Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 11 – Part 3 – Wat Yannasen & Wat Thammikarat
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Masih gigih lagi untuk meneruskan ranjau dan duri menghabiskan juga kisah kembara yang dah pun berusia 2 tahun.
Inilah punca kenapa kami menyewa basikal kerana terlalu banyak tempat bersejarah yang berbentuk taman yang luas. Jadi, mudahlah untuk masuk sehingga ke dalam, tambahan pula motorsikal pula dilarang masuk.
Dari Wat Thammikarat, kami menyelusuri berbasikal di tepi-tepi taman dan masih lagi di bahagian luar pagar kawasan.
Gambar di atas dan seterusnya adalah Ayutthaya Historical Park. Ia sebenarnya diangkat sebagai salah satu tapak bersejarah UNESCO. Sebenarnya aku tak dapat nak olah dari segi fakta sejarah kekurangan maklumat, jadi pembaca layan sahaja gambar-gambar yang ada di sini.
Tertarik dengan binaan ala-ala ziggurat ini yang diolah nampak moden. Banyak terdapat di Chiang Rai dan diwarnakan putih.
Aku rasa ini adalah kubu atau benteng yang dibina sekeliling kawasan pada zaman dahulu tapi sebahagiannya dah pecah.
Bahagian tengah kubu yang pecah.
Dan ianya bersambung hingga ke hujung sana seperti yang aku tunjukkan dengan tangan.
Sepanjang kayuhan basikal, rupanya kami lalu di tepian kubu-kubu yang panjang.
Lagi ‘checkpoint’ kubu ke-2 yang kami jumpa di sini.
Bersambungan dengan terusan buatan di sini dan airnya membentuk tasik mini.
Sampai di tepian sini, kami ternampak laluan masuk yang dibenarkan untuk pelancong dan basikal, lalu kami pun terjah.
Bergambar di bahagian kubu atau benteng yang kami lalui tadi sebelum bergerak ke arah lain.
Binaan di sekitar sini dengan batu-bata bukanlah berusia lebih 500 tahun. Mungkin dibina dalam lingkungan tahun di antara 1700-1800an. Batu-batanya sama seperti yang kami temui semasa carpacker ke Perak di Kota Long Jaafar di Bukit Gantang. Walaubagaimanapun, sekitar tempat ini telah wujud sejak dari 1351 lagi.
Dari jauh kelihatan sebuah pintu gerbang yang entah masuk atau keluar ke mana, nak kata ada monumen lain di belakang tu, tak ada pula. Lalu aku cadangkan pada Tatie agar acah-acah berbasikal dari arah belakang dan muncul keluar dari pintu gerbang untuk aku ambilkan gambarnya. #doneacah2
Lihatlah betapa luasnya kawasan ini.
Kawasan utama di sini yang terletaknya Wat Phra Si Sanpret.
Bucu-bucu bumbung stupa yang banyak di sini mengingatkan aku suasana gambar di Bagan, Myanmar yang biasa aku lihat dalam Google.
Di bahagian tepi Wat Phra Si Sanpret.
Ambil dulu gambar di bahagian luas sepuas yang mungkin. Balik rumah baru aku teliti dekat-dekat. Nak harap untuk tinjau secara mendalam di sini memang tak cukup masa. Yang penting, sentuh dulu tempat ni. Biar rasa dengan tangan. Pengalaman dan perasaan merasa tu sangat lain walaupun tak meneliti sehabis baik.
Chedi-chedi yang terdapat di sini.
Binaan stupa yang sama saja hampir di semua wat di Ayutthaya ini.
Entah lubang apa aku pun tak tahu.
Di belakang aku ada tiga buah chedi utama.
Acah-acah menyamar jadi ahli kaji sejarah dan arkeologi. Waktu ni, perut aku masih maintain dan belum membulat seperti sekarang ini.
Waktu di sini jam 4.30 petang tapi kelihatan tak berapa ramai pelancong.
Kembali ke bahagian luar tempat meletak basikal. Ada pula lubang dan aku suruh Aqif beranikan diri untuk diambil gambarnya di situ.
Sebenarnya tak berani nak letak lama-lama di sini sebab tak berkunci. Seingat aku, di sini tiada palang besi untuk tambat hatiku basikal kami.
Monumen yang dibina bagi memperingati King U-Thong. Juga dikenali sebagai King Ramathibodi I. Beliau merupakan raja pertama yang memerintah Ayutthaya (yang sekarang merupakan Thailand) dari tahun 1350 hingga 1369. Dipercayai yang beliau berasal dari etnik Cina dan berlayar dari China hingga ke sini. Selepas berlayar kerana berdagang, beliau mendapat pengaruh yang kuat untuk memerintah Phetchaburi sebelum beralih ke Ayutthaya.
Keterujaan aku dengan pemandangan bucu-bucu bumbung chedi tu tak surut-surut lagi.
Ok dah cukup, kita beralih ke tempat lain.
