Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 4 – Part 1 – City Pillar Shrine Di Prachuap Khiri Khan. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Elok je menapak keluar dari City Pillar Shrine, kami terpandang pula di kawasan atas sebuah bukit. Sangkaan aku, yang di atas puncak bukit tu ialah sebuah rumah, rupa-rupanya ia adalah Wat.
Nama tempat ni digelar Khao Chong Kra Chok (KCKC) atau Khao Chong Krachok, aku tak pasti nama tersebut mewakili Wat atau mewakili nama bukit. Dari jauh dah nampak ratusan tangga untuk naik ke atas.
Aku dok berkira-kira sambil menghitung masa yang tinggal. Sekarang baru jam 10.37am. Bermakna, tinggal baki 1 jam 23 minit untuk checkout dari Maggie Guesthouse jam 12.00pm. Ok, itu waktu checkout, jadi kami kena pulang lebih awal untuk berkemas iaitu paling lewat jam 11.30am. Ada 53 minit saja lagi.
Nak panjat ke tak nak? Nak panjat ke tak nak? Terus tersentap dalam kepala aku macam satu kejutan, “woiii, ko dah sampai sini kan? nak tunggu bila lagi nak datang semula?” Ok Ok. Aku akur dengan kata-kata dari diriku dari sisi positif. Dari sisi diri setan pula, dah tentu menghasut dan menakut-nakutkan aku, hehe.
Apa lagi, bergegas kami menapak. Walaupun laju, tapi dalam mode “fast and steady”. Inilah tugu kera yang dibina di bawah kaki bukit KCKC. Semalam dah ambil gambar tapi tak jelas. Berhenti dan bergambar seketika. Dalam kepala, aku bajet tempat ni termasuk hingga ke atas puncak bukit, dibina khas bagi memperingati dewa kera iaitu Hanuman.
Kalau di India, lembu dianggap keramat dan suci. Di sebelah Asia Tenggara pula berbeza. Kera pula dianggap suci hinggalah ke Bali, Indonesia.
Kami cuba mendekati kawasan tepi tugu kera. Dari jauh ternampak seperti ada pintu utama untuk menaiki ke puncak bukit KCKC. Sempat juga aku ambil gambar rakyat tempatan yang mungkin tengah tunggu tuktuk. Kawasan yang kami berdiri ni terdapat banyak bangunan pusat pentadbiran Bandar Prachuap Khiri Khan.
Sebaik melepasi ‘bas stand jadian’ tadi, aku ambil pula gambar Wat …. ok ni panjang namanya iaitu Wat Thammikaram Worawihan. Ia merupakan Wat terbesar di bandar ini. Kelihatan banyak kerusi plastik yang biasa digunakan bagi mana-mana majlis. Serupa seperti di City Pillar Shrine sebentar tadi. Mungkin di sini juga bakal diadakan sambutan tahun baru 2017.
Tapi kami abaikan seketika Wat ni kerana misi utama untuk mendaki puncak KCKC.
Sampai juga kami ke pintu atau gerbang utama untuk menaiki tangga. Kelihatan ramai juga pengunjung lepak di sini, mungkin melepaskan lelah selepas penat memanjat.
Sruppp… fuhhhh… tarik nafas panjang dulu sebelum naik. Batu Caves punyalah dekat di KL sana pun aku tak naik, tapi di sini agak mengada-ngada pula nak panjat, hehe. Sebenarnya aku tak pasti berapa jumlah anak tangga yang ada. Sambil meng-google tadi, ada 396 anak tangga! Ada pendapat mengatakan ia mempunyai 395 anak tangga. Jadi, tugas koranglah yang perlu mengira berapa anak tangganya yang sebenar.
Ni amaran aku nak beritahu korang. Sekitar tangga hingga ke atas, terdapat spesis kera jenis “macaques” yang dikira sebagai spesis paling tak mesra manusia. Jadi:
- Elakkan membawa makanan jika tidak mahu dikerumuni oleh 10 ekor kera. Lebih baik ada daypack untuk menyimpan makanan.
- Elakkan memegang kamera atau handphone di tangan. Dirisaukan, kera-kera tersebut akan merampas kerana menyangka ianya adalah makanan.
- Elakkan berada statik atau lama berdekatan dengan kera semata-mata untuk menghayati pemandangan keseluruhan Bandar Prachuap. Sabar…. sebab di atas nanti ada satu port berbumbung boleh lepak tanpa ada kehadiran banyak kera.
