Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #22 Menunggu Matahari Terbit dan Keropok Kak Yah. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Entri ini juga agak special seperti mana entri tentang Kota Lama Duyong kerana melibatkan tinggalan sejarah Islam tempatan. Perjalanan ke Kuala Berang dari Kuala Terengganu agak jauh juga.
Memorial Batu Bersurat Kuala Berang terletak di daerah Kuala Berang. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 34 minit sejauh 27 km.
Sememangnya perjalanan dari bandar Kuala Terengganu ke Memorial akan menyelusuri sepanjang Sungai Terengganu yang akan bersambung terus dengan Tasik Kenyir.
Jam menunjukkan 1.00 tengahari. Oleh kerana berasa lapar, kami singgah dahulu di pekan Kuala Berang bagi menjamu selera. Disebabkan Aqif tengah tidur, jadi tak dapatlah kami turun beramai-ramai untuk makan. Kelihatan banyak kedai yang ditutup dan hanya nampak sebuah restoran sahaja yang beroperasi. Aku pun membeli bungkusan sahaja. Alamak, nasi kukus ayam dara lagi, ingatkan nasi campur. Tak apalah, kami pun tak memilih sangat, beli sahaja apa yang ada.
Selesai membeli nasi bungkus, kami bergerak ke Memorial Batu Bersurat yang terletak kurang dari 2 km sahaja dari pekan. Besar ke pekan Kuala Berang? Boleh lah. Tidaklah besar sangat lebih kurang pekan Bidor di Perak.
Mencari Memorial tidaklah susah kerana dalam Google Maps sedia ada. Namun bagi yang dari arah yang lain, boleh menggunakan peta di atas atau masukkan kordinat GPS “5.058910, 103.006740” ke dalam Google Maps.
Sampai sahaja ke Memorial, kelihatan pintu pagarnya sedang ditutup oleh pengawal keselamatan. Aku pun tanyalah dia samada dah tutup ke belum. Katanya belum lagi, sengaja dia tutup sebab nak rehat makan tengahari dan juga menunaikan solat. Dan katanya lagi, pintu pagar tidak berkunci mangga dan tidak ada ruang dalam kawasan ini yang berkunci. Pendek kata, pelawat adalah bebas di dalamnya kecuali jika waktu lawatan tamat pada petang hari. Oleh kerana tidak ada langsung pelawat pada waktu ini, aku pun meletakkan kereta betul-betul di hadapan pagar keluar masuk pelawat. Tatie dan Aqif ditinggalkan dalam kereta kerana masih tidur.
Inilah Batu Bersurat Kuala Terengganu yang terletak di Kampung Buluh. Untuk pengetahuan korang, ia hanyalah replika. Malah, jika korang teringin nak tengok replika dari jarak dekat tanpa ke Kuala Berang yang begitu jauh, bolehlah melihatnya di Muzium Negeri Terengganu. Bagi aku, bentuknya sama sahaja. Walaupun replika, tapi tapaknya adalah berdekatan dengan tapak asal berdirinya batu bersurat ini suatu masa dahulu. Tujuan memorial ini dibina di sini kerana untuk memperingati penemuan Batu Bersurat oleh orang-orang kampung pada tahun 1887.
Pihak kerajaan negeri Terengganu telah membuat satu memorial batu bersurat di kampung Buluh, Kuala Berang di mana ianya merupakan kawasan penemuan batu surat tersebut.Jika ke sini, korang akan dapat melihat replika batu bersurat dan di sekelilingnya terdapat terjemahan yang di buat dalam bahasa melayu berkenaan tulisan yang tercacat di batu tersebut pada setiap bahagian. Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua yang di tulis dalam tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.
Mengikut maklumat, batu bersurat ini telah ditemui oleh penduduk kampung pada tahun 1887. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya ditemui oleh seorang pedagang Arab bernama Said Husin bin Ghulam Al-Bokhari yang datang dari Riau, Indonesia pada tahun 1902. Malangnya, dikatakan ditemui di sebuah surau dan dijadikan sebagai pengalas kaki.
Batu bersurat ini ditulis dalam pelbagai bahasa iaitu tulisan Melayu lama, sanskrit dan bahasa Arab. Tulisan yang dipahat merupakan pengisytiharan undang-undang Islam, yang ditujukan kepada pemerintah dan rakyat negeri Terengganu pada kurun keempat belas Masihi. Walaupun bertarikh 1303 Masihi, ada bukti-bukti lain menunjukkan bahawa agama Islam telah bertapak di tanah Melayu lebih lama dari usia batu ini iaitu seabad sebelumnya. Replika batunya dibina semula mengikut pada spesifikasi asalnya.
Memorial ini telah siap dibina pada tahun 1989 di atas tanah seluas 6.12 ekar dan telah dirasmikan oleh Y.A.B Dato’ Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13hb April 1992.
Mari kita lihat apa yang tertulis di setiap bahagian batu……….
Pandangan Hadapan
Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka.
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.
Dengan benar bicara derma meraksa bagi sekelian hamba Dewata Mulia Raya.
Di Benuaku ini, penentu agama Rasulullah Sallalahu A’laihi wa sallam raja.
Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam.
Bahumi penentuan itu fardu pada sekelian Raja Manda.
Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.
Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu ada pertama ada.
Jumaat di bulan Rajah di tahun saratan di sasankala.
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua.
Pandangan Belakang
Keluarga di Benua Jauh……………… kan……………….
Datang berikan. Keempat……….. orang berpehutang.
Jangan mengambil ka……….mbil hilangkan emas.
Kelima derma barang orang………dika.
Jangan mengambil tugal buat temasnya.
Jika ia ambil hilangkan emas. Keenam derma barang.
Orang berbuat bala cara laki-laki perempuan satitah.
Dewata Mulia Raya jika merdeka hujan palu.
Seratus rautan jika merdeka beristeri.
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggakan.
Pinggang di hambalang dengan batu matikan.
Jika inkar….hambalang jika anak mandalika.
Maaf, gambar bahagian tepi sebelah kirinya aku lupa ambil.
Bujan dandanya sepuluh tengah tiga jika ia………………
Menteri Bujan dandanya tujuh tahil sepe………..
Tengah tiga, jika tetua bujan dandanya lima tah……..
Tujuk tahil sepeha masuk bandara, jika or……….
Merdeka. Ketujuh derma barang perempuan hendak……
Tiada dapat bersuami jika berbuat balacara…..
………tiada benar dandanya setahil sepeha. Kesembilan derma.
……………Seri Paduka Tuhan siapa tiada harta dandanya.
…………ma jika anak ku atawa pemain ku atawa cucu ku atawa keluarga ku atawa anak.
…….tamra ini segela isi tamra ini barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya.
……..dijadikan Dewata Mulia Raya bagi yang langgar acara tamra ini.
Beginilah batu tersebut yang disertakan dengan maklumat bagi setiap bahagian muka batu.
Ini pula yang ditulis di luar di bahagian tepi kawasan memorial.
BATU BERSURAT TERENGGANU
Di kawasan inilah agama dan undang-undang Islam yang terdapat pada Batu Bersurat diistiharkan. Pada tahun 1887, Batu ini telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara. Sekarang dikenali dengan nama ‘Tanah Batu’ di Kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Syed Hussin bin Ghulam Al-Bukhari, seorang Ahli Perniagaan, di bahagian tangga Surau Kampung Buloh, yang mana Batu itu dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga Surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atasnya.
Batu itu merupakan sebuah Batu Peringatan berbahasa Melayu yang awal sekali dijumpai di Semenanjung dan merupakan rekod yang terawal mengenai Islam sebagai agama rasmi bagi sebuah Kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.
Batu ini tertulis di dalam Bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 H (1303 M). Tulisan pada Batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.
**********************
Artikel di bawah ini disalin dari laman http://pelancongan-terengganu.blogspot.com
Sejarah Batu Bersurat Batu Bersurat dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kampung Buloh, Kuala Berang di Daerah Hulu Terengganu pada tahun 1887. Kemudian pada tahun 1902, Batu Bersurat ini dijumpai pula oleh Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh. Batu Bersurat ini dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surat dan patah sebahagian di sebelah atas.
Saiyed Husin telah meminta Penghulu Ali dan orang kampung untuk mengangkat Batu Bersurat ini untuk dibawa ke Kuala Terengganu dengan menggunakan rakit. Batu Bersurat ini telah dipersembahkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III.
Batu Bessurat ini kemudiannya diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922, Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson telah meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun yang bernama N.Suzuki untuk mengambil gambar Batu Bersurat. Gambar ini dihantar kepada C.O Blegden untuk dibuat pembacaan.
Batu Bersurat ini ditulis dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.
Pada tahun 1923, Batu Bersurat ini dihantar ke Muzium Singapura sebagai pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa Ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.
Pada 12 Febuari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu.
Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Terengganu. Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi, suatu apacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail Bin Adam dan Kerajaan Negeri Terengganu diwakili YAB. Dato’ Seri Amar DiRaja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu ketika itu.
Batu Bersurat ini merupakan sebuah peringatan yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-undang Islam.
- http://www.visit-terengganu.net/memorial-batu-bersurat/
- http://www.kujie2.com/percutian/belajar-bahasa-sanskrit-di-memorial-batu-bersurat.html
- http://berbaloiditerengganukita.blogspot.com/2010/09/melawat-ke-memorial-batu-bersurat.html
- http://pelancongan-terengganu.blogspot.com/2010/09/memorial-batu-bersurat.html
*********************
Kami tidaklah berada lama di kawasan Memorial, lebih kurang 10-15 minit sahaja. Sebelum itu, aku pernah melihat replikanya di Muzium Negeri Terengganu dan memang saiznya mirip kedua-dua.
Tiba masa untuk pulang. Tapi sebelum itu kami singgah sekejap di Masjid Kampung Buluh bagi menunaikan kewajipan termasuk makan tengahari nasi yang dibeli tadi.
Bersambung ke entri terakhir dan penamat…… Carpacker 2015 – Pantai Timur – #24 Pantai Marang dan Berakhir Sudah Carpacker Pantai Timur Pulang Ke KL.
Leave a Reply