Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 2 – Wat Hua Mongkol. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Lebih kurang jam 2.37pm, kami mula pulang semula ke bandar Hua Hin dari Wat Hua Mongkol. Perjalanan sejauh ~20km dengan di kelilingi ladang tebu. Di sini aku dapat melihat sekali lagi betapa luasnya industri tebu di Thailand.
Di kala ni, aku sedang berdiri sekali lagi di dalam tuktuk sambil Tatie dan Aqif mendapat tempat duduk. Itulah kelebihan menjadi wanita dan kanak-kanak, ada saja yang tawarkan tempat duduk. Tambang sama sahaja iaitu THB60/orang sehala, kanak-kanak tak perlu.
Sampai di satu tempat, tuktuk masuk ke satu simpang yang menghala ke sebuah pusat pelancongan. Tempat ini terletak di tengah-tengah antara Wat Hua Mongkol dan Hua Hin. Nampak macam familiar….
Rupanya aku dah pernah tengok tempat ni iaitu Hua Hin Floating Market dalam Tripadvisor. Entah kenapa, kalau bab floating market ni aku macam malas pula. So, kami pun skip dari turun di sini dan masih meneruskan perjalanan ke Hua Hin. Di sini ada juga stesen tren tapi tak pasti ia menuju ke mana. Atau mungkin sekadar stesen yang dijadikan muzium?
Aku berdiri bersama dengan seorang warga tempatan. Macam biasa, malas nak berdiri di dalam kerana ketinggian aku bakal membongkokkan leher. Tak pasal-pasal aku kena pi ‘masat’ (massage) pula. Korang nampak aku berdiri tu macam rendah sebab berdiri atas tangga tuktuk yang memang rendah.
Ada kejadian kelakar di sini. Sewaktu tuktuk berhenti di lampu isyarat, gula-gula Mentos gum tiba-tiba terjatuh ke lantai jalan. Haha. Hampir 3 minit tuktuk berhenti. Aku dok bertarung dengan fikiran. Nak turun ke bawah sekejap dan capai ke atau macam mana? Buatnya tuktuk berjalan waktu aku pijak ke jalan mau tertinggal anak bini. Kalau seorang tak apa juga. Aku tengok laki yang berdiri tu sekejap-sekejap dok usha dan tinjau-tinjau depan dan belakang. Eh, dia pula yang turun dan capai gula-gula aku? Sebenarnya bukan gula-gula aku, tapi Aqif. Baiknya abam ni. Terus aku ucapkan terima kasih kemudian untuk cover segan tu, terus aku serahkan gula-gula pada Aqif.
Aqif yang tak tau apa-apa ingat aku panggil dia suruh berdiri di tepi tuktuk tu. Rupanya dia nak bisik sesuatu ke telinga aku. Entah dengar tak dengar apa yang nak dibisikkannya. Waktu dia membisik, ramai pula tersengih-sengih melihat gelagatnya.
Aku segera buka Google Maps untuk melihat lokasi. Setahu aku, tuktuk ini akan berhenti di simpang paling hujung yang menuju ke Wat Khao Takiab. Maksudnya, ada satu cabang yang terbahagi dua antara lebuhraya dan jalan biasa. Jadi, kami perlu tiba di persimpangan tersebut (rujuk peta di atas). Kalau terlepas, alamatnya kami membuang masa kerana perlu menaiki tuktuk dari tengah bandar Hua Hin ke Takiab.
Selepas berhenti, kami ternampak sebuah kedai runcit dan terus membeli aiskrim cone seorang satu. Bukan apa, cuaca panas sangat. Terima kasih uncle yang jaga kedai tu kerana benarkan kami melepak di bangku kedai bahagian luar sambil makan.
Dah selesai, teruslah menapak menyeberang jalan untuk menahan tuktuk yang datang. Kali ni aku sebut dan dengar dengan jelas “Takiab!” Hehe.
Nasib baiklah tuktuk yang dinaiki tu tepat perjalanannya. Tambangnya hanya THB20/orang. Kami naik sampai ke paling hujung iaitu hentian terakhir yang terletak berhadapan dengan sebuah balai polis kecil. Tapi bila dah sampai terpinga-pinga seketika sebab jalan menuju ke Wat Khao Takiab agak ke dalam dan perlu menapak.
Di sinilah lokasi berhenti atau GPS: 12.518723, 99.976317
Sempat juga aku bergaya sama seperti patung polis tu.
Aqif pun sama…..