Nak bagi makanan pada monyet? Sebelum naik, ada beberapa orang penjual pisang tengah melepak di dataran Wat Thammikaram Worawihan. Tak silap aku, seikat atau sebungkus berharga THB50.
Lokasi pintu masuk Khao Chong Kra Chok: 11.813279, 99.797288
Jom kita mulakan “kembara tangga” atau “backpack tangga”. Ye memang sesuai digelar “backpack tangga” sebab masing-masing galas daypack 20L.
Nah aku sajikan pemandangan yang sangat-sangat menarik dari atas puncak. Acah jer!! Ni baru suku jalan, belum puncak lagi. Bangunan warna-warni tu rasanya kolej teknikal.
Fuhh… berhenti kejap. Ambil nafas. Kali ni kena tukar ke mode “slow and steady”. Aqif pun slow and steady. Biasalah budak-budak slow pace sikit. Tapi saja nak beritahu korang, bila teruja nak sampai ke atas, penat atau mengah tu tak terasa sangat. Ramai juga rakyat Thailand di sini yang berusia lebih dari 50 atau menghampiri 60 tahun.
Dah separuh jalan. Masih tiada kehadiran kera. So, kami berehat seketika tujuan untuk melihat pemandangan. Kelihatan Wat Thammikaram Worawihan.
Naik lagi….. Walaupun jarang tidak bercat tapi ianya agak terjaga kerana binaannya elok dan tiada rosak atau keretakan. Nasib baik ada pemegang di kiri kanan, amat sesuai buat warga tua yang menunaikan hajat agama masing-masing di sini.
Sampai ke checkpoint pertama. Di sini korang boleh juga berehat melepaskan lelah dan tiada gangguan dari kera liar. Cuma aku nak beritahu, pemandangan di sini tak berapa menarik dan perlu mendaki lagi.
Tuh dia. Ada lagi anak tangga. Nampak tak di atas sana seperti ada bumbung? Itulah checkpoint ke-2. Untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan tangga ni pun menarik juga. Rasa rugi pula tak selfie di sini.
Sempat selfie di sini je sambil gigih nak tunjuk Wat Thammikaram Worawihan kat belakang tu. Haa.. barulah nampak Wat ni ‘seketul’.
Eh ada rupanya gambar selfie. ๐
Usaha tangga kejayaan. Di depan aku memang ada tangga pun. Tengah berusahalah ni!
Belum sampai ke checkpoint ke-2, ternampaklah pula pemandangan cukup menarik. Apa lagi…. Tatie pun terus berposing membelakangi kawasan laut.
Barulah nampak ‘seketul’ Wat Thammikaram. Besar juga…
Aku pula bergambar di kawasan tepi Wat Thammikaram sebab ada pemandangan loji atau kawasan takungan air yang agak besar dan menarik di situ.
Nampak tu kera? Liar weh… hati-hati ye. Sebenarnya kami bernasib baik. Sebelum tu, dah ada pengunjung dah bagi makan kenyang-kenyang kera ni. Jadi, kuranglah gangguan. Yang banyak mengganggu ni sebab lapar.
Wow!! Marvelous sungguh. Dengan cuaca yang terang dan pemandangan yang jelas tanpa sebarang jerebu. Nampak jeti yang kami singgah semalam? Panjang, kan? Guesthouse kami pun berdekatan situ. Jika diukur jarak, tidaklah jauh untuk ke KCKC ni.
Pemandangan keseluruhan Bandar Prachuap.
Dah sampai checkpoint ke-2. Walaupun banyak kera, tapi mereka agak takut kerana ramai manusia di sini. Hanya bermain di tepi-tepi sahaja. Yang banyak menjerit atau terkejut kebiasaannya pengunjung tempatan. Maklumlah orang Asia seperti kita dah maklum sangat tahap ganas kera ni. Melainkan pengunjung dari barat yang nak sangat melihat kera dah dekat. Negara mereka tidak ada kera atau monyet dan tak memahami rentak dan tahap ganasnya.
Waktu macam ni jangan haraplah nak suruh Aqif posing elok-elok. Pemikirannya sedang berjaga-jaga sambil mata meliar melihat kera. Takut katanya. Ishk mana boleh! Keturunan aku perlu berani!
Gambar penuh kawasan loji atau takungan air. Dari gambar ni, korang bolehlah dapat gambaran… besar mana Bandar Prachuap ni.
