Nota: Harap maklum, entri ni agak panjang.
Tujuan aku buat entri terbaru ini ialah susulan pada pembacaan aku pada blog rakan kami dalam minat kembara yang sama. Melihat pada perkembangan rakan dalam hajat mereka sekeluarga untuk berhijrah ke luar negara, kami doakan yang terbaik menghadapi segala rintangan. Kekal dgn niat dan usaha, percayalah akan nampak hasil nanti.
Aku sejenis yang percaya takdir boleh diubah asalkan consistent, fokus dan jangan surrender. Kalau takdir tak boleh diubah, untuk apa Tuhan memberi sebuah ‘alat’ yang bernama doa, kan?
Hijrah Berputik…
Berbalik pada kami sekeluarga pula, tak ada hajat nak berhijrah ke? Pernah ada yang melontarkan soalan sebelum-sebelum ini. Jom aku story…
Bagi yang telah membaca entri blog aku yang lalu bertajuk “Memupuk minat dalam kembara“, mungkin akan sedia maklum suatu masa dulu aku pernah ada niat nak berhijrah.
Segalanya bermula pada tahun 2007/08 dulu. Atas urusan bisnes, sepatutnya aku ke San Jose, California bagi memulakan ‘startup’ baru atas cadangan orang atasan di Jabatan Perdana Menteri. Selama dua tahun aku menyiapkan segalanya, tapi aku terpaksa menyerah kalah kerana selain bantuan dari kerajaan (G2G), aku juga perlu sediakan dana peribadi bagi perbelanjaan sendiri dan juga sedikit kos bagi memulakan kerja aku di sana. Akibat dana yang mencecah ratusan ribu ringgit, aku terpaksa batalkan hajat.
Pada ketika tu, hanya berbekalkan Google Earth (Google Maps belum ada lagi), aku meneroka gambar-gambar sumbangan user GE yang lain. Begitu seronok sekali tengok life di sana terutama kemajuan dalam kerjaya tidak kira bisnes atau makan gaji. Dengan pemandangan alam semulajadinya di sana yang lain dari negara sendiri membuatkan aku tak sabar untuk berhijrah.
Pembatalan ke US membuatkan aku mengalih ke arah UK. Masa ni, aku belum berjiwa kembara sepenuhnya. Masih bergantung pada negara-negara yang mempunyai kemudahan mudah contohnya penggunaan bahasa Inggeris dan pemanduan right hand drive sama seperti di Malaysia.
Kenapa UK?
Entah kenapa aku suka negara tu selain dari US. Mungkin sebab masa arwah bapa aku menjadi pensyarah di Maktab Perguruan, beliau mendapat tawaran untuk berhijrah ke London sebagai MSD (Malaysia Students Department) pada tahun 80an. Tapi dek kerana disabotaj oleh ramai sekerja yang iri hati (surat tawaran disorok olehnya), tak jadilah kami sekeluarga berhijrah ke sana. Satu lagi sebab mungkin zaman aku chatting di platform mIRC zaman 90an dulu dan join bersama dengan kawan-kawan online yang berada di UK sebagai mahasiswa. Channel tersebut ialah #budak-uk. Walaupun aku “budak KL” dan bukan budak-uk, mereka dalam channel melayan aku dengan baiknya. Ada juga yang sombong, tapi hanya segelintir. Bila raya atau apa-apa aktiviti di kedutaan Malaysia atau di Malaysian Hall UK, banyak gambar dan video yang dikongsikan pada aku. Terasa seperti benar-benar jadi mahasiswa sana.
Ada yang berkongsi perasaan, meluah masalah sosial pada aku tak kira laki atau perempuan. Mereka juga bercerita tentang rumah, bilik sewa, public transport, masalah personal, masalah cinta dan lain-lain, pendek kata, daily life mereka dikongsi bersama aku apa yang mereka buat. Macam… wow seronok giler. Sampai mereka mengajak-ngajak aku ke sana yang pada ketika tu tahun 1996/97.
Mereka kebanyakannya belajar di University of Southampton di Southampton, UK sehingga ke Imperial College yang terletak di London. Ada juga yang berada di Scotland dan belajar di Edinburgh serta ada juga yang menetap di Glasgow kerana mengikuti ibubapa mereka sambung belajar di sana (kategori pelajar tua).
