Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 6 – Selamat Datang Ke Bangkok! Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Turun sahaja dari feri, kami set pencarian jalan lokasi untuk ke arah Khao San Road secara berjalan kaki. Di jeti Phra Arthit terpampang jelas papan tanda arah yang memudahkan pencarian. Jarak tak jauh hanya 650 meter.
Nota: Carian di Google Maps ada dua keyword iaitu “Khao San Road” atau “Khaosan Road”.
Kami melalui lorong-lorong dan deretan kedai di Jalan Soi Rambuttri. Pada awalnya aku tak tahu yang jalan tersebut juga popular buat pelancong asing. Patutlah sepanjang jalan kami bertemu dengan kedai-kedai jualan yang cantik dan menarik. Buat pengetahuan korang, kalau nak shopping sebaiknya di jalan ini dan elakkan dari Khao San Road kerana harganya sedikit tinggi. Maklum sajalah Khao San Road merupakan port bagi para backpackers dari serata dunia berkumpul. Di KL, Jalan Alor di Bukit Bintang adalah mirip Khao San Road.
Sebenarnya, sejak dari menaiki feri tu kami dah mula rasa mual dan masih lagi terasa seperti dilambung ombak walaupun pada ketika ini telah pun berada atas daratan.
Kami teruskan juga berjalan…
….. tapi akhirnya berhenti juga berehat di sini. Aku yang ada penyakit suka anxious terlebih tinggi mula rasa tak senang duduk kerana risau dan fikir macam-macam.
Risau sekiranya mual dan terhuyung-hayang akan berlanjutan berjam-jam atau berhari…
Risau kalau jatuh sakit tiba-tiba, bagaimana dengan backpack aku? Takkan Tatie nak kendong dua-dua beg yang berat?
Risau kerana masih lagi belum mendapatkan hotel penginapan.
Risau kerana tiba-tiba badan jadi lesu sedikit.
Itulah penyakit anxious yang terlebih tinggi… Ia takkan muncul kalau tiada trigger (dalam hal ni, penyebab trigger ialah mual dan terhuyung-hayang).
Hampir 15 minit kami berehat di sini menenangkan otak. Untuk pengetahuan korang, Khao San Road hanya berjarak 50 meter sahaja dari sini.
Lokasi kami menapak dan berehat.
Gagah juga meneruskan perjalanan ke arah utara jalan utama. Melalui carian Agoda, terdapat beberapa hotel murah di jalan utama ini iaitu Diamond House dan Vijittada Hostel.
Diamond House terletak di sebelah sebuah sungai setelah melintas sebuah jambatan kecil. Aku masuk dan bertanya, mahal pula harganya. Sungai tu bukan sungai yang bersih kerana baunya agak hapak.
Kemudian kami ke Vijittada pula tapi hanya tinggal satu bilik yang agak sempit. Aku tak sedap hati dengan keadaan di Vijittada.
Nasihat untuk korang, kalau boleh jangan cari hotel atau hostel di Khao San Road kerana aktiviti di sana sangat bingit dengan bunyi-bunyi disko, rave, techno dan sebagainya sampai ke subuh. Susah nak tidur malam.
Inilah Vijittada Hotel yang aku maksudkan. Jika ada kekosongan sekalipun, carilah hotel lain kerana layanan reception di sini sangat gagal dengan muka tak pernah nak senyum dan ceria.
Lalu kami cuba menapak lagi ke tempat lain. Dari carian Agoda, terdapat sebuah hotel yang agak terceruk sedikit yang bernama Ying Hostel.
Di sinilah laluan masuk ke lorong menuju ke Ying Hostel. Dalam keadaan sebegini, aku mencuba nasib sekiranya hostel mempunyai bilik untuk famili.
Sampai di Ying, aku pun masuk ke dalam. Ternyata ianya sebuah hotel dengan gabungan Spa. Aku bertanya pada kaunter harganya. Mereka mempunyai bilik untuk famili tapi harganya sangat keras iaitu THB650/malam. Dah luar dari bajet.
Memandangkan aku masih yakin dari carian-carian maklumat dalam Google mengatakan memang terdapat hotel murah di Bangkok, kami pun beransur keluar dari Ying Hostel. Sebaik saja aku melangkah keluar, tiba-tiba seorang lelaki pertengahan umur mengejar sambil memanggil aku.
Rupanya, beliau yang bukan bangsa Thailand tapi Cina yang sudah lama bermastautin di Thailand, menawarkan pada aku sebuah bilik untuk famili yang berharga THB300/malam! Wah, bagi aku sangat murah cuma tandasnya terpaksa berkongsi dengan penginap lain.
