Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 11 – Part 4 – Ayutthaya Historical Park & Wat Maha That
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Setelah seharian berpenat-penat mengayuh basikal yang aku rasa mencecah 10km, tibalah masa untuk kami berangkat keluar dari kota Ayutthaya. Serius aku katakan, terasa seperti hendak termuntah akibat terlalu banyak melihat monumen-monumen bersejarah yang hampir sama ditambah pula bab sejarah yang sebenarnya bukanlah menjadi minat aku. Tapi disebabkan bandar ini segalanya berkisar tentang sejarah dan juga terkenal kerana sejarah juga, jadi terpaksalah kami layan apa yang ada di sini.
Jam dah hampir 6 petang dan kami agak kelam-kabut mengayuh untuk pulangkan semula basikal. Destinasi kami seterusnya adalah Nong Khai. Walaupun tren berlepas jam 9.41 malam, namun ini adalah beberapa perkara yang perlu kami selesaikan dari jam 6 petang hingga 9.41 malam:
- Singgah solat di Masjid Ayutthaya.
- Tapau makanan di Night Market (untuk makan malam dan backup makanan dalam tren nanti).
- Pulangkan semula basikal.
- Menanti dan berharap bot tambang masih beroperasi (jam 6 petang dah mula gelap).
- Mengambil semula beg yang disimpan di Left Luggage Office di stesen keretapi Ayutthaya.
- Mandikan anak di tandas stesen.
- Kami berdua juga perlu mandi dan membersihkan diri.
- Makan malam (dengan makanan yang ditapau).
- Menunggu tren tiba.
Sempat ke? Alhamdulillah sempat..
Ops, lupa nak cerita. Gambar di atas itulah satu-satunya masjid yang kami terjumpa di Ayutthaya. Mengikut Google Maps, ia bernama “Thai-Pakistan Mosque”. Ada seorang lelaki tua berwajah Pakistan yang berjubah putih (dalam gambar atas) nampak aku dari luar sedang mengangkat jari ke langit, tanda dua kalimah syahadah. Kemudian aku terpandang dan beliau tersenyum. Lalu kami bersalaman.
Sebenarnya, kedudukan GPS merujuk dalam Google Maps adalah tidak tepat. Sila salin GPS ini untuk ke arah masjid: 14.364031666666666,100.56974166666666
Selesai tapau makanan di Night Market yang telah kami lawat semalam, terus bergegas ke kedai basikal. Panik juga kalau kedainya telah tutup.
Lega hati kami kerana kedai masih beroperasi. Selesai proses pemulangan, dengan tangan masing-masing penuh barangan dan makanan, kami bergegas pula ke jeti bot sambil berdoa agar bot masih beroperasi. Maklum sajalah kalau operasi tamat, jenuh kami nak kena menapak atau menaiki tuktuk pula untuk ke seberang sungai. Padahal tak sampai 100 meter pun kelebaran sungainya. Kalau naik tuktuk tak pasal-pasal melayang THB100.
Lega untu kali ke-2 kerana jeti bot masih beroperasi. Raut wajah masing-masing agak kepenatan.
Manalah bot tak sampai-sampai. Inilah gambar night scene yang paling aku minat sepanjang di Thailand ini.
Tiba di stesen keretapi Ayutthaya, amalan ibubapa seperti biasa. Kalau boleh anak makan dulu biar baju kotor dahulu. Kemudian baru mandi.
‘Beliau’ memandang kami dari kedekatan. Anggap biasa sajalah pemandangan begini. Kalau tidak, “Kau akan penat samak sana sini setiap kali nak duduk. 18 kali duduk, 18 kali samak. Yang penting, lepas tu kau pula samakkan diri dan pakaian kau”.
Pening kepala Tatie memikirkan gelagat Aqif digabung dengan kepenatan yang belum surut. Di sini, kami longgokkan segala backpack dan beg plastik yang dibawa dengan tangan. Sambil tu, aku jadi ‘pak guard’ menjaga semua barangan. Beg percuma telekung Siti Khadijah menjadi peneman kami sepanjang di Thailand.
