Kadang bila aku join korum atau group kaki travel, banyak dah yang aku baca yang mereka sangat berminat untuk kembara (luar dari Malaysia) samada jangka masa panjang atau pendek.
Namun, banyak halangan yang timbul yang sukar dielak. Berikut aku senaraikan antara penyebab segelintir masih belum mula gerakkan diri untuk mengembara:
1. Baru berjinak
Aku mula berjinak dengan kembara ni bila dah mula menghampiri usia 30. Isteri pula selepas berkahwin pada usia 25. Sebelum tu, bab kembara ni langsung tak masuk kamus hidup sebab gilakan kerjaya yang pada ketika tu aku cenderung mengusahakan bisnes sendiri. Hari-hari keluar rumah jam 10 pagi dan balik jam 1 atau 2 pagi. Bincang bisnes berkopi-kopi di cafe tu perkara biasa. Ghairah usia muda kata orang.
Jadi, buat geng yang baru berjinak ni perlukan sedikit lagi masa (kadang makan sampai 1-2 tahun lamanya) untuk mula terangsang minat kembara secara menyeluruh dan akhirnya diserap sebagai aktiviti wajib sepanjang kehidupan.
Nak melangkah kali pertama tu, hanya yang dah mulakan langkah naik flight atau keretapi ke luar negara sahaja yang faham apa perasaan. Sedih ada (nak tinggalkan orang tua), takut ada (bagi yang kembara solo), risau ada (pertama kali lintas sempadan) dll. Senang cerita, feel dia macam ditinggalkan seorang diri oleh mak bapak di sekolah bila masuk darjah 1.
Solusi: Mahu atau tidak, kena mulakan juga. Kalau tak, akan berakhir setakat bual-bual kosong semata.
2. Foundation
Buat yang single mahupun yang dah berfamili, dua-dua pasti nak lengkapkan bab foundation terlebih dahulu. Maksud foundation tu macam mana?
Yang single – baru lepas habis belajar, nak sediakan foundation dalam bentuk kerjaya tetap atau bisnes dulu.
Yang berfamili – nak tunggu baby fit untuk bawa kembara, baby cukup semua vaksin (biasa bila dah usia 2 tahun) nak besarkan dulu anak-anak, nak tunggu anak habis sekolah, ibu atau bapa bertukar kerjaya baru, ibu bapa nak menabung dulu, dan lain-lain lagi.
Kadang-kadang ada orang yang too ambitious (macam aku lah senang cerita). Nak lengkapkan segala-galanya dari barang kembara sampai tempoh kembara nak lama-lama, tak mahu jangka pendek. Tiada masalah pun, ini juga sebahagian ciri-ciri ‘foundation’. Tapi jangan terlalu lama, nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran…
Solusi:
Buat yang single, boleh saja sebenarnya. Kembara untuk tempoh kurang 3 hari ke negara-negara Asean. Bajet bawah RM1000.
Buat yang berfamili, buatlah saja apa yang dirasakan bahagia dan menyenangkan hati sebagai ibubapa pada anak-anak. Bila dah ready, on terus bawa keluarga jalan-jalan.
Buat yang too ambitious macam aku ni, pecahkan projek kembara pada dua. Satu jangkamasa pendek dengan kembara ke negara-negara terdekat dalam tempoh kurang dari 5 hari. Satu lagi ialah jangkamasa panjang contohnya projek kembara keretapi dari Malaysia sampai Vietnam melalui jalan darat dalam tempoh 3 minggu. Kalau menunggu jangka panjang semata-mata (yang kos tinggi, masa juga makan berhari-hari), alamatnya entah sampai ke bila boleh mulakan. Tapi kalau aku, pilihan hanya jangka panjang kerana aku ada kepuasan di situ.
