Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #20 Bulatan Batu Bersurat, Kereta Kuda dan Istana Maziah. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Entri untuk Kota Lama Duyong ni agak special sediki. Sambil ditemani penyu yang kami beli dari Taman Tamadun Islam tadi, aku pun memandu menuju ke Kota Lama Duyong. Untuk pengetahuan korang, tempat-tempat menarik di Kuala Terengganu tidaklah jauh. Hanya dalam lingkungan kurang dari 10 km sahaja. Sebab itulah kami mudah zass ke sana dan zass ke sini dengan harapan jalan kurang sesak.
Masa yang terluang petang tu sangat mencukupi untuk melawat. Di bawah ini aku sertakan lokasi Kota Lama Duyong dengan GPS: 5.336466, 103.127310
Awal pencarian tu tersesat juga sampai ke hujung pulau. Lokasi dalam Google Maps pun kurang tepat. Aku pun main redah dan agak-agak sahaja semasa mencari.
Mula-mula tu aku ingatkan jam 6.30 petang ditutup. Rupa-rupanya ikut waktu pejabat, tutup jam 5.00 petang. Ditambah pula hari Jumaat memang langsung ditutup. Ada seorang pengawal yang berjaga di sini. Beliau menetap di bawah rumah Duyong ini.
Maklumat lawatan:
Waktu: Sabtu – Khamis (9.00 pagi – 5.00 petang), Jumaat TUTUP.
Ditutup pada Hari Raya Pertama dan Kedua sahaja.
Masuk adalah PERCUMA.
Jadi, kami berlegar hanya di bahagian luar kota ini. Rumah ini digelar “Kota Lama Duyong”. Apa yang ditulis pada batu penerangan tu?
Kota Lama Duyong terletak di Pulau Duyong kira-kira tujuh (7) kilometer dari pusat Bandar. Kota Duyong mempunyai 9 buah bumbung yang menutupi beberapa bahagian yang bersambungan dengan dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Reka bentuknya mirip Istana Kecil Raja Melayu tetapi diperkayakan lagi dengan memasukkan unsur-unsur pengaruh seni bina asing seperti Corinthian atau Mesir terutama pada tiang dan dinding batu. Bangunan (rumah) ini memperlihatkan jenis rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Bujang Berepeleh, Lima Bungkus dan Potong Belanda dengan dihias ukiran sobek di sekeliling beranda.
Bahagian depan kota ini. Kota Lama Duyung ini sebenarnya berada dalam sebuah pulau yang bernama Pulau Duyong/Duyung Kecil. Ia merupakan satu-satunya rumah yang dibina dengan gabungan batu dan kayu pada zaman dahulu. Disebabkan ianya dikeliling oleh kubu (sekarang mungkin dah tiada), maka ianya digelar ‘Kota Lama’. Projek Kota Lama ini diasas dan dibina oleh Dato’ Biji Sura Nik Muhamad Hitam (1890-1955). Beliau merupakan Ahli Majlis diRaja, Ahli Mesyuarat Negeri, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama dan Hakim Besar-besar di Mahkamah Syariah. Nama beliau dicatatkan sebagai Pengarang Perlembagaan Negeri Terengganu yang pertama (1911).
Kota Lama Duyong pada zaman kegemilangannya merupakan sebuah institusi yang tidak hanya terhad kepada perkembangan Islam, bahkan turut menjadi pusat perbincangan hal ehwal perundangan dan perdagangan negeri.
Dibina pada tahun 1919 dan siap pada tahun 1920. Hanya setahun sahaja diambil untuk pembinaan. Diperbuat dari bahan campuran seperti madu, kapur tohor, putih telur, pasir, batu dan pelbagai lagi. Tukang yang membinanya terdiri dari Melayu tempatan dan Cina dari Singapura. Pernah rosak teruk akibat banjir dari air yang deras pada tahun 1986 dan dibina semula (diperbaiki) mengikut rekabentuk asal tanpa sebarang pindaan pada tahun 1996 dan siap 3 tahun kemudiannya.
Bahagian tepi, kelihatan pak guard sedang merehatkan diri.
Pak guard dari dekat. Aku rasa, beliau menetap dan tidur di bawah ini.
Malangnya nasib kami. Hanya mampu berdiri di luar sahaja. Bagi aku, duduk di luar pun dah mencukupi sebab yang perlu dihayati ialah hasil senibinanya.
EDIT: Selepas melihat beberapa gambar dalaman dari blog-blog lain, memang terasa rugi sangat tak dapat masuk ke bahagian dalam.
Ukiran kayu pada pagar bahagian bawah.
Ukiran pada tiang batu mirip ala-ala Mesir.
Tangga menuju ke atas. Aku kurang pasti bagaimana memasuki rumah ini, adakah perlu naik ke tangga itu atau masuk ikut pintu bawah sahaja?
Ukiran dan senibina bumbungnya.
Cantik pula ukiran pagar di bahagian atas. Matahari pula makin menuju ketenggelaman (bahasa apa daaaa).
