Sejak 2-3 tahun ke belakangan ini, blog kami mendapat hit paling banyak bagi maklumat tentang Thailand. Jadi, aku akan terus kongsi apa-apa lagi maklumat yang ada untuk tatapan pembaca. Ini adalah ringkasan atau wrap up berdasarkan pengalaman kami bagi Kembara Thailand-Laos yang telah dilaksanakan pada Disember, 2016 hingga Januari, 2017.
Tujuan entri ini sebagai berkongsi ringkasan tentang pengalaman kami merasai keberadaan di sana bagi 10 buah bandar terkenal di Thailand sertanya kekurangan yang terdapat di sana serta kesilapan kami yang boleh ditambahbaik oleh bakal pengembara lain.
Tujuan kedua kerana mendapat pertanyaan dari seorang follower kami yang meminta untuk mencadangkan 2 atau 3 bandar di Thailand yang terbaik yang aku rasa mungkin bakal dia lawati selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan disebab pandemik Covid-19 sedunia).
Ini adalah senarai 10 bandar utama di Thailand yang telah kami tempuh. Vientiane (Laos) dikecualikan dalam ringkasan ini:
- Hat Yai (Thailand)
- Prachuap Khiri Khan (Thailand)
- Hua Hin (Thailand)
- Samut Songkhram (Maeklong Railway Market) (Thailand)
- Nakhon Pathom (Thailand)
- Kanchanaburi (Thailand)
- Bangkok (Thailand)
- Lopburi (Thailand)
- Ayutthaya (Thailand)
- Nong Khai (Thailand)
- Vientiane (Laos)
Hat Yai
Semua orang tahu yang Hat Yai ni syurga makanan bagi orang Malaysia. Penuh dengan makanan halal yang bersepah. Ia juga destinasi atau ‘getaway’ yang tercepat dan terpuas hati kerana lokasi hanya 60km dari Padang Besar di Perlis. Sehari sahaja dah boleh ronda habis. Tempat tarikan merangkumi alam semulajadi, patung Buddha berbaring terbesar Thailand, zoo dan sebagainya. Kebanyakan penduduk melayu sini masih boleh bertutur dialek Kelantan. Bandarnya bersih, teratur, tidak terlalu sesak seperti bandar Georgetown di Pulau Pinang. Floating market di sini yang paling terbaik dalam semua. Harga barangan dan makanan sedikit murah dari Malaysia.
Kekurangan: 70-80% orang yang lalu lalang, di restoran dan lain-lain tempat adalah orang Malaysia. Tiada seri yang menampakkan seperti “ini adalah Thailand”. Cuti hujung minggu terlalu sesak dengan orang Malaysia. Ada beberapa tempat atau pengangkutan yang ‘mencukur’ duit orang Malaysia dengan harga sedikit tinggi. Bandar yang ‘too mainstream’ setiap kali bagi lokasi pemilihan rakyat Malaysia apabila ke Thailand. Senang cerita, sikit-sikit Hat Yai, sikit-sikit Hat Yai, hehe. Harga penginapan hotel yang agak mahal sama seperti di Johor Bahru kerana menerima ramai pelancong dari Singapore.
Cadangan akan datang: Jangan jadikan hanya sebagai bandar transit untuk tren ke utara Thailand semata-mata. Sepatutnya kami menginap selama 3 hari 2 malam di sini. Terlalu banyak tempat tarikan yang tak sempat untuk dikunjung seperti Samila Beach di Songkhla (patung Mermaid yang terkenal), Khlong Hae Floating Market dan Hat Yai Municipal Park.
Berminat tentang Hat Yai? Mula membaca dari sini..
Prachuap Khiri Khan
Ini bandar pilihan paling terbaik dalam semua bandar yang kami lawati. Tak menyesal kalau repeat dua kali. Mempunyai Wat di atas bukit dan boleh dipanjat, juga berfungsi sebagai tempat tarikan pelancongan yang ingin melihat keseluruhan bandar dari atas. Mempunyai night market yang meriah dan terpanjang dalam semua bandar yang kami tempuh (kecuali di Bangkok seperti Chatuchak Night Market). Makanan halal di lokasi tertentu tapi mudah dicari. Banyak di night market. Tempat yang tenang, santai dan merehatkan. Sesuai bagi golongan usia pertengahan dan ke atas. Bandar yang paling dekat dengan sempadan Myanmar iaitu melalui pintu Maw-daung. Ia juga mempunyai pantai yang cantik dan bersih. Di sini, tidak sesak dengan pelancong dan orang tempatan juga jarang bertemu dengan pelancong luar. Kos pengangkutan di sini agak murah dan berbaloi, mungkin kerana kurang pelancong.
Kekurangan: Semakin jauh dari Hat Yai dan menuju utara Thailand, semakin kurang yang fasih dialek Melayu Kelantan. Bukan tempat happening bagi golongan muda. Makanan halal pada siang hari agak susah. Hotel atau resort sangat terhad dan harga hampir mahal seperti di Hat Yai.
