Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 9 – Part 6 – The Emporium, The Helix Quartier & The EmQuartier
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Berkenaan sistem pengangkutan rel di Bangkok ni, kita bernasib baik kerana paparannya tertera dalam dua bahasa, Thailand dan English. Dan setiap perhentian adalah sama seperti menaiki LRT di KL, akan ditunjukkan stesen yang telah dilalui dan bakal dilalui. Aku boleh bagi rating 9.5/10 dari segi kesenangan penggunaan rel di Bangkok.
Ini paparan lebih dekat. Kami bertolak dari Phrom Phong (Sukhumvit Line) dan akan berhenti di stesen BTS Silom (selepas stesen Chit Lom merujuk pada gambar di atas). Stesen Silom boleh dianggap sebagai ‘pusat’ kerana ia merupakan stesen transit dengan Silom Line dan juga stesen terhampir dengan MBK Center dan lain-lain lagi.
Ini adalah waktu puncak iaitu 6.34pm dan kelihatan ramai yang baru pulang dari kerja pejabat. Malah, kami sekeluarga pun terpaksa berdiri sehingga sampai ke stesen Silom.
Tiba di stesen, kami merancang untuk menaiki bas awam menuju ke Khao San Road kerana tiada sebarang tren yang melalui kawasan sana. Aku terpaksa bertanya pada orang-orang di sekitar sini bagi mengetahui nombor bas yang akan ke arah sana. Sehingga kini, aku dah lupa nombor basnya (tapi merujuk pada Google Maps, bas yang boleh dinaiki bernombor 15 atau 47).
Lama juga menunggu, hampir 40 minit! Pengalaman punya pasal kan… Apa perasaan menunggu lama di sini? Peluh dan melekit sama sahaja seperti menunggu bas di Puduraya. Maksud aku, cuaca dan suhu waktu Maghrib lebih kurang di Malaysia.
Kami sebenarnya menunggu bas betul-betul di bawah stesen BTS National Stadium dan bersebelahan dengan MBK Center.
Suasana bersesak-sesak di dalam bas awam. Tatie dan Aqif dah terperosok ke dalam.
Selepas beberapa kali berhenti di perhentian bas, Tatie dan Aqif mendapat tempat duduk bersebelahan dengan seorang makcik tua. Dari jauh aku lihat begitu ramah mereka bersembang.
Kami berhenti di perhentian bas ini iaitu selepas melepasi Democracy Monument. Dan dari sini, kami menapak sejauh 220 meter menuju ke jalan masuk ke Khao San Road bahagian timur.
Di sini ada kejadian yang boleh dikatakan agak panik tapi kelakar. Akibat rancak sangat Tatie bersembang dengan makcik di sebelahnya, kami pun turun dari bas tapi Tatie terlupa pula untuk mengambil beg daypack Osprey. Walaupun tiada barang berharga tapi beg tersebut berguna untuk membawa barangan keperluan anak. Apa lagi, aku pegang Aqif, dan Tatie pula berlari-lari marathon ke arah bas yang dah pun bergerak 50 meter sambil menjerit.
Kami tarik nafas lega kerana akhirnya bas berhenti kerana makcik dalam bas tu menjerit-jerit pula ke arah pemandu bas dan beliau menyerahkan beg melalui tingkap. Aduhai.. macam-macam ragam.
Aku seperti biasa, membebel pada Tatie agar jangan terlupa lagi di masa depan. Maklumlah beg pun berharga hampir RM400. Tapi tak boleh salahkannya 100% kerana dalam masa yang sama terpaksa menjaga Aqif yang duduk dipangkuan.
Berbeza dengan semalam, kami terus menapak masuk ke bahagian tengah Khao San Road. Oh ya, sebelum tu, di pintu masuk jalan di bahagian timur, aku membeli juga ulat-ulat dan cengkerik sebagai bukti yang aku berani makan. Gambarnya ada aku selitkan di bawah.
Selepas menapak beberapa meter ke hadapan, kami ternampak pula sebuah lorong yang agak memanjang ke dalam. Ianya digelar Suzie Walk. Tapi terlebih dahulu, aku membelek Google Maps dan mendapati ianya tembus ke arah jalan besar (Soi Rambuttri) dan menuju ke hotel yang kami menetap. Terus kami terjah…
Ini lokasi GPS 13.758568, 100.497990 bagi yang ingin masuk ke Suzie Walk atau klik sahaja peta di atas.
Lorong di sini seperti ada bumbung yang menghalang dari hujan. Aku sangat selesa di sini kerana tidak sebising dan happening seperti mana di Khao San Road. Di sini lebih tenang dan banyak pilihan barangan yang dijual.
Memang benar, sini lebih banyak pilihan.
Tak silap aku, sepanjang lorong Suzie Walk ini terdapat hampir 20 buah kedai.
Harganya juga sedikit murah dari di Khao San Road. Kalau ada bajet lebih, nak sahaja aku membeli bangle silver di sini.
Ini kedai yang menjadi kegemaran wanita dengan gaya aktiviti lasak seperti gelang kulit dan sebagainya.
Di tengah-tengah Suzie Walk ni, ada juga kedai buku. Nak beli poskad? Di sini pun ada. Seterusnya, kami pun balik semula hotel.
Inilah dia ulat dan cengkerik yang aku beli tadi. Sedap tak? Nak cuba? Meh la aku belanja, hehe.
Apa rasanya? Ulat rasa seperti lemak-lemak, terasa seperti mengunyah isi avocado yang tasteless dan berlemak. Cengkerik pula rasa seperti mengunyah udang kering tanpa rasa seperti udang tapi tidaklah rasa seperti lipas.
Sebenarnya, makanan seperti ini kaya dengan protein. Harga sekotak ni aku dah lupa, rasanya THB80 tapi tidaklah sampai habis aku makan. Hanya 3-4 ekor sahaja buat syarat. Kan ke susah untuk dapat di Malaysia? Jadi, wajiblah cuba di sini.
Inilah ‘lobi’ Hostel Barnana. Untuk malam terakhir ni, aku saja lepak di ruangan bawah sambil melihat suasana di bahagian luar hostel. Tiba-tiba tuan punya hostel datang menyapa aku. Kami bercakap sedikit-sedikit English dan beliau mengambil sebotol air mineral dalam peti sejuk dan memberikannya percuma padaku. Terima kasih tuan tanah!
Aku lepak sekejap sahaja lebih kurang 30 minit kerana maklumlah di bahagian atas, bilik kami berhadapan dengan dorm yang boleh menempatkan 12 orang. Faktor keselamatan juga perlu diutamakan apabila membawa keluarga. Jadi, lengkaplah kategori tempat penginapan kami iaitu hostel dan dapatlah merasa sedikit pengalaman yang berharga.
Hari ke-9 di bumi Bangkok telah tiba ke penghujung, tibalah untuk kami berangkat ke daerah atau negeri lain keesokkan harinya. Mari kita terjah Lopburi dan Ayutthaya!!
Leave a Reply