Entri sebelumnya: Kembara Thailand – Laos: Day 8 – Part 1 – Makan Tengahari di Chakrapong Mosque dan Melawat Coin Museum
Nak baca dari awal? Klik sini: Pra Kembara Thailand-Laos
Menyelusuri jalan raya dengan berjalan kaki bukanlah digemari oleh ramai orang. Ada yang suka secara pantasnya menggunakan pengangkutan awam walaupun jaraknya dekat sahaja. Kami sekadar menapak dari Coin Museum menuju ke The Grand Palace. Jarak lebih kurang 1km juga.
Di sini, laluan untuk pejalan kaki agak bersimpang siur. Kami memilih untuk menapak terus di bahagian tengah yang sebenarnya merupakan roundabout.
Di pertengahan roundabout terdapatnya dekorasi landskap dan kelihatan beberapa pekerja membersihkan kawasan sini. Aku tak pasti mereka ni orang tempatan atau dari negara-negara bersebelahan seperti Myanmar, Cambodia atau Laos. Yang pasti, tiada wajah selain dari kawasan Indo China seperti Bangladesh, Pakistan dan India.
Agak berdedikasi juga mereka, siap membentuk formasi seperti perbarisan sebelum memulakan tugas.
Tatie dan Aqif juga tak melepaskan peluang bergambar dengan mereka. Korang mahu melihat tempat-tempat yang gah silakan. Aku pula mahu mengenali orangnya. Apa yang mereka bikin, bagaimana sistem pembersihan kawasan dan sebagainya semua dalam kepala aku yang curious.
Dari bulatan, kami melintas ke jalan bertentangan untuk melihat sebuah monumen di tengahnya.
Ini adalah Phan Phiphop Lila Junction. Merupakan sebuah monumen berpatung terdiri dari empat kepala gajah dalam empat penjuru. Gajah putih adalah gajah yang suci bagi kepercayaan masyarakat Thailand. Aku pernah mendengar kisah tentang kekeramatan gajah putih ini dan kerajaan Thailand sentiasa menghulurkan dana bagi mana-mana pihak yang dapat mencari gajah putih.
Walaupun berbeza kepercayaan dengan kita, namun wajarlah kita menghormati sebagai meraikan perbezaan budaya setempat. Sama juga seperti di India yang menganggap lembu sebagai haiwan yang suci.
Padang mini yang kehijauan dan dipelihara dengan baik di tengah-tengah persimpangan jalan. Kalau nak buat kerja gila, silakan bentang tikar dan berkelah di sini.
Padang mini tu cuma di sebelah kiri mereka sahaja. Ramai yang beratur menunggu lampu isyarat hijau pejalan kaki.
Takziah di mana-mana.
Kemudian, kami menghala ke jalan utama yang terdapatnya The Grand Palace. Ada sebuah jambatan besi di sini. Terkejut juga, ingatkan orang betul rupanya patung kertas.
Dari Google Maps, sungai kecil ini seolah-olah terhenti sehingga takat sini sahaja. Tapi ianya mengalir ke bawah tanah menuju ke Sungai Chao Phraya.
Ok, inilah dia Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom atau nama pendeknya Shrine of Mae Thorani.
Ingatkan bila beraksi macam ni tiada pula orang yang menjeling. Rupanya ada!
Kami membelakangi Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom. Maaflah tak dapat nak kongsikan gambarnya secara hadapan.
Siapa Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom?
Alkisahnya, Bodhisattva sedang bermeditasi di atas kerusi takhtanya di bawah pohon Bodhi. Mara, seorang yang jahat sangat cemburu dan ingin menghentikan Bodhisattva mencapai ‘pencerahan’ (enlightenment), suatu taraf penyucian diri tahap tertinggi. Dengan dibantu oleh tenteranya, haiwan-haiwan liar dan anak perempuannya, Mara cuba mengalihkan Bodhisattva dari takhtanya. Semua dewa-dewa begitu takut dan melarikan diri, meninggalkan Bodhisattva keseorangan bagi menghadapi cabaran Mara. Boddhisattva meregangkan tangan kanannya dan menyentuh tanah, bagi menjadikan tanah sebagai saksi pertempuran. Dewa bumi dalam bentuk seorang wanita cantik tiba-tiba bangkit dari bawah takhtanya, dan menegaskan hak Bodhisattva bagi menduduki takhta Vajriisana itu. Dia menggulungkan rambutnya yang panjang, dan keluar air yang yang tak terhitung banyaknya sumbangan dari Buddha sehingga menghasilkan banjir. Banjir itu menenggelamkan Mara dan tenteranya, dan Bodhisattva dibebaskan untuk mencapai pencerahan. Maka, dewa bumi itulah Mae Phra Thoranee Beep Muay Phom atau Phra Mae Thorani.