Tahun tu aku masih di IPTA tempatan dan belum punya sebarang rezeki untuk ke sana. Penerbangan tambah murah seperti AirAsia pun belum ada dengan harga tiket yang melampau mencecah RM6000 (return) dengan MAS. Banyak kos diperlukan sebagai seorang pelajar walaupun rakan-rakan di sana tawarkan untuk menetap di rumah mereka sehingga 6 bulan sekalipun!
Cuba punya cuba, tak dapat juga ke sana untuk melawat kawan-kawan. Akhirnya pada awal 2000an, ramai antara mereka dah grad dan pulang ke Malaysia. Tiada lagi kawan yang berada di sana untuk menyambut aku dan hajat terbuku begitu saja. Sampailah pada tahun 2007/08, aku terbuka hati untuk menjelajah dunia bermula dengan berhijrah seperti yang aku ceritakan di atas.
Tukar Destinasi Hijrah Ke UK
Tajuk “tukar” tu nampak seperti berjaya berhijrah, tapi … meh aku sambung cerita. Akibat frust tak dapat ke US, aku tukar dari bekerja sendiri ke bekerja makan gaji. Dah lama aku tinggalkan makan gaji sejak dari tahun 1999 dulu. Dengan cubaan untuk ubah ke mindset makan gaji, aku cuba apply kerja-kerja yang sesuai dengan bidang dan kepakaran aku.
Ratusan juga permohonan yang aku buat tapi kecundang. Kemudian barulah aku dapat tahu polisi kesatuan Eropah (EU) dalam pengambilan pekerja. Setiap majikan perlu iklankan jawatan kosong di media tempatan dan keutamaan pada pekerja tempatan. Apabila tiada pekerja tempatan yang berminat, mereka perlu open kerja kosong pada negara-negara dalam ahli kesatuan Eropah. Nampak gaya memang sukarlah untuk orang Asia macam aku untuk memohon ditambah pula di antara tahun 1999 hingga 2008, terdapat lompang kosong dalam resume aku yang menunjukkan tidak bekerja kerana bekerja sendiri.
Ada satu situasi yang agak kelakar yang mana aku hampir berjaya dapat kerja di sana dari dua syarikat tempatan. Satunya kerja dengan syarikat IT di sana yang membuat penyelenggaraan sistem (lupa samada di Plymouth atau Portsmouth) dan satu lagi pula kerja dengan syarikat yang menyelenggara sistem komputer bagi keretapi di London. Kelakar kerana mereka beranggapan aku sudah berada di UK dan boleh hadir untuk temuduga esok harinya. Untuk aku gamble belanja penerbangan ke sana bukan gaya akulah sebab belum tentu temuduga tersebut lulus.
Geram punya pasal, aku ke sana juga pada tahun 2009 untuk tinjau dulu suasana bekerja di sana. Jauh dalam hati aku sebenarnya tak minat nak kerja dan lebih pada bisnes. Jadi 2009 tu aku ke sana atas urusan bisnes. Susah nak ubah DNA aku dalam bisnes IT sebab sehingga 2024 ni, aku dah cecah 26 tahun pengalaman dalam IT dan tech. Takkan aku nak sia-siakan dan sabotaj kepakaran yang dah dikumpul lama? Inilah punca aku susah nak switching ke kerja makan gaji atau guna tiket sambung belajar untuk dapat hijrah. Di situlah kelemahan aku.
Selesai di sana, aku kembali ke Malaysia dengan semangat berkobar untuk mulakan bisnes baru di UK. Eh lain pula jadinya kemudian tu. Bulan Februari 2010, aku dijemput menunaikan umrah. Bulan Jun pula aku berkenalan dengan isteri hinggalah bernikah pada Oktober dalam tahun yang sama. Fikir aku, wah patutlah sengaja Dia gagalkan usaha aku ke UK. Ada jodoh di Malaysia rupanya.
Tahun pertama perkahwinan, aku mula pasang cita-cita dengan isteri untuk sambung semula hajat aku untuk berhijrah. Kali ni lebih best sebab berdua, bukan lagi solo. Tahun 2011 perancangan dimulakan. Tiba-tiba 2012 dapat khabar isteriku mengandung sehingga lahir anak pertama tahun 2013. Anak sulung ni kami betul-betul fokus, maklumlah 3 tahun menunggu baru ada hasil. Tahun yang sama aku mula kena penyakit stress dan gastrik kronik. Nak jalan jauh agak susah pada ketika tu kerana ada masanya panic attack menyerang. Ditambah pula tahun itu juga bapa aku meninggal dunia dan tinggal pula mama aku keseorangan di rumah. Jadi tiba-tiba terlupa habis perihal berhijrah. Terpaksa dilupakan…..
