Bersambung dari Muzium Bijih Sungai Lembing. Klik di sini untuk Pra Kembara.
Berkampung kita kali ini sejak dari post yang terakhir tentang Muzium Bijih Sungai Lembing. Aku sebenarnya tidak lagi berhajat untuk meneruskan penulisan tentang projek carpacker ke Kuantan hingga Kemaman kerana post ini telah berusia beberapa tahun yang lalu dan aku merasakan yang maklumat tempat makan best dan lain-lain tidak lagi terkini.
Walaubagaimanapun, maklumat bagi lombong bijih ini masih lagi releven dan keadaannya juga masih sama, jadi aku merasakan adalah sebaiknya aku memanfaatkan masa yang terluang dengan mengabadikan kenangan untuk bacaaan anak-anak kami bila besar nanti.
Dikenali sebagai Lombong Bijih Sungai Lembing atau nama asalnya Lombong Tai Pei Tong, ini adalah lombong bijih timah yang sebenar dan terletak tidak jauh dari Muzium, lebih kurang 500 meter sahaja. Disebabkan cuaca mendung dan menunjukkan tanda-tanda akan hujan lebat, jadi kami pun bergegas menuju ke lombong ini. Bagi yang telah membaca post yang lepas, akan mengetahui yang kami pada asalnya terus menuju ke sini dan bukannya ke Muzium. Ini adalah kerana sewaktu kami tiba, lombong ini ditutup pada waktu lunch hour (ia juga ditutup pada setiap hari Isnin dan mungkin ditutup sementara disebabkan pandemik – hubungi ditalian 09-541 1480 untuk pengesahan).
Tiket masuk yang dikenakan ialah RM15.90 sen bagi orang dewasa dan percuma bagi kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun dan perlu dibayar di pintu masuk.
Masuk saja di perkarangan lombong, kami disajikan dengan restoran yang bernama El Dorado mirip nama atau sebutan bahasa di Mexico kerana di sana terdapatnya lombong bijih yang terbesar di dunia. Ini adalah kantin yang konon-kononnya dibina untuk pelombong di sini, walhal aktiviti melombong telah lama ditamatkan. Ini bagi memberi impresi seolah-olah kita berada betul-betul di tempat melombong yang sebenar.
Sebelum masuk lebih dalam, kami bergambar dahulu sebagai bukti pernah tiba di sini.
Pada awalnya, aku beranggapan yang kereta api mini ini hanyalah sebagai replika sahaja. Rupanya tanggapan aku salah. Ini adalah kereta api sebenar yang digunakan oleh pelombong untuk masuk ke dalam. Hanya aras tertentu sahaja yang kereta api ini boleh masuk. Dan sekarang ia digunakan untuk membawa pelancong untuk merasai pengalaman menjadi seorang pelombong dan pengalaman menaiki kereta api mini menuju ke dalam. Selain daripada membawa pelombong dan pelancong, dahulu ianya digunakan untuk mengangkut bijih timah dan dibawa keluar.
Agaknya beginilah pemakaian “ootd” pelombong siap dengan kasut boot dan helmet keselamatan. Apakah benar begini rupanya? Jauh dalam hati aku, rasanya bukan begini. Mungkin hanya sebagai hiasan luaran saja.
Untuk menaiki kereta api mini ini menuju ke dalam, memang terdapat jadual yang disediakan. Ia akan membawa pelawat jika semua jumlah penumpang telah penuh. Kelihatan di hadapan aku pemandu kereta api yang sedang menghidupkan enjinnya. Kami agak teruja disebabkan dua perkara. Pertama, inilah pertama kali kami memasuki sebuah lombong yang terkenal di dunia dan keduanya, ini juga pertama kali kami menaiki kereta api mini.
Kami tidak menunggu lama kerana pelawat pada ketika ini agak ramai. Pemandu di hadapan ini terus membawa kami masuk. Memang sengaja aku memilih untuk duduk di barisan hadapan bagi mendapatkan pengalaman yang berbaloi dengan tiket yang kami bayar. Di sini, keterujaan kami mula meninggi. Aqif pula memang tak senang duduk bukan kerana takut tapi kerana terlalu seronok. Beginilah keadaan di dalam lombong semasa mula memasuki terowong ini. Mula-mula adanya lampu dan selebihnya perlu menggunakan lampu suluh yang dibawa sendiri.
Semakin lama, lampu panjang tidak kelihatan lagi. Dalam jarak 10 meter ke hadapan, kereta api ini akan berhenti dan kami perlu turun dan berjalan terus ke hadapan menuju ke bahagian pameran utama.
