Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 5 – Chatsila Night Market di Hua Hin. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Tarikh Kembara: 2 Januari 2017
Hari ke: 6
Lokasi: Hua Hin menuju ke Maeklong (Samut Songkhram)
Pagi tu, sebelum jam 4.00 pagi kami dah bangun. Yang paling menakutkan dan mendebarkan ialah saat lewat bangun dan bergegas untuk ‘quick packing’ barangan masuk ke dalam backpack. Sepanjang di Thailand, nasib baiklah kami belum berhadapan situasi begitu.
Tuh dia, aku sengaja di hadapan sedikit sebab nak minta Tatie ambilkan gambar kegigihan aku menapak ke Hua Hin Railway Market. Waktu ni jam 5.10am.
Haa sampai dah. Bukanlah jauh sangat lebih kurang 500 meter. Aku berulang baju yang sama tapi sentiasa basuh setiap malam. Jangan korang ingat aku berulang baju yang tak basuh pula! Terima kasih pada Tatie yang selalu memberus di waktu malam.
Berdebar gak rasa sebab risau nanti tiket kelas ke-3 habis pula. Maklumlah tiket tu harganya murah. Sampai je di sini, kaunter belum dibuka. Katanya jam 6.00am.
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Seperti biasa, bab menunggu ni sesuatu yang meletihkan. Jadi, kami pun merayaplah sekitar stesen ni. Nampak macam ada orang di kaunter. Lalu aku pun memberanikan diri bertanya. Kalau salah, apa nak malu, kan? Gunakan alasan “ohh… I’m sorry, I’m a tourist and I don’t know about this”.
Rupanya boleh je beli awal sebelum jam 6.00am. Dan pada jam 5.50am, kami dah dapat tiket.
Perjalanan sehala dari Hua Hin ke Ratchaburi jam 6.17am kelas ke-3 dan dijangka sampai jam 8.28am. Harga dewasa THB24 dan kanak-kanak pula THB12. Murah ke? Murah sangatlah untuk perjalanan selama hampir 2 jam.
Ada lagi setengah jam sebelum tren sampai. Itupun kalau menepati masa.
Aqif masih lagi dalam mode mengantuk.
Selesai urusan tiket, kami pun masuk ke bahagian landasan. Setiap kali di landasan, aku kebiasaannya akan mula serius kerana tak tahu platform mana dan landasan mana tren akan berhenti. Lagipun di sini ada lebih dari 4 jalur landasan. Nak harapkan paparan/tulisan di kepala tren pun tak boleh juga dengan lampu mentol kuningnya yang kurang jelas, macam zaman 80an.
Taklah ramai sangat. Aku sangkakan pagi-pagi begini mungkin ramai orang. Beg kena jaga betul-betul ok?
Di sudut yang lain pula. Hujung sana kelihatan sebuah bangunan lama yang dijadikan tapak sejarah. Rujuk gambar di bawah. Jangan pula korang ingat orang ramai di sini nak balik kampung ke apa. Sama sahaja macam di KL yang mana ramai yang bekerja di KL tapi menetap di Seremban dan menaiki komuter.
Keadaan stesen di bahagian luar yang kami tunggu tadi. Sebenarnya, kalau tak beli tiket pun boleh saja masuk ke ruangan landasan ni untuk melambaikan pada saudara-mara yang akan menaiki tren.
Tradisi loceng turun-temurun walaupun zaman sekarang dah ada sistem elektronik. Pada pendapat aku, biarlah tradisi ini dikekalkan. Barulah datang ‘feel’ tu.
Papan tanda sebagai kenangan ‘checkpoint’ kalau ke sini. Nombor bawah tu mungkin nombor stesen.
Apa yang aku lihat pada setiap stesen tren di Thailand ni, pegawai stesen cukup komited dan berdedikasi. Seolah-olah mereka menghormati pekerjaan sebagai pegawai. Mungkin kerana kerajaan berhutang budi pada sistem pengangkutan tren yang banyak memacu kemajuan dan ekonomi negara.
Masa di sini, aku ternampak ada gambar seorang wanita. Agak tertanya-tanya juga siapa. Kemudian aku pun ke kaunter dan bertanya. Katanya, itulah anak perempuan pada mendiang Raja Bhumipol yang telah mangkat baru-baru ini.
