Selalu kita dengar atau baca tentang psikologi atau mental manusia yang bergelumang dengan masalah di tempat kerja, perhubungan sosial dan trauma atau phobia tertentu. Tapi kita jarang dengar apa itu Post Travel Blues yang berlaku pada pengembara, baik yang tegar mengembara (seasoned traveller), yang ‘back for good’ selepas berhijrah bertahun lama atau yang jarang-jarang kembara tapi baru pulang dari kembara jangka panjang yang tidak kurang dari sebulan.
Post Travel Blues
Aku nak sentuh tajuk ni bukanlah sebab pernah kembara berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Hanya sebagai penambah ilmu atau persediaan sekiranya tiba giliran kami pula.
Post Travel Blues atau juga dikenali sebagai Post Vacation Depression adalah perasaan yang selalu dirasa oleh para pengembara tegar atau penghijrah sebaik sahaja pulang ke tanahair. Ia merupakan satu keadaan emosi yang melibatkan rasa kekosongan, sedih, dan kadangkala kekeliruan setelah kembali ke rutin harian yang biasa. Mungkin kerana peralihan drastik dari pengalaman baru dan seronok semasa mengembara yang tiba-tiba kembali kepada kebiasaan dan tanggungjawab harian.
Berikut adalah beberapa ciri-ciri dan punca Post Travel Blues:
- Perasaan Kosong atau Emptiness: Kebanyakan pengembara merasakan kekosongan selepas kembali kerana mereka tak lagi mempunyai perkara baru untuk dinanti-nantikan setiap hari.
- Keletihan Fizikal dan Emosi: Perjalanan boleh jadi memenatkan, dan kurang rehat yang cukup boleh menambah rasa letih dan moody.
- Rindu Pengalaman Baru: Mengembara sering melibatkan penemuan budaya baru, makanan, pemandangan dan orang serta kebudayaan dan gaya hidup mereka yang menarik. Kembali ke rutin normal mungkin tidak memberikan rangsangan mental yang sama.
- Kembali ke Realiti: Tanggungjawab harian seperti kerja, belajar, dan tugas rumah tangga mungkin terasa membosankan selepas pengalaman yang menggembirakan dan berwarna-warni semasa mengembara. Bagi yang berkeluarga, tugas harian rumahtangga dah dipotong separuh dari rutin normal keluarga biasa kerana mengembara akan menetap di hotel. Tiada keperluan untuk rutin seperti di rumah seperti mengemas, membasuh, menyapu, membaiki dan lain-lain.
Melihat pada senario biasa yang berlaku pada rakan-rakan yang kerap mengembara, biasanya mereka:
- Mengalami kesedihan, kekeliruan, dan rasa kekosongan setelah kembali.
- Merasakan persekitaran di hometown mereka janggal dan hambar.
- Mengalami Reverse Culture Shock iaitu sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dulu dikenali sebagai ‘home’.
- Berasa kekok atau awkward untuk berjumpa rakan-rakan rapat.
- Post Travel Blue bagi mereka lebih memenatkan berbanding penat dalam mengembara.
- Perjalanan 6 bulan dirasakan begitu panjang dan seolah-olah seperti dilahirkan semula berkali-kali kerana merasa benar-benar menjalani hidup yang bermakna semasa kembara dan penuh dengan pengalaman.
- Awalnya pulang ke tanahair terasa teruja sekali mungkin dapat merasa nasi lemak atau roti canai yang dah lama kepingin, tapi lama-kelamaan terasa hambar dan kosong.
- Melihat orang-orang lain yang sibuk dengan rutin harian membuatkan diri rasa janggal kerana perangkap sistem kapitalis yang terpaksa ditanggung mereka.
- Terpaksa mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali rasa serasi di tempat sendiri dan juga dalam bersosial bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Untuk mengatasi Post Travel Blues, beberapa strategi yang boleh digunakan termasuk:
- Perancangan Kembara Seterusnya: Mulakan merancang kembara seterusnya kerana ia boleh memberikan motivasi dan sesuatu untuk dinantikan. Ia juga boleh mengurangkan kemurungan yang biasa dilalui pengembara semasa ‘transition’ dari luar negara kembali ke tanahair dan mula kembara sekali lagi.
- Tengok Gambar Dan Video Lama: Melayan kembali gambar dan video lama yang diambil semasa kembara boleh membantu memperpanjangkan keseronokan pengembaraan walaupun dah tiada di tempat tersebut.
- Mengintegrasikan Pengalaman Baru: Cubalah masukkan beberapa elemen dari budaya atau rutin baru yang ditemui semasa mengembara ke dalam kehidupan harian.
- Bersosial dan Berkongsi Pengalaman: Berbual dengan kawan atau keluarga tentang pengalaman kembara boleh menjadi cara yang baik untuk mengatasi perasaan sedih. Namun tak semua sanggup mendengar kalau kena pada audience yang kurang tepat.
Pengalaman Post Travel Blues adalah normal bagi ramai pengembara tegar dan penghijrah. Penting untuk memberi masa kepada diri sendiri untuk menyesuaikan kembali kepada kehidupan harian dan teruslah mencari bahagia dalam aktiviti-aktiviti lain setiap hari walaupun skala atau impaknya kecil.
Tahukah korang, selain Post Travel Blues, Pre Travel Blues juga wujud?
