Bersambung dari Carpacker Kuantan-Cherating-Kemaman – Pra kembara.
Setelah hampir beberapa bulan, barulah aku dapat memulakan kisah penceritaan kembara kami ke Kuantan-Cherating-Kemaman. Aku mulakan dengan kisah di Muzium Bijih Sungai Lembing. Kisah tentang sejarah muzium, lombong dan pekan Sungai Lembing secara terperinci akan aku ceritakan dalam entri seterusnya kerana lebih ‘feel’ berbanding dalam entri ini.
Kami tiba di sini jam 1.32pm. Lokasinya tidak susah untuk dicari. Jika datang arah KL, akan terus menuju ke muzium dan exit di plaza tol Kuantan / Indera Mahkota. Jika dilihat dari peta, seolah-olah merugikan kerana perlu memandu ke arah timur sejauh 31km dan selepas keluar tol, perlu memandu pula ke arah barat (arah yang kita datang awal tadi), juga sejauh 30km. Alangkah bagusnya jika terdapat laluan terus dari kedudukan pertengahan lebuhraya LPT.
Apabila tiba di sini, tidak susah untuk mencari tempat letak kenderaan kerana ada banyak. Malah, kami sendiri parking hampir berdekatan dengan kaunter tiket.
Ini harga tiketnya. Aku agak memuji harganya kerana sangat sesuai dengan rakyat marhaen dan bukannya harga bangsawan. Sebelah kiri adalah tiket masuk.
Kaunter tiket terletak di sebuah rumah kecil di bahagian bawah. Jadi, kami kena menapak mendaki bukit kecil untuk naik ke atas.
Di bahagian luar juga dipamerkan sebuah kereta lama yang mirip kereta buggy untuk bermain golf. Ia merupakan kenderaan yang digunakan oleh pengurus besar yang menetap di sini. Untuk pengetahuan pembaca, rumah ini asalnya kediaman pengurus besar bagi lombong bijih Sungai Lembing.
Kalau datang ke sini, jangan lupa untuk bergambar dengan kereta lama tu. Kami terlupa pula semasa berada di sini.
Fuh… slow-slow kami menapak naik ke atas…
……… sambil menikmati pemandangan sekeliling yang berbukit-bukau. Sebelah siang pasti menarik dengan kabus dan sedikit kesejukan yang mengalir dari lembah-lembah kehijauan di sini.
Banglo atau mansion ini dibina separuh batu dan separuh lagi kayu. Binaan kayu masih kukuh sehingga sekarang walaupun telah hampir 100 tahun lamanya. Di bahagian kiri dan kanannya terdapat dua buah lembing yang menjadi nama bagi kawasan sini. Aku tak pasti apakah kaitan lembing dengan tempat ini… nanti aku carikan maklumatnya.
SELAMAT DATANG!
Kalau nak masuk, perlu tanggalkan kasut kecuali bagi bahan-bahan pameran di bahagian luar.
Jadi, kami tumpu pada bahagian luar terlebih dahulu.
Di bahagian kanan pintu masuk (bahagian luaran) tiada apa-apa. Dinasihatkan terus mengarah ke bahagian kiri sahaja. Kami membaca dahulu maklumat yang ada agar apabila berada di dalam, dapatlah kami membayangkan ‘big figure’ apa yang berlaku di sini.
Ini adalah winch iaitu alat untuk menarik bijih atau barang-barang besi. Pekerja yang mahir tentang selok-belok ‘kiew’ memainkan peranan penting dalam pengendalian peralatan ini.
Ini adalah peta keseluruhan pekan Sungai Lembing. Kawasan hijau yg berdekatan dengan Aqif adalah bahagian kediaman pengurus besar iaitu banglo ini dan juga menempatkan kawasan utama perlombongan.
Kemudian, kami terjumpa pula sebuah pintu masuk. Di dalamnya dibina mirip keadaan sebenar semasa berada di dalam terowong perlombongan bijih.
Dindingnya juga dibina hampir sama dengan ruangan yang sebenar.
Segala peralatan di sini adalah yang asal merangkumi troli besi dengan roda keretapi bagi mengangkut bijih, mesin pemecah batu dan lain-lain lagi.
