Kembali kita ke bahagian ke-3 berkenaan digital nomad. Bahagian ke-2 rujuk di sini. Sebagai seorang “backup freak” atau “storage freak” ingin aku kongsikan hantaran kali ini tentang cecara backup data.
Kenapa aku hadap sangat bab backup data ni? Sebab:
- Aku guna mirrorless camera, setiap gambar bersaiz 15Mb. Sebulan beratus-ratus gambar famili yang diambil.
- Dengan kamera yang sama, aku suka shoot video 4K dengan bitrate 100Mbps. Sejenis yang nakkan kualiti tinggi untuk tontonan di hari tua. Saiz untuk seminit bersamaan 750Mb dan sejam pula 45Gb.
- Dokumen-dokumen kerja melibatkan pembinaan website, apps, grafik yang menelan kapasiti yang banyak.
- Koleksi ebooks yang kami jadikan sebagai e-Perpustakaan Keluarga.
Asalnya dulu aku ada buat perkhidmatan EDMS (Electronic Document Management System). Zaman tu 2000an, peralihan besar-besaran dari dokumen fizikal ke digital oleh kerajaan dan swasta. Selain peralihan, ia juga sebagai backup andai kata berlaku bencana alam.
Lepas tu berjangkit pula pada EDMS untuk personal yang dah dimulakan seawal 2005. Antara sebabnya kerana waktu tu aku banyak ke sana sini dan malas untuk membawa terlalu banyak dokumen fizikal. Antara yang influence aku ialah Tun Mahathir sendiri.
Sewaktu beliau merasmikan Putrajaya pada penghujung 90an, masih terngiang-ngiang hingga kini di telinga aku yang beliau bercita-cita ingin jadikan Putrajaya dan seluruh kementerian serta pengurusan kerajaan dari manual (berdokumen fizikal) ke paperless (tanpa kertas).
Tahun 2023, ada seorang sahabat lama bagi free saja pada aku sebuah desktop DELL buatan tahun 2013 untuk aku bereksperimen jadikan sebagai NAS Server dan digabung dengan banyak hard disk. Walaupun eksperimen ni menjadi dan aku on kan siang malam, aku terpaksa abaikan projek ni sebab power supply 500W pada komputer jika dibiarkan siang malam akan meningkatkan bil elektrik. Satu lagi kerana motherboard mula menunjukkan tanda-tanda mula rosak. Buat sahabat lama, jangan risau lepas ni aku sendiri akan hubungi semula lepas masalah-masalah lain dah selesai.
Fast forward ke tahun 2025, aku agak ‘unacceptable’ sebab kerajaan masih lagi menggunakan kertas. Nak ke orientasi anak tahun 1 pun masih lagi perlukan dokumen fotostat seperti surat beranak, surat tawaran kemasukan ke tahun 1, rekod vaksinasi, sijil nikah ibubapa dan macam-macam lagi. Padahal yang keluarkan sijil-sijil rasmi ni semua ialah kerajaan sendiri yang boleh centralized (dipusatkan) kerana berasal dari kelompok gagasan pemerintah yang sama yang memegang Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Jadi, mengambil sahutan Tun M tu memang ngam sangatlah digital nomad jadi paperless sepenuhnya. Apa kau nak tanggung dokumen bertan-tan semasa mengembara? Hehe. Buku novel atau Lonely Planet yang 4 ketul pun dah dekat 1.5kg. Sekarang semua dah ebook termasuk LP, tak ada sebab untuk tanggung berat lagi. Biasa-biasakan ber-ebook mulai sekarang walaupun asalnya aku sejenis yang suka pegang dan bau kertas fizikal.
“Kan dah ada cloud storage, kejadahnya kau nak simpan lagi dalam hard disk?”
Sabar, teruskan membaca. Ada sebabnya. Aku akan share kaedah yang lebih menjimatkan dari segi penyimpanan data offline….
