Bersambung dari entri Kembara Thailand – Laos: Day 3 – Part 2 – Wing 5 dan Pantai Ao Manao. Untuk pra-kembara, boleh rujuk di sini.
Lokasi: Prachuap Khiri Khan
Selepas meneliti peta Google Maps, perjalanan dari Wing 5 ke Wat Ao Noi (WAN) lebih kurang 11.7km. Nasib baiklah bergerak jam 5pm sebab matahari dah mula nak tenggelam. Nanti kalau dah sampai ke WAN, apa pun tak nampak.
Untuk yang belum tahu, Wat bermaksud kuil atau tokong. Wat ini ada sedikit kelainan dari wat-wat yang lain bukan kerana ada patung “reclining Buddha” terbesar seperti di Hat Yai, tapi ada tiga buah tapak Wat yang berdekatan dan salah satunya terletak di tepi lereng bukit. WAN merupakan salah satu tempat popular yang tersenarai dalam Tripadvisor buat pengunjung ke Bandar Prachuap Khiri Khan (PKK).
Sempat juga aku snap gambar kedai runcit di Bandar PKK.
Di penghujung Bandar PKK terdapat sebuah Wat yang aku agak paling terbesar di sini iaitu Wat Thammikaram Worawihan. Nak sebut pun berbelit, kan? Wat ni aku akan ceritakan dalam entri akan datang.
Di hadapan Wat Thammikaram Worawihan, terdapatnya tempat perkumpulan monyet liar yang banyak. Dan ditepinya terdapat tangga untuk menaiki ke Bukit Khao Chong Kra Chok. Dipercayai ianya tempat dewa monyet (Hanuman?) bertapa, singgah atau bergentayangan di sini. Ini pun aku akan ceritakan nanti dalam entri seterusnya.
Di atas bukit itulah terletaknya Bukit atau Wat Khao Chong Kra Chok. Kemudian kami melalui sebuah jambatan.
Di tengah jambatan. Nampak jalan di sebelah kanan gambar? Balik nanti akan kami lalu di situ dan sekiranya terus melalui jalan tersebut, akan bertemu dengan PKK Night Market.
Melepasi jambatan…. rugi pula aku tak minta abang tuktuk motorsikal (TM) berhenti di jambatan tu. Mungkin sebab waktu dah suntuk.
Bukit atau Wat Khao Chong Kra Chok yang terletak di atas.
Dalam perjalanan, kami disajikan dengan keindahan panorama sekitar tepian pantai PKK hingga ke Wat Ao Noi (WAN). Rupanya banyak lagi pulau-pulau kecil di sepanjang pantai PKK yang hanya kelihatan apabila melepasi Bukit Khao Chong Kra Chok. Di kawasan ini juga banyak guesthouse dan hotel serta Maggie Guesthouse (MG) cawangan ke-2. Tapi pada pendapat aku, untuk penginapan, lebih baik korang booking MG cawangan pertama yang kami menginap kerana lebih dekat dengan pusat bandar, stesen minibus, night market, pantai, 7E dan sebagainya.
Pemandangan sekitar pantai PKK yang menghadap ke arah Wat Ao Noi.
Jalan yang kami naiki untuk ke Wat. Untuk pengetahuan korang, gambar ni terbalik kerana aku snap gambar dari belakang tuktuk.
Makin hampir ke Wat, makin senja menghampiri. Sangat cantik pula susunan awan dan pancaran matahari di langit.
Di kawasan sini kelihatan banyak kapal-kapal nelayan Thailand berlabuh.
Kami dah mula masuk ke jalan kampung. Pasar malam tempatan pun baru dibuka. Aku rasa, kalau kami singgah pun mungkin 100% tiada peniaga Muslim. Lagipun tempat ni dikira agak hujung dan berdekatan dengan Wat. Seperti juga di negara Muslim, kebanyakan penghuni yang menetap di tempat ibadah adalah merujuk pada penganut tempat ibadah tersebut. Korang paham ke yang aku cuba sampaikan ni? Hahaha. Beginilah. Kalau di kampung Malaysia, di mana ada masjid, mestilah 95% penduduk sekitarnya Islam kan? Itulah yang aku maksudkan.
Kami ada juga bypass sebuah bukit yg agak unik kerana ia mempunyai sebuah binaan yg agak obvious terjojol keluar membentuk seperti timun atau apa saja bentuk yang bersarang dalam kepala korang, hahahaha! Yang pasti.. bentuknya memang unik.
Jalan kampung menuju ke Wat Ao Noi. Kualiti jalan kampung di sini agak terbaik cuma kelihatan seperti jarang diturap semula. Sunyi dan kurang kenderaan.