Pre Travel Blues
Ya, Pre Travel Blues adalah satu lagi fenomena emosi yang wujud dan dialami oleh sesetengah individu sebelum mereka belum atau baru memulakan kembara. Fenomena ini merujuk kepada perasaan cemas, stres, atau bimbang yang muncul sebelum berangkat. Tak kurang juga yang menghadapi masalah dengan kenalan yang tidak memahami ruang yang perlu diberi pada mereka. Berikut adalah beberapa sebab dan ciri-ciri Pre Travel Blues:
- Kebimbangan Bertalu Tentang Logistik: Perasaan risau tentang persiapan perjalanan seperti dokumen, tiket, tempahan hotel, dan pengangkutan. Juga risau kalau tak lepas dari imigresen mana-mana negara yang dilawati. Risau tiket penerbangan hangus begitu saja. Ada juga yang takut tertinggal sesuatu yang penting atau terlupa membuat persiapan tertentu.
- Takut Perkara Yang Tak Diketahui: Bimbang tentang destinasi yang belum pernah dikunjungi, terutamanya jika budaya atau bahasa di sana berbeza. Risau tentang keselamatan, kesihatan, atau bagaimana menyesuaikan diri di tempat baru. Risau kalau berlaku kecurian/rompakan dan tiada akses pada kad debit/kredit dan terpaksa mengemis dan bermacam lagi. Dan lumrah zaman sekarang yang menakutkan ialah apabila kehilangan phone yang dianggap sebagai “nyawa kedua”.
- Ketidaktentuan Itinerari: Stres kerana jadual perjalanan yang padat atau terlalu banyak aktiviti yang telah dirancang. Akan rasa cemas kalau itinerari yang dirancang tidak menjadi atau lari dari jadual.
- Meninggalkan Tanggungjawab: Bimbang dengan pekerjaan, tanggungjawab rumah atau keluarga yang ditinggalkan semasa ketiadaan di tanahair. Akan timbul perasaan bersalah terutama bagi yang telah berkeluarga atau yang mempunyai ibubapa yang telah tua walaupun ada yang mengganti dalam jagaan.
- Tekanan dan Harapan: Tekanan untuk memastikan perjalanan tersebut “sempurna”. Bimbang jika perjalanan tidak berjalan lancar atau mengecewakan.
Cara untuk mengatasi Pre Travel Blues ni sebenarnya tiada kerana kembara serta risikonya belum lagi berlaku. Jika ada, mungkin kerana mengalami kebimbingan melampau yang aku rasa lebih baik bertemu dengan pakar yang berkaitan.
Aku selalu pegang ayat ini:
“Bahaya ni ada di mana-mana waima di rumah sekalipun. Jadi, ambil sajalah risiko di luar sana.”
Selain dua jenis Travel Blues di atas, ada juga jenis-jenis masalah psikologi yang tertentu yang dihadapi oleh peminat kembara. Antaranya ialah kekurangan dana untuk mengembara atau perlu selesaikan urusan-urusan kerja atau peribadi di tanahair sebelum melangkah keluar. Di bawah ini semuanya kami hadapi:
- Dana Kembara: Buat yang bekerja sendiri perlu cukupkan bukan sahaja dana semasa kembara, tapi juga dana selepas pulang dari kembara untuk ‘sustain’ hidup. Dana menjadi lebih tinggi jika merancangan kembara berbulan-bulan lamanya. Ada yang perlu mengumpul selama 2-3 tahun tapi tidak difahami oleh sesetengah orang walaupun mereka berjiwa kembara sekalipun. Bersyukur bagi mereka yang bergaji tetap, yang boleh menyediakan 3-4 jenis kad kredit sebagai backup kecemasan dan juga gaji yang bersambung lagi selepas balik dari kembara.
- Fit: Keperluan untuk fit terlebih dahulu sebelum melangkah ke luar biasanya ambil masa berbulan atau tahun. Bagi yang masih muda usia 20an tidak menjadi masalah. Tapi bagi yang dah berusia 40 atau menghampiri 50, bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan. Ditambah lagi sebagai pengembara beg galas dengan beban di antara 10-15kg. Bukan kerana mendera diri tak bawa beg tarik, tapi lebih kerana minat mendalam dengan beg galas.
- Stres: Melihat pada keseronokan yang dikongsi oleh pengembara-pengembara di media sosial membuat perasaan stres tu tinggi. Mengumpul dana bertahun-tahun sampai gol tercapai bukan satu kerja yang mudah apatah lagi dalam tempoh tu melayan gambar-gambar yang dikongsi mengembara di medsos.
- Tidak Hormati: Kadang ada kenalan yang telah dimaklumkan kerana kami ingin berada dalam fasa ‘hibernasi’ dari bersosial dan berjanji akan menghubungi mereka kembali selepas segala stress dan burnout telah reda. Namun tetap tidak dihormati ruang yang diinginkan oleh kami.
Kami bertuah adanya kenalan yang merupakan keluarga yang sama perjuangan seperti kami. Bezanya mereka ingin berhijrah, kami pula nak kembara jangkamasa panjang. Buat keluarga tersebut, InsyaAllah janji tetap dikotakan jika diizinkanNya. Akan hubungi dan berjumpa kalian jika masanya telah tiba. Yuk, kita teruskan perjuangan!
Leave a Reply