UPDATE 11 OGOS 2022:
- Tambahan pembayaran menggunakan Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay.
- Official TFL Oyster and Contactles App.
- Citymapper app.
- Elizabeth Line – jalur baharu.
UPDATE 28 NOVEMBER 2018:
- Hanya kemaskini link sahaja kerana saya dah 9 tahun belum repeat lagi ke sana.
- Terdapat penambahan pada ciri-ciri Oyster card iaitu adanya ‘contactless’ card.
- App juga boleh download percuma bagi smartphone yang mempunyai NFC
NOTA 1: SEMUA TAMBANG PENGANGKUTAN DARI TUBE, DLR, LONDON OVERGROUND, ELIZABETH LINE DAN BEBERAPA NATIONAL RAIL SERVICES HANYA DIKENAKAN CAJ PADA BAGI KANAK-KANAK BERUSIA 11 TAHUN KE ATAS SAHAJA. BAWAH DARI TU TAK PERLU.
NOTA 2: BAGI KANAK-KANAK BERUSIA 11-15 TAHUN, ADA DISKAUN BAGI TAMBANG PENGANGKUTAN.
********************************
Bagi sistem pengangkutan di sana, saya akan cover tentang London Underground @ Tube sahaja.
London Underground aka Tube
London Underground, atau dikenali sebagai Tube merupakan sistem pengangkutan train bawah tanah yang tertua di dunia. Dengan 270 stesen 272 stesen (terkini 2022), korang tak perlu risau untuk ke mana-mana semasa di kota London. Sekiranya korang bekerja di sana, saya jamin korang tak perlu membeli kereta sebagai pengangkutan utama kerana Tube sahaja sudah mencukupi.
Apa beza LRT (Malaysia) dan Tube? Ok begini…. contoh… korang ke Bukit Bintang menaiki monorail dan berhenti di Lot 10. Selepas itu, korang bersiar-siar secara berjalan kaki dari Lot 10 ke Pavilion pula. Sebaik keluar dari Pavilion, korang menapak ke Kompleks Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay. Selepas selesai di situ, apa yang anda akan buat? Sudah tentu menapak kembali ke Lot 10 untuk mendapatkan monorail, bukan? Itulah beza LRT dan Tube kerana di sana, stesen Tube terlalu banyak dan korang tak perlu risau untuk meneruskan berjalan kaki terus ke hadapan dan kehadapan kerana, setiap 500 meter, akan ada lagi stesen Tube. Tapi saya tak salahkan sistem LRT di negara kita kerana masih baru dan akan ditambah stesennya dari masa ke semasa. Lainlah Tube, dah beroperasi sejak dari tahun 1863!
Di atas adalah peta laluan Tube yang saya download pada hari ini (terkini 2022). Saya nasihatkan, sekiranya korang nak travel beberapa bulan akan datang, sila download peta terkini dari link di bawah ini kerana setiap minggu, pihak berkuasa Tube melakukan beberapa penyelenggaraan dan mungkin menutup beberapa laluan.
Atau boleh juga download app khas:
a. TfL Oyster and contactless app
- App rasmi dari pihak London Transport
- Boleh topup menggunakan Debit/Credit card, Apple Pay, Samsung Pay dan Google Pay.
- Walaupun membeli kad Oyster (siap ber-topup) berbentuk fizikal dari mana-mana vendor atau kedai di London, ia boleh di tambah ke dalam app ini.
- Boleh membeli tiket untuk tempoh lama seperti 3 hari, 7 hari dan 30 hari serta diberi diskaun.
- Mempunyai peta Tube terkini.
b. Citymapper
- Paling terbaik bukan sahaja untuk London, tapi juga untuk bandar-bandar yang lain di seluruh dunia.
- Merangkumi peta dan jadual serta estimate time of arrival (ETA) bagi Tube, bas, tram serta keretapi merentasi negeri.
- Mempunyai peta pengangkutan terkini.
