Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #3 Bandar Jerantut dan Mat Kilau. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Cuaca agak panas terik, matahari menegak di kepala. Terasa seperti masuk oven dan bertukar jadi kek lapis. Kami meneruskan perjalanan terus ke Kuantan. Dalam perjalanan, kami juga ada lalu di sebelah simpang ke kiri iaitu ke Taman Negara melalui Sungai Tekam. Seterusnya, buat pertama kali juga kami masuk ke Pusat Bandar Jengka. Ohh kat sini rupanya Felda Jengka yang besar tu. Di sini juga terkenal dengan Universiti Teknologi Mara (UITM) cawangan Jengka, Pahang. Ramai juga “adik-adik angkat” aku yang belajar di sini sewaktu hujung 90an. Teman lelaki dorang pun aku kenal yang kini dah bergelar suami.
Bila lalu sepanjang jalan lama untuk ke Kuantan dari KL dan selepas itu melalui jalan ke Jengka, agak seram juga tambahan pula dulu tak ada Lebuhraya LPT dan keadaan jalan ke Jengka mungkin tak seelok zaman sekarang. Kadang-kadang BF dorang terpaksa hantar waktu malam dan pulang ke KL hampir lewat malam. Dalam kepala, aku membayangkan betapa acah-acah machonya muka BF masing-masing tapi hakikatnya bila balik sorang-sorang pasang Yassin sikit punya kuat dalam kereta siap alihkan cermin pandang belakang arah ke lain. Risau ternampak penumpang ‘tambahan’. Itu yang BF dorang cerita kat aku senyap-senyap. Banyak laluan yang agak keras di sini, belum termasuk lagi highway Karak.
Lepas lalu Pusat Bandar Jengka, kami pun singgah beli buah-buahan segar di tepi jalan. Macam-macam juga buah yang dibeli, antaranya mangga, anggur dan lain-lain yang aku lupa namanya. Bolehlah dibuat sebagai alas perut sementara menanti untuk sampai ke Kuantan. Adui, lupa pula aku nak ambil gambar. Memang gerai-gerai buah ni favourite aku.
Peta di atas merupakan jalan yang kami ambil untuk terus ke Kuantan. Kami melalui Bandar Tun Razak dan exit melalui plaza tol Maran. Kali ni aku berhajat untuk singgah di Tanjung Lumpur, Kuantan. Apa yang menariknya di situ? Aku nak cross jambatan yang menghubungkan Kuantan dan Tanjung Lumpur. Besar juga jambatan tu. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam 5 minit dengan jarak 147 km. Dari Pusat Bandar Jengka, kami masuk ke Lebuhraya LPT melalui Plaza Tol Maran.
Di penghujung Kuantan, kami keluar melalui Plaza Tol Gambang yang mana terdapatnya Universiti Malaysia Pahang (UMP). Tahun 2004, aku pernah outstation ke UMP selama sebulan bagi kerja-kerja RND. Jadi, hampir 11 tahun lamanya tak ke sini. Dulu, UMP dikenali sebagai KUKTEM (Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia) sebelum dinaiktaraf. Exit di Gambang ni ikutkan jauh sebab ada exit lain ke Kuantan, tapi sebab nak usha UMP dan masuk bandar Kuantan, aku pun redah ikut jalan ni. Tatie pun belum pernah sampai Kuantan.
Seterusnya kami melalui Jalan Gambang sehingga ke tengah Bandar Kuantan. Jauh dalam 28 km, belum lagi termasuk kesesakan dan trafik light. Sambil-sambil tu aku berhajat nak tunjukkan pada Tatie tempat kerja lama dulu dan restoran yang biasa aku dan teman sekerja lepak yang terletak berhadapan Pangkalan TUDM Kuantan. Rasanya restoran tu macam dah tak ada lagi sebaik jer melalui kawasan tersebut. Teringat pula arwah sahabat baik aku Shahrin, kami biasa lepak di situ waktu lunch hour sambil mencuci mata melihat jet-jet TUDM berlepas dan landing. Perkataan lawak bagi kami ketika tu “Landing Time………………”. Makanan yang dipesan sampai atas meja pun “Landing Time……”, alahai. Sampai ke bilik hotel nak tidur atas katil pun jenuh berlawak “Landing Time…”. Sahabat saya meninggal tahun 2007 akibat masalah jantung, buah pinggang dan paru-paru serentak. Puncanya kerana kuat merokok hampir 5 jenama sehari. Sejak dari tu jugaklah aku berhenti merokok. Nak tahu sebelum aku berenti, berapa batang rokok aku hisap? Sehari 40 batang Dunhill merah. Parah! Hari-hari menyembur macam naga, baju dalam bilik bau pekung, seat dalam kereta pun sama.