Kelihatan di hadapan Wat Phra Ram.
Alang-alang dah sampai sini kan, kami terjah saja walaupun dah berjuta wat kami masuk. Lagipun, bentuk chedinya berusia sangat lama.
Tapi tidaklah masuk sampai ke dalam. Sekadar zoom kamera dari jauh sahaja.
Kemudian, mengayuh pula ke sebuah tasik terbesar yang terdapat di sini. Kalau dilihat dari Google Maps, tasik ini seolah-olah seperti kolam-kolam kecil yang bersambung di antara satu sama lain.
Teratai layu di tasik Ayutthaya.
Di tasik ini terdapat lagi 2-3 wat bersejarah dan boleh menyeberang melalui beberapa titi yang dibina di sini. Oleh kerana masa dah suntuk, kami terpaksa berambus secepat yang mungkin.
Bergambar di satu-satunya bulatan yang terdapat di Ayutthaya. Cukuplah buat syarat dah sampai di sini.
Di tengah itu ada juga monumen. Kadang-kadang di sesetengah tempat, keseluruhan sejarah A to Z di sini diabdikan secara ringkas di tengah-tengah bulatan, sama seperti bulatan batu bersurat di Kuala Terengganu.
Ini wat terakhir yang akan kami singgah dan merupakan wat paling unik dalam semua-semua. Ia juga dianggap ‘sacred’ oleh penganut Buddha atas sebab yang akan aku tunjukkan di bawah.
Selesai parking dan mengunci basikal, kami bergegas masuk kerana jam dah 5.20 petang. Tepat jam 5.30 atau 6.00 petang (maaf aku terlupa), wat ini akan ditutup.
Terus menapak untuk masuk ke bahagian utama wat.
Bayaran masuk juga ada tapi disebabkan hari perkabungan raja yang mangkat, semua tempat di sini masuk percuma.
Sampai juga kami di Wat Mahathat.
Wat Mahathat (atau Maha That) menempatkan relik Buddha. Pembinaan wat ini dimulakan pada tahun 1374 oleh King Borommaracha I dan selesai pada zaman pemerintahan King Ramesuan. Binaan pagodanya telah runtuh pada zaman pemerintahan King Songtham dan dibina semula pada tahun 1633.
Pada kejatuhan Ayutthaya pada tahun 1767, wat ini telah dibakar semasa serangan tentera Burma. Pagodanya terus dibiarkan musnah dan yang tinggal kini hanyalah tangganya sahaja.
Sekadar melihat-lihat sahaja pagoda atau chedi yang ada di sini kerana yang menarik minat kami ialah…….
…… inilah dia!
Asalnya, ia merupakan sebuah kepala dari patung Buddha yang patah dan terjatuh ke atas tanah. Dari mula, ia terperangkap di celah akar-akar pokok Bodhi. Lama-kelamaan, kepala ini terus sangkut di dalam dan mula menjalar naik ke atas apabila akarnya berkembang.
Dipercayai yang patung Buddha dengan tinggalan kepala ini dibina pada tahun 1600an.
Macam-macamlah gaya pelancong yang datang ke sini. Bagi mereka, ini adalah keramat dan sangat suci.
Kami tak mampu untuk bergambar lebih dekat kerana ramai pelancong di sini. Cukuplah sekadar dari jauh sahaja petanda dah sampai sini.
Tak silap aku, di belakang itulah tapak pagoda lama yang telah runtuh dan dibakar oleh tentera Burma.
Batuan hitam di sini yang menarik perhatian aku.
Telah banyak tinggalan patung Buddha yang bahagiannya dicuri atau dirampas oleh pihak tertentu.
Kenangan terabadi di sini dengan juntaian akar-akar pokok. Acah-acah seperti Angeline Jolie dalam filem Tomb Raider.
Pagoda terakhir di sini sebelum kami melambai meninggalkan Ayutthaya. Jika diamati dari udara, ia berbentuk oktagon.
Ok cukuplah banyak sangat pasal Wat yang bentuknya semua sama sahaja. Tapi apa-apapun, berada di sini memang berbaloi apatah lagi ianya merupakan salah satu tapak bersejarah UNESCO.
Bila aku menatap semula gambar-gambar semasa di sana berselang-seli dengan membaca fakta sejarahnya, barulah… “oh begituuuuu….”, “ohhhh ohhh”, “oh macam tu!!”… banyak punya oh. Itulah akibat datang ke sini haram tak study apa-apa pasal sejarah tempatan, main terjah sahaja.
Laluan yang kami naiki bermula dari kedai basikal sehingga ke Wat Maha That dan kembali ke kedai basikal. Walaupun 7.3km, aku menjangkakan lebih 9 km sebab peta tak termasuk perjalanan pulang semula ke kedai basikal dan juga termasuk salah laluan.
Masa untuk berangkat keluar dari Ayutthaya. Selamat tinggal Ayutthaya. Jom kita ke Nong Khai pula!
Leave a Reply