- Download:
Kaedah lama tapi masih berkesan dan sesuai bagi yang tidak mahu melibatkan debit/kredit kad sendiri:
Sistem Tube di kota London menggunakan kad prabayar seperti mana Touch N Go yang dikenali sebagai kad Oyster. Ya, Oyster ok, bukannya tiram, hehe. Kad ni ada dua jenis iaitu untuk “pay as you go” dan “Travel card”. Saya rasa, kad “pay as you go” hanya sesuai untuk orang tempatan dan yang dinaiki sekali contohnya dari Heathrow airport ke tengah kota London. Dan kalau boleh ambillah Travel card kerana selain Tube, bas, trams dan London Overground train boleh dinaiki.
(Nota: Oyster Card juga boleh ditambah dalam app Tfl Oyster and Contactless app walaupun kad fizikal dibeli dari mana-mana vendor yang menjual di sana.)
(UPDATE 11 OGOS 2022) Kadar tiketnya lebih berpatutan jika dibeli selama beberapa hari. Contohnya, jika korang ke sana selama 7 hari, saya nasihatkan beli kad Oyster untuk 7 hari mengikut pada gambar di bawah ini. Lebih jimat berbanding membeli untuk satu hari perjalanan sahaja.
https://tfl.gov.uk/fares/find-fares/tube-and-rail-fares
Ada banyak zon. Nak tumpu zon yang mana dan sesuai untuk pelancong?
Di kota London, saya telah mengenal pasti beberapa tempat terkenal yang kerap dilawati oleh pelancong. Kebanyakan tempat tersebut terletak di antara zon 1 hingga zon 3. Ok, apakah itu zon? Kota London atau Greater London di bahagi dengan 9 zon. Untuk kawasan tengah (landmark nya korang boleh ambil kawasan Parliament di Westminster sebagai contoh), zonnya adalah zon 1. Cuba lihat peta Tube di atas, dari kawasan tengah, anda akan dapati pembahagian zon dalam bentuk bulatan menjangkau hingga ke kiri, kanan, atas dan bawah peta. Jadi, untuk membeli kad Oyster, mungkin korang boleh beli mengikut yang saya cadangkan di gambar di atas selama 7 hari yang berharga 45.20 pound. Percayalah, zon 1-3 sudah mencukupi kerana dalam 3 zon ini sahaja terdapat lebih 60 tempat menarik untuk dikunjungi merangkumi tempat shopping, kubu dan istana, muzium-muzium, taman-taman terkenal, dungeon, kapal cruise, restoran, kedai cenderamata dan lain-lain.
Macam mana navigasi menggunakan peta pengangkutan Tube di sana?
Ok, bagaimana dengan berpandukan peta Tube, ingin bersiar-siar di sana? Baiklah…. kita rujuk semula peta, katakan kita bermula dari stesen Dollis Hill yang terletak di utara London. Laluan atau dikenali sebagai “Line” bagi Dollis Hill adalah “Jubilee Line”. Destinasi kita adalah Westminster untuk melihat kawasan Parliament. Dengan menaiki arah “Southbound”, kita akan teruskan perjalanan sehingga berhenti di stesen Westminster. Setelah bersiar-siar di sana, tiba-tiba kita berhajat untuk bersiar-siar di Victoria dan seterusnya ke South Kensington. Jadi, kita boleh memilih samada “Circle Line” atau “District Line” arah “Northbound”. Selesai sahaja di sana, kita berhajat untuk ke Malaysian Hall yang terletak di Bayswater. Agak korang, sesuai lagikah menaiki “District Line”? Tidak, kerana ianya bergerak terus ke kanan/barat peta. Yang sesuai adalah “Circle Line” arah “Northbound”.
Membawa kanak-kanak?