Permulaan kami menapak, aku sarankan kepada pembaca yang ingin datang ke sini, sila pakai kasut selipar, seluar panjang yang senteng paras lutut sahaja, bawa payung kecil dan lampu suluh yang terang. Payung membantu kerana terdapat siling terowong yang menitis air bukit dari atas. Seluar pendek atau senteng pula membantu kerana lantainya sentiasa basah dan adakalanya terdapat takungan air setinggi buku lali.
Cuba tengok dalam gambar di bawah. Kelihatan lantai yang basah dan terdapatnya stalaktit yang tumbuh di bahagian atas siling terowong. Pada permulaan terowong ini masih terdapat bantuan dari lampu yang cerah.
Kami terus lagi menapak ke hadapan kerana dikatakan di hujung sana terdapatnya pameran utama di lombong ini. Agak saspen juga kerana kami tidak tahu jika terus menapak ke hadapan, apakah keadaan di hujungnya? Ini biasa berlaku pada pengunjung dan lebih memburukkan keadaan jika pengunjung mempunyai masalah claustrophobia, iaitu sejenis phobia di tempat yang sempit dan tertutup. Nasib baiklah kami sekeluarga tidak mempunyai fobia jenis ini.
Suasana dan keadaan di dalamnya agak kelam, ada bahagian yang separa gelap dan ada pula yang gelap gelita. Kelembapan udara agak tinggi di sini ditambah dengan hujan renyai-renyai di luar sana. Bau udara sama seperti bau jalan sewaktu lepas hujan. Semakin ke dalam lombong, udara terasa sedikit nipis.
Disebabkan ramai pengunjung di sini, suasana sunyi tak terasa. Kalaulah kami saja yang berada dalam ni dan aku mencarut dengan suara halus seperti berbisik, nescaya dapat didengar dari jarak 5 meter dari aku.
Lihatlah berapa ramai pengunjung yang berada di belakang kami. Disebabkan kami ialah penumpang yang paling hadapan dalam kereta api mini tadi, jadi kamilah yang seolah-olah mengetuai rombongan ini. Yang lain pula mengharapkan lampu suluh dari handphone semata-mata. Aku sebelum datang ke sini telah membaca maklumat tentang lombong dan keadaan dalamnya lalu membuatkan aku menyediakan siap-siap lampu suluh untuk memudahkan pergerakan kami.
Sambil berjalan di dalam terowong, ternampak pula sebuah laluan yang telah ditutup berkemungkinan besar atas sebab keselamatan. Mungkin silingnya tidak berapa kukuh dan boleh membahayakan. Ini adalah terowong sebenar yang digunakan oleh pelombong, dan perlu merangkak untuk masuk ke dalamnya. Bayangkan jika kita sendiri yang jadi pelombong di sini. Adakah anda berani?
Masih lagi berjalan sambil hati tertanya-tanya di mana dan bilakah akan tiba di kawasan pameran tersebut. Risau makin menuju ke dalam, makin sesat pula. Ini adalah kerana kebanyakan lombong bijih mempunyai terowong yang berliku-liku ibarat sebuah maze.
Acah-acah menunjuk jari ke arah stalagtit pada ‘rombongan’ kami.
Ok, inilah pameran utama yang terdapat di lombong bijih ini. Tahukah anda, terdapat sebuah lagenda di sini yang diberi jolokan Lagenda Lubang Sejuta Ringgit? Apa benda tu?
Lagenda Lubang Sejuta Ringgit
Alkisahnya, pada tahun 1987, sebaik sahaja lombong ini ditutup, terdapatnya sekumpulan 20 orang pelombong yang tak dibayar gaji mengambil keputusan untuk menjalankan aktiviti perlombongan secara haram apabila malam menjelma.
Pada setiap malam, mereka berjaya melombong bijih dengan nilai ketika itu di antara RM2000 hingga RM3000 sampailah jumlah keseluruhan bijih yang telah dilombong mereka mencecah RM1,000,000! Macam mana mereka melombong? Dikatakan mereka memecahkannya dengan tangan di rumah dan dijual di pasaran gelap.
Akibat dilombong habis-habisan, struktur dindingnya menjadi tidak selamat. Sehingga kini tidak diketahui nasib pelombong dan bijih timah yang telah mereka jual.
Antara lubang-lubang yang telah dikorek oleh mereka.
Lagi laluan yang dikorek yang terdapat di belakang mereka. Lihatlah betapa tingginya siling gua di sini.
Cubaan untuk mengambil gambar penuh tadi terhad. Ada lagi ruang di bahagian kiri gambar.
“Apa projek korang buat ni bang?? Meh kongsi sikit. Apa barang makan sorang. Sejuta pulak tu. Hehe.”