Cadangan akan datang: Wajib menginap sekurang-kurangnya 3 hari 2 malam. Kerana kekangan masa, kami juga tak naik sehingga ke atas Wat seperti dalam gambar di atas bagi melihat pemandangan belakang bukit pula. Mungkin akan mandi di Pantai Ao Manao.
Berminat tentang Prachuap Khiri Khan? Mula membaca dari sini..
Hua Hin
Paling terbaik untuk liburan bagi golongan muda dan juga yang seusia dengan kami. Penuh dengan shopping mall yang menarik. Makanan halal di warung dan gerai tepi jalan mudah didapati termasuk di night market. Syurga shopping selepas Bangkok. Tempat tarikan pelancongan terbanyak di Thailand selepas Bangkok seperti Santorini Park dan lain-lain. Pemandangan pesisiran pantai dari atas bukit Wat Khao Takiab seumpama bergambar di pesisiran pantai Miami yang panjang di US. Airasia juga landing di sini.
Kekurangan: Penuh dengan tarikan khidmat seks yang agak open termasuk tarian menjolok mata di koridor rumah kedai walaupun di siang hari buta. Harga hotel yang kompetitif kerana banyak persaingan. Merupakan bandar ke-2 di Thailand dengan pelancong yang paling ramai selepas Bangkok. Bandar hampir 70% menyamai stress seperti di Bangkok.
Cadangan akan datang: Kami merasakan penginapan 3 hari 2 malam di sini seperti agak kalut atau agak pendek tempoh masa (hanya sesuai untuk solo traveler). Mungkin kerana separuh hari telah diluangkan di Prachuap Khiri Khan sebelum bertolak ke Hua Hin. Jika berkeluarga dan mempunyai anak kecil, dicadangkan selama 4 hari 3 malam. Terlalu banyak tempat tarikan di utara Hua Hin (jika mengambil Clock Tower sebagai landmark titik tengah) yang kami tak sempat melawat. Perbanyakan lebih kurang 1.5 kali ganda duit belanja sedia ada kerana di sini terdapat pelbagai barangan boleh dibeli. Mungkin akan merasa untuk mandi di mana-mana pantai di Hua Hin.
Berminat tentang Hua Hin? Mula membaca dari sini..
Samut Songkhram
Dapat melihat pasar yang paling bahaya di dunia. Dapat mengunjungi floating market yang terkenal di Thailand (selain dari di Hat Yai).
Kekurangan: Makanan halal teramat susah atau hampir tiada! Tidak berbaloi untuk bermalam. Tiada apa pun tarikan tambahan di sini. Hanya bandar/pekan tipikal seperti di Malaysia yang 90% adalah bukan untuk pelancongan.
Cadangan akan datang: Mungkin mencuba untuk pulang ke Bangkok melalui tren dari stesen Mae Klong.
Berminat tentang Samut Songkhram? Mula membaca dari sini..
Nakhon Pathom
Dapat melihat stupa terbesar di dunia selepas India dan Myanmar. Banyak monumen dan kemudahan yang dikategori sebagai tempat bersejarah.
Kekurangan: Tak berbaloi bermalam di sini. Tiada apa tarikan langsung selain dari stupa dan monumen bersejarah. Makanan halal langsung tidak dijumpai oleh kami.
Cadangan akan datang: Tiada.
Berminat tentang Nakhon Pathom? Mula membaca dari sini..
Kanchanaburi
Bandar sejarah moden yang terkenal di serata dunia. Tempat sejarah yang berada di lokasi yang setempat. Boleh melawat sehingga ke landasan paling hujung dan terakhir semasa kerahan oleh tentera Jepun suatu masa dahulu.
Kekurangan: Hanya dua lokasi makanan halal saja yang ditemui, satu di night market berdekatan stesen keretapi dan satu lagi di sebuah restoran berdekatan jambatan keretapi maut. Hotel atau resort di tepi sungai sangat terhad. Kekeliruan mendapatkan lokasi titik tengah bandar yang sebenar. Bandar ‘mati’ selepas jam 7 malam (kecuali night market berdekatan stesen keretapi). Pemandu tuktuk yang terlalu demand. Tidak berbaloi untuk lanjutkan penginapan sehingga ke malam ke-2 kerana banyak tempat bersejarah boleh dilawati dalam satu hari sahaja. Banyak tempat sejarah berbayar yang lebih pada business atau profit oriented.
Cadangan akan datang: Mungkin akan organize semula masa agar ngam dengan tempoh penginapan selama 3 hari 2 malam dan menambah aktiviti menaiki keretapi lama sehingga ke stesen terakhir Nam Tok. Dari Nam Tok pula menaiki teksi menuju ke Hellfire Pass, Tham Krasae Bridge dan aktiviti hutan pula di Erawan National Park.
Berminat tentang Kanchanaburi? Mula membaca dari sini..
Bangkok
Rasanya tak perlu aku ceritakan kerana semua dah tahu yang ia adalah ibu negara Thailand. Sudah tentu macam-macam ada di sini.
Cadangan akan datang: Bangkok adalah sebuah kota yang besar dan harus memperuntukkan sekurang-kurangnya 4 hari 3 malam di sini (jauh sebenarnya dalam hati kami memang berharap dapat menginap lebih lagi iaitu selama 7-10 hari. Terlalu banyak tempat menarik di Bangkok!)
