For English, click here.
Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 1 – Part 2 – Perjalanan ke Hat Yai, Sekitar Bandar Hat Yai dan Lee Garden Plaza. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Tarikh Kembara: 29 Disember 2016
Hari ke: 2
Lokasi: Hat Yai, Thailand
Pagi tu selepas Subuh, kami semua pakat bangun. Malam tu memang tidur tak ingat apa. Sedar-sedar dah pagi. Nasib baiklah tak ada sebarang gangguan dari jembalang Hat Yai. Memang hotel pun nampak agak lama. Selesai bersiap, kami turun ke bawah. Jam baru 7.06am dan cuaca pun baik. Kelihatan lengang juga bandar Hat Yai ni. Masa di luar hotel, aku terfikir macam manalah ye kalau di masa depan kami datang semula ke Hat Yai dengan berkereta? Agaknya di mana perlu aku parking? Kang tak pasal-pasal kena tow, satu cerita pula.
Di luar hotel ni pun seolah-olah langsung tak ada kenderaan parking di tepi-tepi jalan seperti di Malaysia. Mungkin terpaksa ambil hotel lain yang ada kawasan parking yang sesuai. Maklumlah tempat orang, mana boleh main hentam saja letak kereta sana sini. Next visit, aku plan nak menginap resort area Songkhla berdekatan dengan Samila Beach.
Inilah pintu masuk Park Hotel. Sekadar rumah kedai je tapi ada 5 tingkat semuanya.
Pagi tu kami berjalan ke Hat Yai Railway Station bagi menunaikan hajat semalam. Sambil berjalan tu, mahu tak mahu dalam hati aku berkata, “kena dapatkan juga tiket tren hari ni”. Jarak hotel dengan stesen lebih kurang 300 meter. Tak berbaloi kalau terpaksa stay tambahan lagi sehari di Hat Yai, melainkan kalau nak layan kaw-kaw attraction seperti menunggang gajah, ronda-ronda Songkhla dan lain-lain.
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Sampai je di hadapan stesen, kami bergambar dengan keretapi mini ini. Comel pula walaupun sekadar replika.
Sebelum nak melangkah ke kawasan dalam stesen, kami diarahkan untuk scan terlebih dahulu beg galas (day pack) sambil dikawal oleh polis dan askar. Prosedur standard di sini. Tapi, di stesen lain tidak pula perlu scan barangan. Hmmm… kaunter pun tak buka lagi. Kami pun macam biasa beratur di sini. Mula-mula Tatie yang tolong beraturkan. Kaunter tak buka lagi sebab belum jam 8.00am.
Sambil tu aku pun merayaplah tengok apa yang ada di sini. Kelihatan tren agak buruk, aku fikir “inilah kot yang third class tu”. Macam horror je…. the next “Train to Busan”? Tapi kalau inilah tren yang kena naik ke Prachuap Khiri Khan, aku tak kisah pun, horror pun horror lah. Buat korang yang datang dari arah stesen keretapi Padang Besar, di sinilah tren shuttle akan berhenti.
Di tepi tu ada tembok. Sambil tu aku snap gambar nasi dan ayam-ayam goreng yang diletakkan di situ oleh penjaja. Mungkin mereka menunggu tren lain sampai dan masuk ke dalam untuk menjual. Sedap pula tengok tambahan pula belum sarapan. Apakan daya tak halal. Di sini tak ada pula kucing merayap macam kat Malaysia. Kalau tidak, dah lama ayam makcik ni kena kebas.
Aqif apa lagi, dah mula tertarik dengan replika tren lama. Budak-budak macam biasa, asal nampak tren je disebut “Thomas”. Gelaran bagi rancangan kartun “Thomas & Friends”.
Sambil tunggu aku rasa macam tak kena je dengan kaunter yang Tatie tengah beratur tu sebab terdapat sebuah kaunter di bahagian kanannya yang dibuka dan kurang orang. Aku pun tanyalah pengawal di situ katanya kaunter sebelah kanan tu untuk penumpang yang nak buat “advanced booking” atau membeli apa-apa tiket selain dari kelas ke-3. Manakala yang Tatie tengah beratur tu ialah barisan khas untuk rakyat Thailand bagi mendapatkan tiket tren kelas ketiga. Kenapa aku sebut ‘mendapatkan’? Sebab kerajaan mereka bermurah hati memberi tiket percuma kepada setiap warganya dengan syarat menaiki tren kelas ketiga walaupun jauh 1,000km sehingga ke Chiangmai sekalipun! Hebat, kan? Psst… kalau di Malaysia pula macam mana? (jawapannya aku tau, tapi malas nak bincang mesti bercampuraduk dengan politik, hehe).