Di tepi ruangan ini, ada sebuah laluan terowong kecil yang ditutup sepenuhnya. Mungkin struktur silingnya membahayakan dan bakal runtuh bila-bila masa.
Jom kita tinjau bagaimana keadaan dalam sebuah terowong kecil.
Stalagtit yang berbentuk macam goreng pisang cheese meleleh.
Lorong Myah
Kami masuk ke Lorong Myah. Dikatakan adanya lif untuk turun ke bawah sedalam 1,400 kaki! Itu dah bersamaan 426 meter atau hampir setengah kilometer! Tapi kami tak jumpa pula lifnya.
Kaedah bagaimana mengangkat bijih menggunakan kereta sorong. Perlu dimaklumkan, ini bukan kereta sorong biasa kerana tayarnya merupakan tayar besi mirip sebuah keretapi untuk kegunaan di atas landasan.
Kami menapak pula ke laluan terowong yang lain yang bercabang dua. Untuk pengetahuan pembaca, lombong ini ada banyak tingkat. Hanya satu tingkat sahaja dibuka untuk orang awam.
Lepas menapak, ada lagi laluan yang bercabang dua. Aku pun mulalah menghafal laluan yang kami lalui risau tersesat pula nanti.
Sepanjang laluan terowong ini, memang lantai sentiasa basah dan siling juga menitik-nitik air. Payung sangat membantu.
Tiba-tiba kami terserempak pula sebuah terowong kecil yang ditutup untuk orang awam. Aku terbayangkan, macam manalah kalau kerja di sini dan perlu merangkak ke dalam tu. Semakin dalam, semakin menyempit dan boleh jadi tersangkut jasad di situ. Seram!
Terus lagi berjalan ke dalam….
Tiba-tiba terjumpa pula dengan pameran kedua di sini. Pelawat boleh cuba untuk menarik takal dan tali di situ.
Teknik ini adalah untuk mengangkat batu-batu yang dipecahkan di sini dan menggunakan pemberat dari logam besi. Sama konsep seperti sebuah lif.
Wah! Tiba-tiba aku ternampak pula sebuah lubang yang besar sedikit dari lubang yang tadi. Kali ni, aku suluh ke dalam dan mengambil gambar. Laluan ini juga tutup bagi orang awam.
Dan sebuah lagi terowong kecil yang kami jumpa. Terlalu banyak risiko bagi pekerja di sini. Bila-bila masa boleh runtuh silingnya kerana mula menjadi lembut akibat air hujan yang menyerap ke dalam tanah dari atas bukit.
Akhirnya kami menapak mencari jalan kebenaran yang bercahaya dan pulang ke pangkal jalan, hehe. Tempat kami berdiri ini ialah laluan masuk keretapi mini pada awalnya tadi.
Akan tetapi, untuk keluar dari sini perlu melalui laluan yang lain. Bagi anda yang ingin ke sini, hati-hati jangan sampai keluar ikut jalan keretapi mini tadi. Bahaya kalau adanya keretapi datang dari hadapan.
Alhamdulillah, kami telah temui jalan kebenaran yang dilimpahi dengan cahaya ibarat hati yang telah digilap dari dosa hitam yang ternoda dan masuk ke syurga. Atau boleh juga diibarat seperti bayi baru lahir ke dunia dengan penampakan cahaya dalam bilik wad bersalin yang terang. Banyak betul aku berimaginasi.
Kemudian, kami mencuba pula kereta jenis yang entah aku pun tak tau apa panggilannya. Dengan tenaga dua orang menekan batang pengayuhnya, kami dah cuba dan memang boleh bergerak. Kereta ini mengingatkan aku dengan Bamboo Train yang terdapat di Battambang, Cambodia.
Bergambar di laluan terowong masuk kerana pada awalnya tadi tak berkesempatan. Lipat dan sentengkan saja seluar panjang dan pakai selipar. Akan memudahkan urusan untuk melawat di dalam.
Kembali ke ruang menunggu bagi menaiki keretapi mini.
Sambil menunggu Aqif bermain seketika di taman permainan yang disediakan percuma untuk pelawat.
Begitulah kisah kami meneroka lombong bijih yang kedua terbesar di dunia. Sangat berbaloi untuk datang sekali seumur hidup.
Untuk post seterusnya, aku mohon banyak-banyak kerana tidak akan dijadikan entri yang panjang. Hanya ringkasan sahaja demi melengkapkan projek carpacker ini. Aku harap tempat tu masih wujud dan rating masih tinggi.
Bersambung di entri seterusnya, tempat makan best dan menarik di Kuantan!
Leave a Reply