Akhirnya aku berbincang dengan isteri kerana kami nampak macam ada pelbagai halangan. Keputusan kami… hajat berhijrah terpaksa dibatalkan dan diganti dengan kembara terbaru yang mana aku dah mulakan dulu tahun 2009 dengan gaya backpacker. Terpaksa kena educate isteri tentang apa itu backpacker, kembara kental dan DIY. Maka terhasillah kembara ulung kami sekeluarga ke Thailand dan Laos melalui jalan darat sebagai ‘trial’ untuk kembara yang lebih jauh di masa depan. Alhamdulillah, isteri yang dulunya anak kampung yang begitu lasak boleh terima kembara jenis ini malah suka pula.
Ok, long story short. Tahun 2017-2018 pula, kami terpaksa fokus pada kelahiran anak kedua. Tahun 2018-2019 pula fokus pada bisnes yang kami buat pada ketika tu. Jadi tak dapatlah berhijrah. Masuk pula 2020 dengan pandemik bagai, terus terbantut.
Perancangan Selepas Zaman Pandemik
Seperti biasa perbincangan bersama isteriku. Kami sepakat untuk meneruskan aktiviti kembara tanpa perlu berhijrah. Jauh dalam hati kami memang masih ada ruang untuk berhijrah tapi kami lebih pada go with the flow sahaja. Macam mana bab berhijrah dah jadi priority kedua pula?
Begini kisahnya…. Andai kata kami ada rezeki berhijrah, kami bukanlah seperti orang lain yang berhijrah dengan menggunakan tiket sambung belajar atau bekerja di sana. Kami hanya sekadar suka-suki saja nak berhijrah merasa negara orang. Kalau nak bekerja, kami berdua pula digital nomad yang boleh bekerja di mana-mana.
Fikir punya fikir, terbitlah perancangan baru kami iaitu kembara jangkamasa panjang melalui jalan darat dengan melompat ke beberapa buah negara. Keutamaan pada AirBnB atau couchsurfing agar kami dapat merasa secebis pengalaman ala-ala berhijrah. Setiap bandar, kami peruntukkan minima 2 minggu untuk menetap sebelum melompat ke bandar yang lain pula. Balik ke niat asal yang sebenarnya asal nak keluar dari Malaysia sahaja pun. Jadi, berhijrah atau lompat-lompat ke beberapa bandar atau negara selama 1-2 tahun juga menyamai hijrah. Kelebihannya, kami dapat merasa pelbagai perubahan budaya dan bangsa sepanjang perjalanan. Kekurangannya hanya tak dapat merasa bekerja dengan syarikat tempatan, membeli groceries, menghantar anak sekolah tempatan, join dengan rakyat Malaysia di kedutaan dan sebagainya. Tak mengapa kerana kami lebih pada niat atau misi untuk ke luar negara sahaja dan kami juga sejenis yang tak boleh duduk lama di sesuatu tempat melebihi dari sebulan.
Begitulah ceritanya bab berhijrah. Namun aku masih membuka peluang pada diri sehingga usiaku mencecah 55 tahun. Dapat hijrah 2-3 tahun pun jadilah. Cuma pendekatan kami kali ni go with the flow sahaja. Malas dah nak rancang sana sini secara terperinci. Mungkin lepas dah selesai dan puas lompat-lompat negara, barulah kami berhijrah pula.
Buat rakan kami suami-isteri dan keluarga yang sedang mencuba yang terbaik untuk berhijrah, kekal consistent. Kot-kot lah aura kami yang mana bila masuk mana-mana kedai kosong, tetiba datanglah ramai orang. Mudah-mudahan aura kami membantu memberi hasil positif….
Juga doakan kami dapat mulakan kembara lompat-lompat negara, tak kisahlah secara backpacker atau campervan. Sebenarnya banyak juga rintangan yang kami hadap yang sukar untuk diceritakan.
Kami selalu berdoa, “kalau kalian lepas, kami pula menyusul. Atau jika kami dapat dulu lepas, kalian pula menyusul”. Semoga kita semua berjaya dengan hasrat masing-masing selagi hayat dikandung badan.
Leave a Reply