Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #19 Kuih-Muih Terengganu dan Masjid Terapung Sekali Lagi. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Terengganu sangat terkenal dengan Batu Bersurat Kuala Berang. Jadi, kerajaan negeri telah membina sebuah monumen replika di tengah pusat bandar Kuala Terengganu.
Kami pun sebenarnya terserempak je. Jadi aku pun parking tepi jalan dan zoom untuk mengambil gambar.
Buat korang yang nak singgah, nah aku bekalkan GPS: 5.328752, 103.146029
Lokasinya sangat dekat dengan Pantai Batu Burok, Pasar Payang dan Chinatown.
Lepas asar tu, kami pun tak tahu nak tuju ke mana. Jadi, aku plan untuk singgah di Pantai Batu Burok sekali lagi. Kali ni kami terserempak dengan kereta kuda berhias ala-ala Cinderella. Memang seronok sangatlah Tatie dan Aqif.
Harga hanya RM5.00 sekali pusing tak kisah berapa orang yang naik atas keretanya. Bagi aku, kira murahlah. Tukang pedatinya ialah seorang budak.
Alah… tak jauh pun dia pusing. Jarak tak sampai 100 meter pun. Lebih kurang 3-4 kali pusingan.
Haha cuak Aqif. Belum pernah dia tengok kuda dari jarak dekat. Dari muka monyok mengantuk tetiba cergas semula.
Inilah dia kereta kuda Cinderella.
Aku suka kudanya kerana kulitnya putih dan bersih. Entah macam mana careless betul aku biarkan Aqif menghampiri dengan kaki kuda. Bahaya… buatnya kuda meloncat ke apa. Itulah penangan kalau sibuk setting handphone.
Sambil tu aku pun menatap notepad dalam handphone bagi senarai tempat-tempat yang belum dilawati. Petang ni juga aku bercadang ke dua buah tempat iaitu Istana Maziah yang berdekatan dan Kota Lama Duyong.
Malangnya, istana ini bukanlah boleh dimasuki pelawat kerana ianya masih digunakan lagi untuk upacara rasmi. Hanya boleh bergambar di luar sahaja.
Sejarah Istana Maziah (dari wikipedia)
Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri, kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.
Setakat ini terdapat percanggahan mengenai tarikh pembinaan Istana Maziah. Mengikut catatan Engku Pengiran Anum, batu asas pembinaan istana ini dimulakan pada hari Jumaat, pukul 10:00 pagi, 31 Mei 1895 ( 7 Zulhijjah 1312 ) di masa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ( 1881-1918 ). Manakala catatan Dato’ Seri Amar Diraja Haji Ngah Muhammad bin Yusof pula, istana ini dibina pada tahun 1897.
Istana Maziah dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang telah hangus terbakar. Istana Hijau dibina pada masa pemerintahan Sultan Omar ( Baginda Omar ) pada 10 Mac 1870 (7 Zulhijjah 1286). Tokoh yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus pembinaan dan jurutera Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil.
Dia adalah saudara ipar kepada Sultan Zainal Abidin III. Selain daripada itu terdapat beberapa tokoh lagi yang turut sama menyumbang dalam pembinaan istana ini. Mereka yang bertanggungjawab menyiapkan pelan dan binaan istana serta menghias bahagian dalaman istana ialah Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Encik Muhammad bin Abdul Rahim ( lebih dikenali dengan nama Encik Mat ) dan juga Dato’ Mata-Mata. Di samping itu tugas mendapatkan kayu, kebanyakannya dari Dungun diuruskan oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Manakala pengurusan batu bata dan kapur pula diserahkan kepada Tengku Besar Paduka Indera. Bahan yang digunakan dalam pembinaan istana ini terdiri daripada campuran kapur, tanah liat, pasir garam, putih telur dan manisan.
Kira-kira 20 orang tukang Melayu dan Cina terlibat dalam pembinaan Istana Maziah. Masalah kewangan pada masa itu telah menyebabkan pembinaan istana ini tertangguh. Walaupun begitu, istana ini telah siap dan upacara ” naik istana ” diadakan pada 7 Ogos 1903 ( 14 Jamadil Awal 1312 ). Tidak berapa lama selepas Istana Maziah siap, Tengku Embong Musa, Ketua Jabatan Kerja Raya menambah lantai di bahagian anjung istana tersebut.
Pada ketika itu di bawah anjung Istana boleh dilalui kereta. Ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1920 – 1942 ), layang-layang anak tangga dipinda. Seterusnya pindaan dilakukan lagi di masa pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah ( 1945 – 1979 ). Bilik di tingkat bawah terletak Singgahsana di sebelah matahari naik telah dibuang pintunya supaya ia bertambah luas. Dengan itu, Singgahsana dipindahkan ke tingkat atas. Pada tahun 1954, dibina pula layang-layang tangga hadapan di sebelah matahari jatuh.
Selain itu, bilik di tingkat atas sebelah matahari naik telah dirobohkan untuk ditempatkan Singgahsana. Pada tahun 1972, sebuah bangunan tambahan dibina di bahagian rusuk sebelah barat. Seterusnya Singgahsana pula ditempatkan di tingkat atas bangunan baru Istana Maziah ini.Pada tahun 1998, satu tambahan baru telah dibina di bahagian hadapan istana ini.
Inilah Bukit Puteri yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Istana Maziah. Di atasnya ada meriam dan juga makam DiRaja yang lama.
Lokasi GPS bagi Istana Maziah: 5.335883, 103.137434
Bersambung di entri seterusnya Carpacker 2015 – Pantai Timur – #21 Kota Lama Duyong.
Leave a Reply