Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 5 – Santai di Rainbow Lodge dan Perjalanan Menuju Ke Bangkok. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Turun sahaja dari tren, Aqif melambai-lambai pada dua orang kakak backpackers yang menaiki bersama kami tadi. Mereka berdua bukanlah orang Malaysia tapi orang Thailand. Rancak bergurau bersama Aqif sepanjang sejam terakhir sebelum tiba di Bangkok.
Bergambar di stesen keretapi Thonburi sebagai kenang-kenangan. Keretapi ini sangat penting kerana ia satu-satunya yang membawa penumpang bagi dua tujuan iaitu sebagai pengangkutan keretapi biasa dan juga sebagai ‘keretapi persiaran’ bagi tujuan lawatan sejarah. Lain-lain keretapi di Thailand tidak sama seperti ini.
Disebabkan ini merupakan kali pertama Tatie dan Aqif malah aku sendiri mencecahkan kaki di bandaraya Bangkok, jadi aku dan Tatie sama-sama ‘high five’. Dah macam kawan-kawan pula. Memang begitu apabila kami meraikan ‘kemenangan’ dalam mana-mana penjelajahan.
Stesen ini merupakan stesen utama untuk ke barat Thailand namun ianya bersaiz kecil. Yang menjadi masalah apabila tiba di sini ialah bergerak menuju ke Wang Lang (lebih tepat lagi… Prannok Pier) samada menapak atau menaiki tuktuk.
Dari stesen Thonburi ke Prannok Pier sejauh 1.2km.
Jadi, kami memilih untuk menaiki tuktuk motorsikal (tapi bentuk macam tuktuk di India yang beroda tiga) walaupun tambang dikenakan agak mahal iaitu THB150. Penat weh nak menapak dengan backpack yang berat….
Tuktuk di sini agak berbeza yang mana kami duduk di bahagian belakang dan pemandunya di bahagian depan, bukan di kanan seperti di Prachuap Khiri Khan atau di Kanchanaburi.
Tiba di Prannok Pier, keadaan tidaklah sibuk walaupun waktu petang dan ramai yang pulang dari bekerja. Di sekitarnya terdapat deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Kami pun main hentam sahaja masuk ke lorong di hadapan tu. Memang tak pernah ada pengalaman menaiki feri dan menyelusuri sungai Chao Phraya.
Antara feri yang berlepas dari jeti ini dan menuju ke seberang sana. Aku tak pasti sampai jam berapa feri ini beroperasi. Jika tiada perkhidmatan pada tengah malam, bermakna terpaksa menaiki teksi menyeberang melalui jambatan.
Dalam banyak-banyak tempat di Bangkok, aku sangat teruja untuk mengambil gambar The Grand Palace pada waktu malam kerana sebelum ini pernah melihat gambar dari Google dengan cahaya kuningnya yang cantik pada waktu malam.
Mula-mula aku ingat kena tunggu feri di sini….
Tapi rupanya di sini.
Oh ya, lupa aku nak beritahu tentang tiket feri. Harganya ialah THB42 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak. Maaf, tak pasti kanak-kanak usia berapa tahun ke bawah yang dianggap percuma. Di kaunter, cakap sahaja nak ke Phra Arthit atau Khao San (sekiranya kalau korang nak ke Khao San).
Ni nak beritahu…. aku caps lock ye sebagai peringatan, penting sangat weh!
TIKET SIMPAN ELOK-ELOK. DAH LA KECIL SAHAJA BENTUK TIKET BERSAIZ DUIT SYILING 50 SEN. AKU PULA LUPA LETAK DI MANA. SEMASA DI DALAM FERI, KONDUKTOR DAH MINTA-MINTA TIKET UNTUK DIPERIKSA. JENUH MENGAGAU CARI. KEMUDIAN KONDUKTOR TANYA NAK BERHENTI DI MANA? AKU JAWAB KHAO SAN ROAD! KEBETULAN PULA FERI DAH NAK TIBA DI JETI PHRA ARTHIT, DIA KATA TAK MENGAPA.. LAIN KALI SIMPAN ELOK-ELOK.
Bila feri tiba sahaja, kami pun pakat berpusu-pusu masuk ke dalam. Ramai pula orang dengan feri terhuyung-hayang lagi, dengan backpack lagi dengan ‘center of gravity’ yang tinggi membuatkan tubuh badan kami makin terhuyung-hayang. Eh berapa punya banyak terhuyung-hayang nih.
Kami terpaksa berdiri. Aqif diletakkan di atas sebuah dinding yang mempunyai meja tinggi lalu aku dan Tatie cuma mencari keseimbangan dengan berpaut tangan pada tiang dan sebagainya.
Lupa aku nak cerita, abam omputih di atas ni kami kenali sewaktu menunggu lama di stesen Kanchanaburi. Beliau pernah ke Malaysia tapi aku lupa pula berasal dari mana. Beliau suka bergurau dengan Aqif cuma aku tak dapat nak melayan kerana fikiran ketika tu agak berserabut.
Inilah peta perjalanan feri kami menyelusuri sungai Chao Phraya dari titik A (Prannok Pier) ke titik B (Phra Arthit Pier), lebih kurang 1.2km.
Video merentas sungai Chao Phraya menaiki feri.
Sungai Chao Phraya ni ada terdapat kisahnya dalam matapelajaran Geografi semasa di sekolah menengah dahulu. Aku memang ada ‘feel’ dengan sungai ni.
Turun je ke jeti Phra Arthit, aku semacam terpijak paku di pelantar besi yang menyambungkan antara jeti dan feri. Adoi lahaiiii. Dah la pakai slipar Fipper je. Nasib baik tak berdarah. Risau juga kalau paku berkarat, tak pasal-pasal kena ke klinik untuk mendapatkan injection. Untuk backpacking di masa hadapan, kami bercadang untuk memakai kasut Mid Boot, mungkin dari jenama Karrimor kerana lebih murah atau jenama Merrell. Aqif pun akan kami pakaikan kasut boot!
Sebaik sahaja turun dari feri, aku dan Tatie terasa melayang-layang atau seperti vertigo. Senang kata, umpama mabuk laut atau motion sickness. Perut aku dah mula terasa mual. Kalau ada makanan mungkin dah muntah.
Kami teruskan juga berjalan menerusi deretan kedai yang bagi aku sangat cantik dekorasi melalui jalan Soi Rambuttri menuju ke jalan utama yang berdekatan dengan Khao San Road.
Bersambung ke entri… Kembara Thailand – Laos: Day 7 – Part 7 – Pencarian Hotel Murah dan Khao San Road.
Leave a Reply