For English, click here.
Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 1 – Perjalanan Bermula, Tren ETS dan Sempadan Malaysia-Thailand. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Lokasi: Padang Besar (Perlis) dan Hat Yai (Thailand)
Tuh dia bus stand berbumbung biru. Depannya ada pondok atau barricade askar, mungkin tujuan penjagaan sempadan. Tapi aku tidaklah ambil gambarnya, nanti dikatakan apa pulak. Sebenarnya, waktu sampai di sini, kami macam tertanya-tanya dan masih keliru cara nak naik bas awam.
Tunggu dekat 10 minit tak ada pula bas yang lalu. Sambil tu ada juga pemandu-pemandu tuktuk yang bertanya kami sekiranya nak tumpang ke Hat Yai, tapi disebabkan aku risau kena scam terutama di kawasan border, kami layan bersembang tapi tak ambil pun tuktuk dia. Ada juga seorang lelaki Melayu Thailand ni kononnya nak bagi kami tumpang free ke Hat Yai, memang aku tak percaya.
Rupa-rupanya dia suruh kami naik dengan seorang pemandu teksi ni. Dah tentu kena bayar kan? Dari situ dia akan dapat komisen. Hati-hatilah ye. Buatnya naik teksi yg kononnya free tiba-tiba kena caj dekat RM300, tak ke naya? Mana ada teksi free weh! Too good to be true. Mimpi di siang hari!
Kedudukan terkini dan perjalanan kami berdasarkan peta.
BERMULA DARI SINI… kami menukar jam dari 2.16pm ke 1.16pm. Jangan lupa tau…. Thailand ni lewat sejam dari Malaysia. Nanti tak pasal-pasal terlepas bas, keretapi dan sebagainya.
Masih perlu maklumat tambahan lokasi bus stand ni? Tak mengapa, saya letakkan koordinat GPS “6.664971, 100.328523” dalam peta di atas. Sharing is caring kan? Betul-betul bersebelahan dengan Padang Besar Police Station. Rupa-rupanya barulah saya tahu. Nama Padang Besar ada di dua lokasi berbeza dan digunakan untuk dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Jadi, ada Padang Besar di Perlis dan ada Padang Besar di Thailand.
Tiba-tiba ada tuktuk singgah sini dan katanya boleh bawa ke stesen minibus. Teruja nak sangat naik tuktuk lagipun first time ke Thailand membuatkan kami terus naik tanpa fikir apa-apa. Elok dalam 2-3km perjalanan, ada makcik dalam tuktuk tu yang tunjuk kami bas awam yang semenangnya terus ke Hat Yai dan berada 300 meter di belakang kami. Bila pemandu tuktuk berhenti tepi jalan nak pickup penumpang, kami ketuk tingkap dia minta dia tunggu sekejap sebab kami nak turun. Nasib baiklah bayaran THB40 sahaja. Kanak-kanak percuma, hanya dewasa THB20/person.
Aku yang terkial-kial baru first time nak bayar pakai Baht, terpaksa tunjuk signal pada bas awam tu minta dia tunggu sekejap sambil aku bayar THB40 pada pemandu tuktuk. Pemandu bas minta Tatie dan Aqif naik dulu.
Pemandu bas awam ni org tua dan sangat ramah. Selalu senyum-senyum bila toleh ke arah kami. Naik pula bas, nampak kerusi kosong banyak, apa lagi terus duduk bahagian depan sebab nak melayan pemandangan. Dah 10km perjalanan, aku tertanya-tanya juga… eh mana la konduktor bas ni. Rupanya dia tengah sibuk di belakang tengah berkemas dan susun barang. Kemudiannya barulah dia datang pada kami dan punch tiket bas ala-ala zaman sebelum tahun 2000 bila naik bas di Malaysia. Harga THB50/person, kanak-kanak percuma. Mungkin di negara kita masih ada lagi sistem lama ni terutama di kawasan luar bandar. ‘Kotak’ tiket dia sangat menarik sebab berbentuk silindir besi. Tak sempat nak snap gambar. Cuaca waktu ni sangat agak panas. Tingkap bas kami rebahkan paling bawah.
