Bersambung dari tempat makan best dan menarik di Kuantan. Klik di sini untuk Pra Kembara.
Dalam entri sebelum ni, aku beranggapan yang Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating telah ditutup memandangkan carian di Google Maps mengatakan “Permanently Closed” disebabkan (mungkin) pandemik yang melanda. Rupanya ada dua nama di lokasi yang sama iaitu:
Kalau carian dibuat atas nama Cherating Turtle Santuary, ianya dibuka sepenuhnya setiap hari pada waktu pejabat. Walaupun kunjungan kami dah bertahun yang lalu, namun keadaan, lokasi serta tarikan dalamannya masih sama untuk dibuat rujukan pembaca.
Jadi di bawah adalah lokasinya:
Jarak dari tengah bandar Kuantan ke pusat konservasi ini ialah 53km. Disebabkan kami ingin menikmati pemandangan sepanjang pantai yang menghadap Laut China Selatan, laluan yang menjadi tarikan pada kami ialah melalui Beserah. Perjalanan menjadi sedikit lama kerana jalan dalam.
Pusat konservasi ini dibuka dari jam 9.30am hingga 4.30pm setiap hari. Hanya pada hari Isnin dan Selasa sahaja waktu dibuka kadangkala berubah. Sila hubungi 09-581 9087 untuk pengesahan waktu.
Untuk pengetahuan pembaca, sepanjang carpacker Kuantan, Cherating dan Kemaman ini, kami dikira hati kering sebab musim tengkujuh. Hujan amat lebat di sana sini. Bandar Kuantan tu ramai menjangkakan akan banjir besar bila-bila masa.
Perjalanan kami dari Kuantan ke pusat konservasi ini juga sangkut di beberapa jalan kerana ketinggian air mula naik 1 kaki, tapi kami redah juga. Untuk menjadikan perjalanan kami lebih teruk, simpang masuk ke pusat konservasi ini dituruni air yang banyak kerana jalan dalamnya sedikit condong seperti menaiki bukit.
Aku siap batalkan lawatan ke sini bila dah nampak air mula menurun di simpang dan terus mengarah ke utara sambil berfikir. Kemudian, dalam hati aku berkata, tiada apa-apa akan berlaku dan lagipun kami dah ke sini. Entah bila lagi akan bertandang. Baik terjah sahaja sekarang.
Kami beranikan diri masuk dengan kereta ke simpang jalan dalam pusat ini dan alhamdulillah, tiada apa-apa berlaku. Keluar sahaja dari kereta, sedikit lencun dan mandi hujan kerana masih lebat.
Pusat konservasi ini telah dibuka pada tahun 1998 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalil Yaakob. Lokasinya dah hampir pada sempadan antara negeri Pahang dan Terengganu.
Masuk adalah percuma kerana diuruskan dan ditaja oleh kerajaan negeri. Walaubagaimanapun, terpulang pada kita untuk menderma sewaktu keluar dari tempat ini. RM5 ke, RM10 ke, RM20 ke, ikutlah… kalau cintakan hidupan dan alam.
Selepas melalui kaunter di pintu masuk (perlu menulis nama di buku log), pengunjung akan masuk ke galeri pameran.
Ada juga aquarium besar yang penuh dengan pelbagai jenis ikan kecil dan batu karang.
Inilah keadaan di dalam galeri utamanya. Disarankan lepak seketika di sini kerana banyak maklumat tentang penyu, dugong, ikan, batu karang dan hidupan laut yang lain ada di sini.
Selain penyu, dugong merupakan hidupan laut yang kerap boleh dilihat di pesisir pantai timur.
Perbandingan saiz dugong dan penyu.
Replika anak-anak penyu yang baru menetas dari telur.
Kemudian, kami menuju ke belakang galeri ini. Di sini lebih menarik kerana banyak sekali penyu hidup yang dipelihara, dipulih dan dijaga sebelum cukup tempoh matang untuk dilepaskan ke laut.
Hati-hati kalau berdekatan kerana kocakan tangannya yang berbentuk dayung tu sangat kuat dan memercikkan air.
Dari pengamatan kami, saiz penyu di sini agar besar. Panjangnya lebih kurang 1 meter.
Bukan kolam tadi saja, malah banyak lagi kolam yang lain. Malangnya kami tak dapat tinjau kolam-kolam yang lain kerana hujan begitu lebat dan tiadanya bumbung di antara laluan di sini.
Aqif teruja kerana melihat penyu dari dekat.
Keliru juga antara kura-kura atau penyu. Tapi aku rasa ini adalah kura-kura kerana ada jari-jari kaki.