Aku ambil gambar di posisi kanan bukit pula. Kelihatan ada kawasan teluk di hujung sana. Mungkin itu kawasan yang kami lalu petang semalam.
Gambar hujung jeti.
Demi anak-anaknya yang lapar, ia memberanikan diri masuk ke ‘wilayah’ manusia menagih simpati kalau-kalau ada makanan yang bakal dihulurkan.
Beberapa meter dari checkpoint ke-2, kami terhenti seketika kerana nak fikirkan semula samada perlu memanjat hingga atas atau tidak. Waktu sekarang pun dah 10.51am. Lepas turun ni cadang nak melawat Wat Thammikaram Worawihan kemudian menapak semula ke guesthouse yang mengambil masa selama 20 minit. Ishk, tak cukup masa ni.
Jadi, setakat ini sajalah berakhirnya ‘backpack tangga’. Aku rasa, ending di sini pun dah kira cukup. Yang penting gambar pemandangan keseluruhan bandar dan ‘mission accomplished’!
Tapi kalau korang banyak masa, aku galakkan naik sampai ke atas. Mungkin di atas sana ada sudut yang boleh melihat bahagian belakang bukit. Sudah tentu pemandangan bertambah marvelous. Oh ya, wat di atas tu namanya sama seperti wat di bawah iaitu Wat Thammikaram. Bezanya, tanpa nama “Worawihan”. Menurut sumber google, katanya di dalam wat tu adanya tapak kaki Buddha.
Elok patah balik ke checkpoint ke-2, ternampak pula abam misai ni. Aihh… melentiknya misai. Aku pun tegur nak minta bergambar. Dia ok je, sporting.
Where from? Tanya aku.
Abam misai jawab… from Sathon.
Aku iyakan saja sebab tak tahu di mana dan sebut yang kami dari Malayia. Dia angguk dan senyum. Rupanya Sathon tu di Bangkok. Bila aku tengok peta… wah Sathon ni di tengah-tengah bandar Bangkok. Kaya kot abam ni.
Sebelum beransur aku pun cakap “Thank you” dan bersalaman. Orang Thailand memang baik-baik weh.
Apa lagi korang nak ni wahai kera? Sampai terguling-guling dok kunyah makanan. Sedap sangat ke?
Sini pun spot menarik juga nak bergambar terutama kalau korang nak tonjolkan kecuraman tangga ni.
Tumpang lalu sebelah ye abam kera. Ni kalau tergolek, jenuh!
Saja aku ambil gambar ni walaupun berjuta kali ada background Wat Thammikaram. Bukan apa, rasa macam special pula kombinasi batu bukit, kera dan Wat. Barulah nampak ketinggian antara dua.
Boleh dikatakan bukit ni penuh dengan batu-batu sepanjang pendakian dari bawah sampai atas. Entah bagaimana ye orang dulu-dulu ‘menebas’ batu-batu di sini untuk mewujudkan laluan.
Ok aku mengaku tak pernah tengok kera makan aiskrim selama ni. Ada seorang pengunjung, mungkin sebab takut, dia campak je aiskrim bagi pada kera ni.
Sewaktu mendaki, tak perasan pula kami adanya seekor kera yang ditambat di sebuah pondok di sini. Turun je baru ternampak. Kami turun bersama dengan sekeluarga pelancong barat. Entah macam mana, aku tergerak nak bercerita pada mereka yang kera seekor ni mungkin jelmaan Monkey God. Panggilan popularnya ialah Hanuman atau Sun Wukong. Jadi, ia ditempatkan khas dalam sebuah pondok sebagai penghormatan.
Mat saleh sekeluarga tu khusyuk pula dengar kisah merapu aku…. Mungkin sambil aku bercerita, mereka membayangkan movie kungfu Asian, shaolin, Jet Li dan lain-lain. Aduih, lawak pula bila difikirkan.
Inilah mereka. Sempat lagi aku snap gambar. Ok aku dapat nasihat tentang waktu melawat di sini. Apa kata kalau korang datang pada waktu matahari naik atau terbenam? Mesti cantik pemandangannya, kan?
Ke mana pula kami selepas ini? Dah tentulah ke Wat Thammikaram Worawihan yang payah benar nak sebut. Ayuh! Jom ke sana… masa dah suntuk nak checkout wehhhh..!!
Bersambung ke entri Kembara Thailand – Laos: Day 4 – Part 3 – Wat Thammikaram Worawihan dan Pulang Semula Ke Guesthouse di Prachuap Khiri Khan.
Leave a Reply