Rasanya, lebar rel keretapi ini lebih kecil dari rel keretapi yang membawa penumpang. Tiba-tiba aku terbayangkan zaman kecil-kecil dulu bermain game Donkey Kong dan yang seangkatan (mirip game Super Mario) yang mana ada beberapa stage yang perlu menaiki troli lombong sebegini. Jika gagal, akan jatuh terpelanting sekali dengan troli, haha.
Selesai dalam bilik khas tadi, kami keluar semula dan meninjau bahagian belakang dan kelihatan beberapa buah mesin yang aku tak tahu apa kegunaannya dan basikal kecil yang mungkin milik anak pada pengurus besar.
Kemudian, kami kembali ke bahagian pintu utama tadi. Di situ terdapatnya meja pengawal dan beberapa papan maklumat.
Dalam banglo ini iaitu di bahagian dalam, tidak terdapat apa-apa di bawahnya. Pengunjung perlu terus naik ke tingkat satu.
Dan disajikan dengan sejarah perlombongan Sungai Lembing.
Ini yang sangat menarik perhatian kami iaitu ‘Diorama Laluan Terowong’. Ia meniru gambaran terowong yang bersambung-sambung sehingga lebih jauh ke dalam seolah-olah hujungnya infiniti. Masih belum nampak apa fungsinya?
Nah…. terdapat dua lapisan cermin di sini. Sebuah di belakang kami dan sebuah lagi di atas kami. Pantulan kedua-dua cermin menghasilkan imej infiniti. Cuba tengok di belakang kami. Memang begitulah keadaan dinding, syiling dan kayu-kayu pembahagi yang kelihatan berbentuk seperti huruf U yang terbalik.
Mungkin pembaca tertanya-tanya, kenapa ada kayu-kayu di dinding serta syiling bagi setiap 2-3 meter jarak? Semasa perlombongan, terowong yang baru diteroka akan dibina lantai, dinding dan syiling. Binaan yang selesai ditandakan dengan kayu. Ia juga menjadi pasak pada bumbung terowong.
Kaedah pameran seperti ini lebih menarik kerana pengunjung akan merasa lebih dekat secara berhadapan dengan barang atau artifak pameran berbanding yang diletakkan dalam almari kaca.
Ini adalah batuan sedimen yang dijumpai apabila penggalian terowong dilaksanakan dahulu.
Batuan sedimen yang dikategorikan mengikut jenis batu dan kedalaman.
Carta jenis-jenis batu merujuk pada kedalaman terowong lombong yang berbeza.
Dalam banyak-banyak barang yang dipamerkan di sini, inilah bahan pameran yang paling aku teruja. Cuba teliti dari dekat apakah yang dapat disaksikan?
Mungkin dari sudut berbeza, pembaca akan mengagak apakah ia. Ini adalah replika terowong lombong bijih Sungai Lembing. Terdapat pembahagi bagi replika ini. Satu bagi kawasan atas lombong, satu lagi untuk bahagian bawah lombong.
Sedikit fakta lombong:
- Mendapat jolokan ‘El Dorado of Asia’.
- Terowong lombong bijih terpanjang dan terdalam di dunia (sehingga 2000 kaki)!
- Lombong bijih timah yang kedua terbesar di dunia selepas Bolivia!
- Ketinggian 12 tingkat di bawah tanah!
Sepanjang koridor juga disediakan pelbagai jenis maklumat.
Pada pendapat aku, mungkin batuan yang dipamerkan di sini agak berharga, lalu diletakkan dalam lubang berkaca seperti ini dan pelancong pula dijarakkan dari kedudukannya. Ia terdiri dari batu seperti Amethyst dan lain-lain.
Ini pula buku catitan atau log harian. Nampak tak batu-batu berbentuk silinder? Itu berkemungkinan besar pasir, selut atau batuan jenis lembut yang dikeluarkan menggunakan penyedut dan penggerudi. Kebiasaaanya, ia membentuk lubang pada dinding terowong yang kemudiannya akan dimasukkan bom seperti TnT dan diletupkan. Atau mungkin juga hasil kaji tanah untuk mengetahui kandungan unsur di dalamnya sebelum penggalian dijalankan lebih dalam.
Ini pula replika laluan terowong merujuk pada bentuk yang sebenar dan bukannya diorama cermin. Kami pun masuk di koridor bahagian kiri.
Palang-palang kayu di sini jugam membentuk keadaan mirip dalam terowong.
