Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #1 Pra Kembara.
Kami memulakan perjalanan jam 6.30 pagi. Oleh kerana masing-masing belum sarapan dan aku pula tengah bajet masa, mahu tak mahu kami terpaksa bersarapan di McD yang terletak dalam stesen minyak di Lebuhraya MRR2 berhampiran dengan Taman Melati, Hulu Kelang. Ok gak, aku pun dah lama mengidam nak makan set menu breakfast McD. Selesai makan, kami meneruskan perjalanan dengan muka ceria dan seronok sangat-sangat apatah lagi anak kami. Cuaca pun kelihatan baik, redup dan mendung.
Aku ada sebut dalam entri sebelumnya tak nak rushing-rushing kan? Tapi apsal aku bajet masa? Teruskan membaca, nanti akan tahu ke mana dan berapa jam kami habiskan masa atas jalanraya.
Destinasi pertama adalah Temerloh. Dalam perjalanan, aku cakap kat Tatie, “Jom kita buat kerja gila dan rare skit?” Tatie pun mengikut jer. Kerja gila tu ialah menziarah pusara dan makam pahlawan-pahlawan dan pejuang Melayu dulu-dulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan sebagainya. Jadi, sekurang-kurangnya adalah purpose untuk melawat bandar-bandar dan pekan kecil di sekitar Pahang.
Untuk ke Temerloh, anggaran masa adalah 1 jam 30 minit jika bermula dari Taman Melati. Sambil tu, kami berhenti rehat di stesen Petronas yang sudah menghampiri ke penghujung Lebuhraya Karak.
Berhenti di sini seketika membeli makanan ringan. Aku rasalah, ini merupakan stesen Petronas terbesar di Malaysia. Sambil isteri ke tandas, aku dan Aqif pula melayan beberapa ekor monyet yang terdapat di bukit bersebelahan stesen.
Tengoklah muka Aqif, teruja lah tu tengok monyet. Tatie dan Aqif selalunya duduk di bahagian belakang. Agak sempit kerana kereta pun kecil, MYVI jer. Tak apalah, asalkan selesa. Dorang pun okay jer. Kedua-duanya dah biasa duduk di belakang, kadang-kadang sampai 10 jam carpacking sekitar semenanjung Malaysia. Alhamdulillah, so far MYVI memang reliable untuk perjalanan jarak jauh disamping menjimatkan minyak. Tak macam kereta aku yang lama, BMW E46. Setiap dua bulan sekali mesti rosak; gearbox, asap putih, overhaul dua kali dan macam-macam pe’el. Sebab itulah sepanjang tahun 2010-2013 kami jarang ke mana-mana yang jauh kecuali balik kampung. Sampai sekarang aku dah phobia dengan kereta continental.
Kali terakhir aku ke Temerloh tak silapnya tahun 1999/2000. Sampai sahaja di sini, aku terus cari pusara Sudirman Hj Arshad. Asalnya nak terus ke Jerantut mencari makam Mat Kilau, tapi alang-alang dah sampai Temerloh kami pun terus lajak menziarah.
Pusaranya terletak di Tanah Perkuburan Kampung Chengal, Temerloh, Pahang. Untuk lokasi yang tepat boleh merujuk pada peta di atas atau copy dan paste koordinat GPS “3.461932, 102.402929” ke dalam Google Maps. Jaraknya dari tol Temerloh lebih kurang 9 km. Pencarian pusaranya agak susah juga kerana terpaksa bertanya pada 2 orang yang berlainan. Sampai di tepi jalan yang terdapatnya simpang ke Kampung Chengal, aku terpaksa bertanyakan kepada makcik yang sedang menjual makanan pagi. Dari tingkap kereta, aku nampak dua orang makcik ni dok tersenyum-senyum macam dalam kereta ni ada artis dan tempayan emas 8 kilo. Katanya perlu terus ke dalam dan melalui sebuah jalan yang muat-muat sebuah kereta. Ingat nak beli kuih-muih, tapi perut 4 lejang masih kenyang lagi.
Sampai jer di pintu kawasan perkuburan, aku dah bersiap-siap nak keluar dari kereta, nak luruskan kaki. Tapi terpaksa batalkan memandangkan terdapat sekumpulan monyet yang agak liar. memang liar sangat. Aku nampak dorang melompat sakan atas pokok-pokok tinggi macam nak runtuh dahan-dahan. Terpacul dalam fikiran benda merapu, “Kang dorang culik Aqif kendong belakang badan masuk hutan susah pula”.
Aku pun memandu lagi masuk ke dalam sampai bertemu dengan pintu masuk sebuah tempat seakan kilang atau tapak construction. Di situ terdapatnya pintu kedua untuk ke kawasan perkuburan. Apa??? Dah sampai kawasan perkuburan? Ada hantu tak? Relek lah, siang-siang mana ada hantu. Aku lagi risau “hantu manusia” yang lagi kejam. Aku pun letakkan kereta di tepi dan kami sekeluarga mula mencari pusaranya. Habis ceruk kawasan kami cari tak juga jumpa. Aku arah lawan jam, Tatie pula cari ikut arah jam. Dua-dua membentuk pusingan tapi tak jumpa juga. Nasib baiklah line internet kuat dan aku pun mencari berpandukan bentuk gambar pusara dari blog-blog lain. Akhirnya jumpa. Yang kelakarnya, pusara beliau betul-betul terletak berdekatan pintu masuk yang kedua tu. Kalaulah ditakdirkan kami masuk sebagai pemotong rumput berjaya, mungkin dah clear satu round kawasan ni.
Kami pun duduk bertiga mengelilingi pusara beliau dan menghadiahkan Al-Fatihah serta doa-doa pilihan. Sempat juga kami mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana “ditugaskan” oleh Yang Maha Pencipta untuk menghiburkan kita semua. Memang pusaranya kemas dan bersih sekali seolah-olah ada tetamu yang selalu bertandang ke sini dan membersihkan.
Siapa tidak kenal beliau wehh!! Macam tak percaya sekarang tengah ada betul-betul depan pusara beliau. Penghibur tersohor nombor satu negara pada zaman 80an. Pemergiannya menyedihkan rakyat Malaysia malah menimbulkan pelbagai persoalan dan pertanyaan. Ada yang kata kematian beliau kerana buatan orang dan sebagainya, wallahualam dan aku tak nak bincangkan panjang lebar kat sini nanti terlebih-lebih jadi fitnah pula. Khabarnya, Dato Aznil Hj Nawawi kerap juga bertandang ke pusara Sudirman dan membersihkannya. Sejuk hati aku…
Sebagai anak Malaysia pasti menghafal dan mendendangkan lagu “Merdeka” nyanyiannya. Jom kita layan lagunya di atas ni.
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka
Semoga kita rakyat Malaysia merdeka dari penjajahan asing dan yang terkini penjajahan minda Melayu agar melupakan jatidiri bangsa, adat dan budaya. Perjalanan ke Jerantut agak sedih dan hiba kerana seolah-olah terdapat perkaitan antara lagu Merdeka nyanyian Sudirman dengan perjuangan Mat Kilau menentang British suatu masa dahulu di Pahang.
Berapa kos ke Temerloh (ikut harga semasa, kecuali makan/minum)?
- Minyak kereta masih ada 1/5 sejak diisi penuh sehari sebelum bertolak.
- Plaza tol Gombak – RM6.00
- Plaza tol Bentong – RM3.50
Bersambung ke artikel seterusnya….. Carpacker 2015 – Pantai Timur – #3 Bandar Jerantut dan Mat Kilau.
Leave a Reply