Untuk membaca kisah sebelumnya pada hari ke-2 bahagian ke-2. Untuk membaca dari awal, klik di sini.
Bermula dari penulisan ini, saya membahasakan “aku” bagi memudahkan luahan rasadan perasaan bila bercerita tentang pengalaman. “Saya” dirasakan agak formal dan serius, walhal segalanya tentang kembara adalah santai.
Dari Southbank, aku menapak jalan sehingga ke hujung yang terdapatnya bangku panjang bagi tujuan santai dan menikmati pemandangan Sungai Thames. Bercerita tentang sungai ini, bagi yang biasa melihat rancangan TV pendidikan dari BBC zaman 80an, pasti pernah ternampak tulisan “Thames” pada akhir rancangan. Inilah sungainya dan BBC pula merupakan syarikat penyiaran TV dan radio milik kerajaan UK.
Aku duduk seketika di bangku panjang di sini tapi melihat akan orang ramai yang lalu lalang buatnya aku kurang selesa dan ingin teruskan berjalan kaki sehingga ke entah aku pun tak tau ke mana. Dari sini juga aku dapat melihat sebuah bangunan terkenal di London yang berbentuk seperti sebuah roket yang akan dilancarkan ke angkasa lepas yang digelar The Gherkin.
Suasana pada ketika ini sangat nyaman dan tidaklah terlalu sejuk walaupun pada ketika ini adalah peralihan ke pra musim sejuk. Adakah sungainya berbau hapak? Itulah kelebihan negara empat musim. Bau hapak pun tiada, malah bau asap pun sampai tak perasan walaupun bas lalu di sebelah aku saja.
Tiba-tiba aku ternampak sebuah taman kecil yang agak terceruk dan adanya bangku panjang. Ingin aku rehatkan diri. Bukanlah kerana berasa letih, sekadar merehatkan otot kaki, minum air dan membuka laptop bagi membaca senarai tempat tarikan yang mungkin berdekatan. Untuk pengetahuan pembaca, waktu tu mobile phone aku bukan jenis smartphone seperti zaman sekarang, tiada Google Maps mahupun GPS manakala laptop pula tiada sambungan ke internet atau hotspot.
Buka laptop pun tak sampai 10 minit kerana aku lebih tertarik pada pemandangan sekitar. Walaupun taman ini terceruk, tapi sentiasa dibersihkan. Di kala mengembara seorang diri dan mulut mahu bercakap, tapi tiada teman untuk berbicara. Lalu aku menelefon seorang kawan baik menceritakan aktiviti harian aku di sini. Aku ucapkan terima kasih pada kawanku itu jika dia ada membaca blog ini walaupun pada hujungnya kekal sebagai sahabat. Sahabat jangan dibuang, aku sentiasa ingat jasa baik.
Aku tak ingat nama taman ini sewaktu menulis entri ini. Jadi aku berpandukan nama sebuah bangunan di hadapannya yang tertera perkataan “Doggett’s”. Untuk pembaca yang ingin rehat-rehat di sini, aku sertakan lokasi Maps seperti di bawah.
Lokasi taman kecil di atas.
Dari taman kecil, aku menapak ke Tate Modern. Entah macam mana aku agak tersesat sehingga ke sebuah bangunan yang bernama Invicta Plaza dan melalui bahagian bawah sebuah jejambat. Aku dapati di London, jejambat kerap dibina dari besi padu dan kerangkanya dibiarkan terdedah, tak seperti di Malaysia yang kerangka besi dalaman disalut dengan simen dan batuan. Aku fikirkan yang binaannya bersifat sementara. Namun pada tahun 2013 ini, ia masih berkeadaan seperti itu.
Aku berpatah balik ke taman kecil tadi dan menapak semula di tepi-tepi sungai bagi menuju ke Tate Modern.
Tiba di Tate Modern, aku terpegun dengan rupa bentuk bangunannya yang sudah lama dibina. Dahulunya, ia merupakan bekas sebuah stesen janakuasa yang dibina pada tahun 1891 untuk menghasilkan elektrik lalu ditukar menjadi sebuah galeri seni yang mana pamerannya agak luar biasa, menggelikan, menakutkan dan menggerunkan. Kelihatan seperti serombong asap yang menjulang tinggi.
Masuk adalah percuma tapi jika ada pameran khas, bahagian tersebut perlu dibayar untuk masuk. Selebihnya kekal percuma. Awalnya aku tak tahu laluan mana perlu masuk ke Tate Modern dan berapakah bayarannya. Aku ikuti sahaja tapak kaki pengunjung yang baru tiba di sini dan tiada kaunter bayaran.
Entah kenapa, aku tak berminat nak mengambil gambar di sini. Merasakan seperti ingin menikmati apa yang dipamerkan. Atau sebenarnya aku dah telan air liur apabila melihat lukisan pelik yang rupanya dilukis dengan darah, video zaman 70an yang menonjolkan tentang klimak seks dua orang pasangan (pendidikan bagi kajian tentang seks), haiwan ternakan yang dibelah banyak bahagian serta diawet dan masih nampak belahan organ dalaman dan… ishk, banyak lagi yang buatkan aku terdiam.
Senang cerita, semuanya yang pelik-pelik sehingga dah keluar dari sini pun masih terngiang-ngiang dalam kepala selama 2 hari.