Mungkin korang tertanya-tanya. Apa sebab asyik melawat Wat sahaja? Macam berminat dengan Buddhism je. Sebenarnya aku ada beberapa sebab. Pertama, aku suka melihat dan mengkaji perbandingan agama tapi perlulah kaji dahulu dengan cara bertandang ke tempat tersebut. Bila kita mengkaji, secara tak langsung akan menguatkan pegangan agama kita. Keduanya….. Ok ni korang nak tahu tak? Kebanyakan wat-wat di Thailand ni banyak pemandangan yang cantik-cantik kerana ia biasa dibina di lereng bukit atau di atas bukit. Nanti korang tengoklah, aku akan tunjukkan pemandangan pesisiran pantai Hua Hin. Itulah sebabnya… nak dapat view yang terbaik!
Tapi AWAS! Cukupkan dahulu ilmu tauhid di dada agar tidak terpesong atau terpesona dengan gangguan-gangguan yang ada di sekitar. Boleh jadi ada yang mengikut korang balik pula, kan? So, biarlah ada ‘ilmu’. Jangan sampai dada merasa ‘sesak’ kerana ada yang ‘menumpang’ jasad…
Menakutkan? Alaa… tak ada apa-apa sebenarnya. Cerita aku tu terlebih kuah dari nasi. Ramai je budak-budak yang datang ke situ. Yang penting datanglah waktu siang, berfikiran positif, sentiasa ingat Allah dan Rasulullah, hormati agama dan budaya sekeliling dan jadikan hati tenang dan damai.
Deretan tuktuk yang parking seketika di hadapan balai polis tadi. Semuanya menuju ke destinasi yang sama iaitu tengah bandar Hua Hin.
Jalan yang kami lalu tadi untuk ke Takiab dan juga untuk pulang semula ke bandar. Semacam U-Turn. Model manalah pula yang posing kat tengah-tengah tu? Bila aku zoom gambar, rupanya dia buat simbol peace direct pada aku?? Haha.. baru hari ni terperasan. Mungkin sebab kamera besar dah nampak dari jauh.
Sekarang kita menuju ke bahagian belakang. Sekiranya korang menghadap balai polis (balai berada di hadapan), pilih jalan di bahagian kiri. Menapak sedikit…. tak jauh pun dalam 280 meter.
Inilah jalan menuju ke belakang. Sambil tu aku intai-intai juga Google Maps risau tersalah jalan.
Dari jauh dah nampak Wat Khao Takiab.
Banyak juga kenderaan yang keluar masuk di sini. Di hujung sana ialah jalan menuju ke pantai. Di sini juga terdapat banyak hotel dan resort. Aku rasa sesuai juga untuk menginap memandangkan terdapat banyak tuktuk dan mudah untuk ke pusat bandar. Cuma, harganya aku tak pasti. Dah tentu agak mahal!
Nah… Wat Khao Takiab. Bukan di bahagian kaki bukit sahaja yang ada tarikan, sebenarnya di atas bukit tu.
Port untuk santai percuma tapi haruslah pesan minuman atau makanan.
Patung Buddha dari dekat. Tinggi juga rasanya dalam 20 meter. Jom menapak ke sana….
Nampak tu pemandangan sepanjang pantai hingga ke bandar Hua Hin? Nanti aku tunjuk gambar serupa tapi diambil dari atas bukit.
Geng berjemur tengah panas @ sun bathing. Tak ada punca kalau kami nak sunbathing di sini. Di KL pun dah panas.
Air laut agak meninggi, jadi kami kenalah naik ke atas tebing untuk ke wat. Korang jangan patah balik, rugi tau!
Selamat datang ke Wat Khao Takiab. Ia juga dikenali sebagai ‘Takiap’. Masuk ke sini PERCUMA.
Sejarah Wat Khao Takiab
Terletak 6 km dari bandar Hua Hin terdapatnya sebuah kampung kecil bernama Khao Takiab. Dari pantai di Hua Hin, anda dapat melihat bukit Khao Takiab dengan disajikan patung Buddha dengan ketinggian 20 meter.
Pemandangan di Khao Takiab sangat cantik dan tenang, lebih tenang dari bandar Hua Hin dengan pasir pantainya yang putih dan terdapat juga beberapa buah restoran serta hotel dan resort.
Bukit Khao Takiab juga dikenali sebagai Chopstick Hill atau Monkey Mountain. Di atasnya terdapat sebuah tokong bernama Wat Khao Lad yang dikenali sebagai kuil monyet.
