Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 11 – Part 5 – Masjid Ayutthaya & Perjalanan ke Nong Khai
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Tarikh Kembara: 8 Januari 2017
Hari ke: 12
Lokasi: Nong Khai & Vientiane (Laos)
Selamat datang ke Nong Khai! Inilah pertama kali kami di sini dan pertama kali berada di utara Thailand. Kami selamat tiba jam 6.50 pagi.
Bandar Nong Khai merupakan ibu negeri bagi provinsi (negeri) Nong Khai dan terletak 630 km dari Bangkok. Walaubagaimanapun, jaraknya tak boleh lawan berbanding perjalanan dari Hat Yai ke Prachuap Khiri Khan sejauh 658 km atau Hat Yai terus ke Bangkok sejauh 938 km!
Sebagai perbandingan dengan negara Malaysia, jarak dari tengah-tengah Tambak Johor ke Pos Imigresen Wang Kelian (Perlis) adalah sejauh 867 km.
InsyaAllah cita-cita kami akan datang ialah mengembara menaiki tren tanpa transit di Vietnam dari Ho Chi Minh ke Hanoi sejauh 1722 km (34 jam) pula.
Sebelum keluar dari stesen keretapi Nong Khai, aku membeli dahulu tiket tren untuk pulang semula ke Bangkok. Sebagai menjawab persoalan berapa harga tiket tren Bangkok ke Nong Khai atau sebaliknya, ianya THB838 (~RM90). Hanya berbeza RM3 sahaja jika bertolak dari Ayutthaya ke Nong Khai atau sebaliknya.
Nasib baiklah tiket sleeper berth di sini mudah dapat dan sentiasa available ditambah pula mendapat tempat duduk yang sebelah-menyebelah seperti sebelum ini. Tiga kali bernasib baik begini, jadi aku andaikan yang urusan pembelian tiket tren di Thailand sangat senang dan menurut apa yang dikehendaki. (KEMASKINI OGOS 2024: Sekarang ramai dah booking keretapi Thailand melalui online atau melalui app SRT D-Ticket dengan lebih awal dan mungkin sedikit susah untuk mendapatkan tiket jika membeli secara walk-in tambahan pula jika memilih untuk bertolak pada hari yang sama di kaunter.)
LIHAT JUGA: Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Suasana dan suhu di sini sangat nyaman mungkin kerana hari masih awal jam 7.24 pagi. Jadi, kami pun lepak dahulu buat seketika dan berlegar-legar di stesen sambil mandi pagi. Sebelum bergerak keluar, aku tinjau dahulu bahagian luar untuk melihat suasana luaran dan tuktuk yang boleh dinaiki sebentar nanti.
Sekitar kawasan luaran stesen keretapi. Ini adalah jalan yang akan kami tuju nanti.
Di bahagian lain bagi luaran stesen. Bahagia rasa di hati melihat pemandangan matahari terbit di bahagian ini yang akan membawa kehidupan yang baru bagi seluruh manusia sejagat dengan pesanan sang matahari yang berbunyi:
“Usah dikenang hari semalam, mulakan hari yang baru hari ini sekarang juga. Right here, right now.”
Eh, cik matahari tahu juga konsep mindfulness.
Aqif bersandar di tiang bangunan sambil diperhatikan oleh pakcik penunggang tuktuk di sini. Mungkin beliau terkenang cucu sendiri.
Di sini terdapat juga shuttle train yang berlepas dari sini menuju terus Laos iaitu di Pos Imigresen Thanaleng selepas melepasi Sungai Mekong. Jadual shuttle train (dua kali sehari):
- Nong Khai ke Thanaleng: Jam 7.30 pagi dan 2.45 petang. Tiket THB30 (RM3.50)
- Thanaleng ke Nong Khai: Jam 7.45 pagi dan 3.00 petang. Tiket THB30 (RM3.50)
Tempoh perjalanan 15 minit. Tapi disebabkan Nong Khai ini adalah bandar ke 10, jadi kami berhasrat sekurang-kurangnya meletakkan kaki atau bersiar-siar seketika di sini dengan menaiki tuktuk dan membatalkan hasrat menaiki shuttle train. Dan aku sebenarnya sangat teringin untuk melintasi pintu gerbang sempadan di bahagian tanah Thailand (rujuk gambar di bawah), kemudiannya menaiki bas di atas Friendship Bridge menelusuri Sungai Mekong dan seterusnya tiba di pos imigresen Thanaleng.