Di setiap stesen tren Thailand, mesti akan ada kepala keretapi lama seperti ini.
Ok, inilah bangunan lama stesen. Walaubagaimanapun, stesen yang kami sedang tunggu tadi juga merupakan bangunan lama.
Peta bandar Hua Hin pada skala besar.
Akak-akak peniaga dah mula menyediakan sarapan pagi untuk dijual dalam tren. Tak silapnya itu adalah nasi bubur.
Korang nak melawat bandar Hua Hin sekadar ‘touch n go’ je iaitu tiba waktu pagi dan balik petangnya? Boleh je. Di sini ada disediakan pejabat Left Luggage. Tapi saja nak beritahu…. sehari di Hua Hin tak puas weh!
Haa.. tren dah sampai lebih kurang jam 6.20am. Masing-masing ambil posisi. Kalau diikutkan, inilah pertama kali kami menaiki tren kelas ke-3. Tiada ‘reserved seat’, terpulanglah mana-mana sudut yang korang nak selit.
Suasana di dalam tren. Pada waktu ini jam 7.01am. Aku tak pasti kebanyakan penumpang ni dari arah mana. Bayangkan kalau dari Hat Yai? 12 jam perjalanan!!!
Menurut maklumat dari seorang sahabat, abang Mat Yusof, katanya tambang dari Hat Yai ke Bangkok THB240 sahaja. Lebih kurang RM30. Tapi korang sanggup ke duduk di kerusi begini selama 12-14 jam?
Antara ragam penumpang.
Ini lebih ‘champion’…. macam hantu bungkus.
Jam 7.12am, tren baru sampai di Cha-am. Rugi dan geramnya tengok tulisan Cha-am tu. Kalaulah kami ada bajet lebih, nak je terjah sini.
Matahari mula menyinari muka bumi Thailand. Aku suka melihat warna bukit-bukau yang kekuningan. Ala-ala Grand Canyon pula, kan?
Macam cantik pula nampak sebab tanaman di ladang ni kelihatan terurus.
Jam 7.58am, tren baru sampai ke stesen Phetchaburi. Sini merupakan salah satu stesen utama seperti mana Hua Hin dan Cha-am.
Mai dah makcik jual jajan.
Aqif say Haiiiiiii !!!
Video semasa di dalam perjalanan antara Hua Hin dan Pak Tho Railway Station.
**********
Ok ni ada sedikit kisah dan tip tentang perjalanan ke Maeklong dan stesen mana yang sesuai untuk berhenti.
Rancangan awalnya, selepas bertolak dari Hua Hin untuk menuju ke Maeklong, kami akan berhenti di stesen Ratchaburi. Konon-kononnya sebab ia stesen utama daerah dan popular dalam perbincangan di group travel. Jadi, belilah tiket tren dari Hua Hin ke Ratchaburi.
Bila duduk lama dalam tren membuatkan aku mula meneliti kembali peta di Google Maps. Apa yang aku dapati jika dari selatan:
1. (Rujuk peta bawah) Berhenti di stesen tren Ratchaburi, jauh perjalanan menaiki bas awam untuk ke Maeklong ialah 33.1km (49 minit).
2. (Rujuk peta bawah) Berhenti di stesen tren Pak Tho, jauh perjalanan menaiki bas awam ke destinasi yang sama ialah 25.9km (23 minit).
Lama juga fikir…. nak berhenti di Pak Tho atau tidak? Kemudian baru teringat yang kami akan berhenti di stesen yang belum mencecah stesen Ratchaburi, bermakna dibenarkan. Keduanya, stesen tren di sini bukan macam stesen LRT ada gate kena masuk token atau tiket. Akhirnya aku memilih untuk berhenti di Pak Tho.
Sampai je di Pak Tho tercangak-cangak. Di mana pula lokasi untuk menunggu bas awam menuju ke Maeklong? Ditambah pula dengan stress sebab jam dah hampir 9.00am dan mengikut jadual, tren yang akan lalu di Maeklong (dari Thon Buri, Bangkok) untuk sesi pagi ialah jam 9.45am. Kalau terlepas, kena tunggu jam 1.45pm pula.