Dari gambar jalan kampung di atas, aku toleh ke sebelah kanan. Disaji pula dengan sebuah tasik yang sederhana besar dengan keadaan matahari yang hampir tenggelam. Wow!
Bentuk rumah di kawasan sini. Tak pastilah aku samada rumah atau Wat sekala kecil.
Dah sampai ke Wat Ao Noi. Apa yang korang nampak? Aku nampak rumah ala-ala Minangkabau dan dua ekor naga air melingkar mengelilinginya. Macam mana nak bezakan naga terbang dengan naga air? Mudah sahaja, naga air panjang macam ular dan naga terbang sudah pasti ada sayapnya. Tapi kebanyakan kajian aku, yang banyak mendominasi rantau timur dari China sampai ke Indonesia adalah naga air.
Lokasi Wat Ao Noi. Koordinat GPS: 11.861097, 99.821793
Yang menariknya, tak ramai pelancong di sini, hanya kami sekeluarga je. Mungkin kerana waktu dah nak malam atau mungkin kerana tak ramai yang tahu tentang point of interest di Bandar PKK atau mungkin langsung tak berminat tentang Wat-wat ni semua.
Wat Ao Noi juga dikenali sebagai Wat Tham Phra. Ianya dibina pada tahun 2003 dan 100% binaannya diperbuat dari kayu yang mana bagi aku, ukirannya sangat menakjubkan dan teliti. Terletak di antara teluk Ao Noi dan teluk Khan Kradai di kaki bukit, ia juga merupakan lokasi sesuai bagi bersantai dan menenangkan fikiran dengan pemandangan alam semulajadi yang begitu indah.
Perlu diingati yang Wat ini bukanlah museum. Ianya merupakan tempat ibadah rakyat Thailand yang datang untuk “tam boon” yang bermaksud membuat pahala secara penyembahan pada Buddha dan juga aktiviti seperti bersedekah untuk pihak Wat dan sebagainya. Jadi, seperti mana tempat ibadah yang lain, kita juga perlu menghormati Wat tersebut dan memakai pakaian yang sesuai.
Papan tanda jalan masuk ke Wat yang boleh kelihatan dari jalan kampung tadi.
Turun je dari tuktuk, banyaklah pula anjing. Seperti biasa, mana-mana Wat mesti banyak anjing. Tapi anjing sini baik-baik dan tak kacau orang. Disebabkan kami dah biasa dengan kehadiran sekumpulan anjing yang banyak seperti ini, jadi dah rasa lali. Kalau di Malaysia, mesti rasa macam nak cabut lari. Yang penting, asalkan jangan jilat atau hidu pakaian kami. Nanti panjang cerita nak kena samak bagai.
Kali ni abang TM tak bagi kami peruntukan masa, kiranya suka hatilah berapa lama nak luangkan masa di sini. Dia sedia menunggu.
Di depan Wat pula kelihatan seekor anjing seolah-olah menjadi ‘penjaga’ di sini. Takkan aku nak bagi salam pula, kan? Kami pun naiklah ke atas saja nak meninjau apa yang ada.
Ops, sebelum tu kami bergambar dulu di hadapan ular 9 kepala. Oklah aku mengaku. Memang aku tak pasti makhluk apakah ini. Samada ular 9 kepala atau naga air atau naga air 9 kepala.
Lepas naik tangga, aku snap gambar bumbung Wat ni. Apa tidaknya, bentuk macam Minangkabau. Tak pasti pula aku dari segi sejarah macam mana boleh ada persamaan begitu. Kelibatan banyak ukiran kayu yang cantik-cantik di sini.
Sebelum menaiki tangga ke-2, terdapat sebuah bola batu atau besi (tak pasti aku) yang diletakkan di sini. Diameternya dalam 0.5 meter. Batu ni ada 2 biji di hadapan dan 6 biji lagi mengelilingi Wat. Kelihatan seperti stiker atau kertas-kertas timah atau emas yang dilekatkan di atasnya. Pernah tengok kertas emas selepas membuka kotak rokok? Begitulah bentuknya. Kertas tu pun aku tak pasti untuk tujuan apa. Kalau dah tempat ibadah, aku andaikan macam biasalah iaitu kertas catitan doa dan permintaan pada Tuhan masing-masing. Tapi kami tidaklah pegang bola ni. Risau lain benda pula terserap masuk ke tangan, paham-paham sajalah maksud aku. Di tepinya ada sebuah tempayan bunga teratai yang sinonim dengan agama Buddha.
Aku kira ada 16 kepala ular yang mengelilingi belakang patung Buddha tu. Korang pula dapat kira berapa? Di atas tangga ke-2 terdapat lagi bola hitam yang sama. Aku ambil posisi bergambar di sini kemudian diikuti Tatie pula. Aku harap, posisi yang kami duduk tu dibenarkan. Risau dilihat seperti tidak menghormati tempat ibadah kalau tersalah posisi.