Alasan yang kedua ialah ingin mandi-manda dahulu di stesen ini kerana tandasnya sangat bersih. Masa teramat singkat dan buat apa perlu kami berebut-rebut dengan penumpang shuttle train yang lain yang mana jarak masa dari tiba di sini dan kemudian menunggu shuttle train sampai yang hanya setengah jam sahaja, termasuk nak cop passport bagai.
Sambil melihat pekerja stesen membersihkan landasan, kami juga membersihkan diri. Kami bergilir-gilir untuk mandi di sini. Tandasnya dikenakan sedikit bayaran tapi agak besar, selesa dan bersih. Segala makanan yang kami makan atas tren malam tadi serta segala tok nenek sampah dalam beg semuanya kami keluarkan dan kemas dengan sebaiknya.
Perasaan mengemas dalaman backpack ibarat mengemas rumah di hari cuti weekend. Kepuasannya di situ…
Ohh cantiknya suasana langit pagi dengan pancaran cahaya matahari yang tidak terlalu terik dan agak ‘lembut’. Tak pasti samada ini tren yang kami naiki semalam atau lain kerana landasannya dah berubah berbanding tadi.
Terus ke hadapan sana adalah menuju semula ke Bangkok.
Selesai mandi-manda, kami pun terus keluar dari stesen lebih kurang jam 8.30 pagi. Tuktuk tadi masih ada di luar mungkin kerana tak ramai yang menaikinya dan lebih memilih shuttle train.
Aku pun meminta penunggang tuktuk membawa kami ke pintu gerbang sempadan Thailand tapi terlebih dahulu memintanya pusing dahulu di bahagian dalam pekan kecil Nong Khai. Tambang bagi setiap dewasa dan kanak-kanak adalah THB20. Tapi disebabkan kami minta penunggang untuk pusing seketika dalam pekan, jadi aku lebihkan sedikit.
Sebenarnya, aku ada niat untuk pergi ke Nong Khai Aquarium yang terkenal kerana tempatnya dibina agak ‘world class’. Ini kerana diracun dalam siri pengembaraan Kembara Backpackers Bersama Moji. Tapi dek kerana arahnya jauh ke selatan sejauh 10 km dan aku terfikir pula entah macam mana nak simpan backpack yang sarat ni, kami pun batalkan niat.
Inilah pintu gerbang Pos Sempadan Nong Khai. Memang wow dan tak sangka dari hujung ke hujung begitu panjang. Sebelum ni, menjadi satu kebanggaan aku lihat pengembara bergambar di sini dalam media sosial. Sekarang ni, kami pula berbangga kerana dapat menjejakkan kaki di sini.
Bagi aku, pintu gerbang imigresen dengan tertera perkataan Nong Khai adalah ‘sangat mahal’.
Tuktuk pula hanya boleh memberhentikan semaksima sehingga di sini sahaja dan tidak boleh masuk hingga ke bahagian dalam.
Kemudian kami menapak menuju ke Pos Imigresen Nong Khai. Dari jauh kelihatan ramai orang awam di situ namun prosesnya berjalan agak pantas.
Aku tak pastilah untuk apa mengambil gambar di sini. Tapi, jika perlu juga, di sini ada disediakan. Tandas juga ada dan boleh membuang apa-apa patut dahulu.
Pada mulanya, aku ingat di sini ada kaunter-kaunter yang perlu kami hadap kerana ramai sangat berkumpul di sini, tapi rupanya tiada. Hanya ruang legar sahaja.
Itulah pintu masuk utama untuk keluar dari sempadan.
Terlebih dahulu kami bergambar di sini iaitu sebuah batu tanda yang menunjukkan berapa jauh kami dari bandar-bandar utama yang lain.
Bila bergambar di sini, barulah datangnya perasaan sebagai ‘pengembara’. Lihatlah berapa jauh (km) Luang Prabang (Laos) dan Kunming (China) melalui jalan darat.
Aku pula bergambar di bahagian Savannakhet (Laos) dan Hanoi (Vietnam).
Alhamdulillah, selesai urusan passport untuk keluar dari Thailand. Pada ketika ini, aku agak jual mahal konon tak mahu kena scam oleh konduktor shuttle bus yang menuju ke Thanaleng. Aku buat tak peduli sampaikan beliau tarbiah aku mengatakan yang jarak ke Thannaleng sangat jauh jika berjalan kaki dengan backpack besar gedabak dan anak kecil.
Kononnya….
Kononnya….
