Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 10 – Part 1 – Hua Lamphong Railway Station & Perjalanan ke Lopburi
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Sampai di stesen Lopburi, Ya Allah! Punyalah sejuk. Dah macam sejuk musim luruh di negara barat. Betul tak tipu. Mungkin kerana waktu masih awal iaitu 7.35 pagi dan kedudukan Lopburi yang sudah pun terletak ke arah utara Thailand. Silap aku sebab pakai seluar senteng dan menyejukkan betis. Nasib baik ada stokin.
Tapi jangan risau, suasana sejuk ni sekejap saja. Selepas jam 8.30 pagi, suhu akan kembali normal ke tahap yang mampu hadap baik untuk orang dewasa mahupun kanak-kanak.
SEBELUM APA-APA, AKU BAGI DAHULU TIPS WAKTU UNTUK MELAWAT LADANG BUNGA MATAHARI LOPBURI:
- Minggu terakhir bulan November hingga minggu pertama bulan Januari adalah waktu yang sesuai.
- Kami datang pada 6 Januari. Jadi dengan gambar yang disajikan, dah boleh agak bagaimana bentuk kembangnya bunga matahari.
- Cadangan aku, datang pada minggu terakhir bulan Disember.
- Semua tips ini bagi mengelakkan pembaca bertandang ke sini pada waktu bunga yang dah layu, busuk, mula hilang kuning dan hijaunya dan lain-lain. Tak ke rugi, jauh pula tu.
- Tempat sini jauh? Berdekatan Bangkok juga ada ladang yang serupa. Tapi adakah boleh dapat view dengan latarbelakang gunung dan bukit? Untuk Insta worthy photo, latarbelakang sangat berperanan besar.
- Masa? Di antara jam 8 pagi hingga 10 pagi kerana suhu yang nyaman, tidak ramai pelancong dan limpahan cahaya matahari yang mengenai bukit dan matahari (selepas jam 9.30 pagi).
- Tempoh masa? Satu jam sudah mencukupi. Paling tinggi pun 1.5 jam. Maklumat masa ini akan membolehkan pembaca membuat anggaran menaiki tren dari Bangkok, melawat ladang dan pulang semula ke Bangkok.
Disebabkan kaunter tiket telahpun dibuka awal, lalu aku pun membeli siap-siap tiket keretapi third class untuk ke Ayutthaya pula pada jam 12.20 tengahari nanti. Dan kami pun menuju ke arah Left Luggage Office yang terdapat dalam stesen ini untuk menyewa ruang meletakkan backpack buat sementara waktu dan membawa hanya daypack untuk ke ladang bunga matahari. Ini adalah pertama kali kami meninggalkan barang di Left Luggage Office dan aku akan ceritakan nanti kaedahnya.
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Sebelum tiba di sini, aku terlebih dahulu dah buat kajian tentang harga kereta sewa yang sesuai untuk ke ladang bunga matahari Lopburi yang terletak sejauh 18.8km dan perjalanan memakan masa selama 30 minit. Dicadangkan oleh netizen agar tidak menyewa kereta yang berharga lebih dari THB500.
Sebaik menapak keluar dari stesen keretapi Lopburi, terdapat 4-5 buah kereta sewa yang bersedia mengambil penumpang. Kelihatan seorang wanita yang mungkin berusia 50an terus menyapa kami dan menawarkan harga THB600. Aku seperti biasa minta diskaun THB500 dan dia bersetuju. Lagipun, kami bertiga dan harganya berpatutan. Kalau boleh kurang lebih bagus dan perlu diingatkan, mereka hanya memandu dan membawa kita ke sana dan tidak ada sebarang perkhidmatan mirip tour guide (yang biasa mengikuti kita ke segala ceruk sudut di situ serta memberi penerangan). Jadi, tiada upah tour guide di sini, hanya kerja hantar pergi-balik. Lagi satu, harga adalah untuk sewaan sebuah kereta dan bukannya per person.
Nah koordinat GPS yang lebih tepat: 14.81044481, 100.75128936
Kenapa aku merasakan lokasi ladang yang kami dapat lebih baik berbanding ladang-ladang lain di Lopburi? Ini pun kira nasib. Teruskan pembacaan, akan aku terangkan nanti.
Pagi-pagi ni perut terasa lapar. Paham sajalah naik tren dari Hua Lamphong pun bermula jam 4.20 pagi. Tak sempat nak jamah apa-apa. Aku beritahu pada akak pemandu untuk membawa kami bersarapan di restoran halal. Ternyata akak ni tahu rupanya. Agaknya, dah kerap membawa pelancong Muslim atau mungkin kerana di Lopburi ramai penduduk Islam. Ditinggalkan kami buat sementara waktu di sini dalam 1/2 jam.
Untuk pengetahuan pembaca, Ayutthaya yang berjarak 1 jam perjalanan dari Lopburi mempunyai jumlah penduduk Islam yang agak ramai bagi kategori kawasan tengah dan utara Thailand. Kalau di selatan Thailand tu tak payahlah cerita, dah tentu bersepah sana sini restoran halal.
