Untuk membaca kisah sebelumnya pada hari ke-2 bahagian ke-3. Untuk membaca dari awal, klik di sini.
Pagi tu aku bangun agak awal kerana mengikut maklumat dari British Tourist Authority, akan ada pertukaran pengawal istana pada jam 11 pagi. Kebetulan hari ini memang ada acara tersebut memandangkan tidak semua hari ia dibuat. Pertukaran pengawal atau Guard Changing ni ialah acara wajib untuk dilihat bagi pelancong.
Nota: Rujukan untuk jadual Guard Changing di sini.
Aku keluar dari rumah encik Ahmad tak salahnya pada jam hampir 10.00 pagi dan cubaan untuk mencari underground Tube di Dollis Hill Station. Walaupun semalam aku telah naiki, tapi waktu siang berbeza pula suasana dan susah untuk menghafal laluan dan jenis bangunannya. Aku sampai bertanyakan pada dua orang tempatan iaitu penjaga kaunter kedai runcit semalam dan seorang wanita kulit gelap yang agak tua yang sedang duduk di kerusi anjung luar rumahnya.
Aku pun sapa wanita tersebut dan disambut baik. Ternyata benarlah kisah rakan-rakan aku yang pernah belajar di Southampton University dan Imperial College yang mereka ni sangat mesra dengan bangsa lain. Mungkin kerana tidak menyukai diskriminasi perkauman maka mereka terlebih dahulu menjadi role model.
Beliau dengan mudahnya, sambil senyum, menunjukkan padaku arah ke stesen tersebut, siap bertanyakan aku “how are you?” and “where you come from?”. Aku pun membalas dengan mesra dan kemudian meneruskan perjalanan kaki ke stesen.
Walaupun di Dollis Hill ini Tube bukan di bawah tanah (akan masuk bawah tanah apabila menghampiri London), agak susah juga nak mencari laluan terowongnya yang masuk ke dalam stesen yang terletak di celah-celah rumah orang.
Agak-agak dah nak sampai di stesen, aku ternampak beberapa orang lelaki yang berdiri berdekatan laluan. Haih, risau juga bila gangsterism yang selalu ditayangkan dalam filem-filem di US muncul dalam fikiran. Aku buat biasa sahaja dengan penuh keyakinan dan lalu di sebelah mereka.
Aku pun masuk ke dalam satu terowong yang rupanya mengarah ke celah-celah rumah kediaman di sini yang panjangnya lebih kurang 60 meter sehinggalah masuk ke bahagian utama stesen. Semasa dalam laluan, aku pun mencapai surat khabar percuma yang diletakkan di atas kerusi, kononnya berlagak seperti orang tempatan. Mungkin akan dibaca dalam Tube nanti yang mengambil masa setengah jam untuk di tiba di tengah kota London.
Sepanjang aku berada di UK, memang tak ambil langsung gambar di dalam Tube atas alasan risau dituduh bukan-bukan nanti oleh CCTV yang berada di dalamnya. Faham-faham sajalah maksud aku.
Dalam Tube, aku dapati hampir 6 dari 10 orang yang ada dalam setiap gerabak, akan membaca buku. Wow, hebatnya mereka. Walaupun muka macam mat punk dengan rambut duri landak dan gelang tajam-tajam seperti durian, techno, rave atau gangster sekali pun, tapi di tangan membaca buku, hehe. Ada juga yang sedang berbangga dengan mendengar muzik dari iPhone 3G yang baru dilancarkan.
Aku menaiki Jubilee Line yang terus menghala ke Green Park station tanpa sebarang transit. Keluar saja dari station, aku terus menghala masuk ke dalam Green Park bagi menapak dan menuju ke Buckingham Palace.
Aku memang seorang yang penggemar taman-taman di negara empat musim. Masuk sahaja ke dalam Green Park, wow! Dengan udara pagi yang nyaman, dingin yang tak terlalu sejuk dan mendung. Yang paling best ialah daun-daun kuning musim luruh baik yang jatuh ke tanah mahupun yang masih di pokok.
Nota: Nak baca lebih terperinci tentang Green Park? Klik di sini.
Masih lagi belum jam 11.00 pagi, aku santai-santai saja berjalan sambil berpandukan bumbung Buckingham Palace yang boleh dilihat dari jauh. Terdapat juga papan tanda di dalam taman yang menunjukkan arah ke sana.