Aku nak berjalan merentas Sungai Mekong dengan berjalan kaki!
Baru sahaja berjalan keluar dari pos imigresen, tiba-tiba terpaksa batalkan niat. Apa tidaknya, dari pos imigresen ke hujung Friendship Bridge sebelah Thailand, jaraknya 1.3 km. Panjang jambatan pula 550 meter. Selepas melintas jambatan, jarak ke pos imigresen Thanaleng sejauh 1 km.
Jumlah semua, 2.85 km! Tak sanggup!
Memang aku sedia tahu itu memang kerja gila kerana gila hendak bergambar di atas Thai-Lao Friendship Bridge sambil berlatar belakangkan Sungai Mekong.
Psstt… aku ada dengar yang tiada sesiapa boleh menyeberang jambatan sungai dengan berjalan kaki kerana undang-undang di sini tidak membenarkan. Entah betul ke tidak.
Dengan muka malu, aku menapak semula ke pejabat pos imigresen dan membeli tiket shuttle bus yang berharga THB20 bagi orang dewasa.
Inilah contoh basnya. Perjalanan mengambil masa 4-6 minit sahaja. Kalau nak melihat pemandangan yang cantik dan bergambar dengan Sungai Mekong, tunggu shuttle bas yang mana tingkapnya boleh diturunkan.
Seperti biasa, kami duduk di bahagian hadapan untuk menikmati pemandangan.
‘Blend-in’ bersama penduduk Thailand dan Laos. Penumpang pun tak ramai seperti dari Malaysia ke Singapore melalui tambak Johor. Mungkin tiada apa di Laos dan sepanjang masa, hanya rakyat Laos sahaja yang menaiki bas dan bekerja di Thailand.
Hampir-hampir nak sampai.
Baby Laos agaknya.
Permulaan yang teruja sebelum menyeberang Sungai Mekong.
Baru memasuki sungai.
Wah, di atas sungai!
Wah, lagi di atas sungai!
Wah, sungai di atas rambut makcik pula….
Maka selesailah keterujaan melihat sendiri Sungai Mekong yang ke-12 terpanjang di dunia, dengan panjangnya 4,350 kilometer yang berasal dari kawasan sejuk di China yang menghampiri Tibet, merentasi 6 buah negara iaitu China, Myanmar, Laos, Thailand, Cambodia dan Vietnam, dan membawa segala ‘kenangan’ dari perenang sungai serta pembasuh baju di tepian sungai sehinggalah kenangan dan bekas-bekas mereka itu singgah di sini dan akan berakhir di Mekong Delta di Can Tho, Vietnam dan menamatkan segala ‘kenangan’ ke dalam Laut China Selatan.
Signboard yang dinantikan. Welcome to Lao PDR!! (Lao People’s Democratic Republic).
Di sini ada satu keterujaan bagi aku iaitu untuk melihat sendiri bagaimana lorong dengan jalan raya di sebelah kiri (right hand drive) bertukar ke sebelah kanan (left hand drive). Tapi keadaan dan suasana dan bagaimana tu agak tercorot kerana bas yang kami naiki melalui belukar-belukar tinggi dan menyukarkan untuk aku melihat.
Nah. Lihat sendiri di mana bas akan interchange lorongnya. Kita takkan jumpa pengalaman begini di sempadan Malaysia-Thailand, Malaysia-Indonesia dan Malaysia-Brunei. Yang paling dekat hanya di sempadan Thailand-Myanmar, Thailand-Cambodia, Thailand-Laos dan Myanmar-India.
Philippines belakang kira kerana ianya gugusan kepulauan yang tiada hubungan jalanraya dengan negara-negara lain.
Shuttle bus yang kami naiki tadi.
Untuk penulisan di bawah, aku mulakan sebagai panduan menghadap pos imigresen Thanaleng, Laos.
Inilah pejabat pos imigresen Thanaleng (border control). Abaikan dahulu booth yang tertera “Pay Pass” dan menapak ke sebelah kirinya.
Ini kawasan di tepi booth tadi, toleh ke kanan ……
……… dan akan ternampak meja dan banyak arrival card yang disediakan percuma.
Kebiasaannya bab tulis borang ni, aku serahkan pada Tatie. Bukan kerana aku malas, tapi tulisannya lebih cantik dari aku. Tambahan pula, kerja untuk menjaga backpack dan barangan lain biarlah diserahkan pada aku yang lelaki ini. Ini border ok, macam-macam yang orang boleh jolok masukkan dalam beg kita. Kita biar ragu-ragu dan sedikit berfikiran negatif daripada keterlaluan berfikiran positif konon atas sebab Law of Attraction. Ada sebab kenapa Allah kurniakan kemahiran akal yang boleh berfikir positif dan negatif.