Di sini juga terdapat tokong Cina. Tokongnya terdapat banyak pagoda dan patung yang dihiasi dengan pelbagai warna seperti biru, merah dan emas dan paling terkenal ialah Guanyin, iaitu Dewa Cina yang mempunyai beribu tangan.
Terpaksa tanggalkan kasut tadi risau basah lencun dek air laut.
Berehat dulu di tepian kaki bukit sambil menikmati pemandangan pesisiran pantai. Angin di sini agak kuat.
Ada pula replika rumah (tokong?) kecil. Yang hairannya, ia diletakkan dalam sangkar.
Sambil melayan kawan-kawan di FB.
Ada lagi rumah kecik…
Patung Buddha berdiri dari jarak yang lebih dekat.
Pangkin yang disediakan.
Di hadapan pangkin tu ada juga kedai menjual barangan perhiasan. Kebanyakannya untuk tujuan keagamaan.
Kalau diamati, patung tersebut seolah-olah sedang menampan atau membenteng sesuatu. (Menurut kepercayaan tempatan) boleh jadi menampan bencana alam yang datang dari arah laut atau menampan dari bala-bala besar seperti peperangan kerana di sini pernah berlaku perang antara Jepun dan Thailand suatu masa dulu dan menjalar hingga ke Prachuap Khiri Khan. Perangnya sekejap sahaja tapi mengorbankan berpuluh orang Thailand.
Aku tak pasti ianya kayu atau batu yang diukir.
Dari arah belakang kami berjalan. Kelihatan pangkin tadi.
Nah… kot-kot korang nak tengok kakinya atau bahagian bawahnya pula.
Kakinya dikelilingi dengan kelopak bunga lotus.
Setiap patung ada fungsinya. Buat penganut Buddha, mereka akan menderma di sini mengikut pada fungsi masing-masing.
Ok, kita masuk lagi ke bahagian dalam…. Dalam rumah tu tak ada apa-apa pun. Kemudian belok kanan.
Haa.. dah nampak kan. Tangga menuju ke kayangan. Tinggilah juga….
Hekk hekk menarik nafas kepenatan, hehe.
Berehat seketika di pertengahan tangga. Hmm… pemandangan di sini masih belum menyeluruh lagi.
Pemandangan ok juga tapi terbantut dek kerana tebing di bahagian kiri tu.
Sambil tu aku snap gambar di bahagian kanan. Kelihatan deretan rumah betul-betul di hadapan laut. Aku rasa mungkin ada jalan raya di belakang bukit ini. Falsafah baru aku:
“Jika takut dilambung ombak, janganlah buat rumah di tepi pantai, tapi biarlah atas sedikit dari pantai tu asalkan selamat. Hehe”
Another steps to go…
Di celahan lorong itulah yang kami lalu tadi untuk ke arah sini. Dah kata nak kembara, kan? Rembat segala penjuru selagi boleh.
Deretan rumah tadi. Seronok pula rasa. Tapi lokasi sini sangat tinggi kebarangkalian untuk dilanda tsunami jika ia berpunca dari kawasan Japan.
Ingat tu. Jangan mengada-ngada nak pakai seluar dalam, bikini, boxer. Nanti kena denda THB500 (RM60 tau). Denda macam tu dah boleh bayar untuk tambahan penginapan satu lagi malam di Hua Hin.
Selepas menaiki tangga terakhir, kami disajikan dengan deretan loceng yang besar. Terasa suasana macam di tokong Shaolin dan kung fu pula. Entah apa cara aku mengambil gambar. Ada ke patut cahaya suluh muka separuh?
Tengok apa jadi… Innalillah pada kasutku. Memang kasut murah sahaja pun, jenama Brooke. Aku dah agak akan jadi, nasib baik awal-awal dah siap bungkuskan selipar Fipper dalam daypack. Kasut ni aku masih simpan dan esoknya beli gam gajah untuk lekatkan kembali. Kuat jugalah gamnya sampai ke Laos aku sampai.
Kalau aku kaya, nak beli boot jenama Salomon, tuh dia!!
Rasanya inilah tokong utama tapi tak dibenarkan masuk bagi bukan penganut Buddha. Mula-mula tu aku saja ikut kumpulan orang yang sedang naik ke situ. Tatie dan Aqif tunggu di bawah. Dari jauh seorang sami dah kata “Bukan penganut tak boleh masuk” dalam bahasa Thai. Aku yang tak paham bahasa terus masuk ke dalam. Sekali kena sound, padan muka. Tempat orang, kan? Jadi, aku kenalah hormati dan akur dengan arahan. Apa yang aku nampak di dalam terdapatnya tapak kaki Buddha yang agak besar dengan panjang 2 meter.
