Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 10 – Part 2 – Lopburi Sunflower Field
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Inilah pekan Lopburi. Jalannya agak memanjang di sini dan aku yakin ini adalah highway sama seperti pekan yang lain. Beginilah keadaan highway di Thailand, tak seperti di Malaysia.
Tahukah pembaca, Lopburi juga dikenali sebagai Monkey City.
Inilah akak pemandu yang membawa kami ke ladang bunga tadi. Baik orangnya walaupun sepatah aku tanya, sepatah dia jawab. Cara pemanduannya sangat berhati-hati. Lihat bahagian belakang yang sebenarnya tak sesuai untuk penumpang walaupun adanya kerusi kulit untuk diduduk. Teringat pula pada Proton Arena.
Cuba lihat wajahnya. 100% rupa orang Siam.
Jam baru 10.37 pagi dan masih awal. Aku melihat Google Maps dan ternyata kedudukan tempat seterusnya hanya di hadapan kami dan berdekatan di antara satu sama lain. Ada tiga tempat di situ yang boleh dilawati dengan hanya berjalan kaki.
Lalu aku bertanyakan pada akak pemandu dan beliau cadangkan agar kami berhenti di tepi sebuah bulatan jalan raya.
Di sinilah kami berhenti dan berpisah. Semoga jumpa lagi akak pemandu!
Lihat dari jauh. Segala yang berbumbung seperti ‘missile itulah yang kami akan lawat kerana ianya binaan sejarah dan berusia ratusan tahun. Ada juga yang berusia lebih dari 1000 tahun!
Di tepi tempat yang kami turun tadi. Kelihatan tapak parking dan juga mungkin terdapat port untuk tuktuk serta teksi pekan. Kemudahan parking disediakan kerana di tengah-tengah bulatan terdapat sebuah Wat yang juga berusia agak lama kerana bercantum dengan tembok sebuah kubu. Jadi, ramailah orang tempatan serta pelancong yang bertandang ke sini terutama cuti hari minggu.
Menjadi masalah untuk melintas di sini kalau rombongan adanya kanak-kanak. Cuba lihat, di antara jalan raya dan dinding putih tu tiada sebarang longkang atau gap. Bermakna, kenderaan seperti motorsikal mungkin boleh merapati tembok. Selepas melintas jalan, tiada pilihan kerana perlu merapat ke dinding.
Di tengah-tengah bulatan itulah sebuah Wat yang bersambung dengan sebuah kubu lama. Kami akan lawat kemudian kerana ingin ke Wat dengan bumbung berbentuk ‘missile’ terlebih dahulu.
Di sini terdapatnya sebuah pintu gerbang yang tidak aku ketahui sejarahnya. Mungkin hanya sebagai simbol pekan Lopburi.
Dari sini kelihatan banyak monyet-monyet berkeliaran. Ya, sangat liar. Bermula dari sini, pembaca perlu berhati-hati jika ingin ke sini.
Inilah landasan yang sama digunakan kami ketika datang dari arah Bangkok. Tapi landasan ini telahpun terlajak dari stesen keretapi Lopburi. Ia menuju ke utara Thailand dan berakhir di Chiang Mai.
Lihatlah terlalu banyak monyet di sini. Berani tak? Dikatakan yang jumlah monyet di sekitar pekan sahaja mencecah 2,000 ekor! Malah, di wat ini juga diadakan pesta Monkey Buffet Festival pada bulan November setiap tahun.
Dah datang jauh-jauh, kan? Kenalah berani atau acah-acah berani.
Rupanya arah pintu gerbang yang kami bergambar awal tadi merujuk pada belakangnya. Ini baru betul bahagian hadapan. Apa yang ditulis atasnya? Blablabla, maaflah tak paham.
Maintain sado sambil berjalan di tepi-tepi perkumpulan monyet. Perkumpulan, ok? Bukannya seekor dua. Kalau secara kumpulan, biasanya monyet lebih berani sama juga seperti manusia, bawak kaum ramai-ramai baru berani. Cuba hadap one to one tengok? Hehe.
Beranilah seperti hero Hindustan. Seorang hero misai lentik boleh mengalahkan 200 orang musuh. Sebenarnya apa yang membuatkan aku berani lalu di tepi monyet ni sebab terlebih dahulu dah ada orang yang bagi makan monyet dengan pisang. Jadi, kuranglah baran mereka kerana kelaparan.
