Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 14 – Part 2 – Restoran Halal Di Nong Khai & Perjalanan Pulang Ke Bangkok
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Tren pada ketika ini jam 12.00 tengah malam. Dan Aqif masih lagi demam tapi separa surut. Apa-apapun kami tetap meletakkan tuala basah di kepala bagi mengurangkan lagi suhu.
Ini adalah risiko yang perlu dihadapi bagi pengembara berkeluarga. Kami lebih rela menanggung semua anak-anak mengembara dari menyusahkan ibubapa atau mertua untuk menjagakan anak kami sepanjang kami “bersuka ria” di luar negara.
Seingat aku, kami tiba di Hua Lamphong railway station ini agak lewat sedikit berbanding jadual asal pada jam 6.00 pagi. Pada ketika ini telahpun jam 7.08 pagi. Lokasi tren berhenti betul-betul bawah stesen ini dan bukannya di terminal atau kawasan yang lain. Jadi, ini memudahkan mobiliti kami untuk ke kawasan sekitar.
Akibat jumlah duit dalam tangan yang semakin berkurangan, aku mencari CIMB Bank melalui Google Maps. Sebelum ini kami sedia maklum melalui group Backpackers dari Malaysia yang mengatakan adanya CIMB di luar stesen. Terpaksalah kami menapak dan melintasi sungai kecil dan berjalan kaki sejauh 850 meter.
Tiba di suatu gerai yang menjual kuih-muih makan pagi ala Thai, aku ternampak seorang sami yang berkaki ayam. Lalu aku minta Tatie posing membelakanginya untuk diambilkan gambar. Tujuan beliau ke gerai tu adalah rutin pagi biasa bagi mana-mana sami untuk memberi blessing pada perniagaan yang baru dibuka untuk hari tersebut.
Apa yang menariknya tentang sami ini? Demi mencari “Yang maha tunggal”, mereka sanggup melepaskan hawa nafsu, kehendak dan keinginan duniawi. Hidup dalam keadaan ringkas sahaja. Aku teringat pula agama kita yang mana pendidiknya menunggang agama, demand elaun ceramah yang tinggi, kereta pun hebat seperti Toyota Vellfire yang berharga RM250 ribu dan sebagainya. Tidak salah untuk berkeinginan, tapi biarlah sederhana dan menjadi contoh pada masyarakat. Walaubagaimanapun, setiap cabang agama ada masalah masing-masing selagi dinamakan kehidupan sementara.
Dalam pada menapak ke CIMB, kami pun berdoalah dalam hati agar mesin ATM boleh digunakan seawal jam 8.00 pagi ini. Bukan apa, sesama cawangan CIMB walaupun di luar negara, tiada sebarang caj tambahan dikenakan. Aku boleh saja jolok kad ATM di mana-mana mesin MEPS, tapi bakal dicaj ekstra RM25.00 woih. Nilai sebanyak tu boleh lepas makan lunch atau dinner sekeluarga di sini.
Buat korang yang datang dari arah Hua Lamphong railway station, boleh klik link ini untuk Google Maps.
Pantulan cahaya pagi dari matahari membuatkan bumbungnya menyerlah keemasan.
Di kawasan ini terdapatnya aktiviti keagamaan pada sebelah pagi. Aku tak pasti adakah ini rutin biasa atau ada upacara khas.
Alhamdulillah mesin ATM berfungsi di awal pagi. Selesai mengeluarkan duit, kami bergerak pulang semula ke Hua Lamphong railway station.
Tiba-tiba Tatie ternampak sebuah gerai menjual ubi yang dibakar kosong. Dalam hati aku, boleh sangatlah ni buat penambah kepelbagaian dalam makanan pagi untuk hari ini.
Itulah sungai yang kami lintasi tadi. Bila difikirkan, langkah kami beramai-ramai menapak ke CIMB agak kurang bijak. Lebih baik anak dan isteri aku melepak sahaja di Hua Lamphong sambil aku menapak ke bank.
Tapi di negara orang, siapa sanggup tinggalkan anak dan isteri walaupun sekejap! Hehe.
Ikutkan awal tadi boleh sahaja kami breakfast dahulu kerana duit di tangan aku masih berbaki 200 baht (~ RM17). Alang-alang dah serabut, biar serabut sampai habis sebelum menikmati makanan.
Untuk korang yang berada di sini, lokasi warung halal ada di dalam stesen.
Selesai makan, pada jam 9.07 pagi, kami menuju bawah tanah untuk menaiki MRT (Blue line). Tujuan menaiki MRT ialah untuk berhenti di stesen pertukaran ke MRT Airport Link yang dikenali sebagai SRTET City Line (dalam paparan Google Maps). SRTET City Line boleh menuju terus ke lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi.
Ingat lagi posting kami yang lalu bagaimana kami menapak di bawah tanah dari stesen MRT ke Hua Lamphong railway station? Begitulah penyeksaan kali ke-2 yang kami hadapi pada ketika ini.
Perjalanan menaiki MRT Blue Line dari Hua Lamphong railway station ke Phetchaburi station.
Tiba saja di Phetchaburi, kami kena menapak lagi ke Makassan station yang mana aku rasakan sangatlah jauh dan bertingkat-tingkat.