Tuh dia, Tatie dikawal ketat kiri dan kanan oleh naga air 9 kepala x 2 bersamaan 18 kepala! Tidak pasti ianya simbolik kepada apa. Anjing tadi masih setia. Sebelum bergerak ke arah lain, kami ada juga hulurkan kurma tapi tak makan pula dia.
Belakang badan naga air yang melingkar hingga ke belakang Wat.
Ini pula di belakang patung Buddha. Nampak memang seperti jari-jari. Tapi cuba korang tengok betul-betul. Di setiap hujung jari tu adanya muka seperti makhluk mitos atau haiwan biasa seperti ular.
Saja bergambar di bahagian belakang Wat. Sebenarnya aku tak tahu apa yang ada dalam rumah ni. Tapi dari pemerhatian aku sepanjang kembara ke 11 bandar, kebiasaannya terdapat berpuluh patung Buddha yang lain yang berusia ratusan tahun lamanya dan terdapatnya sebuah tapak kaki Buddha yang sepanjang 2 meter. Mungkin patung-patung Buddha yang lain sudah tidak relevan lagi untuk zaman sekarang merujuk pada pengikut masing-masing. Jadi, diganti dengan patung baru yang sesuai dengan pengikut/penganut terkini. Disebabkan dilema untuk pecahkan patung lama, maka ianya disimpan di dalam rumah ini. Ini andaian aku, jangan percaya sangat. Sila kaji….
Di bahagian lain Wat.
Tempayan bunga Teratai yang terletak di hadapan tangga yang kami naiki mula-mula tadi. Teringat pula lagu Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff para era zaman 90an, hehe.
***
Sedikit cekupan dari blog http://thefilosofi.blogspot.my.
Bunga Teratai adalah bunga yang memerlukan lumpur dan air untuk tumbuh dan berkembang, akan tetapi ia tidak akan tenggelam ke dalamnya. Bunga ini hidup di atas air yang tenang dan kotor, dimana banyak serangga dan sumber penyakit hidup. Daunnya yang besar terapung di atas air dan seringkali dijadikan tempat loncatan katak.
Dengan kondisi sedemikian kotornya, orang akan menganggap bunga teratai sebagai bunga yang tidak berharga dan kotor, yang tidak pantas untuk diraih karena demikian kotornya tempat ia hidup. Akan tetapi, bertolak belakang dengan kenyataannya, bunga teratai tetap tampil dengan keanggunan bunganya yang sangat menawan bagi yang melihatnya. Dia hidup penuh keindahan dan kebersihan tanpa dipengaruhi oleh lingkungannya yang kotor. Betapapun kotornya tempat dia hidup, tapi keindahannya tetap terjaga dengan baik bahkan menambah keindahan pula bagi lingkungan di sekitarnya.
Begitu juga kehidupan kita sebagai manusia. Manusia dilahirkan sebagai makhluk dengan keindahan dan kesempurnaan yang memerlukan keinginan atau hasrat untuk berkembang kearah lebih maju, untuk mencapai harta demi pencapaian sebuah tujuan. Tanpa keduanya perjalanan hidup manusia tidak akan pernah tercapai, tapi bukan lantas kita tenggelam diantara keduanya. Hasrat dan keinginan tetap kita jalani dengan kebaikan sehingga harta yang kita dapatkan bersumber dari kebaikan pula sehingga pada akhirnya akan memberikan suatu keindahan bagi lingkungan dan alam sekitarnya seperti bunga Teratai.
Arti Bunga Lotus dan Teratai sebagai Lambang Spiritual
Teratai putih melambangkan Bodhi (Sansekerta untuk pencerahan). Murni melambangkan tubuh, pikiran dan jiwa, bersama dengan kesempurnaan spiritual dan perdamaian sifat seseorang.
Sebuah bunga teratai umumnya dilengkapi dengan delapan kelopak, yang sesuai dengan Delapan (Lapan) Jalan Hukum Baik. Teratai putih dianggap sebagai teratai dari Buddha (tapi tidak Buddha sendiri) karena disebutkan di atas simbol-simbol yang terkait dengannya.
***
Habis di Wat, abang TM ajak kami menapak pula ke Wat yang ke-2. Tak jauh pun dalam 200 meter. Sambil menapak tu kami pun layanlah tasik buatan di sini. Sebenarnya jarang tengok tasik yang terletak kurang dari 100 meter dari tepi pantai.
Tatie dan Aqif menapak dahulu dan aku menyusul di belakang. Di sebelah kiri mereka, terdapat sebuah teratak untuk bagi makan ikan-ikan di tasik. Sini pun banyak anjing, alah… buat dek je asalkan jangan lari.