Perlu maklum yang tren seterusnya akan ke sempadan Thailand dan Laos. Jadi, sila berhati-hati dengan kandungan dalam beg masing-masing.
Tempat kami melepak berdekatan dengan tandas awam yang agak bersih dan sesuai untuk membersihkan diri serta ‘mandi ringkas’ buat cukup syarat ‘dah mandi’. Nampak banner panjang lebar tu? Jangan minum arak dan merokok di stesen dan juga dalam tren nanti.
Pada ketika ini jam 9.14 malam. Ada lagi 25 minit sebelum tren tiba. Apa yang membuatkan aku excited ialah kerana trennya versi baru (ANS40), lebih moden dan lebih selamat dalamnya, tidak seperti yang kami naiki dari Hat Yai ke Prachuap Khiri Khan 10 hari yang lalu. Buat para pembaca, tahun 2019 ini tidak perlu risau kerana semua tren dari selatan ke Bangkok telah diganti baru sama seperti model ANS40.
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Terlalu banyak barang dagangan yang akan dibawa ke utara Thailand. Untuk pengetahuan pembaca, apabila menyebut ‘utara Thailand’, perlu diingatkan yang terdapatnya dua landasan tren ke utara. Bermula dari Ayutthaya, landasan akan terpisah dua:
- satu ke utara Thailand iaitu Chiang Mai (Northern Line)
- satu lagi akan ke utara Thailand iaitu Nong Khai yang bersempadan dengan Thailand dan Laos (Northeastern Line)
Jadi, dengan perjalanan ini, kami benar-benar telah ‘Trans-Thailand’, bukan Transgender ok!!
Ya ‘trans’ kerana dah lalui dari wilayah selatan ke tengah (Bangkok) dan dari wilayah tengah ke utara pula.
Peta laluan keretapi ke seluruh negara Thailand.
Ini orang bukan transgender, ini laki tulen!! Bergambar kenangan di Ayutthaya. Maaflah Ayutthaya, kami mungkin takkan repeat lagi kerana tiada apa-apa lagi yang perlu dilawati lagi di sini. Mungkin tak lama nanti kami akan memilih untuk ke:
- pantai barat di selatan Thailand seperti Phuket, Krabi (erk! perlu ke lesen backpacker?), Phi Phi Island dan lain.
- timur Thailand seperti Pattaya atau merentas sempadan dari Bangkok ke Cambodia.
- Chiang Mai, Chiang Rai dan Pai di utara Thailand.
- Cha-am
- melengkapkan laluan tren selatan dari Sungai Kolok (sempadan Kelantan dan Thailand) hingga ke Hat Yai.
- Bangkok untuk kali kedua dan kali ini akan pulun sakan!
Pejabat pegawai stesen Ayutthaya. Ia juga bersebelahan sahaja dengan Left Luggage Office.
Bergambar dengan segala kenangan yang ada asalkan yang penting terpampang perkataan Ayutthaya.
Pejabat pegawai stesen. Gambar ni aku ambil kerana adanya nilai klasik.
Operasi ‘mengkhatamkan’ rondaan di sekitar stesen kerana kebosanan menunggu tren yang belum tiba. Eh eh, Aqif nampak motorsikal mainan. Sukalah tu! Ini semua adalah barangan yang akan dibawa oleh penumpang ke utara.
All aboard! Seronoknyaaaa. Tren tiba tepat pada waktunya. Excited weh dapat tren baru. Cara susunan katil kami tempah sama seperti dalam tren di Hat Yai iaitu sebelah-menyebelah.
Tengok tu! Setiap katil masing-masing adanya soket elektrik. Begitu juga bagi penumpang di katil atas.
Reading light juga disediakan serta boleh dilaras. Bermakna, bahagian kepala adalah berdekatan lampu dan soket. Aku juga membawa mini extension yang khas untuk travel. Soket pertama untuk caj handphone dan soket kedua untuk caj bateri kamera. Tak payah nak berebut-berebut dengan penumpang lain.