Perjalanan hampir 56km ni buatkan mata mula nak kuyu. Aqif dah mula pejamkan mata. Waktu di sini aku tengok GPS katanya dlm 40 lebih km, tapi rupa-rupanya 56km. Backpack aku letak di depan manakala Tatie pula masih bergalas di belakang dalam keadaan posisi kerusi mula jadi tak selesa. Aku minta tanggalkan backpack tak mahu pula, mungkin sebab risau. Aku pula letak backpack kat kerusi depan iaitu kerusi yang berada di belakang pemandu, dia yang suruh letak situ. Ada pula seorang tempatan ni nak turun, dia bangun dan duduk di kerusi sebelah backpack aku. Mulalah terasa tak secure. Dalam kepala dah fikir bukan-bukan, “buatnya dia capai tali bag aku, terus dia lompat keluar bas jenuh ni”. Ahh, aku cuba buat-buat lupakan masalah tu tapi tetap dalam keadaan bersedia. Mungkin pemikiran aku jadi macam ni disebabkan baru pertama kali jejak kaki di bumi Thailand dan belum dapat ‘baca’ tingkahlaku dan perangai orangnya.
Keadaan dalam bas agak selesa walaupun ada bahagian kerusinya yang koyak sana sini. Cuma agak panas tapi dibantu dengan angin kuat dari luar bas. Yang uniknya, bas ni masih guna kipas syiling jenis berpusing macam dulu-dulu di Malaysia. Aqif pula sebenarnya baru pertama kali dalam hidup naik bas dan muka pun macam cuak sikit. Nasib baiklah Aqif duduk diam-diam je. Aku risau juga kalau mula buat perangai merengek dan bermacam-macam. Bukan apa, isteri aku gak yang susah nanti nak kena dokong. Biasalah, anak lebih suka mummy yang dokong.
Memang aku mengantuk, tapi tahan je. Bila sampai di traffic light, Tatie signal kat aku suruh ambil gambar kedai sebelah kanan bas. Cantik pula…. deretan pelbagai jenis beras-beras tempatan dalam guni yang bermacam jenis warna.
Bas pun dah sampai ke Pekan Sadao. Di sini adanya simpang untuk ke Phattalung, Hat Yai dan Pattani. Pekan ni wajib bypass untuk siapa-siapa yang nak ke Hat Yai. Dan sepatutnya di sinilah kami berhenti tadi dengan tuktuk kalau berhajat nak ke Hat Yai dengan minibus. Maaf, harga minibus ke Hat Yai tak tahulah berapa.
Aku share kan video yang sempat dirakam sewaktu dalam bas awam. Sangat menarik kerana bas masih lagi menggunakan kipas jenis berpusing.
Peta perjalanan kami dari sempadan Malaysia-Thailand ke Hat Yai melalui pekan Sadao. Pekan Sadao ni tidaklah besar, lebih kurang pekan Tapah atau Rengit di Johor.
Pemandangan bukit yang aku ambil di pekan Sadao. Untuk pengetahuan uols, shuttle train tidak lalu di sini kecuali secara ‘manual border crossing’ sahaja. Terasa skima pula aku sebut perkataan “sahaja” tu.
Bila dah masuk bandar Hat Yai, konduktor bas tanya nak berhenti di mana? Itu yang best kalau jadi pelancong, mereka akan bantu sungguh-sungguh. Aku tak tau nak sebut macam mana sebab belum beli simkad dan tak dapat capai Google Translate. Konduktor wanita ni pula tak reti speaking English. Jadi, macam-macam bahasa itik dan ayam aku keluarkan. Aku minta pemandu berhenti di Hat Yai Railway Station. Dah tentu bahasa isyarat aku buat tangan macam keretapi tengah berjalan siap bunyi tuttt tuttt lagi… lawak pun ada. Nasib baik konduktor paham dan maklumkan pada pemandu.