Kanak-kanak yang berusia bawah 11 tahun tidak dikenakan sebarang bayaran. Bagi pasangan yang mempunyai anak kecil, bagi pendapat saya…. ada beberapa stesen yang mesra dengan Stroller baby contohnya mempunyai lift untuk turun ke platform. Tapi ada juga sebahagian yang tidak. Mungkin agak susah dan dari pembacaan saya di blog-blog lain, mereka mencadangkan agar menggunakan bas yang mesra Stroller.
Melihat pada gambar di atas, inilah sebabnya kenapa di permukaan atas kota London sangat kurang orang yang berjalan-jalan kerana kebanyakan mereka sibuk berada di stesen Tube. Perkara keduanya mungkin kerana untuk mengelak dari kesejukan.
Elizabeth Line – Jalur Baharu (Berwarna Ungu) Yang Dilancarkan Pada 17 Mei 2022
Ok ini yang terbaharu dan baru dilancarkan bagi jalur yang menghubungkan Lapangan Terbang Heathrow dengan pusat bandar London. Ia tambahan pada jalur Heathrow Express (jalur biru @ Piccadilly Line) yang sedia ada. Elizabeth Line (EL) sebenarnya bersambung dari Reading (paling barat London) hingga ke Abbey Wood (paling timur London) dan Heathrow Airport pula terletak di tengah-tengahnya. EL mudah dinaiki dari Terminal 2 dan 3 di Heathrow Airport.
Harga tiket dari airport ke London lebih murah hampir separuh harga apabila menaiki EL hingga ke bandar London berbanding Heathrow Express (jika tiket dibeli di airport). Perbezaan EL hanya pada masa ketibaan iaitu 13 minit lebih lewat dari Heathrow Express. Heathrow Express hanya akan lebih murah berganda-ganda jika dibeli advance 90 hari awal secara online.
Di bawah ialah Elizabeth Line dari Heathrow Airport Terminal 2 & 3 hingga ke Paddington:
Macam mana dengan bas?
Ok, mungkin korang nak bertanya… kenapa tak guna bas? Masa hari pertama ke London, pengangkutan yang pertama adalah bas. Disebabkan saya bertolak dari Dollis Hill, jadi saya tak dapat nak mengagak perhentian apakah yang bas sedang lalui sekarang. Semasa menaiki bas, tiba-tiba saya mengelabah juga sebab tak tahu perhentian. Mungkin saya tak ada sebarang peta untuk bas. Lalu saya pun berhenti separuh jalan dan bertanyakan arah stesen Tube yang berdekatan dan menaikinya hingga ke tengah London. Itulah masalah bas, tidak dapat mengagak perhentian dan route nya secara jelas.
Nota: Gunakan app Citymapper seperti yang dilampirkan di atas untuk mengetahui masa ketibaan bas serta laluannya.
Saya begitu meminati Tube kerana sistemnya begitu efisien dan menepati masa. Mungkin korang ada yang berminat dengan bas awam kerana sambil bersiar-siar dengan bas, dapatlah melihat keadaan sekeliling berbanding Tube yang tak nampak apa-apa. Jika memilih bas, jangan lupa untuk menaiki London Sightseeing Tour Bus yang mempunyai tingkat atas tanpa bumbung! Tiketnya berharga 24.50 pound bagi dewasa. Tiket boleh digunakan selama 24 jam, boleh digunakan berkali-kali dan hentian pun boleh berkali-kali mirip bas HoHo (Hop On Hop Off) di Kuala Lumpur. Ada masanya, bas juga penting kerana saya pernah berpengalaman pada hari Sabtu cuba untuk menaiki Tube dari stesen Dollis Hill, malangnya stesen ditutup kerana penyelenggaraan, jadi terpaksalah naik bas. Memang lumrah di sana, apabila weekend, ada beberapa stesen yang ditutup untuk penyelenggaraan. Mereka lebih mementingkan hari bekerja dari weekend kerana hari bekerja lebih produktif manakala weekend, mereka beranggapan setiap orang bercuti atau bersiar-siar menaiki kereta.
Leave a Reply