Jadi, aku dan Tatie terus ke kaunter di sebelah kanan untuk menempah tiket tren ke Prachuap Khiri Khan dengan harga THB835/person bagi katil lower berth. Kanak-kanak tak perlu sebab boleh share katil dengan ibubapa. Kami dapat side-by-side pula tu, dua-dua lower berth. Nasib baiklah ada tiket untuk hari tu, so tarik nafas lega…. fuhhh… selamat…!
Cerita pasal katil lower berth: Mungkin ada antara korang akan travel macam kami suami isteri kan? Mungkin ada yang akan tanya, “kalau dua-dua lower berth, bukan ke nanti si isteri atau si suami akan duduk bertentang dengan orang lain, kan? Jeles lah macam ni! Kena pula orang tu entah apa-apa perangai, susah jadinya, terkenyit-kenyit mata kat bini atau suami masing-masing… perang dunia ke-3 kat situ nanti.”. Ok begini…. teknik ni berkesan bagi yang menaiki tren dengan jadual menghampiri 7.00pm. Kenapa 7.00pm? Kerana jam 7.00pm, kerusi akan mula ditukar menjadi katil dan orang yang duduk bertentang tu akan naik ke katil tingkat atas. Jadi, tak perlulah duduk bertentang dan berkenyit mata lagi sampailah tiba ke destinasi. Teknik ni takkan berkesan jika menaiki katil lower berth bermula contohnya jam 12.00pm. Nanti akan bertentang mata dengan penumpang katil tingkat atas sehingga jam 7.00pm pula (sindrom kau tengok aku, aku tengok kau berjam-jam).
***
Cadangnya nak menapak ke arah hotel semula dan mendapatkan tuktuk di sana untuk ke Municipal Park. On the way menapak, kami terjumpa pula dengan Restoran Maliam yang halal. Apa lagi, dengan sarapan pun belum lagi, terus kami masuk. Lokasi pun tak jauh sangat dari stesen tadi.
Aku ada terbaca review yang mengatakan makanan halal di Hat Yai ni kena tengok jenis restoran, ada yang mahal. Jadi, aku cakap pada Tatie, “kita order sikit dulu sekadar nak buat alas perut je”. Lagipun pagi-pagi ni kami jarang makan banyak.
So, kami order dua pinggan nasi putih, sepinggan nasi putih ‘separuh pinggan’ dan ikan goreng dua, simple kan? Air pula kami minum dari botol air mineral yang dibeli semalam. Berapa harga makanan ‘simple’ ni kalau korang nak tahu? THB190, lebih kurang RM20 lebih. Mahal tak? Nasib baiklah order sikit je sedangkan tomyam semalam yang sedap sampai nak terangkat pun baru THB115.
Di sini lokasinya in case kalau uols terpaksa bedal juga di sini. Dari kejauhan dah nampak Hat Yai Railway Station yang boleh dijadikan sebagai landmark pencarian.
Susah juga cari? Tak apa, aku bagi lokasi GPS iaitu “7.004255, 100.470250”. Habis makan, kami pun meronda bertanyakan harga tuktuk untuk ke Municipal Park yang hanyalah berjarak 8km. Pemandu pertama tawarkan kami THB600 pergi balik dan menunggu di sana. Kami teruskan berjalan. Tiba-tiba ada pula seorang tuktuk ni katanya boleh bawa siap salam dan sebut “Assalamualaikum”, katanya dia pun Muslim. Dia boleh tolong hantarkan pada kawan dia yang juga Muslim dengan menaiki teksi sebab tuktuk agak jauh untuk ke sana. Aku pun oklah kan dah kata sesama Islam. Dengan tuktuk dia kami naik sampai ke tempat kawan dia. Lepas dah bincang dengan kawan yang so called se-Muslim, harga THB700. Terus aku lompat keluar dari tuktuk dia dan minta Tatie dan Aqif pun turun sama. Malas aku macam ni konon-konon sesama Islam tapi caj harga lagi mahal dari pemandu pertama tadi. Dengan kos THB700 tu, boleh biayai lagi dua malam penginapan di hotel bajet (kami dapat hotel bajet private room di Bangkok dengan harga THB300/malam).