3. Pendidikan anak
Bagi yang berkeluarga, mahu atau tidak, perlu menunggu sampai anak habis belajar tingkatan 5 kalau nak kembara tempoh yang sangat lama (3 bulan dan ke atas). Purata cuti sekolah tahunan yang paling lama pun sebulan.
Solusi: Ada alternatif selain menunggu sampai tingkatan 5 contohnya berhijrah atau menangguhkan persekolahan anak dan mengikuti pembelajaran secara online (homeschooling/worldschooling). Dulu, kaedah ini sangat rare bagi masyarakat. Namun sejak Covid, dunia semakin boleh menerima. Bagi aku, tak kisahlah belajar di sekolah atau home/worldschooling, yang penting bukan berhenti terus sekolah seperti mana orang-orang dulu yang hanya belajar sampai darjah 6 atau tingkatan 3.
4. Perniagaan
Ini masalah biasa bagi yang bisnes offline seperti retail, produk fizikal dan face to face (seperti agen insurans, unit trust, lawyer dll). Bidang seperti ni tak boleh tinggalkan negara untuk kembara jauh dan jangka panjang.
Aku ada juga ikuti kisah kembara dua orang lawyer yang tinggalkan bidang perundangan kerana minat mendalam dalam kembara. Mereka beralih ke bidang lain yang fleksibel yang boleh ditinggalkan dalam tempoh lama contohnya coffee house dengan menggajikan pekerja yang boleh handle jika ketiadaan mereka sebagai majikan. Seorang lagi pula, tukar ke bidang travel agency berkaitan umrah dan haji. Apa-apa saja asalkan boleh langkah ke luar negara.
Aku amat bertuah sebab dari hujung 90an lagi dah terjebak dalam bidang IT dan permulaan aku jadi digital nomad ialah pada tahun 2003 apabila Telekom perkenalkan talian Streamyx yang lebih laju dan kerja boleh dibuat dari jauh. Ditambah lagi kerja-kerja aku melibatkan server administration yang boleh diakses secara online untuk troubleshooting.
Solusi: Kalau boleh, cuba digital nomadkan bisnes korang sedia ada. Kalau tak boleh juga, buat macam kawan aku sorang ni. Dalam setahun, dia bekerja keras (offline) selama 6 bulan. Kemudian dia mengembara juga selama 6 bulan hasil dari pendapatan kerjanya sebelum tu.
5. Berkeluarga
Bila berkeluarga, tanggungjawab lebih besar dan hebat sampaikan bab sampingan seperti kembara tak boleh atau tak menyempat untuk diketengahkan langsung.
Nak uruskan anak sekolah, nak cara rezeki lebih, perbelanjaan bulanan pula dah sampai siling, anak jenis meragam kalau bawa kembara, pasangan pula tak minat kembara, belum ada rumah sendiri (simpanan dikira lebih berbaloi kalau membeli dahulu rumah), dan macam-macam lagi. Itu semua takdir yang tak dapat nak dielakkan serta kemudahan yang perlu disediakan.
Solusi: Bab ni aku serahkan pada kebahagian keluarga masing-masing bagaimana korang setup kan plan dan misi kembara. Jangan diikut-ikutkan orang lain. Untuk tunggu anak habis sekolah serta loan rumah habis bayar memerlukan masa yang lama. Boleh saja kembara bila dah usia 40an ke atas. Sementara menunggu segala selesai, fitkan diri masing-masing suami dan isteri, insya Allah mampu berjalan lebih jauh atas izinNya walaupun usia makin meningkat.
6. Kebajikan orang tua
Tahniah kepada mereka yang rela hati dan ikhlas menjaga ibu bapa samada mereka sedang sakit ringan, sakit berat atau kerana tidak sanggup meninggalkan mereka sendirian di rumah hingga terpaksakan bekukan seketika hasrat atau impian untuk mengembara.
