Selamat menyambut tahun baru 2020 buat para pengunjung setia laman blog Zatie Wanderer!
Sejak ditubuhkan pada tahun 2011, blog ini telah berusia 9 tahun. Hampir sedekad lamanya. Tiga kali berubah nama domain dimulakan dengan https://kembaratravelog.blogspot.com, kemudian https://www.duniabulat.com dan akhir sekali https://www.zatiewanderer.com. Kunjungan pelawat sehari dari jumlah yang sendu sendan sampailah meningkat ke 800 hingga 1200 pelawat. Oleh kerana blog ini kategori bukan komersil, jadi aku hanya membiarkan sahaja popularitinya meningkat dengan sendiri tanpa sebarang promosi atau hebahan link ke laman ini baik di grup travel di FB, Twitter atau Instagram.
Berbalik pada kisah sambutan tahun baru 2020 ini, kami sekeluarga telah membuat cubaan terjah ke Dataran Merdeka. Hajatnya kerana untuk memeriahkan anak-anak dan juga untuk bersama dengan ramai orang bagi memeriahkan diri menghadap pertukaran tahun 201x ke 202x. Dengan penat dan letih kerana baru balik dari kampung mertua dan tiba di KL jam 9.45 malam, dengan pantasnya kami mandi-manda untuk bersiap dan keluar ke Dataran.
UPDATE 27 Ogos 2021: Ku sangkakan hujan berpanjangan, rupanya Covid yang berpanjangan melanda. Hancur plan kembara 2020 hingga sekarang. Tajuk blog “Membuka tirai baru” dah jadi “Mereput dalam rumah”.
Sepanjang zaman berumahtangga, hanya sekali kami menyambut begini, itupun pada Hari Merdeka di dataran juga. Selepas dah anak dua pun masih lagi belum menyambut samada Hari Merdeka atau Tahun Baru.
Aku teringat kali terakhir menyambut tahun baru yang tak silapnya 20 tahun yang lalu bersama kawan-kawan di KLCC. Kami siap melepak dari jam 5.00 petang di cafe Dome dan bersambung ke Gloria Jeans pula demi menanti detik 12 tengah malam. Akibat keletihan, aku terus bercadang balik ke rumah dan tak port di mana-mana club house. Yang parahnya apabila kami mula keluar dengan kereta dari KLCC untuk pulang ke rumah. Bergerak keluar dari jam 1.00 pagi dan tiba di rumahku pada jam 5.00 pagi! Padahal kalau hari biasa cuma 15 minit. Umat manusia atas jalan punyalah ramai. Aku siap pergi buang air di celah-celah pokok di tepi jalan. Bukan aku seoranglah, ramai lagi yang buat macam tu. Sejak dari tu, dah phobia nak menyambut mana-mana tahun baru di tempat berkumpul awam. Hanya di club house sahaja (clubbing lah tu, hehe).
Ok, kali ni plan aku ialah menaiki LRT dari rumah dan mengharamkan seketika penggunakan kereta walaupun ada anak kecil. Kami menapak ke stesen jam 10.45 malam. Alhamdulillah, dapat juga naik tren walaupun jumlah kepadatan gerabak menjangkau 80% dari kapasiti maksima.
Sebaik tiba di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek, kami bercadang untuk membeli tiket LRT ke KLCC pula. Di situ, kami dah terlayan pula happening dan kemeriahan sepanjang Jalan Tun Perak hingga ke Dataran Merdeka. Ditambah pula lagi dengan kesesakan untuk melintas jalan serta kesesakan dek manusia di stesen LRT, kami pun batalkan niat ke KLCC dan hanya melayan Dataran. Pilihan kami tepat kerana:
- Tidak perlu menaiki LRT yang ke-2 untuk ke KLCC dan bersesak dengan ramai orang awam.
- Dataran cukup happening dan menjadi tempat ikonik untuk perayaan sebegini.
- Dataran mempunyai menara jam untuk kami membuat countdown. Ya, jam sebenar. Bukan jam digital, TV, skrin digital atau lain-lain.
- Perdana Menteri turut sama hadir.
- Pertunjukan bunga api dan tapak pelancarannya yang agak dekat dengan Dataran.
- Pertunjukan drone.
- Kawasan berkumpul yang cukup luas.
- Persembahan tarian dan kesenian seperti yang biasa kita lihat di TV1/TV2 di ambang tahun baru (tapi kami tak dapat cecah ke situ kerana orang ramai sangat padat).
- Pelbagai foodtruck – nak beli segala makanan dan minuman semuanya ada.
