Bersambung dari entri Carpacker 2015 – Pantai Timur – #23 Menuju ke Kuala Berang dan Memorial Batu Bersurat. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Selesai menunaikan kewajipan, makan tengahari dan mandikan anak yang dah “berlengas” kata orang utara yang bermaksud berpeluh kering dan comot baju dan lain-lain, kami meneruskan perjalanan kembali ke Kuala Terengganu. Eloklah kami berpatah balik memandangkan aku ingin mengajak Tatie dan Aqif melepak di pantai Marang pula pada waktu petang sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama. Fuh, memang teramat penat rasanya. Sekali-sekala aku berhenti juga berehat.
Di antara jalan dari Kuala Berang ke bandar Kuala Terengganu, terserempak pula dengan buaya yang agak besar. Macam-macam ragam yang ada di jalanraya. Aku pun perlahankan kenderaan, saja nak bagi famili aku tengok. Mula-mula tu aku ingatkan buaya, tapi bila menatap semula gambar ni, kemungkinan jenis aligator.
Jarak di antara Masjid Kampung Buluh di Kuala Berang menuju ke pantai Marang adalah 55.6km bersamaan 1 jam 10 minit. Sengaja singgah dahulu ke Kuala Terengganu untuk membeli barang untuk dibawa balik ke KL. Lagipun, aku nak menuju ke Marang menerusi pesisiran pantai di antara KT ke Marang.
Mungkin korang tertanya-tanya, kenapa di Kuala Terengganu ada kedai bernama Sabasun Hyper Runcit dalam peta? Nanti aku ceritakan…
Dalam perjalanan kami berhenti di tepi sebuah gerai bagi membeli juadah petang seperti kuih, bubur kacang, bubur hitam dan sebagainya. Sambil menaip artikel ni, terliur juga bila mengenangkan bubur tersebut. Negeri-negeri di Kelantan dan Terengganu kaya dengan pelbagai juadah kuih. Jika bertandang ke mana-mana gerai dan jumlah kuih yang disusun menyamai tiga buah meja adalah perkara biasa seperti mana gambar-gambar di bawah ini (maaf, gerai kuih di sini tiada, jadi aku gunakan gerai kuih di Kuala Terengganu sebagai contoh):
Best kan? Inilah antara keunikan setiap negeri di Tanah Melayu.
Aha…. kami dah sampai di Sabasun Hyper Runcit.
Alkisahnya yang membuatkan aku tertarik dengan pasaraya ini ialah kerana ianya diasas dan dimajukan oleh orang kita. Belum pernah aku dengar orang kita menguasai perniagaan pasaraya. Ditambah pula banyak berita tentang pasaraya ini kedengaran dalam tempoh setahun iaitu pihak berkuasa tempatan mempertikaikan tentang isu tanahnya dan kelulusan penggunaan nama ‘hypermarket’.
Jadi sebagai ‘orang kita’, aku pun menyokong pembelian barangan di sini.
Bandar Kuala Terengganu pun dah tiada mana kami nak tuju, terus aku memandu ke Marang. Tak sabar dah nak melepak di pantainya. Kelihatan bendera Palestin berkibar tinggi.
Tengah bawah laju tetiba aku slow down sebab nak masuk ke simpang menuju ke pasar Marang. Ada gerai buah yang dah last minit nak tutup. Kami pun membeli 2-3 jenis buah. So, dapatlah harga yang murah sedikit dari kebiasaaan.
Menuju ke arah selatan Bandar Marang, kami singgah di pantainya. Seronoknya….
Yang paling aku tak tahan seronok ialah angin nyamannya yang bertiup. Terasa seperti terlebih oksigen yang segar.
Ada pulau di hadapan kami. Inilah pulau Kapas dan pernah ke sini pada awal tahun 90an dulu bersama keluarga dan rakan baik ibu ku.
Cak!
Malangnya pemandangan dicemari dengan sampah-sampah sama seperti di pantai Merang. Korang jangan keliru di antara perkataan Marang dan Merang. Kedua-dua lokasi yang berbeza.