Tapi sebelum tu, ingin aku ingatkan pembaca baru yang setiap hantaran blog aku lebih pada kriteria kembara jangkamasa panjang yang melebihi 6 bulan. Itulah pengkhususan blog ini.
Berkenaan Cloud Storage (Online)
Sepatutnya tak perlu aku terangkan sebab dah 10 tahun perkhidmatan ni wujud di dunia. Ada yang percuma (storan terhad), ada yang berbayar. Tapi tahun lepas (2024), aku ada terbaca hantaran di FB. Bila melihat komen-komen dalam tu, rupanya ramai lagi yang tak bergantung pada jenis berbayar atau peka pada keperluan cloud. Mungkin sebab penggunaan kapasiti storan tak banyak. Perlu maklum, digital nomad amat memerlukan kapasiti yang banyak. Digalakkan minima 2 Tb dengan bayaran bulanan RM42.99 jika menggunakan Google Drive atau Google One. Banyak yang korang boleh simpan seperti dokumen-dokumen penting, dokumen kerja, album-album lama dan juga gambar/video yang diambil semasa kembara. Baiklah, ini kebaikan dan keburukan cloud:
a. Kebaikan:
- Sebagai storan utama penyimpanan data jika talian internet kencang.
- Sebagai storan backup andai kata hard disk di laptop (atau external) mengalami kegagalan, terpadam dan sebagainya.
b. Keburukan:
- Jika tidak teruskan langganan bulanan, berkemungkinan semua storan korang dipadamkan oleh penyedia perkhidmatan (tapi dari pengalaman aku biasanya boleh diakses untuk muat turun sahaja dan akan dipadam selepas 1 tahun).
- Bergantung 100% pd talian internet. Walaupun storan cloud boleh dimuat turun dan dijadikan offline jika langganan tamat, namun perubahan (editing) pada file offline tersebut tidak boleh di muat naik. Sekiranya hard disk korang rosak, file offline turut rosak.
- Data, gambar dan video terdedah pada pihak admin penyedia perkhidmatan cloud. Dari pengalaman aku, belum lagi dengar kes pihak staf mereka membocorkan data pengguna. Kecuali kalau kena hack, itupun belum dengar kes sebegitu terjadi.
Bagi aku, kelebihan cloud lebih banyak dari keburukan (ayat terpaksa hehe, sebab digital nomad tiada pilihan lain).
Berkenaan Hard Disk (Offline)
Tak kisah samada hard disk dalam laptop, external atau dalam bentuk thumb drive, micro SD dan lain-lain juga dikira sebagai “hard disk offline”.
a. Kebaikan:
- Lebih cepat diakses kerana tidak memerlukan talian internet.
- Tiada langganan bulanan.
- Kapasiti boleh ditentukan sendiri.
b. Keburukan:
- Terdedah kepada bahaya seperti bencana alam.
- Boleh rosak pada bila-bila masa.
- Jika laptop hilang, maka hilanglah juga hard disk dan data penting.
Yang Aku Prefer? Cloud Storage + Hard Disk
Ya, ini pilihan aku. Gabungan kedua-duanya. Dah tentu akan timbul persoalan:
- Kena beli hard disk baru ke? Dah lah mahal..
- Mana nak simpan pula?
- Apahal banyak sangat hard disk?
![](https://images.trivacker.com/wp-content/uploads/2025/02/mystorage.jpg)
Inilah hard disk yang aku ada sejak dari 2005 yang sekarang berjumlah 12 unit. Bermula dari kapasiti 160Gb hingga ke 1Tb. Rata-rata hard disk di atas ni banyak dengan kapasiti 500Gb. Walaupun ada yang dah berusia, namun masih tetap boleh dipakai.
Bagaimana aku uruskan storan data?