Menapak dari stesen LRT Masjid Jamek menerusi Jalan Tun Perak untuk ke Dataran Merdeka. Kelihatan bendera Malaysia yang dipancarkan dari Menara DBKL.
Ini adalah panggung Bandaraya dan bukan sebahagian dari Bangunan Sultan Abdul Samad. Namun kedua-duanya hampir sama usia. Aku teruja dengan lighting nya.
Bermulalah aktiviti meredah lautan manusia. Berhajat untuk melintas ke arah berdekatan dengan pancuran air terjun buatan di hujung sana.
Ini antara punca kenapa kami menuju ke air terjun tadi kerana di bahagian sini adalah kawasan foodtruck.
Dari arah kami datang tadi pun penuh dengan ramai pengunjung. Sana sini tak dapat dielakkan dan terpaksa meredah. Sambil tu kami dapat menguji juga ketahanan kedua orang anak kami yang sekarang berusia 7 tahun dan 1 tahun 3 bulan, agar kental untuk trip kembara seterusnya.
Air pancuran buatan ni dah betul-betul depan kami tapi kerana ramai dah penuhi kawasan situ ditambah pula laluan untuk masuk ke dalam telah bertukar menjadi tempat duduk orang ramai, jadi kami hanya melihat dari jauh. Kalau nak bergambar di situ, aku rasa very instaworthy.
Cubaan untuk terjah paling hampir ke menara jam tapi gagal. Hanya melihat dari kejauhan. Yang penting, semasa countdown nanti dapatlah kami melihat jarum jam mencecah jam 12.00 tengah malam. (countdown dari MC yang bertugas di pentas tak dengar sangat pun sebab suasana terlalu bising).
Abang bomba yang bersedia untuk sebarang kejadian yang tidak diingini. Terima kasih!
Sebelum ke sini, aku dah pesan pada Tatie yang kami takkan bawa stroller ke sini. Janganlah buat pasal tanggung stroller. Jarak kami dengan orang ramai hanya bahu ke bahu, lagi kau orang nak bawak stroller!
Permukaan jam yang putih tu kerana salah setting pada kamera DSLR aku. Dengan berpusu-pusu macam ni, setting dikira cincai. Ambil saja gambar ikut mana yang sempat.
Tiba-tiba ramai bersorak, rupanya Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahathir baru tiba di sini. Terdapat sedikit kesyahduan di sini kerana menyambut tahun 2020 yang sepatutnya berasal dari sambutan Wawasan 2020. Dan Tun Mahathir pula adalah pengasas W2020.
Jauh lagi untuk negara kita mencapai status negara maju dan telah diakui oleh Tun sendiri dalam sidang akhbar beberapa hari sebelum ambang Tahun Baru. Sekarang diganti dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini lebih realistik berbanding Wawasan 2020 dengan bayangan kereta terbang dan bandar futuristik cyberpunk semasa aku di tahun 90an dahulu. Walaubagaimanapun, disebabkan aku dalam bidang tech, IT dan innovation, aku lebih memihak pada bayangan pencapaian kereta terbang dan bandar cyberpunk.
Kemudian, kami masuk ke bahagian sini pula kerana ada lagi baki 25 minit sebelum jam 12.00 tengah malam. Duduk di sini sekejap sahaja kerana pemandangan di langit agak kurang sedikit bagi menikmati pertunjukan bunga api dek kerana bumbungnya.
Nampak saja seperti mudah dapatkan tempat duduk, tapi selepas 10 minit di sini barulah dapat.
Entri blog inilah pertama kali kelihatan wajah anak ke-2 kami, Ezra yang kini berusia 1 tahun 3 bulan.
Jam telah tepat 12.00 tengah malam! Dimulakan dengan persembahan dron di udara. Banyak yang dipaparkan termasuk bentuk wau bulan, bendera Malaysia dan lain-lain lagi.
Akhir sekali, aku sajikan pembaca dengan pertunjukan bunga api dan mercun yang dilancarkan dari arah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Maaf dengan kehadiran bangunan yang menghalang pandangan penuh pertunjukan kerana ini saja sudut yang kami mampu.
Selamat tahun baru semua!!
p/s: Kami habiskan RM16 sahaja untuk tiket LRT pergi-balik. Bukanlah mahal sangat untuk menyambut Tahun Baru. Antara mahukan kelainan atau tidak je (dengan menyambut di rumah). Jadi next time, ibubapa bolehlah bawa anak-anak ke sini.
Leave a Reply