Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #13 Makan Steamboat di Pulau Duyong. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Hari ni masuk hari ke-2 iaitu Rabu, 25 Mac 2015. Sepatutnya hari ke-3 kalau dikira dari hari memulakan perjalanan dari KL. Perjalanan ke Kelantan dari BBBR bermula jam 9.30 pagi.
Sebenarnya, sebelum ini aku kerap gak ke Kelantan termasuk hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ni sebab 4 dari 8 orang adik beradik sebelah ibu aku berkahwin dengan orang Kelantan. Kami semua asal dari Pulau Pinang tapi entah macam mana adik-beradik sebelah ibu boleh ‘tersangkut’ pulak dengan orang di sini. Takdir dan jodoh, rezeki dari Allah Taala. Jadi, rumah-rumah saudara yang biasa aku tumpang terletak di Ketereh, Peringat dan Paya Bemban.
Lepas check-out dari BBBR dan lepas bypass Jambatan Sultan Mahmud, aku tercari gak kalau-kalau ada warung tepi jalan untuk breakfast. Ok jumpa juga. Lebih kurang setengah jam jer kami melepak. Kemudian kami teruskan perjalanan melalui jalan lama sebab berhajat nak singgah ke Pantai Merang (Kampung Rhu Sepuluh) yang dikatakan pantai paling indah di Terengganu. Tapi entah macam mana, route perjalanan nampak lebih jauh kalau masuk ke jalan untuk ke pantai Merang dan kami pula kesuntukan masa lalu memilih jalan yang akan bypass ke Setiu. Jadi, kami tukar plan untuk ke pantai apabila balik dari Kelantan ke Kuala Terengganu semula.
Nah ambik! Jauh gak lebih kurang 164 km dan mengambil masa selama 3 jam. Sampai sahaja di Pasir Puteh, kami mengambil jalan dalam atau jalan kampung menghala ke Kubang Kerian, nak cari port makan tengahari, dah lapar weh! Jalan dalam tembus di Peringat berdekatan dengan rumah saudara aku. Tak sangka pula jalan yang mengarah ke pantai Bachok adalah laluan alternatif untuk ke Pasir Puteh, Besut dan lain-lain. Tatie dan Aqif tidur di belakang.
Sampai jer di Kubang Kerian, aku cari dulu masjid untuk tunaikan kewajipan. Aku taklah mahir sangat tentang makanan Kelantan ni selain dari budu, laksam, nasi kerabu dan lain-lain. Kebetulan pula termasuk ke sebuah lorong sewaktu nak mencari restoran yang popular kat sana.
Dekat berkali-kali pusing area sini. So bila ternampak jer port makan bawah pokok ni, apa lagi aku pun terus stop kat situ, dah letih nak pusing-pusing lagi. Walaupun secara spontan, sedap gak warung yang kami jumpa di celah lorong ni. Biasa jer iaitu nasi kukus ayam dara yang sedang trending dan terdapat di mana-mana di Malaysia. Peta di atas ialah lokasinya bagi yang ingin mencuba atau boleh sahaja masukkan koordinat “6.111848, 102.250217” ke dalam Google Maps.
Nah layan gambar nasi kukus ayam dara. Semuanya dibungkus walaupun ada kerusi dan meja yang banyak di situ. Agaknya beginilah kot style nya.
Ini kawasan warungnya. Agak ramai orang mungkin kerana belum jam 2 petang dan ramai orang-orang bekerja makan di sini. Kami pesan nasi kukus dua bungkus dan nasi kosong dan ayam kosong tanpa kuah/sambal untuk Aqif makan.
Di Kelantan ni, aku sebenarnya ada tiga tujuan. Pertama memang nak ke Tumpat untuk mencari landasan yang terakhir pantai Timur di sana, kedua sebab nak menziarah Masjid Tok Selehor, iaitu sebuah masjid lama yang menyimpan banyak sejarah tentang pengajian-pengajian di Kelantan dan ketiganya sebab aku nak pi mengurut buang angin di Pasir Puteh dengan Pok Li. Masjid Tok Selehor terletak di Tumpat. Aku pun mula mencari di GPS iaitu Kampung Kok Pasir. Ok dekat jer dan meneruskan perjalanan ke sana. Sebelum tu, berhenti di stesen minyak, aku beli dulu beberapa botol air minuman, coklat dan makanan ringan untuk Tatie dan Aqif sebab cuaca agak panas. Biarlah dorang berhibur sedikit.
Jarak dari stesen Petronas ke Kampung Kok Pasir lebih kurang 14 minit dan sejauh 6.7 km. Tengah seronok memandu masuk jalan dari kampung ke kampung seterusnya tiba di sebuah jambatan di Sungai Mak Neralang, dah sudah! Jambatannya pula runtuh dek banjir besar Kelantan yang berlaku Disember 2014 yang lalu! Aku pun bertanyakan pada penunggang motosikal yang lalu di situ sekiranya ada jalan lain, katanya tak ada. Yang ada pun jalan lain.
Aku berehat seketika sambil meneliti peta dalam GPS. Hmmm… nampak gaya macam ada jalan yang lain tapi jauh sedikit. Takpalah, jauh pun jauhlah asalkan dapat sampai. Kami pun bukannya datang atau menetap dekat-dekat. Datang pun dari jauh dan entah bila nak datang lagi pun tak tahu, wallahualam.
