Alhamdulillah, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan kenderaan dan orang awam untuk merentas negeri, apa lagi melonjak kegirangan kami sekeluarga.
Apa tidaknya dah kata berkurung dalam rumah selama hampir 90 hari lamanya. Yang paling kasihan adalah anak-anak yang hanya keluar rumah sebanyak 3 kali sahaja, itu pun meneman kami ke pasaraya dan hanya duduk dalam kereta (tak salahnya pada ketika tu PKP4 atau 5).
Walaupun merentas negeri dibenarkan pada 10 Jun 2020, hanya pada 13 Jun sahaja kami berkesempatan untuk merentas atas sebab perlu menguruskan kerja pada hari bekerja dan BDR (Belajar dari Rumah) anak kami Aqif. Di kampung hanya satu bar 3G sahaja yang ada dan sudah tentu BDR lebih sukar.
Pilihan pertama kebenaran merentas kami dahulukan dengan pulang ke kampung mertua aku di Pontian, Johor bagi menyambut baki sebulan beraya yang masih ada. Jadi, pada pagi 13 Jun tu kami bertolak awal kira-kira jam 7.00 pagi menuju ke McD di PD Waterfront, Port Dickson.
Untuk ke PD Waterfront ni, perlu exit di Lukut dan bukannya terus sehingga ke hujung highway menghala ke Teluk Kemang. Belum pernah aku nampak kawan-kawan yang ke sini kerana kebanyakan terus ke Teluk Kemang.
Sebenarnya kami kempunan nak makan menu breakfast di McD.
Aku masuk bertanya pada staf McD di pintu masuk… “bang, kanak-kanak boleh masuk ke?”
“Alamak sori bang, kanak-kanak bawah 12 tahun tak dibenarkan dine in di dalam,” jawabnya.
Dan aku minta Tatie belikan makanan di dalam sambil aku jaga anak-anak.
Tapi takpa, makanan yang ditapau kami ‘open table’ di sini. Tengoklah pemandangan tu. Ini lagi best!!!
Teringat pula kenangan semasa Carpacker ke Terengganu dulu dan makan tengahari di pantai yang hampir sama.
“Minum dulu bruhh”
Sekitar pemandangan di hadapan port kami breakfast. Jauh ke hadapan ialah kawasan laut tengah.
Ini pula kawasan laut sebelah kiri.
Aku zoom paling habis dan bolehlah nampak bahagian lain Port Dickson yang menuju ke Teluk Kemang.
Kalau McD ada di belakang, pusing ke kanan akan ada jalan menuju ke laut. Jalan kecil ini dikhususkan untuk menurun atau menaikkan bot-bot kecil atau jet ski.
Inilah pemandangan di kawasan sini. Kalau di port breakfast tadi memang tak dapat turun ke bawah disebabkan banyak batu-batu besar. Nak merasa pegang air laut sebab dah 3 bulan PKP, jadi di sinilah tempatnya.
Rambut aku dah panjang bukan sebab PKP, tapi memang sengaja nak bela. Dah setahun lebih. Aku dah mula ke arah jiwa pengembara, jiwa yang bebas. Dengan itu tamatlah segala naik turun ke kementerian-kementerian untuk propose pelbagai penambahbaikan dalam prasarana IT kerana aku dah muak dan letih dengan pelbagai kes ‘salin kulit’ (copy paste) proposal aku oleh pihak lain. Rasanya lebih dari 8 proposal yang tebal lebih dari 1/2 inci sejak dari tahun 2005 sampai 2018.
Kalau korang posing kena gaya, memang instaworthy.
Pemandangan di bahagian kiri jalan kecil tadi. Nampak kan batu-batu besar.
Kemudian kami naik semula ke port tadi tapi ke arah kiri. Disebabkan masih awal pagi, suasana agak redup sedikit. Kali ni memang aku tak nak lagi tambah app filter pada gambar-gambar sebab nak kekalkan original. Banyak sangat dah aku nampak dalam group travel gambar-gambar palsu semata-mata. Tempat yang pokoknya hijau gelap, ditibainya hijau terang dah serupa macam di Switzerland atau Kashmir.
