Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 7 – Pencarian Hotel Murah dan Khao San Road. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Tarikh Kembara: 4 Januari 2017
Hari ke: 8
Lokasi: Bangkok
Semasa di pesta buku “Negara Buku” di Shah Alam pada bulan Disember 2017, aku bertemu dan berkenalan dengan Meor Farid Asyradi (penulis buku terkenal dan laris Travelog Mr. Traveler) dan Normi Ahmad Shafie (penulis terkenal buku Krabi: Pergi Naik Bas, Balik Naik Tren dan Seoul Dengan RM1,400 Je?). Setelah berborak agak lama dan panjang lebar, mereka mencadangkan agar aku ‘convert’ penulisan travelog di blog menjadi sebuah buku. Sebagai menghormati saranan mereka, aku meluangkan masa mendengar sahaja tapi jauh dalam hati aku, belum bersedia untuk membuat buku cetakan kerana selesa menyalurkan maklumat percuma pada korang semua. Blog ini sebenarnya makin berkembang setiap hari kerana ‘unique visitor’ boleh tahan ramai iaitu 800 orang sehari. Baiklah, kita sambung kisah kembara Thailand-Laos ni yang hampir setahun belum habis-habis lagi. Jenuh tau!! Aku gagahkan diri juga demi menyumbangkan maklumat.

Pagi tu kami bangun hampir jam 11 pagi. Amboi nyenyak sungguh tidur kerana kepenatan hari sebelumnya. Tiada aktiviti di bilik yang dibuat pagi itu. Tatie pula teringin nak makan megi yang kami bawa. Aku pun cuba menghidupkan butave stove yang dibawa. Bila aku buka laras yang terletak di sebelah adaptor, tiba-tiba pula bunyi seperti gas bocor.

Puas aku menapak turun ke bawah dan mencari-cari kedai yang boleh meminjamkan pliers. Dengan tak mandi bagai semata-mata untuk isteri dan anak nak makan pagi. Masuk kedai ke-5 barulah aku dapat bantuan pinjaman. Aku cuba kepit dan pulas-pulas, tapi tidak berhasil. Akhirnya balik dengan tangan kosong.
Ishk, tak berani aku nak cuba-cuba nyalakan api. Buatnya meletup. Memandangkan larasnya seperti mustahil untuk diganti dengan spare part, jadi aku mengambil keputusan mengakhirkan riwayat butane stove dan tong gasnya di sini dan ditinggalkan di bilik ini sebelum kami keluar dari Bangkok pada lusa harinya. Jimat sedikit ruang dan berat backpack aku.
Jam 12 tengahari barulah kami keluar dari hotel menuju entah ke mana mencari restoran halal. Aku berpendapat, lebih baik menghala ke Khao San Road kerana mudah untuk mencari tuktuk, teksi dan restoran.
Sampai sahaja di Khao San, aku ternampak dua orang gadis bertudung rakyat Thailand lalu di sebelah kami. Seperti biasa, aku pun menegur dan membuat signal memasukkan makanan ke dalam mulut dan menyebut ‘halal’. Mungkin kerana faham jadi mereka cepat menunjukkan padaku lokasinya. Mereka juga mencadangkan sebuah lagi restoran tapi di hujung sebelah timur Khao San Road yang bernama ‘Aesah Rotdee’.
Disebabkan restoran pertama yang dimaklumkan lebih dekat, kami pun menuju ke sana. Berkenaan Aesah Rotdee akan aku ceritakan pada entri yang lain.
Inilah warung yang terletak di lorong menghala ke Masjid Chakrapong. Di sini terdapat tiga buah warung. Sebuah kategori warung Muslim, keduanya warung bukan halal dan ketiga ialah restoran Muslim yang terletak di bahagian tengah lorong ini.

Di bahagian luar juga terdapat fish ball, hotdog dan sebagainya yang boleh dibungkus dan dimakan sambil berjalan.

Inilah keadaan dalam lorong yang kami singgah ini. Bagi aku, keadaan lorong agak bersih kerana di bahagian luar terdapat label dan gred dari Kementerian Kesihatan Thailand.

Kata orang, kalau nak membeli makanan halal pastikan penjualnya memakai tudung. Dalam hal ini, kami tak dapat nak berfikir sehingga berkerut kepala kerana keadaan di negara bukan Islam adalah sentiasa ‘darurat’. Bak kata mat saleh… “I cannot brain lah”. Mahu atau tidak, terpaksa bedal apa yang ada asalkan halal dan menolak kriteria-kriteria yang lain. Situasi ini dikira tahap sederhana sahaja jika dibandingkan pencarian makanan halal seperti di Norway, Lithuania, Poland, China, Japan dan lain-lain lagi yang jauh lebih susah.