Kami dibawa ke sebuah rumah kampung yang mana bahagian bawahnya dibuat sebuah warung dan bukannya grand seperti restoran. Pagi-pagi ni, pelbagai juadah yang perlu dimasak dahulu juga tersedia, tapi itupun bergantunglah pada tekak masing-masing. Ada orang tak boleh tengok keadaan gerai/warung/restoran yang bersepah seperti ini. Ada orang pula tak kisah. Dan orang seperti kami pula separa-para, kisah dan tak kisah. Nak buat macam mana kalau Lopburi ni teramat payah nak cari warung halal yang lain.
Kami duduk di bahagian sini.
Inilah menunya. Mula-mula dari atas menu, skrol ke bawah. Pandangan bertukar dari menu ke kasut aku. Maaflah ye, tak sengaja dan tak sempat nak crop. Kami sekadar memesan nasi putih, sup daging dan telur dadar. Di sini ada juga telur dadar tau!
Aku baru perasan kenapa hanya satu jenis makanan yang tertera “Muslim”. Yang lain-lain tu bukan untuk Muslim ke? Mungkin salah cetak atau mungkin makanan tu terkenal atas nama “Muslim”. Alah lebih kurang seperti Nasi Goreng Pattaya yang merujuk pada daerah Pattaya di Thailand. Tapi yang ini pula merujuk pada nama agama.
Hati kami sejuk, tenang dan damai sekali apabila melihat adanya kalendar dengan gambar Kaabah di belakang kami duduk. Perasaan gundah-gulana memikirkan menu yang tertera “Muslim” tadi telah kembali tenang…
Sambil menghayati gambar Kaabah tadi, di sebelah kami ada pula remaja sekolah yang sedang bermain daun terup. Benar-benar menggegarkan keimanan :D.
Ini pula luaran warung Muslim ini. Sebenarnya, kawasan kampung ini betul-betul di belakang stesen keretapi. Senang cerita, jika sampai ke stesen dari Bangkok, pandang ke hadapan dan akan nampak landasan keretapi. Jika pandang ke belakang akan menuju ke pintu ke luar dari bangunan stesen menuju ke parking lot atau jalan besar. Dan dalam posisi masih memandang ke hadapan, cuba cari pintu pagar dan mulalah menapak ke situ (perlu lintas landasan).
Susah sangat nak mengikut panduan yang aku bagi tu? Tak mengapa, rujuk peta di atas untuk lebih tepat atau klik di sini: 14.799518333333333,100.61596499999999
Nampak tak betapa dekatnya dengan stesen keretapi Lopburi?
Tekak telah mendahului segala-galanya dan bersedia untuk menjamah nasi.
Lebih kurang jam 8.41 pagi, akak pemandu pun sampai dan mengajak kami untuk ke ladang bunga matahari. Sebelum ni, aku ingatkan sejauh 1 jam perjalanan. Rupanya setengah jam. Itupun kelajuan kereta aku rasa tak lebih dari 70km/j.
Nahhhhh gambar ladang bunga matahari untuk pembaca-pembaca di sini!
Benar-benar saujana mata memandang. Seolah-olah seperti berada di negara empat musim walhal tak jauh pun dari Bangkok. Dengan langit yang membiru. Just wow!
Ini pertama kali dalam hidup kami menghadap ladang bunga sebesar ini baik aku, Tatie mahupun Aqif. Ok nak tahu kenapa lokasi ladang yang kami cecah ni yang terbaik? Walaupun sampai ke sini dikira nasib baik, balik dari sana aku buat perbandingan dan didapati, faktor yang membezakan ialah bukit dan gunung yang terletak di horizon gambar. Cantik, kan? Kalau tahu waktu yang sesuai dengan gabungan cahaya matahari, aku rasa akan jadi lebih wow.
Di hujung sana di atas bukit, terdapatnya sebuah tokong. Pakej sewa kereta yang kami ambil pun hanya sekadar ke ladang bunga matahari dan tak lebih dari tu.
Panorama gunung dan bukit di sini merangkumi hampir 2/3 pandangan mata di hadapan.
Kebiasaannya, kawan-kawan selalu akan kongsi gambar bunga matahari dari arah hadapan. Ini aku tunjukkan arah dari belakang pula. Cantik juga. Seperti anak kecil atau manusia yang sedang berdiri beramai-ramai.
Dari jarak lebih dekat. Memang benar bunga matahari ni akan mengikut atau menghadap dari mana arah matahari terbit. Ia bukan saja terhad pada bunga matahari tapi hampir semua bunga yang lain.
Apa yang misteri ialah, kebanyakan bunga hanya menghadap matahari terbit dan bukannya sewaktu matahari tenggelam atau berada tegak di atas kepala atau sudut-sudut yang lain.
Seronoknya aku. Dengan cuaca yang baik pada waktu pagi jam 9.30 yang masih sejuk dan nyaman membuatkan feel tu benar-benar seperti mimpi yang telah dikenyataankan.
