khiri-khan/