Terus aku ke Ying Hostel semula dan membayar untuk 3 malam berjumlah THB900, lebih kurang RM100 untuk 3 malam. Kemudian beliau membawa kami ke sebuah rumah kedai yang bertentangan bernama Barnana Hostel dan menunjukkan lokasi bilik. Memang di situ terdapat dorm tapi berasingan dari kami. Rupanya Ying dan Barnana milik mereka.
Begitulah cara berniaga kaum Cina. Jika pelanggan tiada bajet, mereka akan cuba berikan kemudahan yang lain yang lebih rendah harganya dan yang penting duit berpindah tangan daripada langsung tak mendapa apa-apa.
Berkenaan Barnana Hostel, akan aku review nanti.
Jam sekitar 9.23pm. Selesai melabuhkan backpack, kami terus keluar bagi meneroka Khao San Road serta mencari makanan halal untuk makan malam. Di sebelah kanan gambar terdapat 7-Eleven yang akan kami singgah bila balik nanti.
Menjadi perkara biasa di Thailand yang penuh dengan kedai Spa, urut, manicure, pedicure dan sebagainya.
Inilah Khao San Road! Akhirnya kami tiba juga di port syurga para backpackers dunia berkumpul. Khao San mempunyai dua arah jalan masuk iaitu barat dan timur.
Ketika ini, kami masuk dari arah barat (titik merah). Jika dibandingkan antara keduanya, tiada perbezaan kerana masing-masing ‘happening’. Buat korang yang nak cari gerai halal seperti kebab, sila tuju ke arah paling timur sekali. Peta di atas hanya ikuti titik-titik biru.
Penuh dengan macam-macam gaya dan rupa pelancong serta penduduk tempatan. Pelbagai cara kreatif digunakan untuk menarik pelancong asing singgah ke restoran, Spa, hotel dan sebagainya di sini.
Panjang keseluruhan jalan Khao San ini ialah 400 meter. Kalau ada masa dan lebihan bajet, dah lama Tatie akan masuk ke kedai Henna tu.
Ada yang nak kawin? Di sinilah tempatnya yang bernama Kawin Guesthouse. ๐
Antara pub yang makin merancak bila tengah malam menjelma.
Servis untuk penyimpanan backpack juga terdapat di sini. Kelihatan banyak juga gerai-gerai menjual pakaian.
Tempat urut lagi…..
Kami hampir sampai ke hujung timur Khao San Road. Walaupun hanya 400 meter, dengan usia aku yang dah hampir 40 tahun ketika kembara ini agak bingit dan semak juga telinga dengan bunyi-bunyi techno yang kuat di kiri dan kanan kami. Bukan aku tak biasa zaman 20an dulu melayan clubbing.
Tiba-tiba di hujung jalan kami terjumpa dengan kebab ayam yang halal. Harganya THB60 memang agak mahal tapi hentam sajalah. Sepanjang jalan di sini memang tak jumpa langsung makanan halal. Siap pesan sampai 3 bungkus.
Di sebelahnya ada pula dijual makanan pelik seperti serangga, ulat, cengkerik, kala jengking dan lain-lain. Memang ‘scene’ inilah aku nanti-nantikan di Thailand. Gambar yang aku ambil ni dibenarkan oleh penjual selepas membayar ‘pengeras’ berjumlah THB10.
Ulat-ulat yang asalnya kelihatan seperti ulat sampah.
Entah apa jenis serangga aku tak pasti.
Bila diratah, rangupnya macam kerepek sahaja. Waktu ni aku tak beli kerana sekadar menjenguk-jenguk dahulu. Jangan ingat aku tak berani makan… nanti aku tunjuk korang video aku tengah ratah ulat dan cengkerik pada malam kedua di Bangkok. Selayaknya aku jadi komando!!
Yang dah siap bungkus pun ada. Kala jengking tu aku tak berani makan sebab risaukan racunnya walaupun dah dibuang. Mungkin ada cara makannya yang aku sendiri tak tahu.
Kami tak lama di Khao San Road, lagipun dah letih sangat. Kemudian balik semula ke Barnana Hostel pada jam 10.20pm. Tapi sebelum tu singgah di 7-Eleven yang aku sebutkan awal tadi untuk membeli air mineral dan biskut.
Kelihatan lorong di sini dah pun lengang. Untuk yang berminat menginap di sini, aku kepilkan koordinat GPS iaitu “13.763591, 100.500167”. Jarak Barnana dengan Khao San Road ialah 950 meter.
Tamatlah sudah hari ke-7 kami di bumi Thailand. Ada lagi 9 hari lagi dengan destinasi kami terakhir iaitu Vientiane, Laos. Bersambung hari ke-8 di entri lain…. Kembara Thailand – Laos: Day 8 – Part 1 – Makan Tengahari di Chakrapong Mosque dan Melawat Coin Museum.
Leave a Reply