Inilah Kuantan. Indah sekali bandar-bandar dan pekan-pekan di Malaysia. Kami menunggu traffic light untuk ke kanan (Tanjung Lumpur), untuk melalui sebuah jambatan panjang. Banyak negara pernah aku sampai iaitu Jakarta, Bandung, Surabaya, Arab Saudi malah London beberapa tahun yang lalu. Tapi, sejak akhir-akhir ni aku semacam mempunyai kecintaan terhadap landskap tanahair yang sukar untuk diterangkan. Mungkin mirip seperti seorang pelukis yang merenung lukisan abstrak yang maksudnya sukar difahami orang-orang bukan seni. Senang cerita, landskap tersebut merujuk pada keadaan sekeliling, binaan, struktur, cuaca, bau, perasaan dan lain-lain yang merangkumi seluruh nusantara dari Vietnam, Kemboja, Thailand hinggalah ke Nusa Tenggara, Indonesia.
Dek kerana terfana tengok jambatan panjang, aku lupa nak snap gambar. Lagipun, agak susah nak snap sebab camera DSLR yang besar gedabak, nak kena adjust macam-macam. Nak berhenti tepi jalan pun tak boleh. Nak suruh Tatie, tengah pangku riba Aqif yang tengah tidur pula.
Sampai di Tanjung Lumpur dah hampir jam 3 petang! Perut dah lapar. Banyak kali juga aku berhenti sebab nak usha port kedai makan. Kami pun terjumpa sebuah kedai makan yang menghala ke arah Kuantan kembali.
Inilah dia restoran yang aku sendiri namakan sebagai “Restoran Jiwa Merdeka”. Dengan ini menunjukkan rata-rata orang Pahang sangat cintakan tanahair. Mungkin semangat pejuang-pejuang Pahang masih lagi membara di hati mereka. Tidak seperti generasi muda zaman sekarang yang tidak mengenal erti perjuangan yang sebenar, tidak mengenal apa itu peperangan fizikal yang sebenar, tidak mengenal jalan-jalan hutan yang perlu dilalui selama berbulan-bulan melarikan diri dari penjajah dan sebagainya.
Makan di sini so-so jer. Lapar punya pasal, kami bedal jer.
Gelagat budak-budak macam nih la. Ajak makan main-main jer lebih, terpaksa layan. Biasanya kami bergilir-gilir makan. Nampak gaya Aqif ni lasak, sesuailah untuk bawa backpacking ke negara-negara seperti Indochina dan India.
Sepanjang di Kuantan ni, aku memang terlepas spot best iaitu papan Billboard “Kuantan”. Takpalah, next time kot. Lagipun waktu tu jem sangat-sangat, mungkin lunch hour. Tambahan pulak, bandar Kuantan ni banyak jalan one way. Memang kena pusing satu round kalau nak ke arah papan billboard.
Sebenarnya, ada lagi tempat yang kami terlepas kerana kekangan masa iaitu Muzium Tokoh Pahang, Masjid Sultan Ahmad Shah, Teluk Cempedak dan banyak lagi.
Berapa kos Jerantut-Kuantan (ikut harga semasa, kecuali makan/minum)?
- Minyak kereta masih ada 2/3.
- Plaza tol Maran ke Plaza tol Gambang – RM5.40
Seterusnya kami bergerak ke Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating, Beserah dan Cherating Bersambung ke artikel Carpacker 2015 – Pantai Timur – #5 Beserah dan Cherating.
Leave a Reply