Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 14 – Part 1 – Ulasan Hotel Chindamay
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Dari Chindamay Hotel ke Patuxay, aku dah tak ingat berapa tambangnya.
Tapi tidaklah jauh, lebih kurang 3 km sahaja.
Inilah muka orang yang dah sihat. Alhamdulillah. Terima kasih pada Allah yang masih memberi aku kekuatan di bumi asing ini. Semuanya kerana kekuatan demi keluarga tersayang.
Inilah jenis dan bentuk tuktuk motorsikal yang kami naiki sepanjang di Vientiane ini.
Bandar Vientiane, iaitu ibu negara bagi Laos, atau disebut Lao DPR yang bermaksud People’s Democratic Republic. Populasinya hanya 820,000 orang sahaja. Dan keseluruhan negara Laos berjumlah 7.5 juta orang penduduk.
Inilah negara paling tenang, kurang padat dan kurang sesak berbanding kesemua negara-negara Asean yang lain. Sebuah negara yang berhutan, berdebu, di kelilingi oleh 5 buah negara (China, Vietnam, Cambodia, Thailand dan Myanmar), pernah dihujani bom dari udara pada zaman perang saudara Laos dahulu (1959-1975 yang juga berkait dengan perang Vietnam) berjumlah 270 juta butir bom (tertinggi di dunia) dan merupakan salah satu negara yang tidak mempunyai pantai dan lautan! Sebab itulah Sungai Mekong ibarat pantai bagi mereka untuk mandi-manda dan berjemur.
Dari kejauhan dah nampak Patuxay.
Patuxay (atau dieja sebagai Patuxai), yang merupakan mercu tanda bersejarah bandar Vientiane dan juga Laos secara keseluruhannya.
Tadaaaaaa! Alhamdulillah dapat juga sampai ke Patuxay ni. Sehari sebelumnya aku ada post di FB mengatakan berkemungkinan membatalkan hasrat untuk ke sini disebabkan masalah kesihatan. Tapi berjaya juga akhirnya.
Tempat ini sememangnya cantik dan unik bagi kategori sejarah dan binaan atau monumen lama. Janganlah kerana tempat ini bukan di France dan suhu tidak sejuk menjadikan tempat ini tak menarik pula.
Patuxay yang bermaksud Victory Gate (Gerbang Kemenangan) atau Gate of Triumph. Binaannya didedikasikan untuk mereka yang berjuang dalam perjuangan kemerdekaan dari France. Dalam menyebut nama dari bahasa Laotian, ia ditransliterasikan sebagai Patuxai, Patuxay, Patousai dan Patusai. Ia juga disebut Patuxai Arch atau Arc de Triomphe of Vientiane kerana menyerupai Arc de Triomphe di Paris. Walau bagaimanapun, ia dibina mengikut kesesuaian budaya Laotian, dihiasi dengan makhluk mitologi seperti kinnari (separuh perempuan, separuh burung).
Patuxai adalah kata majmuk, ‘Patuu’ atau ‘patu’ yang bermaksud “pintu” atau “pintu gerbang” dan “Xai”, turunan dari bahasa Sanskrit ‘Jaya’, yang bermaksud “kemenangan”. Oleh itu ia bermaksud “Pintu Kemenangan”. Patuxai dibina pada masa sejarah Lao sedang bergolak. Ia dibina ketika Laos merupakan monarki berperlembagaan dan pada awalnya hanya dikenali sebagai “Anousavali” (“Monumen”), sebagai kenangan khusus kepada para tentera Laos yang mati semasa Perang Dunia II dan perang mendapatkan kemerdekaan dari France pada tahun 1949.
Tugu ini dibina dengan menggunakan dana dari Amerika Syarikat dan simennya yang asal bertujuan untuk membina lapangan terbang baru. Kerajaan Laos sebaliknya menggunakan simen bagi membina monumen ini, seterusnya ia mendapat nama jolokan “vertical runway (landasan menegak)”.