Pada penghujung taman, aku mula nampak lautan pengunjung yang begitu ramai bermula dari Canada Gate. Sah! Memang tepatlah arah kaki aku berjalan. Tanpa berlengah lagi aku menuju ke Gate. Ingatkan tak boleh masuk, rupanya Gate sebagai dekorasi landskap sahaja dan tiada pagar yang terentang di sebelah kiri dan kanannya. Apabila melihat polis-polis yang berkuda seperti mengarahkan pengunjung untuk kosongkan jalan raya, aku segera melintasnya dan berkumpul bersama mereka yang lain betul-betul di hadapan pagar utama Buckingham Palace.
Berikut adalah peta perjalanan kaki aku dari Green Park station sehingga ke Canada Gate yang berjarak 550 meter:
***
Sejarah Buckingham Palace
Terjemahan dari Wikipedia:
Buckingham Palace (Istana) ialah kediaman diraja London dan ibu pejabat pentadbiran raja United Kingdom. Terletak di Kota Westminster, istana ini sering berada di tengah-tengah majlis kenegaraan dan layanan diraja terhadap rakyat. Ia telah menjadi titik tumpuan bagi rakyat British pada masa-masa kegembiraan dan perkabungan negara.
Pada asalnya dikenali sebagai Buckingham House, bahagian teras istana pada hari ini ialah sebuah townhouse yang dibina untuk Duke of Buckingham pada tahun 1703 di tapak yang telah menjadi hak milik persendirian selama sekurang-kurangnya 150 tahun. Ia telah diperoleh oleh Raja George III pada tahun 1761 sebagai kediaman peribadi untuk Ratu Charlotte dan dikenali sebagai The Queen’s House. Semasa abad ke-19 ia telah diperbesarkan, terutamanya oleh arkitek John Nash dan Edward Blore, yang membina tiga sayap di sekeliling halaman tengah. Istana Buckingham menjadi kediaman raja British di London pada kenaikan Ratu Victoria pada tahun 1837.
Penambahan struktur utama terakhir dibuat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, termasuk bahagian depan sebelah timur, yang mengandungi balkoni yang terkenal di mana keluarga diraja British secara tradisi berkumpul untuk menyambut dan melambai pada orang ramai. Pihak Jerman telah memusnahkan gereja istana semasa Perang Dunia Kedua; Galeri Ratu dibina sebagai gantian di tapak tersebut dan dibuka kepada orang ramai pada tahun 1962 untuk mempamerkan karya seni dari Koleksi Diraja.
Reka bentuk dalaman awal abad ke-19 yang asli, kebanyakannya masih bertahan, termasuk penggunaan meluas scagliola berwarna terang dan lapis biru dan merah jambu, atas nasihat Sir Charles Long. Raja Edward VII menyelia hiasan semula separa dalam krim Belle Époque dan skema warna emas. Banyak bilik penerimaan tetamu yang lebih kecil dilengkapi dengan gaya China dengan perabot dan kelengkapan yang dibawa dari Royal Pavilion di Brighton dan dari Carlton House. Istana ini mempunyai 775 bilik, sebuah taman dan merupakan taman peribadi terbesar di London. Bilik negeri, yang digunakan untuk hiburan rasmi dan negeri, dibuka kepada orang ramai setiap tahun kebiasaannya pada bulan Ogos dan September dan pada beberapa hari yang lain pada musim sejuk dan musim bunga.
***
Berada di perkarangan pagar palace, seperti tiada peluang untuk aku menghampiri berdekatan dengan pagar untuk melihat lebih dekat apa yang berlaku di dalam. Lalu aku cuba bergerak ke hadapan menuju pintu pagar utama.
Sama juga. Dari hujung ke hujung telah penuh dengan pengunjung. Cuba lagi menghampiri pintu pagar utama. Aku tertarik pula melihat jata negara yang dibina pada pintu pagar. Akhirnya sampai ke depan pagar dan berjaya mengambil gambar dan melihat apa yang berlaku. Acara berkawad oleh mungkin kapten atau ketua yang mengepalai rombongan pertukaran pengawal sedang dimulakan.