Sampai je di tengah bandar, bas berhenti di rumah kedai, mungkin pejabat syarikat mereka. Kemudian perjalanan di teruskan dan kami berhenti agak lama lebih kurang 15 minit di Phet Kasem Road. Rupa-rupanya konduktor tengah punggah barang-barangan untuk niaga dalam kotak. Patutlah mula-mula naik tadi sibuk di bahagian belakang bas, dok susun kotak-kotak. Aku rasa majikan dorang tak tahu ni. Menggunakan kemudahan syarikat untuk bawa stok barang niaga, hehe. Jangan barang-barang pelik sudahlah. Maklumlah bas pun dari arah sempadan. Memang aku dah tak tahan sangat menunggu lama sebab bahang panas mula menerjah masuk. Entah berapa juta kali aku buka HERE maps untuk check baki jarak. Tapi akhirnya bas hantar sampai hujung roundabout di Phet Kasem Road dan tak masuk ke jalan menuju ke Hat Yai Railway Station.
Kami berhenti di sini. Sampai sini aku mati akal. Takkan nak menapak ke Railway Station yang berjarak 1.2km? Kami duduk sekejap tepi jalan. Tujuan nak ke station sebab nak beli siap-siap tiket untuk ke Prachuap Khiri Khan. Nak tiket sleeper berth harus kena beli awal-awal risau sold out.
Disebabkan perut belum diisi apa-apa, aku decide untuk bertanya pada tauke kedai elektrik yang boleh speaking. Dia pun tahu warung Muslim. Jadi ditunjukkan arahnya. Wallaweh, nasib baiklah dekat je dalam 300m menapak. Sambil menapak tu aku minta Tatie usha-usha juga kedai jual simkad tapi tiada. Bila sampai ke warung Muslim tu, barulah nampak deretan warung-warung halal yang lain. Ingatkan satu je kat situ tapi banyak lebih kurang 4-5 buah.
Haa…. sampai Thailand ni memang kami target tomyam je. Lawak juga waktu nak pesan makan. Ingatkan peniaga tahu sekurang-kurangnya bahasa Kelantan, tapi tak tahu. Dekat 5 minit jugalah puas beritahu menu yang nak dipesan pada peniaga warung. Puncanya sebab excited nak bersembang dengan peniaga melayu Thailand sampai lupa fungsi nama makanan yang dorang dah terjemahkan pada menu dalam bahasa Melayu. Keterujaan pertama kalilah katakan…..
Inilah menunya. Senang je kan? Excited sangat… hahahaha.
Peniaga warung. Di sini bukanlah kategori warung tapi mirip food court. Cuma dia je yang berniaga di waktu ni.
Di bahagian luar pula ada dijual celur-celur aka yong tau foo.
Nah saya kongsikan lokasi warung-warung Muslim ni. GPS “7.015298, 100.471071”. Walaupun lokasinya bukan tempat tumpuan pelancong, tapi bolehlah dibuat sebagai ‘backup’ sekiranya tersasar sampai ke sini. Untuk pengetahuan uols, di sini juga tempat untuk mengambil minibus atau bas awam untuk ke Samila Beach. Oh ya, tomyam yang kami makan tadi berharga THB115 sahaja iaitu sup tomyam satu dan nasi putih 3 pinggan.
Selesai makan, kami pun berpusing keliling food court tu, saja nak usha peniaga-peniaga Muslim yang lain. Kemudian teringat semula kedai simkad dan menapak ke arah utara melepasi kawasan sekolah menengah. Di situ, kami bertanyakan pelajar sekolah tempat yang sesuai untuk membeli simkad. Katanya di 7E yang terletak di seberang jalan. Kami pun lintas dan menuju ke sana. Sampai je, pekerja counter kata yang ada jual hanya topup je. Lalu, kami ambil keputusan untuk ke arah jalan yang kami sampai mula-mula tadi.