Sebelum masuk ke Wat ke-2, kami bergambar dulu di bahagian luar. Nak bergambar di tepi pantainya tapi agak kotor sedikit. Malas nak menapak menjauhi kawasan sampah sebab masa tak mencukupi dan hampir senja. Bukan apa, berkenan sangat nak amik gambar bukit-bukit yang terletak di tengah laut dan deretan kapal-kapal nelayan Thailand yang berlabuh.
Wat ke-2 ni terletak di lereng bukit. Dan di atas bukit pula terdapat Wat yang ke-3. Tapi kami tak naik pun dan hanya bergambar dengan patung di bawahnya. Lagipun suasana di atas macam gelap je kan.
Ini dia patung Buddha yang terdapat di tepi lereng bukit.
Dalam Wat ke-2 ni, kami berehat seketika bertujuan untuk menikmati dan mempelajari apa yang ada dalam setiap wat dan apa yang penganut mereka lakukan. Sami-sami buddha dalam ni baik-baik juga, siap senyum-senyum pada kami sambil lalu lalang dan tak kisah walaupun Tatie bertudung. Aku dapati kebanyakan sami di Thailand mempunyai mentaliti yang berbeza berbanding dengan sami-sami di Myanmar (merujuk pada isu Rohingya). Jadi dalam bab menghormati perbezaan agama, usahlah kita campuraduk atau pukul rata semua sami Buddha di seluruh dunia.
Sebelum balik, abang TM ajak kami lepak di tasik tadi. Katanya di situ boleh buat aktiviti bagi ikan makan. Di Wat ke-2 ada dijual roti untuk ikan. Disebabkan malas nak menapak kembali ke Wat tadi, dengan kurma yang ada dan kami pun dah muak nak makan, so campak jugalah sebiji-sebiji ke dalam tasik. Mak oihh!! Besar-besar sungguh ikan kelinya. Panjang hampir 1 meter setiap seekor. Malangnya lupa pulak nak ambil gambar akibat seronok sangat melihat ikan.
Selesai di sini, on the way nak balik disajikan pula dengan landskap langit dengan matahari terbenam berwarna oren kemerahan.
Ingat lagi simpang ke PKK Night Market yang terletak di tepi Bukit Khao Chong Kra Chok? Kami berhenti seketika di papan tanda besar bertulis “Prachuap” dan bergambar sebagai kenang-kenangan. Syukur suasana masih belum gelap.
Dari jauh aku sengaja snap gambar tuktuk kepunyaan abang TM. Tuktuk kami berwarna merah, ok? ๐
Di tepian tambak laut, kelihatan banyak kenderaan parking di sini. Mula-mula aku tak tahu sebab apa, rupa-rupanya mereka menapak ke Night Market. Panjang market ni bermula dari sini sampailah ke hujung sana. Aku rasa hampir 1 km juga.
Disebabkan ada Night Maket, jadi kami terpaksa ‘potong’ ke jalan besar Bandar PKK. Tengah berhenti di lampu isyarat, ternampak pula ukiran patung monyet-monyet yang diperbuat dari batu.
Alang-alang tu snap gambar stesen minyak Thailand buat kenang-kenangan.
Dalam perjalanan balik, aku bertanya abang TM lokasi warung Muslim. Katanya ada dan lokasinya terletak di tempat pertama kami sampai dulu ialah berdekatan dengan 7E. Nasib baiklah dia tahu. Bayangkan, dari pantai Ao Manao sampai ke maghrib kami tak makan apa-apa. Jadi, abang TM drop kami di situ. Sebelum dia beransur, aku minta bergambar dahulu untuk mengenang layanan baiknya pada kami. Tiba-tiba dia tolak kaki Aqif. Ingat apa, rupanya dia risau kalau terkena batang ekzos yang tengah panas. Aku pun hulurlah duit THB400 sebagai upah sewa tuktuknya. Sepatutnya bayaran ialah THB600 iaitu THB200 pergi-balik ke Wing 5, THB200 pergi-balik ke Wat Ao Noi dan THB200 sebagai upah menjadi pemandu pelancong. Terima kasih abang TM!!
“Jaga-jaga anak kita…. jangan sampai jadi hamba…. kita ini orang merdeka..” – dari lagu Anak-anak Kita, M. Nasir.
Psst… balik je ke Maggie Guesthouse tu kena samak juga kaki sebab tanggalkan kasut di Wat Ao Noi. Banyak bekas-bekas anjing di situ. Sepatutnya tak perlu buka kasut.
Bersambung di entri Kembara Thailand – Laos: Day 3 – Part 4 – Warung Muslim dan Night Market di Prachuap Khiri Khan.
Leave a Reply