Datang ke sini tanpa booking hotel? Jangan risau, teknik yang sama kami gunakan semasa di sempadan Padang Besar pada hari pertama. Sebelum tiba di sini, buka app Agoda atau Booking dan cari hotel-hotel yang menarik. Tak perlu booking apa-apa. Salin nama hotel serta alamat dan tulis dalam arrival card. Belasah sahaja letak apa-apa nama hotel, mereka tak periksa pun (alamat hotel tak perlu lengkap sangat).
Walaubagaimanapun, pada tahun 2019 ini aku tak pasti samada imigresen dah mula guna kaedah suruh buka app untuk melihat booking confirmation atau tidak. Jika ya, booking dulu hotel yang tidak perlu bayar secara online tapi secara offline di kaunter lobi hotel dan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sekiranya berubah fikiran. Atau, kalau pegawai imigresen benar-benar nak tengok booking yang confirm berbayar, terus sahaja booking hotel dan bayar di situ juga dan terus tunjukkan pada pegawai.
Tak perlu risau. Mereka pun faham. Takkanlah kerana tak booking hotel apa-apa terus kena deny entry. Laos bukan negara membangun dan sangat berharapkan hasil dari pelancong yang datang.
Untuk makluman pembaca, waktu di selatan Laos termasuk Vientiane adalah sama dengan waktu di Thailand. Kedua-duanya lewat sejam dari Malaysia.
Ingat lagi booth yang tertera “Pay Pass” tadi? Ok datang semula ke booth tu dan bayar custom fees sebanyak THB55/orang. Kanak-kanak juga kena bayar. Aku tak pasti untuk apa bayaran ini. Takkan semata-mata nak gunakan sistem RFIDnya, kena bayar pula? Laos juga merupakan anggota negara Asean yang sepatutnya tiada apa-apa bayaran sewaktu memasuki sempadan.
Lepas bayar, pegawai booth akan ‘pinjamkan’ kad RFID. Simpan baik-baik kerana selepas kaunter cop passport sebentar nanti, ianya akan dimasukkan semula ke dalam pintu berpalang elektronik. Itulah ‘pinjam’ yang aku maksudkan.
Laluan keluar masuk di Thanaleng ini dibuka dari jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Inilah kad RFIDnya. Kanak-kanak kecil tidak perlu kad.
Sekarang, tuju semula ke lorong di sebelah kiri booth “Pay Pass” tadi dan akan ternampak booth yang tertera “Immigration Check In” dan beratur untuk cop passport. Semasa di booth, pegawai imigresen tak bertanya apa pun selepas melihat passport kami dari Malaysia, dan terus dicop. Perlu diingatkan, tak perlu selitkan duit celah passport seperti mana apabila memasuki pos imigresen Thailand.
Selepas passport dicop, pastikan kad RFID masih di tangan kerana perlu lalui palang elektronik ini. Sentuhkan kad di sini dan palang akan ‘telan’ kad. Semasa nak keluar dari Laos juga perlu dapatkan kad RFID yang baru tapi tidak perlu bayar apa-apa.
Alhamdulillah, kami dah lepas masuki Laos! Seperti biasa suami isteri akan ber-high five bersama-sama.
Dari kejauhan, kami ternampak deretan bas awam dan terus menuju ke situ.
Sebenarnya, jalan yang kami lintas ini sangat sibuk kerana merupakan pintu laluan keluar masuk sempadan di Thanaleng.
Ternampak pula keunikan makanan iaitu pisang bakar. Memang sah tiada di Malaysia. Pisangnya dibakar begitu saja tanpa sebarang salutan tepung seperti mana pisang goreng di tempat kita.
Lagi makanan yang dijual. Hanya mampu melihat.
Puan Tatie seronok sangat sebab inilah pertama kali kami sekeluarga termasuk diri aku sampai ke Laos. Ditambah pula, beliau teruja melihat jalan raya yang dipandu di sebelah kiri dan tangga bas pula perlu dinaiki dari arah kanan bas.
Tangga di kanan bas. Aku dah biasa kerana pernah naik bas di Mekah dan Madinah suatu masa dahulu.
Kami menaiki bas 157 untuk ke Buddha Park yang terletak berdekatan sahaja.
Leave a Reply