Bila dah separuh perjalanan, tiba-tiba aku rasa lemah semacam. Seolah-olah macam orang yang kena low blood pressure. Aku andaikan mungkin sebab tak cukup tidur dan rehat dan perut kosong tiba-tiba dimasukkan makanan. Kami pun melabuhkan backpack di tepi jalan. Ada juga orang yang meninjau-ninjau kami tapi buat dek je. Lepas berehat sebentar, aku decide untuk tahan tuktuk dan menuju ke mana-mana hotel murah di sekitar Lee Garden Plaza.
Terbang THB100 walhal dekat je dalam 1.5km. Nak buat macam mana, lemah badan punya pasal, malas nak ambil risiko bab kesihatan ni. Sebelum naik tu aku dah pesan pada pemandu tuktuk yang pandai speaking untuk cari hotel yang murah, dia kata ok. Tapi bagus juga kami naik dengan dia sebab hotelnya bagi aku sangat murah siap dengan aircond, deluxe bed, tingkat 5 tapi ada lif dan wifi yang laju malah dekat sangat dengan Lee Garden Plaza dan Hat Yai Railway Market serta berhadapan dengan Santisuk Market. Hotelnya ialah Park Hotel dan hanya THB350/night.
Lepas dia drop kami di depan Park Hotel, kami pun terus walk-in dan bertanyakan rate untuk bilik. Yang pasti, pemandu tuktuk tadi memang tak ambil sebarang komisen dengan pihak hotel sebab dia langsung tak masuk ke dalam dan bercakap dengan pekerja kaunter hotel.
Hampir jam 5.30 petang juga kami check-in. Lepas letak barang, aku turun bawah sekejap sebab nak beli simkad. Entah macam mana berbelah bagi pula nak beli simkad DTAC ni sebab dalam website katanya ada topup yang lebih murah terutama penggunaan data. Tapi yang banyak dijual pula jenis Tourist Sim Card. Aku dah confuse dan decide nanti-nantilah beli. Lagipun di hotel dah ada wifi. Naik balik bilik, terus tertidur bagi puas-puas. Lagipun malamnya bercadang nak ronda sekitar Lee Garden Plaza. Ops… gambar di atas ni hanya sudut sini je dibenarkan. Sudut di sebelah kiri kawasan ‘larangan’, hehehe. Sebenarnya bukanlah deluxe bed, macam kebiasaan yang dibuat oleh parent, iaitu mencantumkan dua katil jadi satu.
***
Jam 7.00 petang je, kami pun bangun dan menunaikan kewajipan. Hampir jam 8.00pm baru keluar jenjalan. Kononnya nak ke Khlong Hae Floating Market. Kami pun bertanya pada satu kedai jual simkad di depan hotel. Katanya, floating market tu hanya buka hari Jumaat, Sabtu dan Ahad je. Tambahan pula, waktu kami berada di Hat Yai ni ialah hari Rabu. Hmmm, pakat tak pergilah market tu. Mungkin lain kali lagipun Hat Yai dekat je dengan Malaysia. Sambil bertanya tu baru aku sedap hati nak beli simkad. (Tambahan: Jiran di rumah kami ni pergi ke Hat Yai sebulan lepas tu, katanya floating market tu hanya tutup hari Isnin je, aduiii dah kena ‘scam info’ pulak dengan peniaga Santisuk tu).