Gambar filter adakalanya akan membuatkan langit semakin membiru sama seperti luar negara dan tak original. Tak best!
Di hujung sana aku rasa banyak lagi restoran tapi mungkin dibuat sebelah petang hingga malam.
Aqif pun nak bergambar juga tepi pokok tadi.
Di sini ada tembok rendah yang dibina tapi langsung tak berkualiti. Di bahagian kanan gambar ni ada tembok dan lantai simen yang roboh dengan sendirinya.
Gambar kartun Lat tu aku mulanya ingatkan dia tengah melepas. Rupanya yang bulat tu adalah gasing.
Depan kartun Lat ada sebuah pulau, so aku zoom sejauh yang boleh. Rasanya mungkin sebahagian dari pulau tu adalah paya bakau.
Sepatutnya di sini ada jeti mini tapi lantainya roboh dan ditutup pada orang awam.
Dan akhir sekali, kami bergambar di signage PD WATERFRONT sebagai kenang-kenangan. Overall, tempat sini menarik dan next time mungkin kami datang lagi kalau nak singgah di McD. Bagi aku, McD sini adalah antara McD dengan persekitaran dan pemandangan yang menarik yang ada di Malaysia.
Mungkin waktu malam tempat ni happening dan meriah. Starbucks juga ada di sebelah Mcd. Gambar di signage ni agak spoilt sebab… paham-paham sajalah. Malas aku nak cakap, benda boleh brain.
Oh ya, di sebelah McD terdapat sebuah hotel iaitu Dwarf Hotel yang aku dapati agak menarik. Mungkin kami akan menetap di sini untuk satu malam kalau hajat kami untuk merasa menaiki feri ke Dumai melalui Jeti Port Dickson di sini tercapai.
Inilah Jeti Penumpang Port Dickson yang aku maksudkan. Ia tak jauh dari Dwarf Hotel tadi iaitu 1.5km dan mudah dicari dalam Google Maps. Aku park kereta dan masuk seorang diri untuk bertanyakan tentang tempat ini pada pak guard yang sedang bertugas. Katanya:
- Feri ke Dumai dari sini memakan masa selama 3 jam.
- Ramai penumpang lebih tertarik ke Melaka tapi di sini pula lebih dekat dengan KL.
- Feri ke Dumai dari Melaka pula tempoh perjalanannya 30-45 minit lebih pendek dari feri di sini.
Pendapat aku, mula-mula tadi ingat nak bermalam di PD kalau nak ke Dumai. Mungkin aku tukar cadangan naik dari Jeti Melaka. Walaupun lebih jauh dari KL, jika bermalam di sana, sekurang-kurangnya pada waktu malam boleh merayap banyak tempat secara berjalan kaki contohnya Jonker Walk dan esoknya boleh terus naik feri. Untuk misi Dumai akan datang, kereta akan kami tinggalkan di rumah dan menaiki bas ke Melaka selama 2 jam.
Seterusnya kami berangkat ke pantai Telok Kemang yang paling popular di Port Dickson. Dah berpuluh kali kami ke sini tapi demi melengkapkan penceritaan carpacker zaman PKPP ni, kali selitkan juga.
Kali ni hanya singgah untuk bermain pasir dan membeli makanan. Bagi yang ingin berkelah di sini, sewaan khemah agak berbaloi iaitu RM30 sahaja untuk sepanjang hari.
Aqif dari dulu lagi memang suka merasmikan pasir.
Kemudian giliran Ezra pula. Ini pertama kali dia menjejakkan kaki bermain pasir pantai. Dan aku sebagai bapak-bapak terus membulinya.
Dengan menenggelamkan kaki ke dalam pasir, keh keh keh!
Ok carpacker bergerak ke post terakhir iaitu Fort Supai dan menziarahi rumah kakak ipar pula…..
Leave a Reply