Sebenarnya, aku plan begini. Dapatkan transport sehala ke Hat Yai Municipal Park, tuktuk/teksi tak perlu menunggu kami. Dan balik tu pandai-pandailah kami cari transport lain untuk kembali semula ke hotel. Konsep begini lebih murah dan bukan berbentuk ‘tour’. Hat Yai ni bukanlah terletak di tengah padang pasir macam susah sangat nak cari kemudahan. Oh ya, Samila Beach pun kami cancel sebab agak jauh (perjalanan selama sejam) dan risau tak cukup masa.
Last-last aku cakap dengan Tatie, cancel sajalah ke Municipal Park sebab nak berjimat selagi boleh. Aku pun buka GPS nak cari lagi lokasi top di sini. Ok! Dapat dah… ke Wat Hat Yai kami tuju. Tuktuk cuma THB60 je untuk satu famili untuk perjalanan sejauh 4km.
***
Perjalanan ke Wat Hat Yai akan melalui jambatan sederhana panjang bertujuan untuk cross landasan keretapi yang terdapat di sini. Kemudian tuktuk akan U-turn semula dan masuk ke sebuah simpang. Aku sertakan GPS koordinat iaitu “7.003287, 100.453766”.
Inilah Wat Hat Yai. Tuh dia, punyalah besar. Ada maklumat mengatakan ini adalah “reclining Buddha” (patung Buddha berbaring) yang ke-3 terbesar di dunia dengan saiz panjang 35 meter, 15 meter tinggi dan 10 meter lebar. “Wat” ni bermaksud kuil atau tokong. Nama penuh wat ini ialah “Wat Hat Yai Nai”, aku ringkaskan jadi “Wat Hat Yai” je kerana itu nama popularnya yang selalu jadi sebutan.
Kelihatan beberapa orang pengunjung beragama Buddha sedang bersembahyang. Sebagai penghormatan, kami menunggu sehingga mereka selesai barulah kami masuk. Masuk ke dalamnya adalah percuma. Di Wat ni, terdapat banyak anjing berkeliaran. Aku nasihatkan, jangan buka kasut atau jangan masuk ke bahagian dalam. Cukup sekadar bergambar di luar je. Sebabnya, dalam kawasan Wat ni banyak tahi anjing kering bersepah sana sini. Kami pun kena samak semula lepas tu sebab tak tahu pasal ni pada mulanya. Berbanding wat-wat lain di sekitar Thailand, dalamnya boleh dikatakan bersih dan bebas dari anjing, kecuali di sini je. Nasib baiklah di sini ada tandas percuma dan kami guna tanah rumput untuk samak kerana ketiadaan tanah liat.
Kemudian kami menapak ke bahagian belakang berdekatan dengan hujung kaki patung tersebut sambil duduk dan beristirehat seketika. Disebabkan kubahkan berbentuk ala-ala bumbung rumah kampung, jadi dalamnya agak sejuk ditambah dengan angin sepoi-sepoi.
Tuh dia kaki patung ni…. besarnya..!! Sebenarnya, menurut kepercayaan penganut Buddha, Buddha ni berada dalam kondisi tidur dan bermimpi. Jadi, kita semua termasuk penganut-penganutnya, pendek kata seluruh isi alam ini kononnya terhasil, tercipta dan terkandung dalam mimpi yang sedang dialami sang Buddha. Dan, kata penganutnya, “bermainlah di pentas ni selagi Buddha masih bermimpi kerana lepas dia tersedar, mimpinya akan musnah dan kita semua akan tiada”.
Itu kepercayaan mereka, biarkan……
Kemudian kami ke bahagian hadapan semula untuk mengambil kasut. Tapi kasut kami tak pakai, sebaliknya dipegang dan berkaki ayam menapak ke tandas untuk membasuh kaki. Nanti kalau sarung kasut, dengan kasut-kasut pula nak kena samak, kan.