Aku letak gambar ukiran banyak-banyak ni korang layan ke???? Hahahahaha.
Ini pun ala-ala Mesir. Aku rasalah, mesti ada ukiran lagi di bahagian pucuk atasnya. Mungkin dah dipatahkan oleh manusia durjana.
Dari bahagian kanan rumah. Bila dibandingkan dengan rumah-rumah lain, ia tidaklah besar sangat.
Aku pun menapak ke bahangian belakang. Di sini, ia nampak begitu padat dalam cara penyusunan kayu-kayunya. Kemudian kelihatan seolah-olah dilonggarkan di bahagian tertentu. Mungkin untuk memudahkan angin masuk dan menyediakan ‘natural cooling ventilation’ bagi ruang dalaman.
Terdapat sebuah lagi tangga di bahagian belakang. Jadi, tahulah aku yang rumah ini sebenarnya dibina tinggi bagi mengelak banjir. Bezanya dengan rumah Melayu yang lain, di bahagian bawah sengaja ditutup dengan lapisan-lapisan kayu. Mungkin ruangan bawah terdapat lagi bilik bukan jenis penginapan atau dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan. Dari segi keselamatan, menutup ruangan bawah juga penting kerana ramai perompak atau pencuri kerap memasuki rumah dari bahagian bawah.
Senibina di sini banyak menggunakan ala ‘tanggam’ iaitu kaedah ‘selak dan sangkut’ kayu tanpa paku.
Tangga yang ke-3 di bahagian belakang.
Gabungan tiang batu dan kayu. Walaupun tak dapat masuk, tapi nasib baiklah boleh pusing keliling rumah ini tanpa sebarang pagar. Oh ya, aku dapati yang bahagian tepi dan belakang tiada pagar seperti mana di bahagian hadapan.
Memandangkan nilai sejarah dan sumbangan Kota Lama Duyong ini begitu besar, memang eloklah ianya dipelihara sehingga kini.
Selesai sudah di Kota Lama Duyong, aku meneliti Google Maps manalah tahu kalau ada lagi tempat-tempat menarik di sekitar pulau ini. Haa… dah dapat. Nak tahu apa dia? Jom ikut kami menuju ke sana menerusi bawah jambatan dalam gambar di atas.
Haa.. ambik kau!! Pemandangan ‘the other side of Masjid Kristal’. Wahhhh.. macam mana kami sampai ke sini? Haha, aku takkan rahsiakan. Sekejap lagi aku bagi lokasi GPSnya.
Zoom lebih dekat nampaklah ‘seketul’ Masjid Kristal.
Kemudian nampak pula Taman Tamadun Islam yang kami singgah tadi.
Taman Tamadun Islam (TTI). Sebenarnya kawasan tanah TTI ni ialah Pulau Wan Man yang mana sebahagian dari tanahnya ditambak di atas pulau yang asal.
Kami berada di atas sebuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk berlabuh.
Ini yang paling aku suka… “Allah Peliharalah Terengganu” ….. amin!!
Di tepi jeti. Aku tak pasti apa kegunaannya. Adakah sangkar bela ikan atau tempat lambakan atau jemuran hasil tangkapan? Tolong bagi pencerahan please….
Cantiknya pemandangan bila matahari mula nak terbenam ditambah pula dengan refleksi cahaya di atas air. Aliran air ini menuju ke hulu sungai iaitu masuk ke dalam dan bukan menghala ke laut. Tahu tak hulunya ke mana? Melalui Kuala Berang dan seterusnya ke Tasik Kenyir! Maknanya, jika berlaku limpahan air yang banyak di Tasik Kenyir, kawasan ini perlu berjaga-jaga.
Di belakang aku itulah jambatan panjang (Jambatan Sultan Mahmud) yang menghubungkan tanah besar dan pulau Duyong ini. Nampak bukit tu? Di kawasan belakang itulah pusat bandar Kuala Terengganu. Aliran air dari laut pula datang dari arah belakangku.
Habis di sini, kami pun bergerak pulang. Aku parking di tepi rumah orang. Ikutkan ruang jalan tak cukup, tapi kami bernasib baik kerana memandu kereta yang kecil. Kalau korang datang, mohon prihatin cara parking, nanti dimaki orang kampung pula. Tempat orang kan…. bukan tempat kita.
Aku kongsikan lokasi GPS jeti ini: 5.325967, 103.120569
Dari arah Kota Lama Duyong memang tak jauh dan tak susah untuk mencari. Cuma lorong kampungnya agak berpintal.
Selepas ini apa pula? Kalau baca perjalanan kami dari pagi mungkin korang akan rasa betapa letihnya badan, haha! Oklah masa untuk berehat. Dari maghrib hingga malam kami tak ke mana. Makan malam pun di restoran yang bersebelahan dengan Batu Burok Beach Resort. Bersambung ke entri seterusnya…….. Carpacker 2015 – Pantai Timur – #22 Menunggu Matahari Terbit dan Keropok Kak Yah.
Leave a Reply