Kembali kita ke bahagian dua trip perjalanan saya ke Cameron Highland (CH) pada Mei 2012 bersama dengan isteri. Terlalu panjang entry, jadi saya terpaksa pecahkan kepada dua bahagian. Lihat bahagian satu bagi yang belum ikutinya.
Setelah menyusuri pekan Kg. Raja, kami terserempak pula dengan satu tempat iaitu Bharat Tea Plantation House. Ia terletak di sebelah kanan kami sebaik sahaja melepasi Kg. Raja dan hanya 20 meter jarak dari jalan utama. Agak tinggi juga tempatnya. Di sana, terdapat tea house, boleh port minum teh jenama Bharat sambil melihat keindahan ladang teh milik mereka. Untuk pengetahuan korang, Bharat mempunyai satu lagi tea house yang terletak di Brinchang. Perbezaan tea house di sini dan di Brinchang adalah kedudukan tea house nya. Di sini, house terletak di peringkat bawah sama rata dengan ladang teh manakala di Brinchang, house terletak tinggi di aras bukit dan sudah tentu dari ketinggian tu, bolehlah melihat keluasan rupa bentuk muka bumi ladang teh yang saujana mata memandang. Dua-dua tempat ini ada kelebihannya. Kami dapat ‘menakluk’ ladang teh sewaktu di sini berbanding di Brinchang kerana di sini lebih senang untuk turun ke ladang.
Saya tak dapat meletakkan gambar-gambar yang terdapat dalam kedai yang menjual teh-teh jenama Bharat atas sebab privasi kerana kami suami isteri banyak berposing di situ, hehe. Ok, sebagai ganti, saya berjaya mencari gambar dalaman kedai tersebut dan dipinjam dari laman web Eyriqazz.com:
Selepas membeli beberapa bungkus teh pelbagai jenis termasuk teh tongkat ali, kami pun turun menuju ke ladang. Wah, di sini, bukan main hebat posing kami. Maklumlah isteri baru pertama kali melawat ladang teh dari dekat.
Lokasi Bharat Tea House (GPS: 4.545403, 101.421111):
Selesai di Bharat, kami bergerak menuju ke tempat lain. Dalam perjalanan ternampak pula di tepi jalan ada tanaman sayur, tak pasti sayur apa. Biasa lah, tak pernah tengok, hehe. Memang saya suka nak sajikan gambar pelik-pelik macam nih.
Jalan punya jalan dalam kereta, sebelah kiri kami terserempak dengan Taman Rama-Rama. Apa lagi, terus berhenti! Tiketnya boleh tahan murah iaitu RM5 untuk dewasa. Dalamannya pun besar. Sebenarnya, bukan saja pameran rama-rama dalam ni, haiwan-haiwan lain pun ada juga seperti ular, arnab, kura-kura, burung, serangga, ikan, bunga, pokok-pokok dan sebagainya.
Lokasi Taman Rama-rama (GPS: 4.508631, 101.408156):
Banyak juga gambar yang kami ambil, tapi saya letak yang terpilih sahaja. Antara gambar rama-rama yang diambil:
Jom kita tengok haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang lain. Nah, gambar kaktus gergasi untuk korang…
Dan beberapa tumbuhan lain di sini.
Ini adalah di antara haiwan-haiwan yang dibela dan dipamerkan di sini..
Sebenarnya, banyak lagi gambar haiwan-haiwan. Tapi kalau banyak, nanti korang melayan gambar je dah puas hati tanpa ke sana sendiri, hehe. Di pintu luar sebelum masuk ke taman ni, ada dijual cenderamata, berupa serangga-serangga yang diawet. Agak mahal juga harganya mengikut pada jenis serangga dan saiznya. Anggaran harga dalam RM5 hingga RM500.
Ok, bertolak menuju ke lokasi seterusnya. Kali ni, kami dah sampai ke pekan Brinchang. Dalam perjalanan ke sini, banyak juga hotel penginapan di kiri dan kanan jalan. Kebanyakannya hotel 3 bintang dan ke atas. Ada juga chalet yang cantik ala rumah di Eropah. So, korang kena pandai pilih-pilih jika ingin menginap. Saya syorkan layari laman web di bawah ini. Ada rating dan review dari mereka yang pernah menginap. Disertakan juga nombor telefon hotel-hotel untuk tujuan booking:
http://www.cameronhighlands.com/
Singgah sebentar membeli buah-buahan seperti strawberi dan sebagainya. Beli di kedai-kedai seperti ini lebih murah berbanding membeli di pusat strawberi yang kami singgah sewaktu mula-mula sampai di CH.
Melalui gambar di bawah, hotel Equatorial boleh dilihat dari jauh. Tapi kalau saya, mungkin akan memilih hotel lain yang lebih terceruk sedikit memandangkan kawasan ini adalah pekan yang sibuk. Lebih sibuk, maka kurang tenteramlah percutian saya.
Lokasi gerai buah dan sayur di atas (GPS: 4.503920, 101.407238):
Biasanya mereka yang datang dari bandar sudah tentu berniat untuk lari dari kesibukan bandar. Cuba cari tempat-tempat yang lebih ke dalam dan berbentuk ala-ala English house atau rumah-rumah di Eropah contohnya seperti Bala’s Chalet:
Lokasi Bala’s Chalet (GPS: 4.477797, 101.379076):
Perjalanan diteruskan, sekarang ni rasanya kami dah berada di pekan Tanah Rata, tapi tak singgah pun memandangkan hari dah jam 5 petang. Ada lagi beberapa tempat lagi nak singgah. Lagipun, pekannya agak sibuk ketika itu kerana terdapat pasar malam di kiri dan kanan jalan utama. Kami bernasib baik kerana sepanjang perjalanan ke CH ni, cuaca sangat baik. Ok dah sampai di Bharat Tea Plantation yang kedua, rasanya inilah ladang yang utama berbanding mula-mula tadi. Sangat besar ladangnya.