Aku habiskan masa lebih kurang 45 minit sahaja di sini kerana ruang pameran hanya dua tingkat manakala 1/3 bahagian lagi dikhaskan untuk pameran berbayar. Kemudian keluar semula menuju ke dataran di luar bangunan. Dari dataran, aku dapat melihat Millenium Bridge yang dibina dan dirasmikan pada tahun 2000 bagi menyambut zaman millenium. Tower bridge juga kelihatan dari sini.
Masa untuk menapak kembali ke bahagian utara sungai. Aku pun naik ke atas untuk menapak di atas jambatan. Untuk pengetahuan pembaca, London terbahagi pada dua, utara dan selatan dengan sungai di tengahnya sebagai pemisah. Untuk yang ingin menginap di London, aku sarankan mencari penginapan di bahagian utara sungai kerana lebih banyak tempat tarikan pelancongan di situ.
Dari atas jambatan, dapatlah aku melihat beberapa buah feri persiaran dan juga kapal yang membawa barangan yang melalui bawahnya serta keseluruhan rupa bentuk Tate Modern yang agak unik.
Walaupun St. Paul Cathedral yang menjadi top 10 tempat tarikan pelancongan sudah terpampang di hadapan aku, namun aku memilih hari lain untuk ke situ. Aku teruskan lagi menapak entah ke mana dengan tujuan sebenar untuk melihat keseluruhan suasana kota London seperti aktiviti perdagangan, kesesakan trafik, kenderaan-kenderaan di sini, orang-orangnya dan sebagainya.
Aku terserempak pula dengan pusat gym Fitness First yang sebenarnya berasal dari UK dan telahpun beberapa tahun bertapak di Malaysia. Sampai pada sebuah persimpangan, aku mula fikirkan ke mana kaki ini akan melangkah. Memandangkan di sini bukanlah tempat pelancong dan merupakan tempat aktiviti bisnes runcit, pejabat dan rumah kedai, aku mengambil keputusan untuk menaiki underground Tube menuju ke Paddington station. Lagipun dah hampir tengahari (sebenarnya dah lupa, mungkin dah jam 2 atau 3 petang). Aku perlu mencari restoran Malaysia. Kalaulah aku menapak dari sini ke Paddington station, jaraknya adalah 6.4km!! Jauh sangat, tak sanggup aku. Seingat aku, underground Tube station yang aku naiki adalah Mansion House.
Peta aku menapak sejauh 1.3km dari taman mini tadi sehingga ke Tate Modern dan berakhir di Mansion House station:
Di Paddington station, itulah pertama kali aku tiba di situ. Punyalah besar sampai aku meraban juga nak cari pintu ke luar arah selatan stesen. Aku menuju ke Edgware Road kerana dikatakan adanya restoran Malaysia yang bernama Restoran Melur. Pusing punya pusing, dan entah berapa kali berpatah balik di jalan yang sama, akhirnya aku tak jumpa. Kalau ada smartphone, tentu akan memudahkan urusan. Mungkin inilah yang terakhir dalam hidup aku menggunakan kaedah manual pencarian berasaskan peta dan nama jalan serta bersosial dengan bertanyakan panduan dari orang tempatan. Adakalanya aku rindu kaedah dulu-dulu.
Akhirnya, aku ambil keputusan untuk makan saja di Mcdonalds yang berdekatan atas alasan darurat. Menu yang diambil hanyalah Fillet O Fish walaupun tahu ianya dimasak dalam bekas dan alatan yang sama dengan daging babi, tapi aku tiada pilihan.
Semasa di Mcdonalds, aku terpinga-pinga kerana masuk sahaja pintunya, yang ada hanyalah kaunter pesanan dan pembayaran dan tiada kerusi dan meja untuk duduk. Kat mana aku nak duduk? Lah, rupanya di tingkat bawah tanah.
Sewaktu makan, aku berkongsi meja besar bersaiz 3 meter x 1 meter yang diduduki bersama 6 orang yang lain sekelilingnya. Ada pula dua gadis tempatan memandang aku sambil berbisik sesama mereka. Mungkin gaya aku makan sambil mulut dibuka. Dari situ aku belajar yang tabiat orang barat apabila makan, haruslah menutup mulut.
Bagi menjaga nama baik negara, aku sendiri yang bersihkan meja dan buang sisa dan sampah makanan ke dalam tong yang disediakan dan mengangkat sekali dulangnya. Biar mereka lihat yang negara kita Malaysia (atau Asian dalam pandangan mereka) bukanlah negara dunia ke-3 yang korok atau low class. Nak sahaja aku tegur dan bercakap “eh negara kau orang ada KLCC atau litar Sepang F1 ke macam kami?”.
Selesai di Mcdonalds, aku pun menaiki Tube di Edgware Road station menuju ke Dollis Hill iaitu rumah encik Ahmad yang aku menginap yang sejauh 7.7km dan memakan masa hampir setengah jam melalui Tube. Malam tu aku tak tau apa nak makan, jadi dalam perjalanan dari Dollis Hill station ke rumah, aku singgah semula ke kedai runcit yang disinggah awal pagi tadi bagi membeli roti mirip Gardenia dan tuna dalam tin. Saiz rotinya lebih lebar dari roti Gardenia.
Bersambung di hari ke-3 bahagian ke-1, Green Park dan Buckingham Palace.
Leave a Reply