Perihal simkad: Kami beli dua simkad kosong Happy Tourist DTAC setiap seorang berharga THB49. Kemudian aku topup THB200 untuk simkad aku bagi tujuan pembelian kuota bandwidth 1GB untuk 7 hari berharga THB199. Bagi Tatie pula, kami buat hotspot sharing dan jimat di situ. Sambil menulis untuk entri ni, aku ada check sekali lagi laman web DTAC. Sekarang dah tak ada 1GB untuk 7 hari. Yang ada hanya 2.5GB untuk 10 hari berharga THB229. Ok juga, banyak kuota tu walaupun sedikit mahal. Penjual simkad tu jumlahkan semuanya THB496. Aku cakap…. aik apahal mahal sangat? Patutlah aku tak sedap hati dari awal. Perangai macam nak scam, entah-entah saja nak pukau aku kot. Dia jumlahkan sekali dengan data untuk simkad Tatie. Sepatutnya THB297 je. Ok, nasib baik dia bertolak ansur. Setel…
Lepas beli simkad, kami menuju ke Hat Yai Railway Station untuk membeli tiket tren ke Prachuap Khiri Khan pada esok harinya. Sampai je betul-betul depan stesen, nampak macam gelap je. Tatie cakap mungkin dah tutup dan buka siang hari je. Ditambah pula ada kedai di tepi yang menjual tiket bas. Dia cuba racun aku untuk beli tiket bas. Mahalnya, harga THB800-1000, lagi mahal dari tiket tren lower sleeper berth (THB835). Lepas tu aku tanya dia samada kaunter tiket tren buka atau tidak. Ditipunya aku kata kaunter dah tutup dan beranggapan mungkin aku akan beli tiket bas dia. Untuk pengetahuan korang, semua kaunter stesen tren di Thailand dibuka 24 jam untuk ‘Advanced Booking’ kecuali yang Third Class (Ordinary Train) yang lebih murah dan perlu dibeli bermula jam 8.00 pagi (hanya di Hat Yai. Kecuali bagi stesen-stesen di daerah lain di Thailand yang dibuka dari jam 6.00 pagi). Dah termakan kata yang kaunter dah tutup dan aku pula nak cepat-cepat mengelak beli tiket dia, kami pun terus menapak cabut menuju ke depan hotel semula. “Pagi esoklah kami kita datang sekali lagi”, maklum aku pada Tatie. Terpaksa buat style blogger BackpackerBusuk, gamble dan berserah selagi boleh.
Depan hotel tu sebenarnya Santisuk Market. Antara market yang banyak menjual pelbagai barangan murah di Hat Yai. Ada satu lagi iaitu Kim Yong Market, nanti aku story dalam entri yang lain. Jadi, dua market ni je yang terkenal di sana. Cuma nak beritahu uols, market-market ni kalau dah jam 7.00 petang ke atas, kebanyakan dah tutup. Eloklah terus ke Lee Garden Plaza je atau Khlong Hae Floating Market.
Inilah Lee Garden Plaza iaitu destinasi popular di Hat Yai yang selalu aku baca dalam blog-blog. Akhirnya sampai juga.
Sampai je sini terus kami tala ke gerai menjual pulut mangga. Dah target awal-awal sebab popular sangat pulut mangga di sini. Rupanya, gerai muslim yang menjualnya ada dua.
Jika uols sampai ke Lee Garden, cari bahagian yang arah kiri kalau berhajat nak merasa pulut mangga yang popular. Yang sebelah kanan Lee Garden pun ok juga, not bad dan ada kelainan iaitu pulutnya yang berwarna-warni. Dari segi rasa? Alah sama jer dua-dua…
Di sebelah Mcdonalds pula ada pertunjukan tarian tradisional oleh kanak-kanak Thailand. Tujuannya ialah untuk mengutip derma bagi pembiayaan sekolahnya. Plan asalnya nak bergambar dengan patung Mcdonalds di atas tu. Nampak tak apa yang unik tentang patung tu? Kedua tangannya diletakkan di tengah dada ala-ala sawadikap. Bagi aku, ini sesuatu yang rare. Mana ada di Malaysia kan? Tapi sebab kat situ ada show, cancel dan bercadang untuk cari McD yang lain. Boleh dikatakan seluruh McD di Thailand mempunyai formasi tangan sebegitu.