Anak-anak penyu. Ini baru betul penyu kerana kakinya berbentuk seperti pendayung sampan.
Akhirnya selesai sudah di pusat konservasi ini. Tempatnya tidaklah besar. Mencukupi kalau meluangkan masa selama 30 minit. Yang penting, kami sekeluarga terutamanya anak, terhibur untuk hari ni.
Hujan pun mula reda sedikit. Balik tu, kami singgah ke Kemaman. Lebih tepat lagi di Jeti Sungai Chukai. Dah lama aku nak ke sini sebab nak usha Hotel Riverine semata-mata nak tengok kawasan parking kenderaan. Hotel ini paling terbaik untuk lokasi di tengah bandar Chukai berlatarkan pemandangan sungai Chukai yang luas serta tempat menarik yang lain. Nampaknya parking di situ agar terhad dan tiada jaminan disaman oleh Majlis Perbandaran sekiranya lebih masa.
Di hadapan hotel pula ternampak tempat makan-makan dan santai di Jeti Sungai Chukai. Jam pun dah 1.38pm, kami pun makan tengahari di sini. Lazat sekali hidangan nasi campur yang disediakan. Sambil-sambil tu mata aku meliar sekeliling sebab tak sempat solat Jumaat, hehe. Apa nak tipu. Musafir yang lebih dari 3 marhalah dan tak lebih dari 3 hari, tak ada hal!
Sekian sahaja dan aku akhiri kembara carpacker kami merentas 3 buah bandar/pekan/daerah dari Kuantan ke Cherating dan Kemaman. Selepas makan tengahari, kami kembali semula ke Kuantan untuk menikmati Kula Cakes dan pulang terus ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, bandar Kuantan tidak banjir besar dan tiada masalah yang berlaku pada kami.
Lin
Assalam sis.. Sis pergi bila ye kat santuari penyu ni.. Bukak lg x skrg ni.. Sbb sy plan nk g sana.. Hihi
Admin
Wsalam. Masih beroperasi smpi skrg. Tapi dari review terkini yg saya baca dlm Google Maps, pengunjung terkini yg dah ke sana cadangkan utk hubungi dulu pusat penyu ni dan maklumkan tarikh sblm dtg seperti nombor yg saya lampir dlm blog ni.. 09-581 9087. Sbb ada masa dorg tutup sekejap tanpa notis.
Lin
Ooo.. Masih beroperasi.. Aa, sbb sy ada jgk baca review, katanya skrg ditutup sementara waktu.. Saya pun pernah hubungi no sama mcm sis lampir tu, tp x angkat..
Admin
Ohh, kalau camtu abaikan la sis. Nanti rugi pula ke sana. Melainkan kalau sis on the way jalan yg sama boleh le try2 singgah. Sejak covid, tmpt tu mcm dah teratur management.
Tapi kalau still mengarah ke area utara Terengganu sampai ke KT, saya boleh rekemen pusat utama kerajaan negeri utk penyu kat rantau abang, berdekatan Dungun. Apa2 pun sis call dulu tempat tu ye. Kalau dah smpi dan tetiba tutup gak, just menapak ke bhgn blkg, sbb area kolam penyu situ tak berkunci (ada juga sebuah lagi kolam kat sblh kiri bangunan pun tak berkunci).
Peta: https://goo.gl/maps/Q6DeAsDRtkXbxB6S9
Tel: 09-8458169
Lin
Sy ada kerja kat kemaman.. Sbb tu nk g jln2 kat santuari tu.. Hihi.. Ooo kat rantau abg ek sis..? Blh g kat situ la.. Tp sy ada jg jmpa bila google, ada lg 1 tempat penyu di kertih x silap sy.. Santuary Ma’Daerah..
Lin
Sy nk g sana ada urusan kat kemaman.. Tu ingt nk bwk anak2 jln2 kat penyu tu.. Hihi.. Td pun sy try call, tp x diangkat jgk.. Ooo, kat rantau abg ke.. Sy ada survey2 jgk, jumpa jgk 1 lg santuary di kerteh.. Ma’ Daerah Turtle Sanctuary
Admin
Baik sis. Menarik juga tu. Nanti sy survey Ma’Daerah santuary tu. Thanks atas cadangan, kami pun belum pernah smpi lagi ke situ. Semoga selamat dalam perjalanan bersama keluarga ke Kemaman.
Lin
Ok sis.. Terima kasih jgk bg info, berkongsi tempat2 menarik.. Tq sis.. ❤❤