Katil telahpun disiapkan oleh pegawai tren yang bekerja di dalam gerabak. Lagipun jam dah melepasi 9 malam, sudah tentu semua kerusi telah diubah ke bentuk katil.
Ok, inilah posisi sebenar cara meletak backpack dan lebih selamat. Jangan pula buat seperti kami dalam tren dari Hat Yai ke Prachuap iaitu dengan meletakkannya di tempat meletak beg yang disediakan khas di luar katil.
Kami akan melalui perjalanan yang panjang untuk malam ini.
Langsir pun aku dah tarik. Tibalah masa untuk tidur! Selamat malam…
Tren dijangka tiba di Nong Khai jam 6.50 pagi. Tapi, jam 5.57 aku dah terbangun. Sepanjang hampir 8 jam, langsung kami tak sedar apa dek kerana trennya yang sangat selesa dan mungkin juga kerana penat.
Punca kenapa kami tak berasa bimbing jika terlepas stesen adalah kerana stesen Nong Khai merupakan stesen yang terakhir. Kebiasaannya tren akan berhenti lama di situ dan akan berangkat pulang ke Bangkok beberapa jam kemudiannya. Jadi, pembaca tidak perlu risau apa-apa. Terus saja tidur dengan aman dan nyaman.
Pintunya dibuka dan ditutup untuk bergerak dari gerabak ke gerabak. Walaubagaimanapun, ianya manual dan perlu ditekan butang hijau.
Dan sekarang, di antara gerabak ke gerabak, tidak ada lagi pemisah seperti tren lama.
Keadaan di koridor tengah gerabak untuk sleeper berth.
Antara kerusi/katil yang tiada penumpang. Masuk tren ini, telah dua kali kami menaiki tren malam. Jadi, kerugian yang amat kerana tak dapat melihat pemandangan di luar sana. Agaknya, bagaimana rupa muka bumi Thailand di bahagian utara?
Tandasnya yang sangat bersih kerana usia tren yang masih muda.
Tren versi lama akan eject keluar semua bahan-bahan buangan yang masuk ke dalam jamban. Sudah tentu akan bersepah atas landasan. Dan untuk tren moden, tiada lagi kaedah sedemikian demi menjaga alam sekitar.
Bayangkan kalau ada tabiat suka bertenggek di tepi landasan keretapi? Tak jijik ke? Ha ha ha!
Tandas atau juga disebut lavatory, mirip seperti dalam kapal terbang.
Nun di hujung tren terdapatnya kafeteria. Hanya sampai di hujung kaunter itu sahaja lokasi paling jauh aku cecah dalam keseluruhan gerabak tren ini. Jika aku teruskan lagi, mungkin ada lagi gerabak. Boleh jadi terdapat lebih dari 15 gerabak jika dicampur sekali dengan gerabak yang membawa kargo.
Minuman di sini semua boleh dilayan tapi harganya bangsawan. Pastikan bawa bekalan dahulu sebelum naik tren.
Menu makanan juga ada tapi aku tak ambil port sangat. Kelihatan lubang tengah antara kaunter dan dapur di belakang.
Minuman-minuman kotak dan tin yang dijual tapi mahal.
Aku pulang semula ke gerabak yang kami duduk sambil membelek tiket tren. Sekadar untuk menilai persamaan di antara waktu dijangka tiba yang dicatat atas kertas (6.45 pagi) berbanding waktu yang tertera di skrin LED gerabak (6.50 pagi).
Tambang tren sehala untuk dewasa ialah THB812 (~RM90). Tapi ini jika bertolak dari Ayutthaya. Perlu risik dahulu harga tiket jika bermula dari Bangkok.
Termenung sendirian kerana Tatie dan Aqif masih ketiduran.
Sekejap lagi kami akan tiba di Nong Khai. Belum pernah aku dengar traveler Malaysia yang sampai ke sini dan merentas sempadan ke Laos menuju ke bandar Vientiane. Kebanyakan mengambil flight direct dari KL ke Vientiane. Bersambung di sini…
Leave a Reply