Tugu ini direka oleh askar Laotian, yang juga seorang bekas wartawan dan pemahat berbakat iaitu Tham Sayasthsena. Pada tahun 1957, plan binaannya dipilih berbanding permohonan yang dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kejuruteraan Ketenteraan, dan arkitek-artitek swasta. Tham menerima wang 30,000 kips untuk kerjanya. Kos pembinaan dianggarkan bernilai 63 juta kips.
Pada Mei 1975, pihak komunis Pathet Lao menggulingkan kerajaan gabungan dan merebut kekuasaan, mengakhiri monarki kuno dan melantik seorang perdana menteri baharu yang berdarah separuh Vietnamese. Mereka menamakan semula monumen Patuxai sebagai penghormatan ke atas kemenangan yang diserahkan kepada mereka oleh Tentera Vietnam Utara.
Tugu ini mempunyai lima menara yang mewakili lima prinsip hidup bersama antara negara-negara di dunia. Mereka juga mewakili lima prinsip Buddha tentang “kebajikan, fleksibiliti, kejujuran, kehormatan dan kemakmuran” yang bijaksana.
Tugu ini memiliki pintu gerbang di empat sisi yang berorientasi ke arah empat arah kardinal. Pintu gerbang Timur-Barat terbuka ke Long Xang Avenue, yang digunakan semasa perarakan nasional. Di depan setiap pintu gerbang, ada kolam. Keempat kolam itu mewakili bahagian terbuka bunga teratai (mewakili penghormatan orang Laos kepada pahlawan bangsa yang berani). Keempat sudut pintu masuk dihiasi oleh patung Raja Naga (simbol mitos Laos), dengan gambaran yang menandakan pancutan air (menunjukkan sifat, kesuburan, kesejahteraan dan kebahagiaan) ke arah kolam yang berada di tanah.
Selepas menaiki tangga ini, terdapat dua tangga konkrit jenis berputar dari dalam struktur utama, melewati setiap tingkat, hingga ke puncak monumen. Galeri pameran terdapat di tingkat atas. Tingkat pertama mempunyai pejabat pengurusan monumen; kios-kios yang berurusan dengan peralatan pelancongan (artifak, cenderamata dan makanan ringan) juga bertempat di tingkat ini. Tingkat dua adalah kawasan penting di mana terdapat sebuah muzium ditempatkan, memaparkan patung dan gambar pahlawan terkenal di negara ini.
Tiket untuk naik ke atas Patuxay tidak mahal. Seingat aku, tidak sampai RM3.00 bagi orang dewasa. Kami di sini pada hari Selasa dan tidak ramai orang. Jika beratur, tidak sampai 5 orang yang ada. Mungkin akan lebih ramai pada hari cuti minggu.
Nampak tak aku di mana? Kesian aku tak dapat naik. Jadi, aku berehat sahaja di bangku batu yang disediakan di sini sambil menjaga backpack kami. Yang penting Tatie dan Aqif terhibur kerana dapat naik ke atas.
Sistem pancutan bermuzikal yang dipasang di taman elegan yang baru dibina ini disumbangkan oleh kerajaan China. Ini adalah ciri popular bagi pengunjung dan penduduk tempatan yang mengunjungi monumen pada waktu petang.
Tingkat seterusnya adalah ruang terbuka di mana empat menara dibina di empat penjuru. Menara ini telah dihiasi dengan lukisan dinding dedaunan. Menara ini juga dilengkapi dengan lampu elektrik, yang dihidupkan pada hari kebangsaan dan perayaan penting lain. Menara-menara kecil, dengan hiasan seperti kuil, dibina dengan gaya Laos dan dilengkapi dengan menara. Setiap menara mempunyai tangga.
Selain dari menara empat sudut, terdapat satu lagi menara tengah yang lebih besar (bukan menara dalam gambar di atas) di atas tingkat ini, yang juga mempunyai tangga yang menuju ke tingkat atas yang mempunyai platform bagi melihat pemandangan panorama bandar Vientiane.
