Sejak pandemik dan PKP yang berlaku 4 tahun yang lalu, aku dan keluarga mengambil pendekatan untuk menjadi golongan minimalis untuk menjadi nomad sepenuh masa dengan jangkamasa yang lebih panjang.
Ada pelbagai jenis praktikal yang perlu dibuat untuk menjadi seorang minimalis. Ada yang minimaliskan rumah dan ada pula yang melibatkan barangan kembara. Kami pula merangkumi kedua-dua jenis.
Sepanjang 2020 hingga sekarang, kami berlatih untuk mengurangkan barangan dalam rumah yang tidak penting. Dengan ini menyelamatkan kami juga dari terjebak menjadi kaki “hoarding“. Hanya barang-barang asas akan ditinggalkan seperti TV, peti sejuk (yang juga telah dikosongkan dalamannya), mesin basuh, katil, almari, dapur, microwave, oven, sofa, kipas, kerusi, meja, dokumen-dokumen, album dan sebagainya.
Bila kami mengemas, wow banyak juga barang yang sangatlah tak penting dan patut dibuang dari awal lagi.
Apa yang kami buat untuk minimaliskan rumah?
- Buang segala kertas bercetak yang tidak perlu seperti resit-resit, surat-surat, brochues, pamplet, surat khabar lama.
- Jual semua buku-buku dan majalah lama di Shopee kerana tidak penting lagi untuk disimpan. Buku ibarat seperti menonton filem. Sekali dah baca, dah tahu ending dan tiada sebab untuk diulang baca. Jika perlu juga, beli semula buku yang sama dalam bentuk ebook menggunakan hasil wang jualan buku fizikal di Shopee.
- Termasuk juga semua barang-barang selain buku dan majalah lama di Shopee.
- Buang segala yang boleh dianggap sebagai sampah-sampah. Contohnya, spare part perabut, lampu mentol, lampu panjang, kasut, pakaian lama, karpet lama yang dah kusam tapi masih lagi digulung dan banyak lagi yang disimpan dalam almari yang kononnya boleh diguna jika perlu dan penyudahnya tersadai macam tukun.
- Sedekahkan pakaian lama dan barang-barang lain yang masih boleh dipakai dan rugi jika dibuang begitu saja.
- Bagi wanita pula, kadang-kadang banyak menyimpan barang perhiasan yang sayang untuk dibuang. Cuba tengok dalam simpanan? Percayalah, begitu banyak yang disimpan tapi langsung tak dipakai. Kuatkan hati dan sedekahkan saja.
Dokumen, sijil, surat dan album gambar
Ini yang paling lama dan berat tugasannya. Kami ambil masa bertahun-tahun dari 2020 hingga sekarang. Tapi sebenarnya usaha awal telah mula sejak arwah bapa aku meninggal tahun 2013 yang melibatkan album foto lama.
Apa yang kami buat? Pindahkan semua dokumen dan kertas bercetak yang penting, surat-surat dan album-album lama ke dalam bentuk JPG dan PDF. Sehinggakan buku latihan sekolah anak juga aku pindahkan ke dalam bentuk PDF sebagai kenangan.
Peralatan yang aku pakai ialah multipurpose printer yang dilengkapi scanner 600dpi. Kenapa tak guna kamera phone saja? Tak dinafikan memang berkualiti, tapi gambar terutamanya akan menjadi senget. Apa model scanner terbaik? Aku guna Canon Pixma TS3470 yang berharga kurang dari RM320. Model sebelumnya juga pernah aku pakai dan tahan 6 tahun lamanya.
Disebabkan kapasiti cloud storage aku 2Tb, dengan mudah aku dapat simpan dengan banyaknya. Scanlah album dalam high quality, anda akan menghargainya di hari tua nanti.
Selepas tu, bagaimana dengan semua dokumen, sijil, surat dan album yang telah di scan? Apa nak buat?
Simpan saja dalam sebuah kotak di rumah semasa ketiadaan anda. Yang penting segalanya telah di backup. Kalau terjadi perkara yang tidak diingini (minta dijauhkan), sekurang-kurangnya dalam bentuk softcopy telah ada. Lagipun, kaedah ini juga akan mempercepatkan usaha backup album lama yang kelak akan menjadi kuning, pudar atau digigit lipas dan tikus jika disimpan.
Cari dan dapatkan kotak pampers di pasaraya
Aik.. Untuk apa pula kotak pampers? Cuba tengok gambar di bawah. Itulah barang kami yang paling penting yang disimpan ke dalam 8-9 buah kotak sahaja.
Barang-barang ini kami pecah pada tiga kategori:
a. Sangat penting (disimpan di warehouse) – tak boleh hilang, wajib disimpan rapi.
Jenis barangan ialah yang tidak boleh diganti lagi jika hilang atau sukar untuk diganti atau rosak. Contohnya SNP rumah, geran kereta, dokumen perjanjian, sijil pendaftaran syarikat, sijil nikah, sijil pendidikan, barangan kesayangan tinggalan arwah ibubapa, mas kahwin (ada yang masih simpan), cincin/subang/gelang, surat pajak gadai (jika ada), barangan lain yang berharga yang ada nilai terpakai dalam pasaran (beg Hermes, jam Rolex, hehe aku tak pakai, sekadar bagi contoh), buku-buku penting, external hard disk (secondary backup jika langganan cloud storage gagal) dan sebagainya.
b. Penting (disimpan di rumah sendiri atau rumah ibubapa, adik-beradik atau kawan) – wajib disimpan tapi kalau hilang, tidak mengapa.
