For English, click here.
Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 2 – Part 2 – Sekolah Rendah Thailand dan Pasar Basah. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Lokasi: Hat Yai, Thailand
Bila difikirkan semula, sedap juga kalau tukar nama “Kembara Thailand” menjadi “Trans Thailand”. Puncanya sebab tadi aku review semula peta perjalanan dan nampak macam cross seluruh Thailand dari penghujung selatan sampai penghujung utara. Memang gila jauh lah kalau diteliti dengan jarak sehala sejauh 2,082km (anggaran). Cewahhh…. lumrah bagi pengembara, bab nak umumkan berapa jauh kilometer dia sampai tu memang sesuatu yang nak tunjuk gempak… hehe.
Ya Allah, dah berapa entri blog aku tulis, masih lagi dekat Hat Yai? Hadaplah korang…. perangai aku kalau boleh nak simbah sebanyak yang mungkin info dan travelog perjalanan. Blog ni wujud pun sebab dua tujuan, first sebab nak sumbangkan pada komuniti tentang maklumat pengembaraan dan second sebab nak jadikan sebagai arkib bacaan buat famili aku bila dorang dah besar nanti. Harap-haraplah Blogspot masih wujud untuk tempoh 20-25 tahun lagi.
Betul ke kami ni backpackers? Kata orang kalau nak dapat lesen backpacker kena backpacking ke Krabi (Thailand) dulu. Untuk lesen backpacker dunia pula, harus backpacking ke India. Tapi, kami dah terjah sampai ke Vientiane macam mana tu? Perlu ke Krabi juga ke? Hihihi.. Aku tak kisah sangat lesen-lesen ni macam setengah orang. Dulu pun aku dah backpack sorang-orang ke UK tahun 2009 lagi mau kisah lesen. Kami backpacking dalam erti kata yang sebenar; menggalas bag, menyediakan itinerari sendiri, duduk rumah orang tempatan, tanpa wak supir dan travel tanpa travel agency. Tapi jangan risau, bab ni aku no hal. Tak kisah lah travel macam mana sekalipun cara asalkan benar-benar ada penghayatan. Esok-esok dah tua, aku pun bakal bawa beg tarik (troli) dan upah wak supir.
Kim Yong Market
Dari lorong keluar pasar basah tu, kami saja melintas jalan sebab nak bergambar di tengah-tengah. Suka nak tengok suasana kawasan di sini. Jalan ni besar dan diberi nama Phet Kasem Road. Balik dari kembara, aku pelik juga sebab di Prachuap Khiri Khan, Samut Sakhon (Maeklong Railway Market) dan Nakhon Pathom dan beberapa negeri lagi di Thailand ada banyak jalan guna nama Phet Kasem. Rupa-rupanya, Phet Kasem Road ni ialah nama Highway di Thailand seperti mana “Highway PLUS” di Malaysia. Mereka menggunakan nama biasa dan nama “Road” berbanding “Highway”. Tahukah korang, semua highway di Thailand adalah percuma tanpa sebarang tol? Menarik, kan? Agak-agak di Malaysia boleh dilaksanakan tak? Tolong simbah air sebaldi kat muka aku…. rupanya aku bermimpi di siang hari..
Ok balik semula pasal Phet Kasem ni. Namanya diambil dari nama Ketua Pengarah ke-7 Jabatan Lebuhraya, iaitu Luang Phet Kasemwithisawasdi. Ia juga dikenali sebagai “Thailand Route 4” dan merupakan highway terpanjang di Thailand iaitu 1,274km. Hujungnya yang terakhir juga mencecah Highway Utara Selatan (PLUS), sempadan Sadao (Thailand) dan sempadan Bukit Kayu Hitam di Malaysia. Ia merentasi daerah atau negeri seperti Samut Sakhon, Nakhon Pathom, Ratchaburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Ranong, Phangnga, Krabi, Trang, Phatthalung dan Songkhla, Selain lebuhraya seperti Phet Kasem, ada lagi tiga iaitu Phahonyothin Road (Route 1), Mittraphap Road (Route 2) dan Sukhumvit Road (Route 3).
Eh aku pun nak bergambar juga. Kesian Aqif. Setiap kali kami berdua bergambar, terpaksa dia bergambar dua kali. First dengan Tatie, kedua dengan aku. Nak bergambar bertiga jangan harap lah sebab aku taknak pass kamera pada orang lain yang tak kenal untuk tolong ambilkan. Kalau selfie bertiga oklah, itupun jarak terlalu dekat dengan muka dan pemandangan belakang hanya nampak 30% je.
