Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 4 – Part 6 – Pone Kingpeth Park dan Bluport Shopping Mall di Hua Hin. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Maaf, aku tak sempat nak mengambil gambar menaiki tuktuk dari Bluport ke Cicada Night Market. Dari Bluport, tambang dalam THB20 untuk setiap orang. Seperti biasa, kanak-kanak dikecualikan.
Lokasi GPS Cicada Night Market: 12.534112, 99.965801
Tuktuk berhenti betul-betul di hadapan Cicada Night Market dan kami disajikan dengan replika kuda berlampu dan replika haiwan yang lain.
Kebetulan di situ ada busker sedang memainkan lagu tempatan, aku layan sekejap sambil Tatie bergambar di sekitar.
Inilah saat-saat yang dinantikan iaitu landmark atau spot paling popular di Cicada. Bergambar dengan latar belakang perkataan cicada. Dah sekian lama aku dok menatap dalam Google, akhirnya kami sampai juga betul-betul di sini.
Sebenarnya, perkataan tu bukanlah terletak dalam kolam yang besar, kecil je pun. Sebelum ni aku iya-iya ingatkan besar.
Ini ‘hujung’ kolam tadi. Kelihatan ramai pengunjung maklumlah esoknya cuti Tahun Baru 2017. Boleh dikatakan 70% adalah rakyat tempatan manakala bakinya adalah orang luar.
Kami berpusing keliling kolam tadi untuk menuju bahagian yang lain di sini. Ramai jugalah yang melepak di tepi kolam ni.
Cantik…. Replika kuda dari kertas yang disinari lampu di bahagian dalamnya.
Mula-mula tu, aku ingatkan ada show di dalam tu yang dikenakan bayaran. Rupa-rupanya, barisan model yang duduk di luar tu sedang menjemput tetamu untuk masuk ke dalam dan akan dihidangkan dengan live band.
Percuma tapi….
Kenalah beli minuman keras. Sudah tentu harganya agak mahal walaupun pesan air biasa kerana mereka perlu cover kos live band.
Tiba-tiba ada seorang lelaki bertopeng datang dekat Aqif dan bergambar. Suka pula dia.
Kami pun terus menapak ke dalam. Aku ingatkan kecil sahaja, rupa-rupanya tempat ini besar. Ia terbahagi kepada tiga seksyen iaitu:
- Food court – meja makan dan gerai-gerai menjual makanan
- Gerai pameran kraftangan dan jualan yang lain
- Live band – port minuman keras
Ini ruangan dalaman live band yang aku ceritakan tadi.
Tengah khusyuk menapak dan pusing-pusing di sini, tiba-tiba hujan gerimis. Dengan pantas aku usha kawasan sekeliling. Alamak! Tempat berteduh dan berbumbung tak banyak. Kalau ada pun dah penuh rakyat Thailand.
Disebabkan tiada tempat berteduh, kami pun menumpang di bawah sepohon pokok yang daunnya rimbun, lebat buahnya serta bunganya, walaupun hidup seribu tahun kalau tak sembahyang apa gunanya. Eh, tersasul pula. Apa salahnya aku berpesan-pesan untuk menunaikan kewajipan, kan? Kami tawakal dan aku katakan pada Tatie, “relax… sekejap je ni”. Tetiba memang sekejap sahaja tak sampai 10 minit. Keramat betul mulut aku.
Memerhati keadaan sekeliling sambil bersedih kena berteduh bawah pokok. Banyak gerai-gerai dah mula tutup barang jualan dengan plastik.
Selesai hujan, kami pun menapak ke arah gerai-gerai lain. Lapar nih! Ditambah pula kesukaran mencari warung halal. Aku pun dah naik pening sebab terdapat hampir 100 buah gerai! Takkan nak belek satu persatu papan tanda halal kan? Mahu mereng jadinya nanti.
Suasana di gerai-gerai makanan non-halal. Yang usha aku tu mungkin shemale aka pondan Thailand.
Banyak payung digerai-gerai sini ditaja oleh SCB Bank Thailand.
Dari jauh aku ternampak gerai kebab dengan harapan “mudah-mudahan halal”.