Jika dilihat dari patung gambar di atas, kelihatan rambutnya panjang dan mengalirkan air.
Kami sebenarnya berjalan ke arah bangunan Kementerian Pertahanan Thailand. Memang tiada hajat untuk bertandang ke Grand Palace memandangkan upacara perkabungan sedang berlaku di sini. Jadi, sepanjang jalan ini dapatlah kami melihat begitu ramai rakyat Thailand yang hadir untuk berkabung.
‘Trademark’ pengembara harus jadikan papan tanda sebagai checkpoint atau bukti pernah hadir ke sini. Kalau tidak, bakal dikecam kononnya gambar ciplak dari Google dan siap #doneclaim, hahahaha!
Bas ala-ala Hop On Hop Off seperti di KL atau di London juga disediakan di sini. Tapi, tidaklah aku tahu berapa pengerasnya. Namun, branding sebagai “The Strat Ford Tour” agak kurang sedap di mataku. Mungkin kerana namanya bukan mirip tempatan dan lebih pada nama bandar di UK contohnya Stratford atau Stratfordshire. Ya, kami pengembara mahu melayan segala yang berasal dari tempatan.
Ini pula entah apa jenis bas Hop On Hop Off.
Apabila dah pertengahan jalan, aku bercadang untuk melintas jalan menuju ke arah pintu masuk The Grand Palace. Sengaja untuk meninjau apa yang sedang berlaku di dalamnya.
Apabila menulis entri ini, ya Tuhannnnn… barulah aku tersedar kesilapan tentang tapak sebenar The Grand Palace. Beriya-iya aku fikir palace tu berada di kawasan tempat berkabung. Rupa-rupanya ianya sebuah padang seperti Dataran Merdeka di KL. Disebabkan dinding kelilingnya tertutup, aku menyangka ianya bersambung atau sebahagian dari kawasan perimeter The Grand Palace.
Mungkin kerana dalam kepalaku, tujuan utama ke sini ialah untuk mencari sebuah meriam sejarah yang diletakkan di hadapan Kementerian Pertahanan Thailand. Pernah tengok filem The Queen of Langkasuka? Meriam itu kepunyaan Ratu Hijau. Antara meriam yang terhebat di rantau Asia Tenggara.
Tiba-tiba ada pula orang yang bagi kalendar yang tertera gambar raja mereka yang telah mangkat. Dan aku sedar, kalau aku buang di tepi jalan pasti dikecam atau paling teruk didakwa kerana mempersendakan raja mereka.
Kami follow sahaja abam askar di hadapan ini sehingga ke hujung jalan.
Terasa seperti di kota London pula.
Salah seorang dari abam askar tadi berhenti, jadi kami mengambil peluang untuk bergambar bersama beliau. Hampir sama tinggi pula aku dengan beliau. Ini namanya promosi saham diri.
Berjalan dan terus berjalan. Terus-terang aku katakan, kalau dah minat nak meneroka, memang takkan terasa penatnya.
Dari jauh dah kelihatan bangunan The Grand Palace.
Aqif pula penat, jadi kami terpaksa berhenti dan berehat buat seketika. Aku dapati, Aqif mempunyai minat yang hampir sama dalam mengembara. Suka meneroka dan berjalan. Bila suruh baca ABC malas pula. Agaknya, pelajaran di jalanan lebih bermakna dan lebih ‘hidup’.
Kemudian, kami lintas semula ke arah jalan yang bertentangan kerana terlihat begitu ramai pelancong-pelancong masuk ke sebuah kawasan di situ.
Selepas melintas, barulah nampak panorama penuh The Grand Palace. Gajah putih di situ. Menurut cerita, gajah putih merupakan gajah paling keramat antara semua jenis gajah yang ada di dunia ini (apsal aku rasa macam dah repeat kali kedua statement ni? hentam sajalah labu..). Dan terdapat ura-ura bahawa kerajaan Thailand bakal memberi saguhati dalam Baht yang hampir nilai dengan jutaan ringgit Malaysia bagi sesiapa yang menemui gajah putih dan dibawa pulang ke Thailand. Tapi sehingga sekarang tiada yang menemuinya. Dan pada pendapat aku pula, jika benar wujud, ia hanyalah metafora bagi mereka yang mencari pencerahan bagi membuka hijab ketuhanan antara diri dan tuhan (masing-masing).
Jarak keseluruhan kami menapak dari Coin Museum ke Bangkok City Pillar Shrine. Nampak macam jauh tapi sebenarnya 800 meter sahaja.
Entri seterusnya kita terjah ke Bangkok City Pillar Shrine.
Leave a Reply