Aku bagi tips pada korang yang nak minta tolong orang lain ambilkan gambar. Cari orang tua-tua, keluarga yang ada lebih dari dua orang anak, cikgu sekolah yang bawa rombongan murid sekolah, keluarga yang tiada anak tapi terdiri dari gabungan orang yang benar-benar tua dan dewasa dan lain yang dirasakan logik. Mereka-mereka ni susah nak bawa lari kamera korang. Takkanlah dorang nak tinggalkan orang tua-tua yang dibawa atau anak-anak kan?
Kemudian kami lintas semula ke tempat asal tadi sebab bila aku tengok GPS, arah untuk ke Kim Yong Market perlu kembali semula ke situ. Mula-mula tu, ada lah tuktuk ni yang berhenti tapi harga melambung. Kami tak naik. Alah…. tak jauh dalam 1km je pun. Tiba-tiba ada satu tuktuk ni pemandunya orang tua dan baik orangnya. Tambang untuk seorang THB10 je dan budak-budak dikecualikan. Murahnya THB20 je weh. Teruslah naik tak tunggu-tunggu lagi. Lintas je jambatan terus aku snap gambar landasan keretapi yang merupakan stesen pertukaran dan perhentian terpenting di selatan Thailand.
Lokasi Kim Yong Market menurut Google Maps. Atau salin koordinat GPS “7.008187, 100.469378”.
Tuktuk kami berhenti di sini dan terpaksa melintas jalan.
Kim Yong Market terletak di bawah bumbung canvas yang panjang tu. Elok juga jika dilaksanakan teknik bumbung canvas yang serupa di Malaysia. Orang tempatan pun boleh berniaga dan negara pun ada hasil pelancongan. Tak silapnya market ni boleh masuk lagi ke dalam, tapi kami tak sempat nak teroka semua.
Fefeeling ala-ala musafir di bumi bukan Islam. Alah… macam lah tengah kembara di Argentina atau Mexico. Padahal dekat je dengan sempadan Malaysia.
Lintas jalan lagi…… lepak sat di tengah-tengah jalan.
Aku nak cerita pasal jenis tuktuk di Hat Yai. Ye Hat Yai je dan bukan keseluruhan Thailand sebab setiap negeri/daerah berbeza bentuk dan kegunaan. Kalau nak murah, ambil tuktuk jenis besar macam gambar di atas. Sehala THB10 je untuk seorang. Tak pasti sehala tu jaraknya berapa jauh. Di sana juga ada sebuah lagi tuktuk yang saiznya kecil sedikit. Jenis ni pula mahal dan selalunya dikhususkan untuk tujuan pelancongan dan “sight-seeing”.
Cara nak bayar tambang? Korang tahu kan ni first time aku sampai Thailand? Tatie dan Aqif pun serupa. So, mula-mula tu aku keliru juga samada perlu bayar dulu ke atau macam mana. Lepas tahan tuktuk, tanya pemandu arah yang nak dituju. Jika dalam haluan, terus naik ke belakang dan bersesak jika ramai orang. Agak-agak kalau dah hampir sampai, bunyikan loceng (ada setengah tuktuk ada fungsi ni) atau ketuk je tingkap bahagian belakang pemandu. Dah turun, pergi sebelah pemandu dan bayar. Semasa dalam tuktuk, boleh je nak pakai monopod tapi pastikan jangan dok bersandar atas kerusi sampai terkeluar lengan. Buatnya tuktuk tersadong tiang ke apa, hilang tangan weh!!
Hero Hindustan jalan depan dulu…
Misi paling utama di sini ialah mencari kedai jual sunglasses tipu. Yelah tipu sebab jenama tiruan. Tak ada apa aku nak segan pun bercerita dengan korang. Entah-entah korang pun sama pakai tiruan kan kan? Tengah berjalan tu aku terjumpalah kedai peniaga Muslim ni. Tak cari lain dah sebab nak sokong peniaga Muslim.
Tuh dia bermacam-macam design ada. Harga not bad, dari THB100 ke THB150. Kualiti jangan tanya. Kalau setakat nak berpoya-poya di Thailand boleh lagi. Cuma sunglasses yang aku beli di sini dah terpatah pula beberapa hari sudah. Buat korang yang particular tentang penjagaan mata, elakkan dari membeli sunglassses tiruan.
Seterusnya kami pun menapak lagi dalam market untuk membeli jajan, buah dan makanan ringan. Dah kata nak naik train 12 jam kan. Aku cukup risau kalau kena serang gastrik lagi. Sekali dah kena, longlai, lesu, lemah…. takkan lah Tatie nak kena angkat backpack aku pula kan? Ok layan gambar-gambar di bawah …. suasana peniaga di Kim Yong Market…
Eh tu papan apa tu? Loteri macam Sport Toto dan Magnum 4D daaaa…..
Kat sini kami beli buah kurma….. macam-macam jenis kurma ada di sini. Harga sangat murah tapi dah lupa pula berapa.