Mesti korang tertanya-tanya kenapa aku lampirkan dua peta di atas? Sebenarnya peta di atas adalah sambungan dari peta di bawahnya. Kenapa begitu? Ini adalah kerana Google Maps seolah-olah tak bagi aku “lintas” landasan keretapi. Jadi aku terpaksa sambung ke peta yang ke-2. Ikutkan boleh jer kereta melintas landasan sebab aku dah pun melaluinya sewaktu ziarah Masjid Tok Selehor.
Peta di atas ini pula adalah koordinat GPS yang tepat bagi yang datang dari arah lain atau ingin mencari secara sendirian. Koordinatnya adalah “6.167531, 102.204316”. Mungkin ada yang tertanya-tanya awat banyak sangat peta dalam blog ini? Itulah fungsi blog ini, mengetengahkan teknologi pemetaan dan GPS.
Sebaik jer melepasi landasan keretapi, perjalanan menjadi mudah kerana jalan-jalan masuknya berkeadaan baik dan lebar. Alhamdulillah, tak ada sebarang halangan apabila menggunakan jalan pintas yang ke-2 ini berbanding jalan yg melalui jambatan roboh pada awalnya tadi.
Kami pun tiba di Masjid Tok Selehor. Asalnya dahulu ialah madrasah sebelum dinaiktaraf. Kereta diletakkan di tepi masjid. Jam pada ketika ini menunjukkan waktu 2.51 petang.
Di tepi masjid, terdapatnya papan maklumat berkenaan sejarah Tok Selehor, seorang wali terkenal dan nama masjid diambil dari namanya. Kami berehat sebentar di sini.
Masjid di kawasan kampung macam nih memang seronok. Aman dan damai jer walaupun cuaca panas. Ditambah pula kawasan Tumpat ni berdekatan dengan laut dan sempadan Thailand yang berjarak hanya 16km dari tempat kami. So, “feel”nya agak lain sedikit.
Kami pun mula bergerak pulang. Inilah gambar landasan keretapi yang kami lalu pada awalnya dan merupakan antara misi ke Kelantan.
Apa lagi, kami pun turun dari kereta untuk bergambar di tengah-tengah landasan. Tapi mata aku tak duduk diam kerana risau kalau-kalau ada keretapi yang datang, hehe.
Apa yang menariknya landasan keretapi di Tumpat ni? Meh kita baca sikit cekupan dari wiki:
Laluan Pantai Timur bermula dari Gemas di Negeri Sembilan dan Tumpat serta Rantau Panjang, semuanya di Kelantan. Gemas adalah tempat pertemuan landasan di di antara Pantai Barat dan Pantai Timur. Seperti di pantai Barat, ia juga dikenali dengan laluan Pantai Timur kerana ia melalui dua negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, iaitu Pahang dan Kelantan. Sebenarnya, ia tidak melalui kesemua pantai dan hanya bertemu dengan Laut China Selatan apabila ia tamat di Tumpat. Ia melalui kawasan pedalaman, selalu melalui hutan tebal, yang secara ringkasnya dengan nama “Laluan Hutan”.. Terengganu sahaja yang merupakan negeri di Semenanjung Malaysia yang tidak dihubungi dengan landasan keretapi (tetapi terdapat rancangan untuk memanjangkan laluan landasan Petronas ke Kuantan dan seterusnya ke Mentakab), manakala di Negeri Melaka dihubungi dengan Stesen Keretapi Pulau Sebang di Pulau Sebang (Bandar Pulau Sebang bersambung dengan bandar Tampin) yang terletak di daerah Alor Gajah, Melaka. Stesen keretapi ini berada dalam kawasan Negeri Melaka. Sebuah lagi stesen KTMB di Negeri Melaka ialah Stesen Keretapi Batang Melaka yang terletak dalam daerah Jasin. Jajaran landasan keretapi melalui Negeri Melaka sejauh 32 kilometer bermula dari Batang Melaka hingga Kendong dekat Rembau Negeri Sembilan. Stesen Keretapi Tebong dekat Alor Gajah dan Kendong telah ditutup.
Satu hari nanti, kami sekeluarga mungkin akan mencuba laluan keretapi ke Pantai Timur. Cuma aku tak pasti samada sempadan Tumpat-Thailand ni dibenarkan lalu atau tidak. Kalau dibenarkan, alang-alang tu boleh juga plan untuk kembara ke Narathiwat, Yala dan Pattani. Kena acah-acah berani jer, maklumlah kawasan tu banyak sangat kes serangan bom.
Perjalanan seterusnya adalah ke Tok Aman Bali Beach Resort kerana perlu berjumpa seseorang untuk urusan kerja, inipun spontan jer sebab kawan ni baru jer call aku waktu sampai ke Kelantan awal tadi. Bermakna, kami hanya berada di Kota Bharu dan sekitarnya tidak sampai 4 jam.
Kos ke Kelantan (ikut harga semasa, kecuali makan/minum):
- Minyak kereta: Tambahan RM50 (anggaran sebab ingat-ingat lupa)
- Tol: Tiada (kerana mengikuti jalan lama)
Bersambung ke artikel seterusnya iaitu Carpacker 2015 – Pantai Timur – #15 Overview Tok Aman Bali Beach Resort.
Leave a Reply