Alhamdulillah, halal akhirnya. Untuk pengetahuan korang, hanya gerai ini sahaja yang halal berbanding berpuluh-puluh gerai yang lain. Memang hazab juga nak makan di Cicada ni.
Pada mulanya aku main pesan je nak beli kebab dan apa benda satu lagi tu, lupa pula. Kemudian penjual tu bagi arahan pada aku cecara untuk membeli. Aku kurang jelas apa yang diperkatakannya sampai terpaksa tanya seorang wanita Thailand yang juga ingin membeli di situ. Nasib baiklah beliau menolong aku tolong terjemahkan dalam English.
Katanya, kena beli kupon dulu….
Aku pun reply, “ohhhhhhhhhh!!! Like that…”
Dengan pantas aku menapak ke booth yang menjual kupon. Tetiba patah balik ke gerai kebab tadi sebab terlupa harga pula. Kalau dah terlupa, macam mana nak beli kupon.
Harga kebab dan sepinggan makanan yang aku dah lupa tu, harganya THB80 setiap satu.
Ini dia. Air seperti biasa nak berjimat kan, kami tak beli air di Cicada. Cukuplah teguk air mineral.
Sabar Aqif…. sabar….. tahu awak dah lapar..
Di sini, meja agak susah nak cari sebab terlalu ramai orang. Aku bajet, agaknya mungkin malam tu sahaja sebab esok kan cuti Tahun Baru 2017.
Kemudian, kami merayau ke seksyen lain, iaitu kawasan yang terdapat banyak gerai atau booth yang menjual kraftangan dan barangan yang lain. Cantik seninya. Tak pasti pula dilukis menggunakan apa. Walaupun arwah bapak aku seorang pensyarah seni halus, berbeza pula dengan aku yang langsung tak tahu menahu tentang seni.
Lukisan-lukisan di sini sangat menarik. Kalau aku datang memandu kereta dari Malaysia, dah lama borong.
Lukisan tadi aku zoom lebih dekat. Harganya jangan tanya aku.
Lukisan berasaskan haiwan pula.
Buat sesiapa yang nak ‘convert’ muka ke bentuk kartun, di sinilah tempatnya. Di Malaysia pun ada, bezanya ia dilukis oleh ‘air tangan’ orang tempatan. Berbaloi juga harga THB150. Disebabkan lama menunggu, kami pun beredar.
Tatie masih khusyuk melihat aktiviti pelukis tadi.
Eh, comel pula anjing ni.
Ini adalah jaring besi yang telah disenikan. Rupanya seperti seseorang sedang merangkak untuk keluar. Aku rasalah, malam-malam selepas Cicada ni ditutup, mau seram jadinya.
Tangan seni yang menarik. Cuma aku tak pasti minion tu diperbuat daripada apa. Tanah liat? Plaster? Entahlah…
Seorang lagi staf mereka dengan hasil seni Pikachu.
Seram…..
‘Doodle Design’ pada T-shirt. Agak murah juga, siap doodle dan t-shirt, harga THB250.
Berjalan lagi ke arah dalam.
Kelihatan pelancong barat bersama anak mereka sedang duduk di hadapan gerai jualan. Apa yang mereka tengok tu?
Ohhh… Cenderamata dan fridge magnet rupanya. Waktu ni, kami boleh sahaja berjalan macam tak ada nafsu nak membeli fridge magnet padahal kami ni pun pelancong juga!
Pintu gerbang ‘Sasi Open Air Theatre’. Teaterlah sangat….. padahal port untuk ber-stone (minuman keras) beramai-ramai.
Istilah ‘theatre’ ni boleh jadi pentas teater seperti teater bangsawan di Malaysia atau mungkin teater opera Cina dan sebagainya. Di sini pula, teater banyak digunakan untuk live band. Masuk sini free sahaja.
Satu kepujian pada kerajaan negara bukan Islam seperti Thailand ini. Walaupun penjualan arak dibenarkan, mereka masih mengkhususkan sudut khas bagi penjual arak dan diasingkan dari kawasan awam yang ramai dengan kanak-kanak bawah umur. Sebenarnya, agama Buddha juga melarang penganutnya meminum minuman keras dan memabukkan.