Ini pula adalah posisi tepi wat yang diambil dari lokasi tandas. Masuk dalam tandas masing-masing terkejut sebab ada daun kering besar bentuk seolah-olah macam bangkai biawak mati. Hahahaha! Mulalah dalam kepala risau kot-kot ada ular sawa ke apa.
Di sebelah tandas, terdapatnya sebuah monastry iaitu mirip seperti sekolah pondok yang mana ramai ustaz-ustaz berhimpun, bermuzakarah dan berbincang tapi di sini ramai sami-sami. Ada pula sami yang baru sampai turun dari kereta. Muka agak serius dan kurang senyum. Mungkin kerana pelik sebab tak ramai orang Islam bertandang ke sini agaknya. Atau mungkin di Hat Yai ni, sentimen keagamaan agak tinggi, maklum sajalah banyak peristiwa antara agama berlaku di selatan Thai yang agak dekat. Maaf, saya kalau boleh tak mahu bercerita tentang hal ini. Kita fikir yang baik-baik saja, ok geng?
Di sebelah monastery terdapat pula sebuah bangunan khas menempatkan patung buddha atau mungkin patung sami lama mereka yang dah lama mati. Kami tak masuk ke dalam, sekadar menjenguk dari luar.
Dari bangunan khas tadi, kami dapat ambil gambar penuh rumah besar yang menempatkan patung “reclining Buddha”. Nampak tak betapa besar dan gah rumah tersebut? Memang rugi besar kalau tak bertandang ke sini.
Di tepinya ada ditempatkan sebuah patung Buddha, bezanya dengan yang lain ialah adanya 4 wajah dalam satu kepala. Tak pasti samada patung Buddha, dewa atau patung sami lama mereka yang dah lama mati.
Bergambar last di sini sebelum ke arah lain.
Patung ni sebenarnya seorang sami hebat di Hua Hin yang bernama Hua Mongkol. Nanti kami akan masukkan entri tentang Wat Hua Mongkol. Kami tak pasti kenapa beliau sangat terkenal di sekitar selatan Thailand. Mungkin sewaktu hidup beliau merupakan seorang tokoh pemerintah atau mungkin terkenal ala-ala seperti Wali Songo di Indonesia?
Kami kembali semula ke bahagian hadapan Wat Hat Hai. Di sini ada disediakan tabung derma. Buat penganut Buddha, bolehlah menderma di sini. Boleh pilih nak derma pada mana-mana patung secara khusus. Contohnya, kalau nak derma pada patung yang sedang berbaring tu, boleh masukkan dalam tabung patung kecil yang tengah berbaring.
Di sebelah tabung derma terdapatnya sebuah patung yang aku rasa mirip ala-ala filem cina zaman dulu-dulu. Ye lah, macam sami dalam filem kungfu, shaolin dan sebagainya. Tak pasti siapa tokohnya.
Tuh dia, kepala gajah yang diperbuat dari kayu. Nampak real kan? Tapi agak menakutkan juga sebab nampak macam ‘hidup’. Orang Thailand sangat memuja dan memuji haiwan gajah. Jadi, di sana ada tiga perkara jangan dibuat iaitu mengeji. mengutuk atau bercakap secara terang-terangan iaitu Raja mereka, gajah dan agama Buddha. Mungkin ada lagi perkara sensitif yang aku masih tak tahu dan korang kenalah buat homework lagi. Hukumannya ialah penjara dan ramai pelancong asing yang dipenjarakan. Tempat orang, kita buat cara tempat orang…
***
Disebabkan kami bukan pakej tour, jadi kenalah tahan tuktuk di jalan besar. So, kami menapak keluar dari Wat Hat Yai. Tak jauh pun dalam 200-300 meter. Sempat juga berposing dan bergambar di pintu masuk Wat Hat Yai. Di sini, first time merasa anjing berkeliaran di sekeliling. Nasib baik anjing-anjing di sekitar Thailand bukan jenis melatah…
Sepatutnya aku nak sekalikan entri ni dengan lawatan kami ke Sekolah Rendah Thailand dan Pasar Basah. Tapi disebabkan entri ni pun dah panjang berjela, nampak gayanya kena story dalam entri yang berasingan.
Kita bersambung di entri…. Kembara Thailand – Laos: Day 2 – Part 2 – Sekolah Rendah Thailand dan Pasar Basah.
Leave a Reply