Dungggg!! Memang kuat weh!
Aku agak ianya barang-barang penyembahan dan boleh dibeli dalam bentuk derma.
Tak pasti kegunaannya.
Gong gergasi pertama kami jumpa di sini. Gong kedua yang lebih besar dari ini kami jumpa di Bangkok.
Kami sampai ke bahagian dataran ni setelah menapak melalui celah-celah rumah/tokong ini.
Batang kayu yang ditanggung di bahu itu mirip dengan patung di Wat Hua Mongkol.
Satu masa dahulu terdapat Unit Kawalan Radar Thailand di sini. Mereka inilah yang mula mengesan kehadiran kapal terbang Jepun sewaktu zaman Perang Dunia ke-2 dulu.
Dataran yang aku maksudkan. Naik dengan kereta ke sini tak best. Lebih feel lagi jika menapak menaiki bukit.
Senarai nama-nama mereka yang terlibat dalam peperangan di sini samada yang terlibat (dan masih hidup) atau terkorban.
Ok, inilah dia pemandangan yang paling ‘afdal’ di sini. Hampir keseluruhan bandar Hua Hin dari selatan hingga utara berjaya diambil di sini. Aku rasa mirip gambar di pantai Miami, USA pula.
Ini pula pemandangan di belakang aku. Memang tak berapa menarik sangat.
Saujana mata memandang. Anda seorang peminat “flat earth” atau bumi rata/leper? Tengok tu… tiada lengkungan (curvature) jauh di ufuk.
Aksi burung baru nak belajar terbang sempat digayakan oleh Tatie.
Kalau rajin, boleh sahaja menapak ke bukit ke-2 di sana iaitu Chopstick Hill. Tapi aku dah penat. Lagipun tokong yang hendak dilihat pun serupa sahaja dalamnya.
Di antara dua buah bukit ni ada juga muara sungai. Nampak seperti baru ditambahbaik.
Bangunan-bangunan di kawasan sekitar yang bukan di dalam kategori tumpuan pelancong.
Bangunan-bangunan yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional.
Patung Hua Mongkol. Kami pun tumpang sekejap di dalam untuk berehat selepas seorang wanita di dalam tu selesai urusannya. Alah, korang jangan takut. Bukan ada apa pun asalkan niat baik dan sekadar untuk berehat apa salahnya. Lainlah kalau masuk tak pasal-pasal pergi sembah, kan?
Siap ada kipas dan kerusi, bolehlah berehat. Kalau kita mengembara, jangan paksa diri untuk melengkapi itinerari harian. Mana yang boleh capai, kita capai.
Turun semula ke bawah. Hati-hati jangan sampai tergolek.
Turun je ternampak pula geng-geng bulus tengah makan. Kat hujung tu pula mungkin geng bulus berkeluarga…
Di sebelah kanan aku ada pula tempat massage. Tapi kami dah run out of time.
Entahlah siapa gerangannya si patung ukiran ini.
Mengambil gambar kenangan Wat Khao Takiab sebelum bergerak pulang. Kali ni, bukit tersebut disinari dengan matahari yang mula nak terbenam.
Disebabkan kaki dan kasut Aqif sampai ke lutut penuh dengan pasir selut, aku dengan selamba masuk ke bahagian belakang restoran di sebuah resort dan meminta pinjam sedikit air paip bagi membasuh kaki Aqif. Nasib baik pekerja-pekerja di situ benarkan. Terima kasih.
Inilah resort yang aku maksudkan tadi. Cantik tau tempat ni. Kalau korang bajet besar, cuba try menginap di sini.
Video sekitar Wat Khao Takiab.
Menuju semula ke arah balai polis. Walaupun penat, tapi kaki kami gagahkan lagi untuk melawat dua lagi tempat iaitu Hua Hin Market Village dan Chatsila Night Market. Tuktuk jangan risau, memang banyak di hadapan balai polis. Tapi kena tunggu sehingga ramai penumpang barulah ia mula gerak.
Secara keseluruhannya, Wat Khao Takiab adalah yang terbaik di Hua Hin kerana menyajikan kelainan.
Jom sambung sini…. Kembara Thailand – Laos: Day 5 – Part 4 – Hua Hin Market Village.
Leave a Reply