Anjing comel lagi….
Kami pun duduk sambil melayan live band. Hentam saja layan tak kisah lagu apa. Nasib baiklah lagu-lagu kebanyakan lagu barat dan mudah faham.
Di waktu ni, aku bawa Aqif menapak sedekat yang mungkin. Layan juga dia.
Ramai lagi yang ada di sini tapi duduk di bahagian lain.
Sambil Tatie layan live band, aku pun ambil beberapa gambar di sekitar. Macam buah pula, padahal lampu mentol.
Cantik hiasan lampunya.
Disebabkan malam tu ialah malam menjelang tahun baru 2017, jadi gambar inilah yang aku post ke dalam Facebook untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 pada rakan-rakan. Sebenarnya, inilah pertama kali aku dan keluarga menyambut tahun baru di luar negara. Excited jugalah….
Lupa aku nak cerita…. kalau di sini, tak perlu pesan air halal atau haram. Duduk sahaja di tebing-tebing tepi tu asalkan jangan duduk di meja. Kalau dah di meja, sudah tentu perlu memesan minuman.
Selepas melepak setengah jam melayan live band, kami pun beredar sekali lagi ke arah gerai-gerai jualan kraftangan. Aku sebenarnya dah penat tapi alang-alang tu saja nak habiskan sudut gerai yang lain pula.
Di sini memang banyak cenderamata yang boleh dibeli dan harga pun berpatutan.
Macam kotak file atau buku pun ada.
Waktu ni baru jam 9.09pm. Tapi perasaannya seolah-olah jam 10.09pm.
Banyak lagi gerai. Nampak macam padat pula orang. Aku pun pesan pada Tatie untuk melencong ke arah lain.
Lepas melencong, ternampak pula gerai menjual gelang tangan. Seronoklah Tatie. Di sebelah Aqif tu ada seorang wanita tempatan yang cukup ramah dan baik. Kawan dia tengah memilih gelang tapi dia pula dok melayan Aqif. Kejap gelak-gelak, kejap ketawa terbahak-bahak. Aku pun telitilah dia. Rupa-rupanya tangan kanan dia tengah genggam minuman keras. Dalam hati aku…. patutlah happy go lucky sangat, hahaha.
Balik tu, aku pun cerita pada Tatie. Kataku, tak perlu kita hukum orang walaupun dia minum minuman keras. Itu cara dia dengan agamanya. Yang penting dia baik orangnya. Nasib baiklah Tatie pun sama pemikiran dengan aku.
Bang, tak lenguh kaki ke berdiri lama-lama tu??? Mungkin pendapatan sehariannya sangat lumayan.
Video semasa di Cicada Night Market.
Seterusnya, kami pun berangkat untuk pulang ke tengah bandar Hua Hin. Untuk menaiki tuktuk, korang kena melintas ke seberang jalan. Nanti akan nampak gerai-gerai makanan dan tahan tuktuk di situ. Harga tambang sama sahaja bila naik dari Hua Hin untuk ke sini. Ramai jugalah manusia ketika ni, sampaikan kami terpaksa naik tuktuk yang ke-2 kerana yang pertama dah full.
Video menaiki Tuktuk dari Cicada ke tengah bandar Hua Hin.
Elok sampai sahaja tengah bandar, aku dah risau. Alamak, tuktuk tak lalu depan Hua Hin Clock Tower lah. Rupanya, kesemua tuktuk akan melencong masuk ke bahagian tengah Hua Hin Night Market. Jadi dari situ, kami perlu menapak keluar semula dari Night Market. Bertambah lagi penat.
Aku masih lagi tercari-cari dimanakah dataran atau tempat tumpuan utama rakyat Hua Hin menyambut Tahun Baru 2017? Sangkaanku meleset, malah penilaian tahap keimanan rakyat mereka juga meleset. Apakah ceritanya? Bersambung ke entri Kembara Thailand – Laos: Day 4 – Part 8 – Wat Amparam dan Suatu Yang Tidak Ku Jangka di Hua Hin.
hamdan
timing hangpa cantek .. ada byk event .. untung laa
Admin
hehe.. tuh la, kebetulan plak dkt New Year.