Ok… inilah replika keadaan dalam terowong yang sebenar dan dibina dalam jarak yang pendek. Setakat sini sahaja yang kami boleh masuk. Aku rasa, kayu-kayu yang ditampal pada dinding terowong adalah kayu yang sebenar, begitu juga dengan landasannya.
Sekarang kami menuju ke arah bilik tidur pengurus besar. Kelihatan di sini almari dan perhiasan lama di ruang legar berhadapan dengan bilik pengurus.
Suis elektrik sebegini sangat nostalgia bagi aku kerana pernah menetap di kuarters kerajaan di Pulau Pinang di antara tahun 1980 hingga 1988. Kuarters tersebut dibina oleh British mengikut pada spesifikasi moden ketika itu. Dan untuk pengetahuan pembaca, suis dan wayar elektrik sebeginilah yang banyak menjadi penyebab rumah-rumah lama terbakar tiba-tiba kerana terlalu usang dan perlu diganti.
Inilah carta organisasi dan sejarah pengurus besar yang pernah menetap di sini dan menguruskan lombong bijih Sungai Lembing. Bermula dari William Fraser pada tahun 1887. Lombong ini sebenarnya masih beroperasi sehinggalah berakhir pada tahun 2005. Bermakna, tempat ini sehingga ke kawasan perlombongan telah berusia hampir 132 tahun jika dikira dari tahun 2019.
Inilah rupanya bentuk bilik tidur pengurus besar. Seperti ‘open air’ pula tanpa ada dinding penghadang di tengahnya. Radio lama mirip seperti di atas meja tu aku ada dalam simpanan di rumah. Jika ada pembaca yang berminat untuk membelinya, bolehlah buat tawaran harga.
Tandas yang mereka gunakan bersambung dari bilik tidur.
Ini pula ‘bilik trengkas’, iaitu istilah lama bagi bilik jurutaip dan kerani. Akauntan juga bekerja di sini kerana terdapat mesin kalkulator (cashier) lama. Kiranya, banglo pengurus besar ini juga berfungsi sebagai pejabat bagi operasi perlombongan.
Di sini boleh dikatakan banyak dipamerkan peralatan-peralatan utama yang digunakan oleh setiap pelombong samada dalam satu kumpulan kecil atau secara individu. Dari bakul yang dijinjing sampailah ke peralatan mengukur.
Antara gambar koridor yang aku suka kerana nun di hujung sana terus boleh nampak pemandangan bukit-bukau.
Nah… Puan Tatie dah bukakan tingkap untuk semua pembaca budiman.
Tahukah pembaca, setiap lubang yang dipecah sehingga menjadi terowong, hasil pecahan batu itulah adanya unsur bijih timah. Jadi, setiap kali pemecahan dinding terowong di hadapan dibuat, tanah-tanah dan batu turut dikeluarkan bagi memeriksa kandungannya. Sama juga amalan bagi terowong bagi perlombongan berlian. Dan bukanlah perlu mengorek bagi membina laluan terowong dan kemudiannya melombong tapi sebaliknya.
Peralatan-peralatan melombong secara lebih dekat. Dengan ini selesailah sesi ‘tour’ ke dalam Muzium Bijik Bijih Sungai Lembing.
Lalu kami pun keluar semula ke bahagian bawah. Tiba-tiba terasa nak ke tandas dan menuju ke bahagian belakang banglo pengurus dan ternampak adanya beberapa buah pejabat, mungkin pejabat Jabatan Pelancongan dan dikanannya ada tandas.
Sambil aku menunggu Tatie membawa Aqif ke tandas, aku meninjau keadaan luar muzium dan kelihatan banyak jenis pokok-pokok sebegini yang agak unik. Disebabkan musim tengkujuh pada bulan Disember, kami tak boleh tunggu lama dan terus menuju ke lombong bijih. Lagipun jam dah 2.15pm, risau pula kalau lombong ditutup. Secara keseluruhannya, aku berpuas hati dengan muzium ini kerana tiketnya RM2 bagi dewasa yang sangat berbaloi dan juga terdapat banyak keunikan berbanding muzium-muzium lain di Semenanjung Malaysia.
Bersambung di sini ya….. Moh kita ke masuk ke Lombong Bijih Timah. Awas, bagi yang ada phobia dengan Claustrophobia (takutkan tempat yang sempit) tidak digalakkan masuk. Nanti akan panic attack dan tiba-tiba sesak nafas.
Leave a Reply