Di antara juadah makan tengahari yang disediakan. Harga agak berpatutan dan hampir sama seperti di Malaysia.

Selesai mengambil lauk seorang sepinggan, kami menuju ke bahagian dalam. Di sini, kerusi dan meja agak terhad. Nasib kami baik kerana ada sebuah sahaja meja kosong di sini. Jika kami datang selepas jam 1 tengahari, mungkin tiada langsung meja kosong kerana yang datang ramai dari kalangan pekerja pejabat.

Sementara Tatie menjamah dahulu, aku membawa Aqif pusing-pusing sehingga ke belakang lorong. Bila Tatie dah habis makan, barulah giliran Aqif untuk disuap nasi.

Nampak warung di hadapan tu? Ianya tidak halal dan jangan pula salah memilih. Manakala di sebelah kiri, terdapat sebuah restoran Muslim yang bernama S.M. Lokhande. Di dinding masuk tertera sijil pengesahan kesihatan oleh kementerian.

Ini bahagian dalam restoran tapi tiada pelanggan pula. Aku lihat juadahnya tak sebanyak warung di hadapan tadi.

Kemudian aku membawa Aqif berjalan sehingga ke belakang lorong dan awalnya aku bajet, pasti akan bertemu dengan Masjid Chakrapong. Inilah dia…

Senibina bangunannya tidak berupa seperti masjid yang biasa kita lihat. Lebih kepada bentuk bangunan perniagaan.

Ini pula pintu masuknya. Aku dapati, kebanyakan masjid di negara bukan Islam semuanya ditutup pintu. Mungkin atas sebab keselamatan atau mungkin juga atas perintah kerajaan tempatan, wallahualam.

Masuk sahaja ke pintu utama, bahagian kanannya terdapat tempat untuk berwuduk.

Dan di kirinya terdapat pintu masuk ke ruang utama solat.

Kelihatan beberapa orang Islam warga Thailand yang mula bersolat di sini. Waktu sekarang telahpun masuk waktu Zohor. Aku berpatah balik ke warung makan tadi kerana ingin maklumkan pada Tatie untuk bersolat di sini selepas habis makan.

Selesai makan dan solat Zohor, kami meneruskan perjalanan ke lokasi pelancongan yang terdekat iaitu Coin Museum. Sebelum memulakan langkah, aku bertanya pada pakcik yang menjual hotdog tentang waktu warung ini ditutup. Katanya kebiasaannya ditutup di antara jam 4.00-5.00 petang. Buat korang yang nak jamah di sini, please take note.

Lokasi GPS bagi warung halal dan Chakrapong Mosque (juga digelar Chakrabong atau Chakrabongse): 13.761404, 100.497398
Menapak ke Coin Museum tidaklah jauh, hanya 350 meter sahaja. Aku rasa tak perlu diletakkan koordinat GPS kerana mudah dicari melalui Google Maps.

Sampai sahaja betul-betul di hadapan Khao San Road, kami berhenti seketika dan duduk di kaki lima. Sengaja melayan suasana Khao San yang terkenal di siang hari. Ternyata tiada apa-apa aktiviti, hanya malam sahaja. Kenderaan juga boleh keluar masuk menerusi jalan Khao San dan ditutup apabila malam menjelma.
Di mana Khao San Road? Sebuah kenderaan berwarna putih yang parking itulah jalannya.

Kemudian kami meneruskan perjalanan menapak ke Coin Museum. Aku tertarik pula dengan sebuah rumah kedai yang menjual tong gas yang nampak sedikit pendek dan comel. Sangat berbeza saiz berbanding di Malaysia. Akan tetapi, di Indonesia pula lebih kecil lagi dan berbentuk ala montel.

Suasana pemunggahan barang iaitu minuman botol dan tin. Kemungkinan untuk diagihkan ke 7-Eleven di situ. Apa yang aku lihat melalui budaya jalanraya di Thailand dari selatan hingga Bangkok, jarang terdapat kenderaan yang parking di tepi jalan. Mungkin tiada langsung tapak parking. Yang berhenti hanyalah kenderaan untuk memunggah barang, teksi, bas dan tuktuk sahaja.

Kalaulah tidak kerana masalah terhuyung-hayang menaiki feri di sungai Chao Phraya semalam, kemungkinan besar kami akan menapak sehingga ke sini mencari hotel bajet.

Kemudian aku ternampak tulisannya “Indian Food”. Lalu aku bertanya.. katanya halal. Tapi jauh dalam hati aku agak was-was. Jika benar, aku bercadang untuk plot restoran ini dan singgah makan pada waktu yang lain.
Sebuah stupa yang sederhana besar terletak di bahagian luar Coin Museum. Bila melihat kembali foto ini, sudut yang aku ambil sangat ‘right on time’ kerana kelihatan seorang wanita berjalan di bahagian kiri sambil tunduk ke bawah. Bagi aku ada ‘nilainya’ dan mungkin tidak bagi orang lain.