Berminat tentang Bangkok? Mula membaca dari sini..
Lopburi
Bandar yang popular untuk akses ke ladang Sunflower field terbesar di Thailand! Banyak tempat sejarah mirip seperti di Ayutthaya dan semuanya berpusat di tengah bandar.
Kekurangan: Tidak berbaloi untuk menginap walaupun satu malam kerana semua tempat boleh dilawati dalam masa 4-5 jam sahaja (termasuk Sunflower field). Hanya satu sahaja kedai makan halal yang ditemui, itupun dengan bantuan pemandu kereta sewa semasa menuju ke Sunflower Field. Kalau tidak, susah nak jumpa kerana ia berada di lokasi rumah kampung. Tarikan terbesar hanya Sunflower field.
Cadangan akan datang: Tiada.
Berminat tentang Lopburi? Mula membaca dari sini..
Ayutthaya
Bandar yang sangat terkenal di mata dunia sebagai tempat bersejarah setanding dengan Angkor Wat di Cambodia. Bandar yang menjadi kegilaan pengkaji sejarah purba. Bandar paling banyak peniaga gerai halal Muslim di night market di sini berbanding bandar-bandar lain di Thailand. Berbaloi untuk menginap 2 hari 1 malam. Tempat bersejarah yang berpusat di tengah bandar dan tidak berselerak. Pusat informasi pelancongan yang terbaik. Hotel banyak samada berdekatan stesen keretapi atau di tengah bandar. Boleh dilawati sehari sahaja dengan meninggalkan beg di stor berkunci di stesen keretapi dan menyewa basikal. Terkenal dengan Buddha Head atau Buddha Face yang terperangkap di celah-celah akar pokok selama ratusan tahun.
Kekurangan: Bakal termuntah kerana semua tempat bersejarah sama saja bentuknya dan akan menimbulkan kebosanan bagi yang tak minat sejarah. Bukan kerana lebih berminat sejarah Islamik dan kurang menyukai sejarah bangsa beragama yang lain, tapi sejarah itu sendiri secara keseluruhan.
Cadangan akan datang: Tiada.
Berminat tentang Ayutthaya? Mula membaca dari sini..
Nong Khai
Terletaknya landasan terakhir paling utara Thailand dan satu-satunya bandar yang bersempadan dengan Laos. Ramai overlander yang menaiki tren sehingga ke sini bagi menuju ke ibu negara Laos iaitu Vientiane. Semasa menyeberang sempadan, dapat melalui jambatan Friendship dan juga melihat The Great Sungai Mekong.
Kekurangan: Tiada apa di sini jika sekadar tergesa-gesa untuk melintas sempadan. Melainkan jika bermalam di sini dan dapat ke Aquarium terkenal di sini dan bermain di kaki sungai Mekong. Restoran halal hanya satu saja yang ditemui.
Cadangan akan datang: Sekurang-kurangnya bermalam hanya 1 malam di sini dan menikmati riadah di tepian Sungai Mekong. Kemudian melawat semula Vientiane dan naik ke utara menuju ke Phonsavan, Vang Vieng, Luang Prabang dan balik semula ke Thailand melalui Chiang Rai (menaiki “slow boat”). Atau terus menuju ke Hanoi, Vietnam dengan menaiki bas.
Berminat tentang Nong Khai? Mula membaca dari sini..
*****
Selesai wrap up untuk keseluruhan 10 bandar di Thailand yang telah kami kunjungi. Jadi, jika mengikut susunan, bandar manakah paling top? Ini mengikut selera kami. Lain orang, lain minatnya:
- Prachuap Khiri Khan (akan repeat lagi)
- Bangkok (akan repeat lagi dalam masa terdekat)
- Hua Hin (akan repeat lagi)
- Hat Yai (akan repeat lagi)
- Kanchanaburi (akan repeat lagi dalam 5 tahun akan datang)
- Lopburi
- Ayutthaya
- Samut Songkhram
- Nakhon Pathom
- Nong Khai (akan repeat lagi untuk projek “Trans Laos” di masa akan datang)
Psst…. adakah wujud “kekurangan” dalam konteks kembara itu sendiri? Jika korang benar-benar berjiwa pengembara, kekurangan itu tidak wujud. Yang ada hanya adventure sepanjang jalan. Malah, “cadangan akan datang” juga tidak perlu ditambahbaik kerana apa yang terhidang dalam setiap perjalanan itulah yang sebenarnya (go with the flow). Namun, bagi memenuhi kehendaki yang bekerja 9 hingga 5pm setiap hari dan tidak mempunyai cuti yang mencukupi, kami hidangkan entri ini untuk tatapan.
Lihat juga:
- Pra Kembara Thailand-Laos
- Ringkasan Peta Perjalanan Overland dari Thailand Hingga Laos
- Ringkasan Perbelanjaan Kembara Overland dari Thailand ke Laos
- Panduan Membeli Tiket Keretapi Thailand
Leave a Reply