Di bahagian luar terdapatnya kedai menjual teh Bharat serta cenderamata-cenderamata yang lain. Kami tak beli apa-apa sebab awal tadi dah beli.
Jom kita masuk ke tea house nya. Mesti korang terfana seketika, hehe. Nah….
Di tea house ni, kami santai sekejap sambil minum teh. Harganya ok dan sedang-sedang, jangan risau, sebab pihak Bharat menjadikan tempat ini sebagai tempat promosi teh mereka. Pelanggan tidaklah ramai, ada golongan tua dan muda. Tapi saya pasti golongan tua lebih meminati tempat santai sebegini. Pemandangannya memang kami pun terpaku melihat kerana terlalu luas ladangnya.
Sebenarnya, di ketika ini, kami dah pun terlepas dari tempat yang sama seperti ini iaitu Boh Tea Plantation di Sungai Palas. Saya rasa kerana kesilapan kedudukan GPS. Apa yang kami jumpa adalah kilang pemprosesan teh Boh yang tertua di sini. Takpe, mungkin pengalaman baru bagi kami kerana dapat melihat dalam kilangnya. Pengalaman baru ni agak pahit sebenarnya, haha. Sebabnya, jalan nak ke kilang Boh tu sesuai untuk kenderaan 4WD atau lori sahaja. Kereta biasa boleh masuk tapi pastikan memandu perlahan-lahan. Seingat saya, dari jalan utama naik ke atas, lebih kurang 5km. Bila dah sampai setengah jalan, baru saya sedar dah silap jalan kerana dalam fikiran berasa mustahil pelancong semata-mata datang nak menikmati keindahan seperti di Bharat Tea House tapi harus melalui jalan yang sebegini teruk. Dah setengah jalan, kami pun teruskan juga naik ke atas.
Jalannya muat lebar 1 1/2 kereta. Setiap selekoh terpaksa membunyikan hon (atas cadangan papan tanda) risau kalau ada kenderaan dari hadapan yang memandu laju di selekoh. Ok dah sampai di kilang Boh:
Lokasi kilang Boh menurut peta di bawah adalah benar walaupun kelihatan sekelilingnya hutan tebal. Bila dah sampai depan simpang jalan besar di pekan Habu, tanya orang-orang sekeliling jalan untuk masuk ke dalam (GPS: 4.448019, 101.422633):
Kelihatan bentuk bangunan yang agak lama kerana dibina sebelum merdeka. Kilangnya terletak di belakang dan di hadapan adalah Boh Tea House serta kedai menjual produk teh Boh. Saya rasa tak salah untuk letakkan gambar dalam kilang Boh memandangkan papan notis mereka berbunyi:
Lagipun, saya bukanlah mengambil gambar bertujuan untuk menjadi pesaing mereka. Ok, lagi gambar dalam kilang dan cara pemprosesan. Saya dah lupa langkah demi langkah mengikut urutan mesin prosesnya.
Di bahagian luar kilang pula, kelihatan traktor membawa muatan daun teh mentah yang masih hijau yang baru dipetik dari ladang.
Inilah pemandangan di sekitar kilang Boh, tiada apa yang menarik, hanyalah kilang sahaja.
Ok, selesailah lawatan kami ke CH dan masa untuk balik ke KL dan melalui jalan lama Tapah. Sewaktu ni, jam dah 6 petang ke atas. Disebabkan kami tak mahu melalui jalan lama di waktu malam (atas nasihat isteri), jadi saya menerus perjalanan tanpa berhenti. Kami juga melalui sebuah air terjun Lata Iskandar yang cantik di jalan lama tersebut tapi tak dapat singgah serta gambar pun tak ambil sebab waktu pun hampir maghrib dan agak gelap.
Berikut adalah gambar jalan lama Tapah:
Kami tiba di KL hampir waktu Isyak. Oh ya, agak laju juga saya memandu di jalan lama ni. Saja bermain dgn gear semi-manual Tiptronic, hehe. Di sepanjang jalan hanya ada satu je kawasan yang ada bekas tanah runtuh. Dan banyak juga perkampungan orang asli serta pondok mereka berniaga di tepi jalan. Jalannya tidaklah sunyi pada waktu siang kerana banyak kenderaan pickup 4WD dan lori. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam. Seterusnya kami ke KL melalui plaza tol Tapah dan highway PLUS.
CH ni memang sangat menarik. Terus terang saya katakan, dalam banyak-banyak tempat peranginan tinggi, saya lebih meminati CH berbanding Genting Highland. Mungkin kerana di Genting, terlalu ramai orang yang datang, agak sesak, tak berapa tenteram untuk santaikan fikiran dan lebih pada hiburan. Yang pasti, jika berkesempatan saya ingin datang semula ke CH membawa keluarga dan bermalam untuk merasai pengalaman sejuknya. Akhir kata, CH memang terbaik dan jangan lupa cari Boh Tea House di Sungai Palas seperti gambar di bawah ini (dipinjam dari “al1004” VirtualTourist.com):
(UPDATE 22 Mei 2014): Menurut maklumat dari blog-blog, lokasi hampir tepat Boh Tea House Sungai Palas adalah peta di bawah, tapi pastikan apabila sampai ke marker merah ni, tanyakan dulu orang-orang di sekeliling atau lihat papantanda berkaitan. (GPS: 4.520711, 101.403913):
Nabilla Riza
Sekarang kami sedang bersantai di CH sambil baca blog abang yang menarik ni!
Admin
Nabilla, terima kasih sbb sudi membaca blog saya ๐