Keadaan bunga yang seolah-olah semuanya berdiri memandang kami seperti VVIP atau tetamu Allah yang hanya dapat ditangkap di hati melalui kerohanian dan zat hayat yang mengalir pada bunga-bunga ini dan juga ke dalam diri kami.
Ini bukanlah bunga yang layu tapi baru nak membesar dan belum mencapai kematangan untuk menjadi sang bunga kembang setaman.
Bahagian belakang bunga dengan lebih dekat.
Bunga matahari ni besar, diameter kelopaknya dah lebih dari sejengkal.
Sedang kami melayan paranoma 180 darjah di sini, tiba-tiba matahari menyimbah bukit dan gunung dan menyerlahkan warnanya yang berbeza dari awal kedatangan kami tadi.
Kenangan yang kami tinggalkan di sini bersama anak tersayang. Macam filem Hindustan pun ya juga.
Di situlah akak pemandu parking keretanya. Lihat betapa jauh kedudukan kami dari jalan raya. Kalau di bahagian sini, aku rasa memadai setengah jam dah mencukupi. Kecuali jika hendak ke bahagian kedua yang akan aku tunjukkan di bawah yang memerlukan peruntukan keseluruhan masa selama 1 jam.
Untuk pengetahuan pembaca, tanah di sini jenis keras atau tanah merah. Tak perlu risau bab kaki tenggelam.
Aku juga tak ketinggalan bergambar kenangan bersama anak……
….. serta bersama sekeluarga. Gambar diambil oleh akak pemandu yang tiba-tiba datang ke arah kami mengajak untuk ke bahagian kedua.
One last shot untuk Aqif sebelum kami bergerak ke tempat lain. Nak bagi tinggi punya pasal, kelihatan muka aku yang sedang ‘menyorok’ tapi tak menjadi.
Seterusnya, kami menapak ke kawasan yang aku gelar sebagai bahagian ke-2 kerana di sini terdapatnya gerai-gerai yang menjual cenderamata, kuaci serta dekorasi lanskap yang dibina.
Kuaci? Laa… takkan tak tahu. Kuaci bunga yang kita beli di pasaraya sampai khusyuk makan, cubit pun tak rasa, tegur pun tak dengar, bibir pun dah muncung, lantai pun bersepah, berasal dari bunga matahari.
Aku selitkan video dari Youtube bagaimana proses ‘menuai’ kuaci dari bunga matahari. Aku pasti pembaca akan melihatnya berkali-kali dan terasa seronok pula setiap kali diketuk, beratus-ratus biji kuaci yang luruh.
Pada hari ni yang bertarikh 6 Januari, tanah-tanah pun banyak dah diratakan untuk bagi laluan penanaman dan pembenihan pokok bunga matahari yang baru. Tapi ladangnya yang penuh dengan bunga tetap saujana mata memandang. Hanya di kawasan sini sahaja yang diratakan.
Inilah gerai-gerai di bahagian ke-2.
Dari jauh sebenarnya kami dah nampak kincir angin dan replika bunga gergasi tu. Jadi, dari kedai kami menapak sedikit ke bahagian tengah ladang untuk sekali lagi tapi tidaklah jauh, lebih kurang 200 meter dari gerai.
Kincir angin ni nampak macam kecil tapi agak besar.
Dengan lanskap gunung di belakang, awan yang membiru, replika bunga dengan warna yang terang. Memang super nice.. !
Di belakang tu adanya tangga untuk naik ke tengah lubang bunga.
Di sekitar kincir angin ni, terdapat banyak bunga-bunga yang mula mengering. Lalu aku cuba belek untuk melihat kuaci yang terdapat di dalamnya. Bunga matahari di sini aku rasa dalam saiz sederhana. Tidak seperti bunga dalam video Youtube di atas.
Ops, maafkan jari kuku aku yg sedikit kotor sebab tolong korekkan tanah yang masuk dicelah kasut anak.
Entah kenapa aku bergambar dengan batu tanda di sini. Kata orang, batu begini sebagai tanda permulaan sesuatu jalan raya. Tapi di sini apa jalan yang ada walhal dekat tengah-tengah ladang? Haha. Hentam sajalah, yang penting ada kenangan.
Kembali semula ke gerai di bahagian ke-2. Kami tak membeli apa-apa cenderamata di sini. Sekadar meninjau-ninjau. Ia terletak di bahagian dalam ladang.
Replika bunga matahari.
Comel-comel belaka.
Ini pula deretan kedai lain yang terletak di tepi jalan raya.
Di sini, kami membeli kuaci yang dah siap dikopek dan berharga di antara THB50 ke THB80. Pendapat aku secara peribadi, sedap lagi kuaci yang asal (belum dikopek).
Kenangan terakhir kami di sini ialah bergambar dengan sepohon pokok daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya, walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya.
Itulah truck pickup akak tu yang kami naik untuk ke sini. Sebenarnya, ia truck versi dua orang penumpang tapi di bahagian belakang masih boleh muat 3 orang penumpang.
Ikuti kisah kami di Lopburi yang berlanjutan pula ke Phra Prang Sam Yot dan Phra Kan Shrine.
Leave a Reply