Pada ketika ni, Aqif dan Tatie dan mula kecuakan.
Disebabkan musim berkabung kemangkatan Raja Thailand masih berlangsung, jadi tiket masuk ke semua tempat sejarah seluruh Thailand seperti ini adalah percuma.
Lokasi GPS bagi Phra Prang Sam Yot
Kecuakan Aqif dan Tatie makin menjadi-jadi apabila dua ekor monyet bergaduh sesama sendiri dan membuat bising sambil menarik ekor. Kalau dah ekor boleh tarik, kamera dan day pack kami pun boleh ditariknya. Dengan aku sekali pun cuak tapi masih maintain mantap seperti Rajinikanth.
Tatie ketika tu sedang mendukung Aqif. Tiba-tiba salah seekor monyet yang bersaiz kecil/sederhana memanjat belakang Tatie dan mukanya bertembung dengan muka Aqif yang didukung di bahagian depan. Apa lagi, drama jam 7, suspen dan panic attack semua melanda. Aqif dah mula menjerit menangis tapi nasib baik Tatie tak panik dan melompat berkali-kali agar monyet melepaskan pautannya dari baju. Fuh nasib baik monyet melompat dan berlalu ke tempat lain.
Apa yang aku risaukan ialah gigi monyet. Dah banyak kes pelancong kena gigit seperti di kuil Batu Caves.
Akibat takut, aku pula terpaksa dukung Aqif. Semasa bergambar di sini, terdapat lebih dari 10 ekor monyet mengelilingi aku dan Tatie yang sedang mengambil gambar. Dengan pantas bergambar dan terus masuk ke dalam Wat. Nasib sekali lagi baik kerana Wat ditutup dengan grill besi.
Pengawal pintu turut sama membantu menghalau monyet-monyet di sekitar.
Inilah bahagian dalam Wat Phra Prang Sam Yot. Juga disebut Phra Prang Sam Yod dan dikenali sebagai Monkey Temple. Dikhabarkan yang ia dibina khas untuk monyet (Hanuman @ The Monkey God). Ia juga merupakan mercu tanda bagi Lopburi.
Nak kata Wat tak juga kerana ia merupakan sebuah kuil Hindu. Ia dibina bermula pada akhir abad ke 12 sehingga awal abad ke 13. Bermakna, usianya telah mencecah 800 tahun!
Sebuah batu ukiran berbentuk empat segi tepat yang aku tak pasti apakah kegunaannya.
Makna sebenar bagi Phra Prang Sam Yot ialah merujuk pada perkataan ‘Prang’ yang membawa maksud “Tiga Prang yang Suci” iaitu Vishu (yang mengetuai di sini) diikuti Brahma dan Shiva. Tiga bumbung berbentuk ‘missile’ itulah ‘Prang’. Binaan di sini diasaskan dari era pemerintahan Khmer. Sebab itulah ada persamaan binaannya dengan Angkor Wat di Cambodia.
Bumbung serta ukirannya dibina mengikut kisah gabungan mitos India dan Thai. Kuil ini dibina semasa Lopburi di bawah kekuasaan empayar Khmer dari Angkor. Kuil ini diasaskan oleh King Jayavarman VII, seorang raja yang merupakan pengasas Angkor Thom dan Bayon di Cambodia.
Aku rasa kepalanya dah dikebas oleh pihak-pihak tertentu. Tempat ini asalnya bermula sebagai kuil Hindu lalu ditukar oleh King Narai iaitu King of Ayutthaya menjadi sebuah tokong (Wat) Buddha pada abad ke-17. Patung Buddha dalam gambar di ataslah merupakan salah satu bukti pertukaran dari Hindu ke Buddha.
Semasa di sini, Aqif pula terpijak salah satu lubang empat segi lalu pengawal bertugas yang kebetulan berada di bahagian dalam memarahi kami dengan dahi yang berkerut. Aku pun memohon maaf kerana tidak tahu. Katanya, batu empat segi itu adalah barang suci di sini. Aku akur dengan teguran kerana ini adalah tempat orang, bukan tempat kami.