350 meter berjalan kaki, naik turun tangga dan sebagainya.
Akhirnya aku pun pancit tapi isteri dan anak masih steady. Kami terpaksa berlabuh seketika di tepi laluan pejalan kaki bersebelahan dengan cafe yang masih belum dibuka, 10 minit je pun.
Tapi kami bukanlah nak bentangkan tikar, jual lukisan atau gambar kembara sambil mengutip derma seperti mana pengembara barat yang memalukan imej backpackers. Kami pun ada standard sendiri. Kalau takada bajet nak mengembara, jangan acah-acah macam ada duit lebat. Nanti menyusahkan orang. Biarlah kumpul bertahun-tahun sampai cukup sebelum terjah.
Tengok tu panjangnya laluan…
Haa tengok, ada lagi laluan panjang… macam mana aku tak pancit, kan?
Berehat seketika di atas jejantas sambil memerhatikan teksi Bangkok yang berwarna-warni.
Aku dah kata, ada pula lagi laluan panjang…
Barulah sampai ke Makassan station, mak dia lah punya panjang!
Apa yang kau menatap di phone tu bang oih? Sampai berkerut dahi. Keadaan kami ketika ini sangat monyok walaupun cukup tidur semasa dalam tren malam tadi.
MRT Airport Link atau SRTET City Line mirip seperti MRT di KL. Landasannya tinggi di atas. Di sini, kelihatan ramai pelancong atau pengembara yang menuju ke lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi.
Lelaki berbaju hitam di bahagian kanan gambar berkulit gelap, tapi jika diamati wajahnya sememangnya warga Siam. Bukan semua orang Siam berwajah cerah.
Apa yang aku suka, tiada yang memberi pandangan pelik pada kami.
MRT Airport Link yang kami naiki berhenti di stesen Lat Krabang (atau Latkra Bang). Ianya stesen kedua terakhir sebelum stesen MRT Suvarnabhumi.
Untuk penginapan terakhir di bumi Thailand ini, kami memilih untuk booking hotel yang selesa sedikit. Biasanya kaedah ini dibuat pada hari-hari terakhir dalam tempoh kembara. Jadi, dapatlah booking Hotel Grand Pinnacle di Lat Krabang untuk semalaman dengan rate RM68/malam.
Untuk ke Hotel, jarak dari stesen Lat Krabang ialah 3.5 km. Jadi eloklah kami mengambil teksi dengan harga THB120.
Hotel ini juga terletak 4.0 km sahaja dari lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi. Flight pulang esoknya pada jam 6.00 pagi. Dan ini memudahkan capaian segera kami dari sini. Lagipun, hari terakhir ini tiada apa lagi aktiviti pelancongan menarik yang boleh dibuat. Masa untuk berehat!
Hotel Grand Pinnacle. Gambar dari Google.
Kami tiba awal di sini sebelum jam 11.00 pagi. Pada mulanya kami berlabuh dahulu di lobi dan tiba-tiba reception kata boleh check-in awal. Aku pun cakap terima kasih dan berjanji padanya untuk memberi rating yang terbaik dalam Agoda.
Apabila masuk ke bilik, keadaannya sesuai untuk diberikan rating tinggi. Cuma harganya sedikit mahal mungkin kerana berdekatan dengan lapangan terbang dan sering digunakan sebagai hotel transit.
Pemandangan jalan besar di hadapan hotel.
Secara keseluruhannya, tempat ini hanyalah sebuah pekan yang padat dengan perumahan dan rumah kedai. Hampir sama sahaja dengan kawasan perumahan aku di Cheras.
Bersebelahan dengan hotel ini terdapat juga apartment dan kawasan parkir.
Masuk tengahari, perut kami dah mula berkerut. Aku pun turun ke bawah dan keluar dari hotel bagi mencari makanan. Kawasan Lat Krabang ini adalah tempat paling susah untuk mencari makanan halal. Sepanjang 300 meter ke timur hotel dan kemudiannya berpatah balik dan bersambung 300 meter ke barat pula mencari lagi warung halal. Yang peliknya, 7E pun tak ada.
Akhirnya aku mengalah. Terdetik dalam hati dan tergerak mata untuk melihat warung dalam gambar di atas. Kelihatan peniaga sedang salai ikan sembilang (atau keli) sebesar dua jengkal atas jaring-jaring besi barbecue.
Aku fikir, macam okay je ni. Lagipun ikan bakar kosong tanpa sebarang inti atau perisa yang disumbat dalam perutnya. Apa lagi, aku pun pesan ikan sembilang seekor dan dua bungkus nasi putih kosong tanpa sup, kuah, sayur dan sebagainya.
Sememangnya jaring besi untuk salai ikan itu juga digunakan untuk salai benda lain. Aku dah tak mampu nak fikir mendalam dan berkerut dahi pada ketika tu. Aku mengambil pendekatan bahawa, segala kuman-kuman dan sel dari makanan tak halal akan dimatikan oleh api yang membakar jaring tu.
Berehatlah Aqif… 4.32 petang.. banyak lagi masa di sini. Malamnya kami tak ke mana. Esok adalah hari terakhir di bumi Thailand.
Leave a Reply