Jajan-jajan yang tergantung. Setiap negara yang aku pergi mesti akan tengok papan kedai di atas kerana ia melambangkan “kedai local”….. Feel local atau tempatan yang sebenar atau senang cerita “tengok papan tu bukan tulisan kedai di Malaysia… aku kat luar negara weh!!!” Hehehe… Perasaan tu mungkin tak wujud di Thailand atau di Indonesia untuk korang. Cuba try feel di negara lain seperti America Latin, India atau Morocco?
Tatie pula beli jeruk buah di sini.
Bergambar kenangan dengan Kim Yong Market sebelum bergerak balik ke hotel.
Buah berangan tapi tak beli pun…
Buah-buahan yang dijual peniaga Muslim. Rasanya kami ada membeli buah di sini. Sebab hari-hari termakan semut, aku pun lupa buah apa yang dibeli.
Dari Kim Yong Market, kami menapak je balik ke Park Hotel. Alah tak jauh pun dalam 500 meter. Tanpa backpack berat boleh lah kan? Sambil tu kami berhenti sekejap di papan tanda ni. Menarik juga sebab ada peta keseluruhan Hat Yai. Apa yang Aqif tunjuk tu??
***
Park Hotel
Waktu pun dah hampir jam 12 tengahari dan perlu check out. Agak bergegas juga kami berkemas sebab reception kata maksima jam 1 tengahari je. Aku sajikan korang keadaan dalam bilik selepas kami berkemas sikit-sikit untuk tujuan bergambar. Asalnya twin single bed digabungkan menjadi deluxe bed, teknik biasa yang digunakan oleh parent.
TV, dua buah kerusi dan meja yang disediakan. Thermos dan cawan pun ada. Cuma pemanas air je kena minta pinjam di bawah. Kami tak pinjam sebab di bawah ada tempat masak air panas yang percuma je untuk tetamu. So, bawa lah thermos tu turun ke bawah.
Tandasnya boleh tahan, air laju dan heater pun berfungsi…. kalau nak hampar baju di lantai untuk memberus pun taklah rasa geli sangat. Apa benda kat lantai tu? Oh.. itu jubin pecah sedikitlah. Jangan cakap “eeeeeeeeeeeeee” pula.
Pintu keluar dan almari solek dan pakaian yang disediakan.
Bilik kami agak ke hujung. Jadi aku pun snap lah gambar bahagian belakang hotel ni. Haha, apa pun tak nampak!
Tingkap sebelah kanan kiri itulah bilik kami. Rasanya boleh je nak sidai baju di sini kalau berhajat nak menginap lama.
Turun je bawah, aku cakap kat Tatie, “kita delay kan masa”. Maksudnya, kami nak buangkan masa sebab lambat lagi nak tunggu train berlepas ke Prachuap Khiri Khan petang nanti. Dan di lobi hotel ni lah kami melepak dalam setengah jam sambil WiFi di situ dan update apa-apa yang patut. Line internet di sini percuma dan memang superb.
Hang dok buat apa tu Aqif??
Selpiaq (slang orang utara untuk selfie), tapi aku blurkan muka sebab nak highlight bahagian reception. Memang ini masalah kamera SLR, fokusnya hanya pada jarak tertentu. Kat hujung tu memanglah ada tokong. Janganlah korang takut atau fikir bukan-bukan contohnya nanti terkena sampuk ke badi ke apa. Memang standard di Thailand, tokongnya besar-besar. Fikir positif je ok? Jangan lupa amalkan sekian-sekian surah yang berguna sewaktu bermusafir. Google aje..
Aku pun buat-buatlah berjalan ke kaunter sebab nak ambil air panas di situ. Kami ada bawa sekali Thermos jenis kecil untuk kegunaan buat susu anak. Sambil ambil air, aku tertarik pula dengan gambar-gambar yang digantung di sini. Ini menunjukkan yang rakyat Thailand begitu menyanjung tinggi mendiang Raja mereka.
Gambar mendiang Raja sewaktu beliau melawat ke Hat Yai.
Gambar banjir besar di Hat Yai tahun 1988.
Gambar lama bandar Hat Yai pada tahun 1924 dan 1934. Nampak perbezaannya selepas 10 tahun?
So, secara keseluruhannya aku boleh bagi rating 7.5/10 untuk Park Hotel bagi kategori hotel bajet. Memang ok sangatlah untuk harga THB350 per malam, siap ada aircond, Wifi percuma, lif, pantri untuk air panas, katil yang selesa, TV, tandas yang bersih, tidak bising dan tiada hantu mahupun jembalang di malam hari.
Selepas ni entri yang last untuk Hat Yai sebab kami akan masuk ke bandar ke-2 iaitu Prachuap Khiri Khan. So, teruskan membaca entri terakhir di Kembara Thailand – Laos: Day 2 – Part 4 – Restoran Salma dan Perjalanan ke Prachuap Khiri Khan.
Leave a Reply