Video tarian tradisional yang sempat dirakamkan oleh Tatie.
Sekitar night market yang terdapat di hadapan Lee Garden Plaza. Ia hanya dibuka jam 5.00 petang ke atas. Kalau datang sebelum waktu tu, memang tak ada apa-apa di sini, pulut mangga pun tak ada! Dalam pada tu aku berhati-hati juga di sini. Maklumlah kan pernah berlaku insiden tak best tahun 2012 dulu. Tapi dari pemerhatian aku, sekarang dah tak macam dulu. Bermacam jenis kenderaan polis dan tentera serta peralatan-peralatan elektronik digunakan untuk merakam pergerakan orang awam yang mencurigakan di sini. Jadi, soal keselamatan di sini insyaAllah terjamin. Selamba je lepak, don’t worry. Terbang juga beratus THB sebab Tatie berkenan sangat dengan baju style Korea. Takpa, janji puas hati.
Kami pun ada menapau kebab di sini buat ‘backup’ makan di hotel. Harga dalam THB50 dan agak besar dan banyak isi.
Haa tuh dia. Apa macam? Benda rare kan harus snap. Kat Malaysia mana ada orang jual open macam ni. Burger khinzir, hehe. Nak yang mana? Single, Double atau Set? Astagfirullahalazim .. !! Gurau jer…
Dah ternampak warung ni, macam rugi pula terbeli kebab tadi. Ingatkan dah tak ada warung jual makanan halal di hadapan. Sebelum ni aku pernah juga terbaca dalam blog backpackers, memang warung ni terkenal sebab harganya agak murah dan ada macam-macam jenis makanan bergoreng, seafood dan lain-lain. Apa lagi, tapau juga tapi sebungkus iaitu telur dadar digoreng dengan siput (apa entah tak ingat namanya). Memang lazat tak ingat.
Nak balik tu, kami singgah di 7E di sekitar situ. Ternampak juga restoran halal yang lain seperti Restoran Salma dan Restoran Hamid dan masih dibuka walaupun jam dah 9.00 malam. Dalam 7E aku terserempak dengan seorang Cina Malaysia yang agak berusia hujung 40an sebab dia pakai baju kelab Malaysia. Aku tegur, “bang dari Malaysia ke?” Dia pun balas, “iya, KL”. Oh samalah kita, balas aku. Macam-macam pula kami sembang. Dia ingat aku rider motor besar sebab nampak kain penutup kepala yang aku pakai. Masa bersurai tu, kami sama-sama ucapkan “take care” sebab dia tahu aku akan ke 10 lagi bandar hingga ke Laos bersama isteri dan anak kecil. Di 7E, aku beli dua botol air mineral. Hmm.. murahnya, lagi murah dari Malaysia. Harga sebotol THB13 untuk saiz 1.5 liter.
Di tepi-tepi 7E tu banyaklah pusat-pusat urut atau massage tapi di Malaysia, panggilan massage tu lebih popular sebagai ‘masat’. Sambil lalu tu ramai la yang promote “masat… masat… masat” tak kesudah. Aku rasa, kalau aku menapak seorang diri di situ mungkin masat dia akan jadi special case, paham-paham sajalah…… Untuk masat jenis yang ‘halal’ ni macam biasa, manicure, pedicure, urut kepala, bahu, tulang belakang dan refleksologi kaki. Harga dari THB200 hingga THB500 per jam. Untuk masat jenis “tak halal” tu jangan tanya aku !! Hehe…
Habis sesi meneroka Lee Garden Plaza, kami pun balik ke hotel. Tak larat dah weh!! Kita bersambung ke entri seterusnya…. Kembara Thailand – Laos: Day 2 – Part 1 – Sekitar Hat Yai dan Wat Hat Yai.
Leave a Reply