Apabila berada di perantauan untuk tempoh yang lama (termasuk juga berhijrah), anda perlu bergantung pada pelbagai jenis keadaan:
a. Kembara jangkamasa panjang: Anda tiada rumah atau sebarang bentuk kediaman. Yang ada hanya hotel, resort, homestay atau menumpang di rumah kenalan. Di sana, tidak ada tempat penyimpanan data kerana menetap sementara. Anda sah-sah perlu bergantung pada cloud storage dan sebahagian pula dimuat turun ke dalam hard disk laptop.
b. Berhijrah: Anda menyewa rumah di perantauan, tapi bukan menetap hingga hari tua bertongkat. Pada permulaan hijrah, anda tak bawa pula barang berkoyan-koyan. Jadi, perlu bergantung pada hard disk yang boleh anda simpan dengan selamat iaitu di rumah anda di Malaysia, rumah adik-beradik atau rumah ibubapa di kampung. Di perantauan pula, anda bawa hard disk yang diisi dengan data penting sahaja dan selebihnya ‘campak’ ke dalam cloud storage yang juga mempunyai data yang di clone serupa seperti hard disk yang disimpan di Malaysia. Kalau anda mahu data lain, boleh ambil di cloud.
Jadi, dua senario berbeza ini menjadi sebab kenapa aku memilih untuk mengadakan dua jenis penyimpanan, satu di cloud dan satu dalam hard disk.
Boleh jadi semasa di luar negara:
- Aku terlupa renew langganan cloud storage – tak risau sebab semua dah di clone dalam hard disk lain.
- Sesuatu berlaku pada laptop – tak risau sebab ada dalam hard disk lain dan juga dalam cloud.
- Backup gambar/video kembara – tak risau sebab ada cloud sekiranya hard disk laptop dah penuh.
Kena beli hard disk baru ke? Apahal banyak sangat hard disk? Dah lah mahal..
Ya perlu sebab akan clone file dan folder (dokumen, gambar dan video sahaja, kecuali keseluruhan Windows atau Mac OS) dari laptop ke hard disk. Jika kapasiti terlebih, jadi perlulah hard disk tambahan.
Cara aku membeli hard disk
Aku akan beli kapasiti yang sama, contohnya 500Gb sebanyak dua unit. Kenapa dua? Satu sebagai primary (A) dan satu lagi sebagai secondary (B). Kedua-duanya di clone. Mahal ke? Kapasiti 500Gb terpakai hanya RM19.90. Kalau baru, harganya mencecah RM150. Setakat nak buat storage sahaja, kan? Tak perlu mahal.
Nak beli mana? Cari banyak yang terpakai di Shopee (klik untuk link kedai favourite aku). Tak perlu beli baru dan boleh saja hard disk bersaiz 2.5″ atau 3.5″ atau external hard disk terpakai (aku prefer 2.5″ kerana lebih ringan dan kecil). Bila dah sampai ke tangan korang, periksa kesihatan hard disk menggunakan apps Crystal Disk Info (free je).
Bagaimana dengan casing hard disk 2.5″? Boleh beli di sini (hanya RM22).
Bagaimana untuk akses hard disk 3.5″ pula? Dua pilihan. Samada beli external case di sini atau jenis docking di sini.
Jadi dengan ada dua hard disk A dan B yang di clone antara masing-masing:
- Kalau A rosak/gagal, masih ada B (beli lagi hard disk terpakai untuk gantikan A).
- Kalau kedua-dua A dan B gagal, masih ada cloud storage. Fuhh.. selamat data ku…
Kalau A dan B dah full? Ulang semula beli dua unit sekali lagi.
Lokasi mana nak simpan?
Sebelum mulakan kembara atau berhijrah, simpanlah hard disk di mana-mana rumah yang aku sebutkan di atas. Kalau aku pula:
- Primary (A) – bawa berhijrah/kembara jika hanya 1 atau 2 unit yang tak begitu berat atau simpan di storage warehouse. Rujuk sini.
- Secondary (B) – simpan di mana-mana rumah.
Nota: Walaupun dah berhijrah dan tak boleh update data terkini dalam hard disk yang ditinggalkan, tidak mengapa. Sekurang-kurangnya misi backup tercapai. Selebihnya (data terkini), upload saja di cloud.
Sekian, semoga membantu.
Leave a Reply