Betul-betul di sebelah stupa, tertera pintu gerbang yang tertulis Coin Museum. Ya, memang tak susah untuk mencari.

Bergambar di hadapan muzium. Pada waktu ini merupakan lunch hour dan ketiadaan staf di kaunter pertanyaan.

Antara contoh-contoh replika besar syiling lama yang dipamerkan di pintu masuk muzium. Kami menunggu seketika sehingga ada petugas di kaunter yang datang. Ternyata tiada aktiviti yang boleh dijalankan dengan bimbingan staf muzium sehingga jam 2 petang. Waktu sekarang pula adalah 1.20 tengahari. Ya Allah, buruknya baju H&M aku. Padahal baru sahaja beli sebelum memulakan kembara ni.

Petugas kaunter ada bertanyakan samada kami nak guide untuk tour di dalam. Ianya percuma tapi perlu menunggu sehingga jam 2 petang. Aku katakan tidak perlu kerana kami hanya seketika di sini. Namun, aktiviti ‘playdough’ dan melukis menggunakan benang menyebabkan kami berada di sini melebihi jam 2 petang. Haha rugi pula!
Banguan ini asalnya berfungsi sebagai Biro Pengurusan Kewangan kerajaan dan kemudiannya ditukar menjadi muzium. Ia menempatkan pameran syiling-syiling lama dan baru tempatan termasuk juga dari luar negara.
Ini pula penerangan tentang matawang DiRaja dan peralihan ke matawang moden.

Sejarah matawang semasa pemerintahan Raja Rama IV iaitu raja yang mereformasikan sistem matawang Thailand.

Kemudian kami meninjau di sudut korridor kerana terdapatnya pameran seni yang dihasilkan oleh kanak-kanak serta pelancong yang hadir ke sini.

Set-set playdough juga dipamerkan karya dan hasil seni dari kanak-kanak.

Inilah koridor yang aku maksudkan. Di hujung sekali tiada apa-apa, hanya pintu exit yang dikunci sahaja.

Semua gambar-gambar di bawah ini adalah penerangan, koleksi dan pameran replika bentuk-bentuk matawang zaman dahulu di Thailand. Korang bacalah ye. Nak menulis panjang pula.








Aktiviti menekap dan melorekkan (betul ke terma yang aku gunakan ni?) contoh replika matawang zaman dulu di atas kertas yang boleh dibawa pulang sebagai kenangan.

Aqif kami biarkan bermain dengan playdough walhal di rumah dah biasa main. Mungkin teruja dengan acuan tekap plastik dengan pelbagai bentuk bagi menghasilkan playdough. Buat para ibubapa yang membawa anak seperti kami, di sini tempat yang sesuai untuk ‘menghabiskan masa’.

Hasil tekap dan lorekkan tadi. Simpan tau, jangan buang pula.

Ok ini aku tak tahu apakah namanya. Bila kita melukis atau menulis atas papan hitam tu, benang dalam pen oren tu akan melekat di papan lalu menghasilkan corak-corak yang kita ingini.

Sambil Tatie dan Aqif beraktiviti, aku pula meninjau-ninjau sekeliling. Kelihatan pelancong yang datang dengan dipandu oleh staf di sini bagi sesi penerangan. Ia percuma sahaja tapi kena tulis nama dan ikuti jadual yang disertakan. Alangkah bagusnya jika kami menulis nama semasa masuk ke sini awal tadi. Tak sangka pula akan lepak lama di sini sehingga habis lunch hour.

Ruangan ini hanya boleh dibawa masuk oleh staf muzium sahaja.

Ini contoh pameran yang terdapat di sebalik pintu tadi. Secara amnya, muzium ini sesuai bagi mereka yang gemar sejarah matawang zaman dahulu hingga sekarang dan khusus untuk Thailand sahaja. Sambil-sambil tu, tempat ini juga sesuai untuk melepaskan penat berjalan lama di luar sana sambil melakukan pelbagai aktiviti seni.

Video yang kami sempat ambil di sini.
Aku ni kureng sedikit bab sejarah-sejarah. Bukanlah semua sejarah aku reject, cuma memilih yang diminati sahaja. Lepas ni kami ke mana? Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom. Apa kejadah terbelit lidah nak sebut tu? Follow sajalah…. jom ke entri seterusnya… Kembara Thailand – Laos: Day 8 – Part 2 – Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom & The Grand Palace, Bangkok.
Leave a Reply