Jenis barangan ialah yang boleh diganti baru jika hilang atau rosak. Contohnya album gambar yang lama (telah ada softcopy), pakaian yang banyak kenangan (baju nikah) dan sebagainya.
b. Kurang penting – nak simpan pun boleh, nak buang/sedekah pun boleh.
Ini kategori barangan yang masih terasa teragak-agak untuk dibuang atau disedekahkan tapi dalam masa yang sama boleh dibeli semula jika hilang atau rosak. Apa contohnya? Kami ada sebuah papan putih kesayangan yang diguna untuk mengajar anak dan dibeli di IKEA. Selain tu, Tupperware juga termasuk dalam kategori ini.
Barang dalam (a) di atas tu simpan di warehouse? Ya, lebih selamat jika berlaku apa-apa pada rumah. Boleh disimpan di Beam, EZ Secure Storage, Flexi Storage (sekarang dikenali sebagai Storhub) atau Extra Space Asia dengan keluasan 4.3′ x 3.6′ x 4.3′ dan langganan RM55.25 per bulan. Jika yakin rumah selamat sepanjang ditinggalkan dan/atau mendiami di kediaman bersekuriti seperti apartmen, condo dan villa, boleh abaikan perkhidmatan sewaan warehouse.
Minimalis Barangan Kembara
Menjadi seorang pengembara jangkamasa panjang (lebih dari sebulan) dan juga menggarap ‘jawatan’ digital nomad, peralatan dan barangan yang dibawa juga dipecahkan pada beberapa kategori:
a. Pakaian dan aksesori badan – segala yang berjahit seperti pakaian luar, pakaian dalam, tuala, kain, tudung, topi, stokin dan aksesori seperti kasut, barang perhiasan, jaket hujan, jam, sunglasses.
b. Barangan tandas – sabun mandi, syampu, pisau cukur, ubat gigi, berus gigi, pembasuh muka.
c. Perkakasan Kerja Nomad – laptop, iPad, drawing board, mikrofon, bluetooth speaker, external hard disk, thumb drive, USB hub.
d. Kamera dan Peralatan – kamera (DSLR, action cam), charger, micro SD card, tripod, monopod, kit untuk vlog.
e. Elektrik/Elektronik – phone, travel adapter, kabel-kabel, extension, hair dryer, phone charger.
f. Lain-lain – alat solek, barangan penjagaan muka, botol air, pinggan makan, messtin, elektric cooker, butane stove, khemah, multitool, barang permainan anak.
Aku akan huraikan satu persatu barangan yang kami bawa dalam artikel akan datang. Yang pasti, kriteria pemilihan barangan wajiblah:
- 2 in 1 atau 3 in 1 – satu jenis barangan boleh diguna untuk 2 atau 3 jenis tugasan/keperluan.
- Ringan.
- Tidak terlalu mahal, tidak terlalu murah – kualiti masih dipentingkan.
- 10 kali fikir – perhati satu persatu barangan, apakah benar perlu dibawa?
- Tak beli di sini – untuk yang gemar membeli barangan keperluan kembara sewaktu di luar negara dan bukan disediakan lebih awal di Malaysia.
Paperless Family
Sebolehnya, kami akan mengurangkan terus penggunaan kertas semasa di jalanan nanti. Antara usaha yang dilakukan ialah:
- membeli atau muat turun buku teks sekolah rendah untuk anak dalam format e-buku teks.
- menghubungi bank untuk menamatkan segala penghantaran surat fizikal dan menukar ke hantaran melalui email termasuk juga perkhidmatan lain yang masih menggunakan bil fizikal (bil air, elektrik, internet, pembentungan dll)
Pembelajaran Online
Andai kata berjaya sekeluarga menjadi pengembara jangkamasa panjang, kami menguruskan cara pendidikan anak dimulakan dengan:
- Pencarian guru sambilan (dengan tauliah dari KPM/MOE) yang boleh mengajar online dengan mempunyai taraf atau kelayakan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. Terdapat banyak iklan tutor dan grup homeschooling di Facebook.
- Pengurusan masa bagi jadual pembelajaran harian. Jadual yang ringkas tapi padat agar tidak membebankan anak-anak. Kami suka mengikuti gaya jadual persekolahan di negara Scandinavia.
- Mendapatkan e-buku teks yang boleh dimuat turun secara percuma. Jika tiada, kami membeli sendiri buku teks fizikal dan kemudiannya scan (untuk kegunaan sendiri sahaja).
Begitulah kisahnya tentang latarbelakang kami yang mula menjadi minimalis. Bukan saja minimalis rumah, malah minimalis semasa kembara seperti peralatan dan lain-lain. Entri ini akan dikemaskini dari masa ke semasa apabila kami telah berada di jalanan nanti. Mungkin apa yang ditulis di atas ini amat berguna atau mungkin boleh di tambah tolak mengikut pada keadaan yang realistik nanti.
Leave a Reply