Dan gambar di atas adalah tingkat yang paling atas. Perlu dinaiki menggunakan tangga kayu yang disediakan.
Dan bolehlah korang menikmati pemandangan hampir 80% keseluruhan bandar Vientiane.
Bangunan putih itu adalah pejabat Perdana Menteri Laos ala-ala seperti Putrajaya. Terasa rugi pula tidak bergambar di hadapan pintu masuknya kerana tidak dapat melihat dengan lebih jelas kawasan sekitar yang sepatutnya menerusi Google Maps. Semua kerana tidak membeli prepaid simkad dan bergantung pada offline maps seperti MAPS.ME dan Here Maps.
Panorama sekitar bandar Vientiane. Jika korang perhatikan, sikit atau mungkin tiada langsung bangunan tinggi melebihi dari 12 tingkat di sini.
Dari belakang Patuxay, iaitu dari arah yang kami datang pada awalnya.
Pada hari Selasa iaitu hari orang bekerja pun keadaan jalan raya utama di sini tidak sesak. Tidak seperti bandar-bandar utama Asean yang lain.
Haa.. adapun bangunan tinggi lebih dari 12 tingkat di hujung sana yang berwarna putih dan berkubah bulat.
Teleskop juga dipasang di tingkat ini untuk melihat pemandangan.
Melihat panorama bandar menerusi celah batuan binaan Patuxay yang telahpun dimulakan sejak tahun 1957. Ketinggian dinding bagi kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah selamat di sini.
Dua orang yang ‘terpilih’ untuk masuk ke dalam dan menaiki ke atas Patuxay. Bertuahnya….
Salah satu dari tiga cabang kubah berbentuk piramid bertingkat yang dibina di atas bumbungnya.
Bangunan monumental ini sebenarnya belum siap sepenuhnya hingga ke hari ini, walaupun pemerintah Laos telah berulang kali membenarkan dana baru. Mungkin kerana bangunan ini dianggap sempurna binaannya dan tidak perlu lagi sebarang penambahbaikan.
Ini pula dari sudut pandangan kamera Canon EOS aku yang diambil dari bawah dan zoom sampai habis (18-55mm). Kelihatan Tatie dan Aqif melambai-lambai ke arahku.
Lama juga mereka naik ke atas, lebih kurang setengah jam. Dalamnya terdapat tingkat khas yang mempamerkan jualan barangan cenderamata dan wajib melaluinya semasa naik dan juga turun. Bagi pencinta sejarah, ahli arkitek dan ukiran, ini adalah tempat menarik untuk korang.
Sambil tu aku meneliti kawasan taman di sini yang boleh dianggap seperti taman awam di hadapan Suria KLCC. Masing-masing ada keunikan dan bukan keluasan kawasan yang menjadi ukuran.
Selepas ini, kami berhajat untuk terus border crossing ke Thailand tanpa ke tempat-tempat lain di sekitar Vientiane. Namun, dari sudut kerugian pula, kami tidak dapat melawat ke (senarai teratas paling popular):
- Great Sacred Stupa (Pha That Luang)
- Wat Si Saket
- Mekong Riverside Park / Chao Anouvong Park
- Sisaket Temple & Museum
- Wat Si Muang
- Ho Pra Keo
- Black Stupa (That Dam)
- Lao National Museum
- Lao National History Museum
- Presidential Palace
- Wat Mixay
- Lao People’s Army Museum
- Lao Textile Museum
- Vientiane City Pillar Shrine
- Morning Market
- MAG UXO Visitor Centre (pameran bom-bom semasa perang dahulu)
- Nam Phou Fountain / Namphou Circle (elok di waktu malam)
- People’s Security Museum
Ikuti entri blog seterusnya untuk border crossing ke Thailand semula!
Leave a Reply