Adakalanya adik-beradik ada yang sengaja melarikan diri dalam bab penjagaan ibubapa dan menyerahkan tanggungjawab pada adik beradik yang lain. Ada pula yang acah-acah sibuk kerana mencari projek juta-juta konon demi untuk kebajikan ibubapa yang memerlukan perbelanjaan perubatan dll. Ada pula ditegah oleh pasangan masing-masing kerana pentingkan keluarga sendiri. Hai macam-macam ragam manusia walaupun dahi hitam sekalipun.
Solusi: Tidak ada klausa, hukum atau apa saja yang mengatakan hanya anak sulung, anak bongsu atau anak tertentu sahaja yang perlu jaga ibubapa. Gilir-gilirkan. Lagipun adik-beradik yang lain juga anak kepada ibubapa anda. Bila lagi masing-masing nak buat pahala menjaga mereka sementara mereka masih ada, betul tak? Biarlah adil. Jangan guna alasan “aku sumbang cara lain (contoh duit)”. Sumbang tu sumbanglah, bab jaga tu tak sama dengan bab sumbangan.
7. Ahli keluarga yang sakit
Kalau kita biasa layari Tiktok, banyak juga ujian yang diberikan pada sesetengah keluarga. Ada yang suami atau isteri sakit. Ada pula yang yang anak mereka tiba-tiba ditimpa masalah kesihatan. Semoga bertabah ya menjalani ujian. Sesungguhnya aku doakan ada sinar di hadapan.
Solusi: Ini tiada solusi. Berserah sahaja padaNya. Lupakan saja kembara kerana kesihatan ahli keluarga lebih penting.
8. Tidak cukup bajet
Begitulah lumrah alam. Yang ada bajet, tak minat pula kembara. Yang tak ada bajet, berkobar-kobar pula semangat mengembara. Apakan daya, bahagian masing-masing.
Kadang tu bajet dah ada, Allah ‘tarik’ pula ke arah lain. Hak Dia, manusia akur sahaja.
Solusi: Bersabar… kelak akan ada hasilnya. Insya Allah.
8. Takut dan risau
London merupakan destinasi pertama aku secara solo (boleh ikuti siri London di sini). Sebelum tu ke Indonesia, umrah dll hanya bersama keluarga dan rakan-rakan. Tak dinafikan cuak, gugup, gemuruh semua ada. Ditambah pula aku sejenis yang high anxiety, lagilah. Perasaannya semacam baru habis sekolah tingkatan 5 dan ingin memohon kerja biasa-biasa buat kali pertama. Bila dah berhari-hari kerja, barulah terbiasa. Pendek kata, mahu atau tidak, kena pecahkan juga ruyung yang pertama.
Solusi: Beranikan saja diri. Zaman sekarang dah ada app Life360. Boleh maklum keberadaan lokasi pada ahli keluarga pada waktu nyata (real time). Elakkan tempat panas (red light district), jalan/lorong gelap dan balik ke hotel sebelum waktu malam. Sentiasa membaca di Tripadvisor tempat-tempat yang banyak scam.
9. Ada urusan lain yang lebih penting
Bab ni subjektif. Ada yang nak lebihkan hal berumahtangga terlebih dahulu (menabung, beli rumah, beli kereta, belanja persandingan dll). Ada pula yang nak up kan bisnes sedia ada sehingga mencapai KPI tertentu dan kembara sebagai satu hadiah. Ada pula yang kena ‘station’ di sini atas persetujuan dengan rakan kongsi dll. Ada yang nak menyekolahkan anak sampai selesai tingkatan 5 dan macam-macam lagi.
Solusi: Pandai-pandai koranglah hahahaha. Penat pula aku nak tolong fikirkan.
Apa-apa pun aku doakan korang dapat mulakan langkah mengembara. Hidup ini terlalu singkat dan akan rasa rugi kalau kita hanya ‘station’ di sesebuah tempat sampai akhir hayat atau sibuk tentang perihal orang lain atau sebarang aktiviti yang tak produktif.
Leave a Reply