Di sebelah kiri aku pun banyak sampah-sarap. Harapkan air lautnya sahaja yang bersih.
Sambil bersantai di sini, aku merehatkan seketika kereta kami yang banyak berjasa membawa ke mana-mana.
Suasana seperti drama-drama dalam TV. Jam pun dah 5.13 petang, kami pun terpaksa berangkat memandangkan jarak perjalanan mengambil masa di antara 7 hingga 9 jam 11 jam lamanya.
Pada ketika ini, lebuhraya LPT2 masih lagi dalam pembinaan dan beberapa tempat masih lagi tidak dikenakan tol. Kami menuju ke Dungun dahulu sebelum masuk ke LPT2. Sampai sahaja di plaza tol ni, aku tergelak-gelak sampai berseloroh dengan Tatie… “amboi besarnya plaza tol dia… rasanya inilah kot plaza tol terbesar dalam Malaysia..”.
Tiada pondok tol di exit Dungun. Peringkat permulaan LPT2 ini, plaza tolnya terletak di tengah-tengah lebuhraya! Terkejut gak aku bila sampai sini. Nasib baiklah tak bawa laju.
Semasa memandu, aku dah nak terkucil. Terpaksa masuk ke RNR yang aku rasa paling pelik di Malaysia iaitu kena memandu jauh ke dalam semata-mata untuk RNR. Pada waktu tu, ia masih baru dibuka dan nampak macam tempat jin bertendang kerana tiada siapa pun kecuali kami sahaja. Tempatnya besar sampai aku pun naik risau nak kencing di tandas lelaki yang jauh di bahagian belakang. Dengan selamba aku terjah ke bahagian perempuan, lantak lah. Lagipun tiada orang. Aku malas berulang kes yang sama seperti di bangunan lama Telekom berdekatan dengan Universiti Malaya. Kes apa? Masuk tandas jam 1.00 pagi, tiba-tiba ada suara gelak-gelak dan bunyi air dalam salah satu bilik jambannya. Aku check satu persatu, tiada orang! Esoknya aku tak deman…. tapi aku jadi biol seharian memikirkan siapa yang gelak.
Keluar sahaja dari tandas, ada akak cleaner tegur aku. Aku pun cakaplah terus terang yang aku seram nak ke tandas lelaki. Haha.. lantak kau lah nakkk…
Maaf aku dah lupa nama RNR ini.. (Update: RNR Perasing)
Tak pasti ini jambatan apa.
Cuma harapan aku, sepanjang perjalanan di LPT2 ini, janganlah bertembung dengan cik pon contoh macam dalam gambar di atas. Mintak simpang!!
Pada jam 12.04 pagi, kami berhenti seketika di RNR. Tak salah ingatan aku ini ialah RNR Gambang. Aqif pula baru terjaga dari tidur. Waktu-waktu begini, aku pula susah nak tidur.
Hampir jam 4.00 pagi juga kami tiba di KL termasuk berhenti rehat di RNR Genting Sempah (mengidam Mcdonalds).
So, berakhirlah sudah pengembaran carpacker kami ke Pantai Timur merentasi tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan selama hampir seminggu. Dan selesai juga penulisan 24 entri blog selama 7 bulan. Kalau korang tanya adakah aku akan repeat? Sudah tentu! Kali ini mungkin kami akan singgah bermalam di Cherating, Awana Kijal atau di chalet lain di utara Kelantan.
Pantai Timur ni tanahnya ramai para wali dan ulama. Perasaannya agak berbeza sedikit. Aku merasa sangat damai dan tenteram terutama di bumi Terengganu. Jika ditakdirkan tempat bersara paling ideal, aku akan memilih Terengganu. Sampai sekarang aku rindukan pantai, pasir, ombak dan anginnya. Tak lupa juga pelbagai makanan dan juadah tempatan yang berbeza dari negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Ok, aku sudahi kembara carpacker ini bagi memberi laluan menghabiskan catatan Kembara Thailand-Laos dengan “wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh”.
* Sayang korang semua yang sanggup jadi pembaca setia bagi menghabiskan siri kembara carpacker ini.
Leave a Reply