Lagi pintu di bahagian lain untuk keluar dan masuk.
Lantainya benar-benar ‘ancient’ seperti mirip batu-bata lama di jalan raya Rome.
Lubang batu empat segi dari jarak dekat. Sebenarnya tiada apa-apa pun di dalamnya.
Anak-anak monyet menunggu dengan tekun dan cemerlang di bahagian luar dengan harapan kalau-kalau kami akan mencampakkan pisang atau apa-apa jenis makanan dan buah-buahan. Inilah falsafah terbaru yang aku perolehi di sini:
…….. hanya monyet yang boleh diberi makan dan bukannya manusia. Manusia perlu bekerja.
…….. hanya monyet yang boleh buang sampah merata-rata dan bukannya manusia.
Kalau nak jadi monyet, jangan bekerja, tunggu sesiapa datang untuk ‘spoon feed’ dan buanglah sampah merata-rata.
Dalam banyak-banyak binaan ukiran atau tugu, inilah yang paling menarik minat aku. Bentuknya seperti sayap atau helmet dipakai pahlawan Trojan tapi terdapatnya bentuk seperti bahagian tepi sebuah muka. Warnanya pula putih padahal ukiran-ukiran lain dah berlumut dan keperangan.
Dari Phra Prang Sam Yot, kami kembali semula ke pangkal jalan keinsofan menuju semula ke wat yang terletak di tengah-tengah bulatan tadi. Ia dikenali sebagai Phra Kan Shrine.
Lokasi GPS bagi Phra Kan Shrine.
Sebut tentang shrine ni yang bermaksud kuil, aku seringkali akan teringat shrine semasa bermain game Diablo I dan II semasa sekolah menengah dulu. Jadi yang lawaknya dalam kepala aku, shrine ni seperti tempat minum air suci dan player akan mendapat kekuatan dalaman iaitu diperkuatkan aura dan tenaga. Tapi ternyata ianya tidak seperti yang digambarkan dalam game.
Kami bergambar dahulu di bahagian luar kuil. Di bahagian kanan gambar adanya tangga untuk masuk ke kuil.
Haiwan seperti gajah seperti biasa menghiasi ruangan luar kuil. Dan aku rasa di sini ialah kuil yang ada unsur-unsur Hindu. Agama Hindu menerapkan ajaran berterima kasih kepada alam dan kandungannya seperti gunung-ganang, bukit, hutan, lautan, sungai serta haiwan-haiwan. Itu cara mereka.
Phra Khan Shrine juga dibina berasaskan binaan silam Khmer bermula pada abad ke 11. Batu-batuan berat dan besar (laterite block) disusun yang menyebabkan ianya kukuh sehingga kini.
Pada tahun 1951, kuil (shrine) baru dibina bagi menempatkan Dewa Hindu Vishnu dengan empat tangan. Akan tetapi, kepalanya pula hilang kerana mungkin dicuri oleh penyangak dan digantikan dengan kepala dewa Buddha dengan ukiran berunsur Ayutthaya.
Batu laterite yang menarik perhatian aku. Lebih kurang sama dengan teknik batuan yang membina kota A Famosa di Melaka. Ada juga pendapat yang mengatakan kota lama Istana Melaka sebelum dimusnahkan oleh Portugis juga dibina mengikut cara pembuatan block laterite ini. Siapa kata seluruh istana Melaka dibuat dari kayu semata-mata?
Buat para pembaca, jangan lupa. Batu-bata ni dah pun berusia di antara 800-900 tahun tau.
Mana-mana kuil, tokong malah masjid sekalipun tidak akan terkecuali dari gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan keagamaan termasuk makanan.
Kami pun naik ke tangga untuk meninjau-ninjau bahagian dalaman kuil. Agak ramai orang dan memadai hanya melepak di bahagian luar pintu.
Aku zoom sehabisnya. Jadi, benarlah tekaanku yang kuil ini sememangnya dipengaruhi unsur Hindu dengan adanya dewa Vishnu yang bertangan empat. Dan aku juga dapat merasakan wujudnya percampuran atau gabungan amalan Hindu dan Buddha di sini.
Bergambar kenangan di luar kuil sebelum menapak pula ke Wat Nakhon Kosa.
Leave a Reply