Tanya pada railway guard di situ. Katanya ada sebuah stesen bas yang kecil betul-betul di belakang stesen tren. Kami pun masuklah ikut denai lebih kurang 100 meter di celah-celah rumah orang. Memang betul di belakang tu ada sebuah stesen bas tapi lengang, tiada orang! Dalam hati, “eh biar betul ini tempatnya?” Tinjau di pejabat stesen siapa pun tiada. Ada lah pula seekor anjing ni baik dan agak besar tapi kerap datang menghidu kami, backpack dan bag plastik yang ada makanan. Nak tak nak, terpaksa keluarkan beberapa makanan dan hulur padanya. Agaknya, sebahagian rezeki kami tu ialah rezekinya.
Stesen bas di belakang stesen tren Pak Tho: Klik di sini.
Kebetulan ada pula seorang pemuda baru datang ke situ membawa beg jenis duffel. Mulalah sesi pertanyaan. Ternyata semua generasi di Thailand ni 80% tak tahu English. Terpaksa guna gambar-gambar sebagai contoh dari Google. Dah tentu dia tahu, katanya tunggu je di sini sebab bas yang dimaksudkan belum tiba.
Tetiba ada sebuah bas sampai, aku pun kalut tanya dia lagi… bas ni ke? Dia kata bukan… tersipu-sipu di situ… panik sangat kan… hehe.
Tunggu… setengah jam pun tak datang-datang lagi… tunggu…
Aku pun merayau ke depan jalan besar. Ada pula seorang wanita ni tomboy rupanya (duduk di paling kanan dalam gambar atas). Ingatkan laki jambu. Dia pun tunggu bas di situ. Nasib baiklah pandai speaking. Ok jelas… itulah cara aku. Aku tak menunggu satu informasi tapi cuba dapatkan informasi kedua untuk synchronize kan. Kalau tak sync, bermakna ada kesilapan antara salah seorang dari mereka. Lega sikit…
Aku rasalah, kawasan Pak Tho ni memang teramat jarang sekali pelancong datang, jadi mungkin mereka teruja atau seronok bila org luar datang. Umpama mat saleh yang tersesat di pekan Rengit (Johor) atau di Sungkai (Perak).
Ok bas pun tiba. Pemandunya tua dan sangatlah baik. Kami duduk di bahagian depan sekali. Konduktornya pun baik dan suka gurau dengan Aqif. Tambang bas awam ni cuma THB20 untuk dewasa, kanak-kanak tak perlu bayar. Aku pun tunjukkan gambar Maeklong, pemandunya tahu sangat.
Punyalah baik siap pemandunya turunkan kami sangat hampir dengan pasar Maeklong lebih kurang 100 meter sahaja. Mungkin dia sengaja keluar dari route kebiasaan demi membantu kami.
Di tangan, beg plastik barang makanan dan minuman sangat berat. Ada dua buah botol mineral 1.5L. Jadi waktu nak turun bas tu aku pun hulurlah sebotol yang belum lagi dibuka pada pemandu bas sebagai tanda terima kasih.
Cantikkan dekorasi dalaman bas ni? Penu warna-warni. Kalau aku HDR kan, lagilah naik warnanya.
Bergambar sebegini iaitu bersama pemandu dan dekorasi bahagian depan bas yang pelik, memang aku takkan miss.
Dari Pak Tho, masuk ke pekan bernama Plaipong. Bunyi macam paipon pula.
Sempat aku snap gambar dari dalam bas suasana pagi pekerja menjemur entah aku pun tak tahu apa bendanya.
Bila dah sampai ke jambatan panjang dengan sungai yang lebar, petanda dah hampir nak sampai ke pasar Maeklong.
Suasana lebih kurang sama sahaja seperti di jambatan Muar dan Klang.
Video perjalanan dari stesen bas Pak Tho ke Maeklong Railway Market.
Untuk anggaran korang, perjalanan dari stesen bas Pak Tho ke Maeklong mengambil masa 35-40 minit. Nasib baiklah bila sampai je rupa-rupanya tren re-schedule dan tiba jam 11.34am. Cuma penat sikitlah sebab nak menunggu 1.5 jam di dalam pasar.
Bersambung di entri seterusnya….. Kembara Thailand – Laos: Day 6 – Part 2 – Maeklong Railway Station di Samut Songkhram.
Leave a Reply