Lalu aku pun toleh belakang, tuh dia ramai lagi berdekatan air terjun buatan yang berbentuk bulatan atau roundabout. Sementara belum bermula lagi acara pertukaran pengawal di bahagian luar istana, aku pun menapak ke bulatan di tengah tu.
Mungkin ada yang nak tahu kenapa pertukaran pengawal? Selain pengawal yang terdiri dari tentera UK, setiap negara diberi peluang untuk menjadi pengawal istana Buckingham bagi tujuan menyatakan sokongan penuh negara-negara Komanwel dan memperoleh kepercayaan antara hubungan sesama baik. Malaysia pernah juga dijemput pada tahun 2008 dan di bawah adalah video (sumber: Geek Aloud):
Setibanya di bulatan, aku melihat lebih dekat air terjun, Victoria Memorial dan ukiran-ukiran yang lain. Direkabentuk pada tahun 1901 oleh Sir Thomas Brock. Kemudian mula dibina pada tahun 1911 dan berakhir pada tahun 1924. Terdapat empat penjuru bahagian yang menempatkan tugu Queen Victoria serta ukiran-ukiran lain. Di bahagian paling atas terdapat patung malaikat bersayap.
Sebenarnya, seluruh kawasan jalanraya dan bulatan ini sehingga ke Wellington Arch digelar The Mall. Di bulatan itu, ada seakan pentas yang agak tinggi untuk melihat keseluruhan The Mall sehingga ke istana. Aku pun naik ke atas pentas dan mengambil beberapa gambar di sini serta zoom lebih dekat ke istana.
Kelihatan pancaragam pengawal sedang dimainkan di dalam perkarangan istana. Di bahagian jalanraya pula, kelihatan seorang pegawai polis berkuda yang mengiringi kawad beberapa orang pengawal baru yang akan menggantikan pengawal lama.
Selesai di sini, aku kemudiannya berangkat menuju ke tempat lain. Misi kali ini untuk ke Hyde Park tapi akan melalui dahulu dua lagi tempat tarikan pengunjung iaitu Commonwealth Memorial Gates dan Wellington Arch.
Aku melangkah masuk semula ke Green Park dan melalui Canada Gate. Tengok dari jauh, ada orang tengah duduk di kerusi panjang menghadap sebuah struktur unik kolam. Bayangkan anda sedang berdua-duaan bersama pasangan masing-masing. Untuk yang dah berkahwin sahaja ya! Syahdunya kalau dapat duduk bersama begitu sambil menikmati udara yang segar yang sejuk, nyaman, aman dan tenteram.
Aku menapak ke hadapan agar lebih dekat dengan kolam tersebut. Ia diberi nama “Canada Memorial” dan dibina pada tahun 1992. Tujuan pembinaan adalah untuk mengena jasa tentera-tentera Kanada yang berkhidmat di bawah panji British sewaktu Perang Dunia 1 dan 2. Bentuknya agak pelik. Seolah-olah airnya tak menurun ke bawah atau lebih dikenali sebagai “optical illusion”. Entahlah, aku pun tak tahu macam mana ianya dibina. Terus terang aku katakan, pada ketika ini aku tak membelek habis-habis struktur kolam ini kerana dalam kepala tengah sibuk nak mengarah ke Hyde Park.
Terdapat juga mini cafe menjual makanan ringan, roti, snek dan minuman panas. Dek kerana tak pasti status halalnya, aku hanya membeli Hot Chocolate berharga 2.00 pound. Oklah, sekadar nak merasa. Sedap juga. Cuaca pun sejuk iaitu di bawah 12 darjah Celcius, sesuai sangat minum panas sambil genggam cup nya yang panas.
Di kawasan sini barulah nampak papan tanda penerangan khas bagi Green Park. Mungkin ianya dibina kerana kawasan di bahagian sini ramai pelancong yang asalnya datang dari arah Buckingham Palace berbanding dari arah laluan aku masuk mula-mula tadi.
Aku juga bergambar bersama dengan daun Maple. Mana ada kat Malaysia. Sehinggakan aku mengutip (yang hijau sahajalah) dan bawa balik ke Malaysia. Sampai sekarang masih ada lagi dan diselitkan dicelah buku.
Disebabkan entri ini terlalu panjang, aku terpaksa pecahkan penulisan tentang Commonwealth Memorial Gates dan Wellington Arch. Jom ikuti lagi jejak kaki aku di sini.
Leave a Reply